Adsense

Jumaat, 28 Oktober 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tidak pernah ada teman lelaki

Posted:

Tidak pernah ada teman lelaki

Tidak pernah ada teman lelaki

SATU perubahan cukup bermakna untuk status kesopanan. Dari perubahan itulah nanti akan terus wujud keunggulan garis kredibiliti dan arca paradigma. Bukan mudah mencari sisi sebenar dari dalam diri.

Namun bagi figura berbakat besar dalam dunia lakonan, Diana Amir, 25, sinar hijrah yang dilaluinya lebih sebulan lalu semakin dirasakan sebati dalam aliran arteri darahnya.

"Saya tidak mahu buat benda separuh jalan, kalau kita tak kuat mungkin boleh tergelincir," tutur itu yang berbuah di mulut anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Nama yang meniti di bibir penonton sejak kemunculan di kaca televisyen melalui Impian 2, Antaranya Impian, Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang ini memperlihatkan diri asalnya yang berpakaian kasual, rambut beralun gemalai berserta karakter serba moden.

Namun, pilihan tekad dirinya untuk bertudung dilihat oleh pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim ini bukan mengecilkan skop kerjaya lakonannya.

Bagi Diana, kualiti lakonan seseorang pelakon tidak bergantung kepada penampilan.

"Saya tidak menyesal dengan apa yang telah saya pilih, kita perlu terus melihat ke depan.

"Dari segi karakter atau watak dalam sesebuah filem atau drama, saya tidak melihat penampilan terkini penghalang untuk saya memberikan hasil yang terbaik.

"Malah, ia satu cabaran buat saya mengembangkan sesebuah watak yang diberi dan lakonan juga sebahagian daripada dakwah saya kepada penonton," ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran dan doa selamat tiga filem serentak iaitu Assalamulaikum Cinta, Laki-Laki dan Aji Noh Motor di Wisma MIG, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sudah selesa dengan imej terkini yang diraihnya, bagi gadis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu, ada tekad yang disemai dalam jiwa.

"Kita berhijab bukan di kepala saja, tapi di hati. Kalau kita ikhlas, apa-apa dugaan kita boleh tempuhi asalkan kita menjaga hati.

"Menyesal sebelum bertudung itu ada, tapi kita kena teruskan hidup, filem-filem lama (yang ditandatangani kontrak sebelum bertudung) masih sokong (kerjaya lakonan) saya," luahnya.

Memandangkan perubahan yang telah dipilih katanya, pengarah sendiri sudah tahu akan karakter dan kesesuaian watak sebelum memanggilnya berlakon.

"Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih lagi sama seperti dulu cuma jenis watak yang ditawarkan lebih bersesuaian dengan siapa diri saya sekarang

"Pengarah akan faham, tak perlu cakap apa-apa sebab mereka tahu perubahan diri saya ini," singkap Diana.

Sokongan

Keputusan Diana bertudung katanya lahir daripada hati kecilnya yang mendambakan untuk lebih dekat dengan Maha Pencipta, selain itu hasratnya sedikit sebanyak dipengaruhi dan disokong oleh insan sekeliling.

"Ayah dan ibu suruh pakai tudung, kawan-kawan dan peminat menerusi Twitter dan Facebook pun banyak bagi maklum balas dan syukur Alhamdulillah mereka sokong apa yang saya lakukan dan saya yakin mereka mahukan yang terbaik," katanya.


DIANA menegaskan tidak pernah menyesal kerana bertudung, tetapi mengakui menyesal ketika dirinya tidak bertudung sebelum ini.


Dalam pada itu, sokongan oleh rakan artis terutamanya Wardina dan Irma Hasmie tetap tidak putus-putus.

"Mereka (Wardina dan Irma) sangat banyak membantu saya mencari diri saya sebenar, kadang-kadang kami ke usrah, kuliah agama dan sejujurnya mereka lebih faham apa yang kami lalui," ceritanya menyelak lapisan kehidupan satu demi satu.

