Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Miera cari nilai eksklusifADA sisi maskulin terpancar daripada lincah tingkahnya. Sesekali sifat keanak-anakannya muncul, itu mengiakan hayat dan fizikalnya yang baru menginjak usia 18 tahun pada 28 Ogos lalu. Sebagai pembuka kalimah, tiba sahaja ke sesi fotografi di Studio Utusan kelmarin, dia membawa cerita trauma. "Tengoklah gambar kereta saya ini. Remuk terlanggar kereta bapa sendiri. Walaupun berasap-asap, nasib baiklah saya dan adik saya yang berada dalam kereta yang saya pandu, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang hanya mengalami sakit-sakit leher akibat kemalangan jalan raya sewaktu hendak ke lokasi penggambaran babak terakhir drama lakonannya, Cendana, pada Rabu lalu. Mujur juga dia tidak mendapat kecederaan, jika tidak, pasti kekasih Shahz Jaszle itu menjadi penghias ruangan Portfolio minggu ini.
Dihambat kontroversi Dia Miera Liyana, wanita muda yang memamah satu-persatu cerita sensasi yang mendadak datang. Bermula dengan kisah terpacul 'perhiasan' kewanitaannya di khalayak umum gara-gara salah percaturan mengenakan gaun yang terlampau seksi, senggang beberapa bulan kemudian, Miera terjebak pula episod tidak bermoral apabila dikatakan mabuk di sebuah pusat hiburan. Meredakan kontroversi dengan berkampung di lokasi penggambaran, tiba-tiba namanya kembali menjadi panas apabila si bintang Asmara, Shahz Jaszle mengakui bahawa mereka sedang menganyam cinta. Membuka selembar lagi sisi peribadi Miera, dia dituduh curang kerana mempermain-mainkan cinta si pelakon Lash Mokhtar yang pernah intim dengannya. "Saya tahu, lepas Shahz buat pengakuan depan media bahawa kami sedang bercinta, ramai orang akan fikir macam-macam, kata saya perampas kekasih orang dan tukar teman lelaki sesuka hati. "Tapi semua itu sudah dijelaskan. Saya pun sudah penat dengan kontroversi yang bukan sengaja saya cari. Bila Shahz mengaku tentang hubungan kami, saya pun terkejut tapi fikir-fikir, kalau nak sorok pun orang tetap akan buat gosip, lebih baik kami bersikap terbuka," getus bintang Apokalips itu bersuluh dalam terang. Mengulang kenyataan terdahulu, benar sekali wanita muda itu sedang dilamun cinta. Sepanjang perbualan, beberapa kali nama si jantung hati terpacul dari bibirnya. Kebetulan, mereka merancang untuk sama-sama bergerak ke lokasi fotografi kedua pada hari berkenaan. Baru muncul dengan kenyataan mahu segera disatukan, sengaja hatinya diduga. Sanggupkah dia melepaskan zaman mudanya jika Shahz menyuntingnya sebagai suri. "Mulanya ia semacam cinta lokasi. Saya kenal sangat Shahz itu, tapi saya pun macam gadis remaja lain juga nak rasa indahnya bercinta. Sejauh mana hubungan ini akan berterusan kami tidak tahu. Cakap-cakap dan rancang kalau boleh nak kahwin itu memang ada, sebab saya jenis yang suka merancang, kalau ada jodoh, ada.
