Harian Metro: Rap |
Posted: 06 Oct 2011 09:18 AM PDT DIA menganggap dirinya sangat bertuah kerana mendapat didikan pengarah yang berpengalaman. Noor Melia Aimiellia Zaidi, atau nama manjanya, Melia, 18, ternyata cukup berbangga apabila diterima berlakon di bawah arahan Othman Hafsham untuk filem komedi romantik Karipap-Karipap Cinta. Walaupun filem itu tidak mencapai tahap 'box-office', Melia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat menimba pengalaman yang banyak daripada Hafsham dan bergandingan dengan pelakon lebih 'senior' dalam filem itu. Selain itu, satu perkara yang penting, dia mendapat rezeki daripada kerjaya itu untuk membantu keluarganya yang bukannya berasal dari golongan berada. "Pengalaman berlakon filem Karipap-Karipap Cinta sungguh menyeronokkan. Saya gembira kerana dapat menimba pengalaman daripada pengarah yang saya kagumi dan dikenali dengan filem yang hebat seperti Adik Manja, Mekanik dan Soal Hati.
"Sebagai pelakon saya hanya mengikut kehendak skrip dan arahan pengarah. Melia sedar 'sambutan sendu' ke atas Karipap-Karipap Cinta, namun itu tidak sekali-kali melemahkan semangatnya untuk terus mara. "Mungkin itu belum lagi saat kemuncak dalam kerjaya seni saya. Di sebalik bermacam komen yang didengar, saya semakin bersemangat menjadi pelakon dan akan terus berjuang dalam industri yang mencabar ini. Saya memang terhutang budi kepada Hafsham," katanya. Apa yang jelas, kejayaan Melia mendapat watak utama dalam Karipap-Karipap Cinta itu berjaya menepis pandangan sinis segelintir pihak yang sebelum ini menjeling rendah terhadap keupayaannya. Ibunya, Norita Abdul Basit juga sempat memberikan komen ketika diajukan pertanyaan mengenai pahit maung Melia sebagai seorang anak seni. "Kami bukannya dari keluarga senang. Kami juga sedar rezeki tidak akan datang bergolek dan kita mesti berusaha dari bawah. Memandangkan Melia benar-benar mahu menjadi pelakon dan mengasah bakatnya, saya akan memberi restu dan sokongan. Pada masa yang sama, saya akan cuba memberikan nasihat kepada Melia untuk berdepan dengan setiap cabaran. Maklumlah dia masih lagi remaja," kata ibunya. Bagi Melia, keluarga sangat penting kepada dirinya, tambahan pula dia mempunyai seorang adik yang kurang upaya. "Sebab itulah saya mahu bekerja dan membantu keluarga saya," katanya yang mempunyai raut wajah jelita dan nampak lebih matang daripada usia sebenar. Cinta gadis kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini terhadap dunia seni bermula seawal usia 16 tahun. Neneknya, pelakon veteran, Kamalia Mat Dom adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya ke industri hiburan ini. Walaupun baru setahun jagung bergelar anak seni, industri hiburan sudah banyak mengajar Melia selok-belok dan 'permainan' dunia hiburan. Cabaran mula dianggapnya sebagai satu motivasi diri untuk membina tahap kerjaya yang lebih mantap. Dulu, Melia pernah ditawarkan untuk merakamkan 'single' oleh komposer Izwan Talhah, tetapi dia terpaksa menolak tawaran itu kerana bidang nyanyian memerlukan modal ringgit dan komitmen yang tinggi. "Selepas habis persekolahan, bidang lakonan adalah punca rezeki kami sekeluarga. Setakat ini masih belum terfikir untuk menyambung pelajaran, biarlah lakonan menjadi fokus utama saya buat masa terdekat ini," katanya. Melia akui, dia juga tidak dapat lari dari menjadi mangsa cemuhan dan kritikan, tetapi sentiasa bertenang dan mengambilnya dari sudut positif. "Ada yang cakap saya jenis gadis yang suka bersosial dan ada juga yang melabelkan saya sebagai anak mak. Tidak kurang juga yang tuduh saya sombong. "Bagi saya, apa juga yang orang cakap, itu hanyalah pandangan mereka. Mungkin sebab mereka belum kenal saya dengan rapat. Apa yang boleh saya katakan, ketika di lokasi penggambaran, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih banyak mendiamkan diri. Kalau berkawan dengan rakan artis pun sekadar di lokasi saja," katanya. Ditanya mengenai sokongan daripada keluarga, Melia akui ibunya bukan saja berperanan sebagai pengurus, tetapi juga menjadi rakan karib dalam mengekang tohmahan negatif yang dilemparkan kepada mereka. "Memang buat masa ini ibu akan sentiasa bersama saya. Lebih senang ibu ada bersama kerana ibu lebih memahami diri saya," katanya . Melia mengulas lanjut, dia lebih banyak melakonkan watak yang lebih matang dari usianya. Jika diberi peluang, dia juga mahukan watak remaja dan antagonis untuk mengembangkan lagi bakat lakonannya sedia ada. PROFIL Nama penuh: Noor Melia Aimiellia Zaidi |
Posted: 06 Oct 2011 06:22 AM PDT ISU dalaman Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) nampaknya belum mencapai jalan penyelesaian. Walaupun pelantikan empat ahli jawatankuasa (AJK) baru dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 24 September lalu, jalan perdamaian masih tiada. Difahamkan, bekas Presiden, Ismail Ahmad bersama Timbalannya, Mohd Wazata Md Zain digantung jawatan mengikut undian majoriti ahli diputuskan pada EGM itu.