Kriteria teman hidup

Diana bagaimanapun menegaskan dirinya masih solo ketika ditebak persoalan mengenai teman hidupnya.

Tambahnya, dia sebelum bertudung pun dia sememangnya belum mempunyai teman lelaki apatah lagi sekarang ini selepas dia mengambil keputusan untuk lebih memberikan fokus terhadap kerjaya lakonannnya.

"Tak bertudung pun tak ada teman lelaki istimewa, inikan pula sekarang.

"Pastinya itu (teman lelaki) bukan matlamat saya sekarang, tapi saya tengah mencari sasaran saya sendiri dalam hidup dan kerjaya.

"Seelok-eloknya biar saya stabilkan kewangan saya dulu," bicara si cantik manis itu lagi.

Namun, jika dibuka sedikit ruang dalam lubuk hatinya, Diana tidak menolak sekiranya ada cinta yang bertemu di kalbu.

"Kalau boleh, lelaki itu boleh membimbing saya, menjaga saya betul-betul dan menghormati keluarga saya terutama ibu bapa saya.

"Saya harapkan sebuah keluarga yang bahagia atas nama kasih sayang terhadap Allah," pintasnya yang tidak mengharapkan wajah sebaliknya kembali ke fitrah semula jadi penciptaan Adam dan Hawa.

Ditebak juga soalan nakal, apa perancangannya sepuluh tahun lagi ketika berusia 35 tahun, jawab Diana: "Ada keluarga sendiri, sudah ada anak dan waktu itu lebih baik daripada sekarang dari segi rohani, famili, duniawi dan akhirat."


FIGURA jelita ini berusaha keras untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Bisnes fesyen muslimah

Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Biar usia baru menjengah ke angka 25, Diana sudah mempunyai pelan bisnesnya sendiri.

"Saya rancang nak buka perniagaan pakaian sendiri awal tahun depan, tapi cuma melalui online (dalam talian)," getus pelakon drama Aloy dan Lu'Lu ini.

Menamakan bisnesnya 'dam.c', Diana menerangkan lebih lanjut makna di sebalik jenama pakaian muslimahnya itu.

"Diana Amir Collection atau dam.c adalah busana muslimah rekaan Anizam Yusof, signifikan saya memilihnya kerana saya selesa bekerjasama dengannya.

"Malah, saya selalu menggayakan pakaian rekaan Anizam, rekaan dia simple, kemas dan bersesuaian dengan fesyen muslimah yang saya inginkan," katanya yang tidak tergesa-gesa dengan perancangan yang mahu dibikinnya itu.

Itu cerita pencarian sisi sebenar seorang Diana Amir, kisah dia yang melalui evolusi setapak demi setapak. Biar berubah sisi pandangan mata kasar, di sebalik hijabnya hanya jauhari yang mengenal manikam.

Full content generated by Get Full RSS.

Dinosaur Spielberg di layar kaca

Posted:

Dinosaur Spielberg di layar kaca

Dinosaur Spielberg di layar kaca


KOS Terra Nova yang mencecah RM219 juta mencipta sejarah sebagai produksi drama termahal pernah dihasilkan dalam industri televisyen global.


SELEPAS mengejutkan pawagam seluruh dunia dengan filem pecah panggung tentang dinosaur, Jurassic Park pada tahun 1993, sebelum disusuli sekuelnya, The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III, penerbit dan pengarah tersohor Hollywood, Steven Spielberg kini kembali muncul dengan produksi dinosaur.

Dikenali dengan judul Terra Nova, naskhah kali ini dihasilkan khusus untuk tayangan di layar kaca.

Jika untuk Jurassic Park dan The Lost World: Jurassic Park, Spielberg bertindak sebagai pengarah, namun untuk Terra Nova seperti mana juga untuk Jurassic Park III, dia kini lebih selesa bertindak sebagai penerbit bersama.

"Mencipta sejarah drama bersiri termahal pernah dihasilkan dalam industri TV global, kos keseluruhan Terra Nova yang merupakan produksi eksklusif Fox International Channels mencecah AS$70 juta (RM219 juta) dengan episod pertama sahaja menelan kos sebanyak RM63 juta!," ujar pegawai perhubungan media Arc PR selaku wakil Fox International Channels, Benjamin Tok.

Tambahnya, Terra Nova mengisahkan era pada tahun 2149, yang mana planet bumi ketika itu tidak lagi dapat menampung populasi manusia yang berlebihan, tumbuhan yang boleh dijadikan makanan berkurangan selain kualiti udara menjadi semakin buruk menyebabkan kehidupan manusia diancam kepupusan.

"Namun, di Chicago para saintis menemui 'terowong masa' yang membolehkan manusia mengembara 85 juta tahun ke belakang iaitu ke zaman prasejarah bumi yang mana ketika itu dunia dikuasai para dinosaur.

"Jim Shannon, isterinya, Elisabeth dan tiga orang anak mereka, Josh, Maddy, and Zoe menyertai kumpulan pertama manusia yang terpilih untuk memulakan hidup baharu di 'dunia baharu' untuk masa depan manusia yang digelar sebagai Terra Nova itu," katanya.


JASON O'MARA (kanan) dan Stephen Lang merupakan dua teraju utama Terra Nova.


Menampilkan aktor Jason O'Mara untuk karakter Jim Shannon, barisan pelakon Terra Nova diperkuatkan oleh tenaga lakonan Stephen Lang (sebagai Komander Nathanial Taylor), Shelley Conn, Naomi Scott, Alana Mansour, Christine Adams dan Allison Miller.

Ujar Benjamin lagi, apa yang menarik khusus buat penonton di Malaysia, Terra Nova bakal disiarkan dalam dua bahasa audio iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

"Lima pelakon tersohor tanah air turut terpilih bagi meminjam suara untuk versi bahasa Malaysia iaitu Rosyam Noor (untuk karakter Komender Nathanial Tyalor), Aaron Aziz (Jim Shannon), Vanidah Imran (Elisabeth Shannon), Sharifah Amani (Maddy Shannon) dan Zahiril Adzim (Josh Shannon)," katanya.

Drama 13 episod yang sudahpun memulakan tayangannya di Amerika Syarikat pada 26 September lepas itu dan bakal memulakan tayangannya dengan dua episod terus menerus secara eksklusif menerusi Astro serentak di dua saluran iaitu Fox (710) dan Star World (711) pada pukul 8.55 malam menjelang esok, Sabtu, 29 Oktober ini.

Sementara episod baharu pada minggu-mingu seterusnya akan ditayangkan setiap Jumaat pada pukul 8.55 malam hanya di saluran Fox (710).

Full content generated by Get Full RSS.

Cerita budak sekolah

Posted:

Cerita budak sekolah

Cerita budak sekolah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


MENAMPILKAN barisan pelakon muda dan baharu untuk karakter-karakter utama, filem Apa Tengok-Tengok? cuba menyingkap kisah realiti para pelajar di alam persekolahan.


MELIHAT kepada pembikinan filem-filem tempatan, boleh dikatakan tidak banyak kisah yang memaparkan tentang kehidupan pelajar sekolah yang diangkat ke layar perak.

Pada masa ini, kebanyakan penerbit dilihat lebih selesa menghasilkan filem yang bercorak seram dan cinta memandangkan filem-filem sebegitu mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

Bagaimanapun, syarikat Venture Hills Film Production Sdn. Bhd. telah mengambil langkah untuk menerbitkan filem aksi komedi muzikal berjudul Apa Tengok Tengok? yang memaparkan tentang pergelutan dua kumpulan pelajar sekolah yang cuba mencari jati diri dalam kehidupan.

Sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Oktober lalu, syarikat berkenaan turut mengambil langkah berani dengan mengambil pelakon-pelakon baharu untuk menjadi tunjang utama.

Antara pelakon yang membintangi filem tersebut seperti Iqbal Mazlan, Chomatt Samad, Grace, Aaron Roa, Pratip Baskaran. Bagaimanapun, ia turut diperkuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hasan, Zulkifli Ismail Sathiya, Kuswadinata, Mahyon Ismail dan Datuk David Arumugam.

Namun begitu, sebaik sahaja tamat prebiu filem berkenaan yang diadakan baru-baru ini, persoalan pertama yang dibangkitkan adalah mengenai pemilihan Apa Tengok Tengok? sebagai judul filem itu.

Pengarahnya, Roy Krishnan ketika ditemui berkata, apa yang cuba dipaparkan dalam filem berkenaan adalah kisah yang sememangnya berlaku dan dilalui oleh pelajar sekolah.

"Biasanya kalau kita perhatikan dua kumpulan pelajar sekolah yang bermusuhan bertemu atau bertentang mata, tentunya perkataan pertama yang akan keluar dari mulut mereka adalah 'apa tengok tengok?'.

"Sebenarnya itu adalah antara ayat yang sering digunakan oleh mereka dan setelah perbincangan dilakukan bersama penerbit, akhirnya kami bersetuju untuk menggunakan ayat berkenaan sebagai judul filem ini," ujarnya lagi.

Apa Tengok Tengok? mengisahkan mengenai seorang pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Impian Emas, Johor Bahru yang berusaha untuk membentuk sikap dan perangai lapan orang pelajar tingkatan lima yang mempunyai masalah disiplin.

Lapan pelajar itu yang masing-masing membentuk sebagai dua kumpulan diketuai oleh Shariff Khan yang merupakan anak golongan sederhana dan satu lagi kumpulan pula diketuai oleh Ahmad Daniel, anak orang berada.

Penerbit Venture Hills Film Production, Susan Goh pula memberitahu bahawa pihaknya memang ingin menghasilkan sebuah filem yang dapat memberi kesedaran dan pengajaran kepada pelajar sekolah.

Menurutnya, gejala-gejala sosial seperti ponteng sekolah, pergaduhan, penculikan dan menggunakan pelajar untuk mengedar dadah adalah antara realiti yang berlaku sekarang dan itulah yang cuba dipaparkan dalam filem tersebut.

"Filem ini memaparkan isu masalah disiplin pelajar di sekolah yang sering menggusarkan banyak pihak. Sebagai penggiat filem, kami cuba membantu masalah ini dengan cara tersendiri iaitu melalui filem sebegini.

"Walaupun kami menyedari golongan remaja dilihat kurang menggemari filem-filem yang cuba memberi pengajaran kepada mereka, namun kami tetap berharap filem ini akan meninggalkan kesan di hati penonton," jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Chomatt Samad yang membawakan watak Shariff Khan memberitahu dia sangat berpuas hati dengan lakonannya dalam filem tersebut.

Ujarnya, meskipun dibarisi dengan pelakon-pelakon baharu untuk memegang watak utama, namun pengarah telah memberikan kebebasan kepada mereka untuk membawakan setiap watak dengan cara tersendiri.

"Untuk mencari keserasian dengan pelakon lain tidaklah terlalu sukar dan pada yang sama pengarah juga telah membantu serba sedikit seperti memberi tunjuk ajar tentang aspek lakonan yang lebih berkesan kepada kami," jelasnya.

Pelakon Iqbal Mazlan pula menganggap berlakon dalam Apa Tengok Tengok? memberikan banyak pengalaman yang cukup menarik terutamanya sepanjang penggambaran berlangsung.

"Selain tunjuk ajar yang diberikan oleh pengarah, kami semua akan duduk berbincang dan melontarkan idea masing-masing. Walaupun agak penat, namun saya rasa sangat berbaloi dan filem ini memang perlu ditonton terutamanya pelajar sekolah," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.