Saya tahu, tak semua cinta akan berakhir dengan perkahwinan. Kami pun masih muda, inilah masa untuk kukuhkan dan stabilkan nama dalam bidang lakonan dulu," berbunyi mudah hipotesis Miera tentang hubungannya. Menutup soal kontroversi, akui Miera, baik atau buruk kontroversi yang terjadi, dia percaya kontroversi tetap satu publisiti yang baik untuk dirinya. "Sejak tiga tahun berlakon, sudah enam drama saya bintangi bawah arahan pengarah popular, Aziz M. Osman. Tapi hanya lepas kena hentam teruk dengan kontroversi yang memalukan diri, barulah orang mula kenal saya. "Mulanya saya rasa macam kena kejutan budaya. Tapi sekarang, saya fikir kontroversi akan datang dan pergi. Artis-artis terdahulu pun terpaksa lalui macam-macam kontroversi. Cuma untuk bertahan lama dalam industri, ia bergantung kepada cara seseorang artis itu menanganinya. "Saya tak mahu dicop sebagai muka kontroversi semata-mata, saya nak buktikan bakat saya, sebenarnya saya rela dikeji jika berlakon macam kayu daripada orang keji kerana perangai," katanya jujur. Tidak sabar menunggu projek-projek besar lakonannya. Kata Miera, antaranya Psikik sebuah drama yang menuntut satu lakonan sangat mencabar. Membawakan watak Sukma yang tersedar selepas 10 tahun koma ternyata menuntut imaginasi yang luar dari batas akalnya. Dapat kepercayaan nama besar Memiliki keluarga yang teguh kewangan sebagai benteng pertahanan, dalam hati cinta membunga bahkan lapangan seni yang diceburi semakin bersemi berbaja tawaran yang bertali-arus, Miera sedang mengecapi apa yang didambakan oleh gadis-gadis seusianya. Dia sedang galak melewati hari-hari yang indah tanpa perlu terlalu serius memikirkan masalah.
"Syukur sebab keluarga sangat menyokong karier saya. Dalam hati memang nak sambung belajar tapi bila tengah ada peluang berlakon saya jadi seronok semakin berminat untuk mendalami bidang lakonan. Apatah lagi bila dapat peluang bekerja dengan nama-nama besar," katanya yang mendapat kepercayaan berlakon bawah arahan Mamat Khalid untuk filem Rentaz dan Apokalips serta Ahmad Idham (Jangan Pandang-Pandang). Mengagumi Cameron Diaz sebagai bintang pujaan, Miera berlakon sebagai anak kepada Deanna Yusoff dalam drama Cendana itu menambah: "Dalam soal lakonan, saya mahu mencari ruang eksklusif untuk saya simpan, untuk saya pegang sehingga sampai ketika yang benar-benar sesuai untuk ditonjolkan. "Saya mahu jadikan kejayaan aktres-aktres tersohor seperti Maya Karin, Nasha Aziz, Erra Fazira serta Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai teladan. Mereka selalu beri kejutan dalam karya, dan orang selalu mahu tahu tentang mereka, saya mahu jadi seperti mereka." Ada impian bersarang di hati, ada visi untuk tidak sekadar menjadi pelakon sepanjang usia, Miera yang menguruskan perniagaan bersama ibunya, meluahkan hasrat untuk bergelar penerbit filem suatu hari nanti. Itu ceritanya, cita-cita seorang pelakon muda yang mengakui dirinya ikhlas 'memberi' dalam setiap kerja yang diberi. Full content generated by Get Full RSS. | ||||||
Posted: Anak seni boikot AIM18BARISAN penganjur serta sebahagian karyawan muzik yang akan memastikan kemuncak AIM18 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 12 November berlangsung penuh prestij. BUKAN tidak pernah dikritik tetapi Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) pada tahun ini barangkali berdepan kecaman dan cabaran yang paling hebat. Ia seiring dengan cabaran penjualan bahan muzik yang jatuh merudum gara-gara trend penjualan muzik secara digital yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia. Sejak pengumuman jumlah kategori yang dipertandingkan sehinggalah kepada pemberitahuan senarai pencalonan, episod sidang media AIM18 tidak pernah tenang sebaliknya berakhir dengan emosi tegang. Ada sahaja isu yang tidak dapat dileraikan. Menjelang malam kemuncak AIM18 yang dijadualkan pada 12 November nanti, bahang kepanasan AIM18 belum bersisa. Belum selesai kaedah penjurian dan pencalonan yang dipertikaikan sesetengah karyawan, isu boikot-memboikot kini mengisi dewan sidang akhbar. Biarpun tiada sepanduk atau demonstrasi, ombak gerakan memboikot AIM18 dikatakan berlaku secara senyap melibatkan individu dan pihak yang tidak puas hati terhadap penganjuran AIM tahun ini. Resolusi boikot termasuk tidak mahu memberikan sokongan kepada sebarang aktiviti promosi atau terlibat pada malam kemuncak nanti. "Saya ada terdengar tentang boikot ini. Siapa yang boikot itu, rasanya kami tahu, tetapi tidak perlulah ia diperbesarkan. Memang susah untuk memuaskan hati semua pihak lagipun tahun ini banyak perubahan besar yang dilakukan. AIM18 juga kali pertama dikendalikan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM). "Sekarang, kami tidak boleh hentikan soal orang tidak puas hati, mungkin selepas penganjuran AIM nanti baru boleh kita perbaiki semula kelemahan tahun ini. Bagaimanapun, saya harap isu boikot ini sekadar satu khabar angin," jelas Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM18, Andrian Lim yang ditemui pada majlis pengumuman barisan penyampai dan persembahan artis AIM18 di ibu negara. Menambah kenyataan daripada Adrian, Rosmin Hashim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM18 menjelaskan, tiada sebab kenapa orang dalam industri harus memboikot majlis berkenaan kerana jelas penganjurannya sendiri bermotif untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada karyawan muzik tempatan. "Saya faham hasil penjurian AIM18 tidak memuaskan hati semua pihak, tapi ia dilakukan oleh juri profesional yang dilantik. "Selepas malam kemuncak nanti, mungkin pada pertengahan November, kami akan adakan satu sesi bedah siasat antara jawatankuasa penganjur, karyawan dan media. Di situ nanti, saya harap semua aspek penganjuran AIM18 akan dibincangkan. Saya alu-alukan pandangan semua pihak untuk memperbaiki segala kekurangan AIM18," kata Rosmin.