Tindakan pergantungan Ismail dan Mohd Wazata dibuat selepas dua AJK lama itu didakwa menggunakan wang persatuan tanpa kelulusan AJK lain.
Satu laporan polis dibuat bekas Bendahari Kehormat, Shafril Sanusi pada 5 Ogos lalu mengenai dakwaan itu. Namun seperti dijangka Ismail yang tidak hadir pada EGM itu tidak berdiam diri.
Dalam kiriman e-mel itu, Ismail menyatakan ada individu yang cuba merampas jawatan dalam persatuan yang sepatutnya menjadi milik ahli. Dia menekankan persatuan mempunyai perlembagaan di mana setiap amalan dan keputusan dibuat harus mengikut perlembagaan itu sendiri. "Mungkin Swam terlalu hebat sehingga ramai yang tak sabar-sabar nak jadi presiden. Dalam masa enam bulan kini ada dua penyamar sebagai presiden dan ia menjadi rebutan termasuk bukan ahli," katanya. Ismail merujuk pada tiga perkara dalam perlembagaan Swam iaitu Fasal 6.2, 6.8 dan dan 8.2 mengenai keahlian. Fasal 6.2 menyatakan seseorang itu ditauliah sebagai ahli aktif jika jawatankuasa berpuas hati terhadap dua perkara iaitu memiliki ijazah atau diploma penulisan skrip atau pernah menulis skrip secara aktif hingga karya itu disiarkan. "Fasal 6.8 pula, jawatankuasa boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan keahlian tanpa perlu dinyatakan alasan. Dalam Fasal 8.2, menyatakan keahlian ahli itu terhenti pada ulang tahun permohonannya diterima pertubuhan," katanya. Berdasarkan tiga perkara itu, tujuh nama ahli dikemukakan Ismail mengikut rekod persatuan iaitu Mokhzan dikatakan bankrap sejak 1998 dan belum dilepaskan manakala empat ahli, Rosliza Kamarun Ariffin, Norasidah Ismail, Shafril dan Jaafar sudah tamat keahlian. "Keahlian Zaienal, Mariam Shahnaz dan Nursyamsul Bahariah Hussein pula tidak pernah dibentang untuk kelulusan dalam mesyuarat jawatankuasa sebelum 27 Julai. "Oleh demikian mesyuarat yang dipanggil kumpulan ini termasuk EGM pada 24 September bukanlah mesyuarat Swam. "Selain mereka yang tersenarai, ramai lagi yang menyertai EGM ini adalah ahli yang tamat keahlian dan bukan ahli termasuk Jamil yang tamat keahlian pada 3 September 1997 yang dilantik sebagai presiden," katanya. Mengenai isu tandatangan pada cek yang dikeluarkan, Ismail menyatakan hanya tandatangan presiden, timbalan presiden, setiausaha kehormat dan bendahari kehormat yang sah. "Kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan tuduhan liar. Setiap tuduhan mestilah disusuli dengan bukti yang kukuh. Kalau tidak kita boleh diambil tindakan kerana membuat tuduhan palsu. "Kumpulan di atas kini dalam siasatan polis dan bank negara. Shafril mengeluarkan cek sebanyak RM650 atas nama setiausaha kerja dan jumlah itu diserahkan dalam tunai pada 27 Julai 2011. "Shafril juga menggunakan wang persatuan tanpa kelulusan presiden atau jawatankuasa. Saya difahamkan sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun Shafril," katanya. Mengenai cek untuk projek yang dikeluarkan, Ismail menjelaskan Swam hanya membelanjakan RM36,000 dan mempunyai baki sebanyak RM10,000 hasil dari Karnival Rakyat Bersama Seniman yang dianjurkan sempena Hari Seniman lalu. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |