Adsense

Ahad, 16 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Badai Semalam cetus fenomena

Posted:

Badai Semalam cetus fenomena

Badai Semalam cetus fenomena

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI


MANTAP... Khadijah Hashim (empat dari kiri) bersama barisan pelakon teater Badai Semalam iaitu (dari kiri) Iqbal Taufik, Fizz Fairuz, Umie Aida, Erra Fazira, Ziela Jalil dan Aaron Aziz pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir pengarah teater tersebut, Khairunazwan Rodzy (kanan).


SEJAK Istana Budaya (IB) mengkhabarkan akan mementaskan naskhah agung karya Khadijah Hashim berjudul Badai Semalam, ramai yang sudah tidak sabar lagi untuk menontonnya.

Sememangnya pengikut dan peminat setia novel itu mahu melihat hasilnya di pentas teater sementelah Badai Semalam sebelum ini sudah pun dizahirkan ke medium radio dan televisyen.

Bakal dipentaskan di Panggung Sari, IB bermula 11 hingga 2 November ini, Badai Semalam ternyata sudah mencetuskan fenomena walaupun belum membuka tirainya.

Mahu atau tidak, harus diakui, selain daripada naskhah itu sendiri, barisan pelakon yang bakal membintangi teater yang dianggap sebagai pementasan pecah panggung itu merupakan daya penarik utama penonton.

Siapa yang tidak mahu menonton aksi bekas Ratu Cantik Malaysia, Erra Fazira membawakan watak utama sebagai Mazni dan digandingkan pula dengan aktor kacak popular, Aaron Aziz yang memerankan watak Karim.

Ditambah pula dengan kehebatan aktres ternama, Umie Aida sebagai Rohana selain Fizz Fairuz (Zaki) dan Ziela Jalil sebagai ibu Mazni, Bibah, sudah pasti penonton tidak akan lokek untuk mengeluarkan wang menonton aksi mereka kelak.

Sesungguhnya percaturan IB yang mempertaruhkan nama-nama besar industri seni lakon ini memang tepat sekali.

Hasilnya,setakat ini tiket sudah pun terjual sebanyak 50 peratus dan ternyata ia sesuatu di luar dugaan.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani menjelaskan strateginya untuk mendapatkan pelakon-pelakon popular membintangi Badai Semalam sememangnya berjaya.

Katanya lagi, selepas teater Natrah yang mendapat sambutan luar biasa apabila dipentaskan selama dua musim (2009 dan 2010), IB mahu terus menyemarakkan industri teater tempatan.

"Apabila hasrat IB untuk mementaskan Salina tidak kesampaian, tiada naskhah lain yang berada di fikiran saya melainkan Badai Semalam.

"Lalu, saya menyuarakan keinginan itu kepada Khadijah dan ternyata beliau dengan penuh rela hati memberikan 'lampu hijau'.

"Memang dari awal lagi pun, saya sudah membayangkan pelakon yang akan membawakan karakter-karakter utama dalam teater ini. Ternyata ia membuahkan hasil dan saya mengharapkan Badai Semalam akan terus mendapat sambutan sehingga ke hari terakhir," jelasnya dalam nada yang cukup optimis.

Mohamed Juhari berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara IB dengan Kumpulan Utusan, Sinar FM dan Frensis Sdn. Bhd. di IB, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Kumpulan Utusan diwakili oleh Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak manakala Sinar FM oleh pengurusnya, Rostam Said dan Erra selaku Pengarah Urusan Frensis.

Untuk ke sekian kalinya, Kumpulan Utusan dipilih sebagai rakan media rasmi Badai Semalam yang akan membantu mempromosikan teater tersebut menerusi iklan dan penulisan artikel.

Turut hadir pemilik karya Badai Semalam, Khadijah Hashim dan pengarah teater berkenaan, Khairunazwan Rodzy.

Mohamed Juhari turut menambah, pihaknya juga telah mengatur strategi baru dari segi penjualan tiket bagi memastikan tiada peminat dan penonton yang berasa kecewa kelak.

"Untuk pertama kalinya, IB akan 'membekukan' penjualan tiket bagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana mahu memberi peluang kepada peminat dari negeri lain yang barangkali mahu datang menonton nanti.

"Apa yang kami lakukan ini berdasarkan pengalaman menerusi Natrah sebelum ini yang mendapat sambutan dari kalangan penonton luar Kuala Lumpur yang datang pada hujung minggu," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Juhari atau lebih mesra disapa sebagai Abang Joe di kalangan pihak media dan orang industri turut mengkhabarkan berita gembira tentang Badai Semalam.

Jelasnya, walaupun belum dipentaskan lagi, ia sudah pun menarik perhatian pihak Esplanade Theatre, Singapura untuk mementaskan naskhah itu di pentas bertaraf dunia tersebut tahun hadapan.

"Ini merupakan sesuatu yang sangat positif kerana buat pertama kalinya, produksi terbitan IB dijemput ke luar negara dan mementaskan teater kami di sana.

"Sebelum ini, teater muzikal Impak Maksima yang merupakan kerjasama IB dengan Excellent Pictures dan Global Network Entertainment pernah dipentaskan di sana.

"Sememangnya saya mengharapkan pelakon asal teater ini akan dapat beraksi di sana. Kita tunggu dan lihat sahaja bagaimana perkembangannya nanti," katanya penuh harapan.

Sementara itu, Mohamed Juhari turut ditanya tentang pemilihan Khairunazwan Rodzy sebagai pengarah teater berkenaan.

Walaupun nama Khairunazwan tidak popular seperti pengarah lain, Mohamed Juhari percaya dengan kemampuan graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu.

Jelasnya lagi, sudah tiba masanya IB memberi laluan kepada pengarah baru untuk mempamerkan bakat yang ada dalam diri mereka.

"Seperti mana peluang yang telah diberikan kepada graduan Aswara lain seperti Adlin Aman Ramli, Norzizi Zulkifli, Zaifri Husin dan Rosdeen Suboh, saya percaya Khairunazwan mampu memberikan yang terbaik untuk Badai Semalam," ujarnya bersungguh.

Frensis bukti persahabatan

DALAM majlis itu juga, pihak media 'dikejutkan' dengan kemunculan syarikat Frensis yang merupakan rakan kongsi IB dalam menerbitkan Badai Semalam.

Rupa-rupanya dalam diam, tiga sahabat iaitu Erra, Umie dan Ziela telah menubuhkan Frensis sejak awal tahun ini.

Kata Erra selaku pengarah urusannya, idea itu tercetus sudah lama sejak mereka bertiga mula menjalinkan persahabatan.

Cuma, waktu sahaja yang tidak mengizinkan dan apabila mereka terlibat dalam Badai Semalam, ia adalah masa yang paling sesuai untuk bekerjasama.

"Memang kami ada perancangan untuk menerbitkan drama televisyen dan filem tetapi kami fikir lebih baik kami cuba dengan teater dulu.

"Menjadi penerbit bukan mudah kerana kami juga perlu menjalankan tanggungjawab dengan mencari penaja," kata Erra yang akan menumpukan sepenuh perhatian dan fokus kepada latihan demi memastikan watak Mazni meninggalkan impak kepada penonton.

Tiket-tiket berharga dari RM30 hingga RM300 untuk menyaksikan Badai Semalam, kini sudah pun mula dijual. Potongan harga sebanyak 20 peratus diberikan kepada golongan kurang upaya, warga emas dan pelajar.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan tiket teater yang turut dibintangi Emelda Rosmila dan Iqbal Taufik itu, bolehlah mendapatkannya dengan melayari laman web, www.ticket2u.biz atau hubungi talian, 03-4147 8600.

Full content generated by Get Full RSS.

Konsert Search sempena 30 tahun dalam industri

Posted:

Konsert Search sempena 30 tahun dalam industri

Konsert Search sempena 30 tahun dalam industri

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
aida.kamaruddin@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


(Dari kiri) Jerome Lee bersama Yazid, Amy dan Nasir pada sidang akhbar mengumumkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KEJAYAAN mereka sentiasa menjadi inspirasi kepada penggiat seni di negara ini. Bertahan sehingga 30 tahun lamanya, ini merupakan petunjuk jelas akan kehebatan mereka dalam arena muzik tanah air.

Justeru bagi meraikan ulang tahun kumpulan rock paling berpengaruh ini di pentas hiburan, mereka bakal mengadakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search pada 19 November, 3 dan 17 Disember ini di tiga lokasi berlainan.

Konsert tersebut yang berkonsepkan siri jelajah Search memilih Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor dan Petaling Jaya, Selangor untuk bertemu para peminat mereka.

Menurut vokalis utama kumpulan ini, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, penganjuran konsert itu adalah untuk menghargai para peminat yang setia menyokong mereka selama tiga dekad.

"Tempoh 30 tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Kami percaya tanpa sokongan padu dari peminat, tidak mungkin Search dapat bertahan sehingga hari ini.

"Maka itulah, penganjuran siri jelajah konsert ini dilihat bakal menghimpunkan semula peminat Search dari awal penubuhan kumpulan kami ini sehingga ke generasi kini," katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan penganjuran Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Annex Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Amy berkata, persembahan Search di tiga lokasi berlainan kelak diharap dapat melepaskan rindu para peminat yang menunggu untuk melihat aksi mereka di pentas.

Sementara itu, pemain gitar bass Search, Nasir Daud menganggap, pemilihan perkataan Fenomena sebagai nama untuk konsert kali ini berkait rapat dengan peristiwa yang berlaku semasa pembikinan album keempat mereka.

"Album Fenomena merupakan album yang memuatkan lagu Isabella dan lagu ini banyak menghidupkan Search.

"Selain itu, semasa rakaman album itu sedang berlangsung, Search tersepit dalam konflik bersama dengan syarikat rakaman Polygram.

"Insiden tersebut merupakan pengalaman yang membuatkan perkataan fenomena begitu sinonim dengan kami," katanya memberi penjelasan mengapa konsert Search kali ini dinamakan sebegitu.

Menyedari konsert mereka bakal menguji kemampuan dan ketahanan mereka ketika beraksi di pentas kelak, Nasir memberitahu, mereka kini gigih menjalani latihan.

"Kita semua perlukan stamina untuk menyajikan satu persembahan yang bertenaga. Maklumlah, konsert kali ini bukan one off sebaliknya ada tiga lokasi.

"Oleh itu, sejak beberapa bulan lalu, kami sudah mula menjalani latihan dan melakukan senaman," ujarnya.

Enggan memberikan persembahan yang klise, Konsert Fenomena 30 Tahun Search tidak akan menyampaikan lagu-lagu secara medley.

"Dalam persembahan, kita perlu berikan kelainan. Kelainan yang akan dibawa kali ini, kami semua bersetuju untuk menyampaikan lagu-lagu kami secara penuh. Tidak ada yang dimedleykan.

"Kami berpendapat, untuk konsert kali ini, kami mahu peminat puas menghayati lagu-lagu Search sepanjang dua jam persembahan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Oracle, Jerome Lee berkata, selaku penganjur konsert, pihaknya mahu memastikan peminat yang hadir untuk menyaksikan Konsert Fenomena 30 Tahun Search merasai suasana berada di sebuah festival muzik rock.

Beliau berkata, untuk membangkitkan suasana tersebut, pihaknya menyediakan sistem bunyi bertaraf antarabangsa.

"Apabila kita mementingkan kualiti bunyi sewaktu persembahan, Yamaguchi yang pernah terlibat dengan konsert Black Eye Peas akan bertindak sebagai jurutera bunyi bagi ini.

"Perkara ini amat penting kerana Search bukanlah satu nama kecil dan jumlah peminat setia mereka juga ramai," katanya.

Konsert Fenomena 30 Tahun Search akan bermula pada 19 November ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Diikuti di Stadium Yunos, Larkin, Johor Bahru, Johor pada 3 Disember dan penutup siri jelajah Konsert Fenomena 30 tahun Search, 17 Disember di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor.

Tiket-tiket boleh didapati di semua cawangan Petronas terpilih serta wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my.

Full content generated by Get Full RSS.