Memandangkan aspek penjurian paling banyak dipersoalkan ketelusannya, kemungkinan pihak RIM akan menimbangkan kewajaran mengambil komposer atau pemuzik profesional dari luar sebagai jalan penyelesaian AIM. "Anugerah ini untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan tempatan, objektif itu jelas, jadi ia juga harus dinilai oleh karyawan tempatan sendiri, jadi kemasukan komposer import sebagai juri pada AIM akan datang tidak akan berlaku," tegas Rosmin yang melihat segala kritikan terhadap AIM18 satu aliran yang positif. "Itu tandanya kecintaan orang kita terhadap industri muzik sangat menebal. Saya lihat kritikan itu sebagai satu perkara yang positif. Kami harap usaha ke arah memperbaiki AIM khususnya dalam aspek penjurian pada November nanti akan dapat dilakukan," katanya. Mengambil tempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, kemuncak AIM18 pada 12 November nanti memilih Persada Bergermelapan dan Glamor sebagai tema malam anugerah. Selain para artis yang bertanding dalam 18 kategori anugerah, seramai 20 artis termasuk Datuk M. Nasir, Nora, Sarimah Ibrahim, Iwan, Remy Ishak, Neelofa, Siti Saleha, Ziana Zain, kumpulan Search serta ramai lagi diundang sebagai penyampai trofi. Acara yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria itu juga memperkenalkan AC Mizal dan Zizan Raja Lawak sebagai pengacara majlis. Ia akan digegarkan dengan persembahan daripada Ella, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Ning Baizura, Mawi, Exist, Azlan and The Typewriter, Meet Uncle Hussein featuring Hazama, 6ixth Sense, Yuna, Stacy serta ramai lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||||||
Anzalna gagal jadi guru tadika Posted: Anzalna gagal jadi guru tadika
PUCUK muda, Anzalna Nasir, 23, semakin mekar menjadi bunga baru penyeri pentas hiburan. Hadir dengan pakej secukup rasa, namanya deras memasuki dunia hiburan tempatan. Bertapak melalui Dewi Remaja 2010/2011, kerja peragaan menjadi pengisi karier sebelum dia disambar penerbit drama dan filem. Terlihat wajahnya dalam beberapa drama seperti Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu, terbaru, Anzalna, akhirnya bergelar bintang filem apabila diberi watak heroin dalam filem sulungnya, Sepah The Movie. Baru menjejakkan kaki pada hari pertama penggambaran Sepah The Movie di Johor Bahru pada Khamis lalu, anak kedua daripada lima beradik itu berusaha mengenepikan rasa gentar. "Saya rasa pengarah filem Sepah The Movie, Roslin seorang yang serius dengan tugasnya. Tengok muka dia pun saya sudah rasa gerun tapi bila sesekali tengok dia senyum, saya cuba tenangkan hati. Saya langsung tiada pengalaman berlakon depan kamera filem. Mujurlah babak saya tidak terlalu banyak," katanya yang membawa watak Ayu Sofea dalam filem yang dibintangi Shuib, Jep dan Mamat itu. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |