Adsense

Ahad, 30 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Taikun masih tak jumpa calon heroin

Posted: 25 Sep 2011 05:52 AM PDT

KEJAYAAN filem Ngangkung arahan Ismail Bob Hasim mencatat kutipan melebihi RM8.5 juta ketika ditayangkan November tahun lalu membuatkan produser Metrowealth Pictures (MIG), David Teo terus menaruh kepercayaan kepadanya mengarahkan filem terbaru, Taikun.

Filem ke-65 terbitan produksi itu bergenre aksi komedi menampilkan gandingan pelawak, pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Muhammad Nizamudin Ahmad atau Along Cham dan Iskandarshah Hashim (Angah) sebagai teraju utama.

David berkata, dia menaruh kepercayaan dan kredibiliti pengarah berkenaan
berdasarkan reputasi yang dimilikinya.

Malah Bob bukan hanya membuktikan kemampuan dalam pengarahan malah mampu menghasilkan pelbagai genre filem.

"Saya yakin kemampuan Ismail Bob Hasim bukan sekadar filem komedi selain elemen aksi dan seram yang menjadi kekuatannya mampu mengikut jejak langkah kejayaan filem MIG sebelum ini.

"Selepas melihat filem aksi komedi terbitan MIG, Bini-Biniku Gangster yang mula ditayangkan sejak 22 September lalu. Saya yakin filem ini mampu diterima peminat apabila ditayangkan nanti," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem itu, baru-baru ini.

Bagaikan menjadi trend apabila pelakon utama wanita atau heroin untuk filem kebelakangan ini tidak lagi menjadi keutamaan apabila watak mereka diwujudkan hanya sebagai penyeri layar perak.

Malah ketika majlis sidang media memperkenalkan pelakon dan pelancaran memulakan penggambaran filem berkenaan di pejabat MIG baru-baru ini, David mengakui masih mencari calon sesuai membawa watak heroin dalam filem itu.

"Memang kami sudah mempunyai beberapa nama dalam senarai pendek termasuk yang menghadiri uji bakat secara terbuka namun kami masih mempertimbangkan calon sesuai.

"Kami mencari heroin yang mampu melaksanakan tanggungjawab berat menerusi filem ini. Heroin berkenaan bukan saja perlu mempunyai susuk tubuh menarik atau seksi malah mampu melakukan babak aksi.

"Tidak kira pelakon yang sudah dikenali atau pelakon baru. Jika kami berasa dia calon sesuai dan mampu melaksanakan tanggungjawab itu sudah pasti di layak memegang peranan itu.

"Kemungkinan besar calon heroin akan dimaklumkan beberapa hari lagi. Walaupun penggambaran filem ini bermula 24 September. Namun untuk babak membabitkan heroin hanya akan mulakan penggambaran sekitar 5 Oktober nanti," kata David.

Sementara itu, Bob berkata, skrip karya Fadzil Bahri Zahari dan Yana Samsudin itu mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan hanya menerusi penceritaan sebalik penampilan gandingan pelakon baru dan lama menerusi filem itu.

"Budaya kerja di MIG memang menggalakkan pekerjanya sentiasa mencuba benda baru. Selain mengikut kehendak dan selera penonton masa kini.

"Boleh dikatakan sejak kejayaan filem Adnan Sempit ia bagaikan menjadi aliran baru buat industri filem tempatan untuk mencuba pelbagai strategi untuk menghasilkan karya terbaik sekali gus menggalakkan penonton untuk ke panggung.

"Kita perlu sedar penonton sekarang semakin bijak menilai. Walaupun dengan kemunculan bakat baru termasuk pelapis di kalangan pembikin filem," katanya.

Ini juga filem kelapan Bob bersama MIG. Filem terbarunya, Bini-Biniku Gangster sedang ditayangkan di pawagam sejak 22 September lalu dan mendapat sambutan membanggakan.

Mengenai gandingan Along dan Angah, mereka terlebih dahulu muncul menerusi filem komedi, Alamak Toyol yang dijadualkan untuk tayangan pada 3 November ini.

Dalam Taikun, Angah membawa watak Tai manakala Along sebagai Miskun Tusnan aka Kun. Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor itu turut dibintangi Zul Supian, Alex Yanz, Adey Syafrien, Mikael Andre, Addy Rauf dan Mie Raja Lawak.

Bagi Along pula, gandingan mereka yang juga residen artis MIG sudah lama terbentuk sama ada sebagai kawan atau musuh.

Selain dicungkil daripada program realiti Raja Lawak mereka terbabit dalam drama sebelum berganding dalam filem.

"Mungkin ini rezeki kami daripada kejayaan tersenarai dalam kelompok Top 5 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Pelawak.

"Dari sana mungkin David melihat kemampuan bakat kami dan percaya kami mempunyai kelompok peminat tersendiri.

"Bukan mudah untuk diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama apatah lagi membawakan babak aksi.

"Selain bergandingan sebagai pengacara pentas kami juga kerap terbabit dalam pembikinan drama dan filem," katanya.

Senada dengan rakannya, Angah memaklumkan dirinya perlu bersedia dalam aspek kecergasan untuk memastikan semua penggambaran membabitkan aksi dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Dalam filem ini tidak ada sesiapa yang akan membayangi antara satu
sama lain. Sebaliknya kami akan berbincang dan melakukan latihan sebelum menjalani penggambaran.

Selepas kali pertama membaca skrip saya dapati kedua-dua karakter ini agak seimbang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Depan Mata: Sultan puji Hasnah

Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

Biar ku bersedih
biar aku merintih
setelah gagal berkasih
lari bersama pedih

ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

Full content generated by Get Full RSS.