Adsense

Isnin, 3 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Scha tak sengaja

Posted: 02 Oct 2011 04:20 PM PDT

Hip

Kesibukan di lokasi halang aktres ini promosi Libas

HASRAT untuk merakamkan wajahnya dalam satu sesi fotografi belum tertunai. Sementelah filem lakonannya, Libas, yang sudah pun menemui penonton Khamis lalu membuatkan hajat itu perlu dilaksanakan dengan segera. Namun sebagai manusia, kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan.

Setiap kali hasrat itu disuarakan kepada si empunya diri, jawapan yang diterima cukup menghampakan. Pelakon tinggi lampai yang juga buah hati kepada pengacara dan pelakon Awal Ashaari ini cukup sibuk dengan drama bersiri lakonannya, Kelas Kau Marlia, yang belum selesai penggambarannya. Sebagai pemegang watak utama untuk drama arahan Michael Ang itu, Scha Alyahya memang perlu berada di lokasi setiap masa. Justeru, tidak hairanlah andai dia tidak mempunyai waktu langsung untuk diluangkan, terutama dalam membabitkan sesi fotografi.

Ketika ditemubual menerusi telefon petang Rabu lalu, Scha mengakui kesibukannya membuatkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan promosi yang sepatutnya dilakukan setiap pelakon.

Bagaimanapun kata bekas pemenang Dewi Remaja 2006 ini, keengganannya membabitkan diri dalam promosi filem terbabit seperti yang tersebar sebelum ini bukanlah kerana disengajakan, ataupun dia tidak mahu memberikan komitmen. Sebaliknya, tegas Scha, dia perlu mendahulukan perkara yang sudah dipersetujui lebih awal.

"Dalam hal ini bukanlah kerana Scha yang tidak mahu membuat sebarang publisiti, tetapi Scha sudah terikat dengan komitmen yang terlebih dulu Scha persetujui. Sebelum ini, Scha memang ada minta jadual promosi daripada pihak penerbit supaya senang untuk Scha mengatur perancangan kerja. Namun mereka gagal memberikannya.
"Sedangkan pada masa sama, Scha akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri Kelas Kau Maria dan pihak produksi mahukan Scha memberikan jadual Scha. Disebabkan tidak boleh menunggu lama, jadi Scha terpaksa memberikan kata persetujuan untuk berlakon dalam drama bersiri itu," cerita Scha menjelaskan perkara sebenar.

Ditanya tidakkah penerbit Libas, MDAG Films Sdn Bhd tidak tersinggung dengan tindakannya, pelakon yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini menjelaskan, dia sudah pun memaklumkan perkara itu sejak awal.

"Lagipun, bukan Scha tidak pernah membuat promosi langsung untuk filem Libas. Sebelum ini Scha ada juga mengikuti aktiviti promosi yang diaturkan mereka. Asalkan mereka memaklumkan perkara itu lebih awal, dan memudahkan Scha menyusun jadual serta tidak menyusahkan sesiapa, itu sudah memadai," kata pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini.

Mengulas wataknya dalam filem Libas, sebagai Ratna Scha berkata, dia perlu memahirkan diri dalam sukan takraw yang cukup asing buatnya.

"Dua minggu sebelum penggambaran bermula, Scha banyak berlatih bermain takraw. Ada juga latihan yang Scha buat sendiri ada juga dengan bimbingan jurulatih. Pada awalnya memang sukar untuk memahirkan diri kerana sukan ini banyak membabitkan pergerakan berbahaya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa," kata wajah eksklusif Astro ini.

Berlakon di bawah arahan Jurey Rosli, Scha memberitahu, ia sebuah pengalaman baru buatnya.

"Jurey memang tidak banyak bercakap ketika di lokasi. Kalau nak tahu sama ada dia berpuas hati atau tidak, biasanya ia disampaikan sendiri oleh penolong pengarah. Dari segi tunjuk ajar sebelum memasuki set, semuanya dilakukan penolongnya," cerita Scha.

Dalam filem ini, Scha buat pertama kali berlakon di samping aktor senior yang cukup berpengaruh, Rosyam Nor. Bukan saja julung kali berlakon bersama, tetapi dia juga perlu bercinta dengan pelakon hebat itu.

"Sepanjang berlakon dengan abang Rosyam, dia memang banyak membantu Scha. Kami mudah serasi di set dan ini memudahkan kami untuk membawakan babak bercinta. Tapi babak percintaan kami bukanlah seperti cinta remaja yang romantik, sebaliknya lebih kepada cinta orang dewasa. Syukurlah kami mampu menyempurnakannya," ujar pelakon berusia 28 tahun ini.

Persiapan kahwin tertangguh

KESIBUKAN Scha bukan saja membataskan dirinya untuk memenuhi undangan promosi filem tetapi apa yang lebih penting, ia juga menjejaskan persiapan untuk dia mendirikan rumah tangga. Sebelum ini pun, Scha dan Awal sudah pun mengumumkan bahawa mereka akan mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya penghujung tahun depan.

Apabila si dara terlalu sibuk bekerja dan si jejaka juga tak menang tangan memenuhi pelbagai undangan pengacaraan dan lakonan, maka persiapan serba sedikit sebelum menjelang bahagia nampaknya asyik tertangguh saja.

"Itulah, kami berdua sebenarnya memang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga secepat mungkin. Tapi apabila masing-masing terlalu sibuk bekerja, sudahnya hasrat untuk membuat persiapan serba sedikit lenyap beg itu saja. Namun bukanlah itu bermakna kami mengambil enteng soal perkahwinan. "Mungkin satu hari nanti, kami berdua kena lupakan seketika soal kerja dan beri tumpuan untuk merealisasikan majlis perkahwinan kami ini," katanya sambil tertawa.

Pada pertanyaan sampai bila dia mahu bergelar wajah eksklusif Astro, Scha berkata, perkara itu belum difikirkan olehnya.

"Kontrak saya akan tamat pada tahun depan dan jika mereka mahu perbaharui, tentunya saya tak kisah. Tapi tengok keadaan juga, manalah tahu saya mempunyai perancangan lain pula," ujarnya.


Naik pentas, sakit hilang

Posted: 02 Oct 2011 03:41 PM PDT

Hip

Latiff Ibrahim

Latiff Ibrahim

Latiff bakal muncul bersama album baru selepas tiga dekad

HAKIKAT dirinya sudah mencecah usia emas sedikit pun tidak menghalang penyanyi dan pelakon veteran, Latiff Ibrahim, untuk terus kekal aktif dalam bidang seni. Walaupun ada ketika faktor kesihatan memperlahankan rentak, namun demi cintanya pada seni, perkataan bersara daripada bidang yang cukup disayangi tidak terpacul di bibirnya.

Selepas empat dekad menerokai dunia terbabit, langkahnya digagahi juga menggunakan segala kudrat yang ada. Maka, kelunakan suara yang dapat dinikmati sejak era 70-an terus dapat didengar apabila lelaki ini menaiki pentas. Siapa yang tidak kenal suara merdunya tatkala mengalunkan lagu Nora. Mereka yang membesar bersama lagunya tentu tidak lupa. Namun, faktor kesihatan nyata membataskan langkah Latiff dalam lakonan, pada ketika dia terus giat mengadakan persembahan di pentas nyanyian. Dengan hasrat untuk terus berkongsi bakat yang dimiliki, Latiff bakal kembali dengan album terbaru, bergandingan dengan Datuk Ahmad Nawab.

"Saya akan masuk studio untuk proses rakaman pada bulan depan (Oktober) dan dalam album itu nanti, akan dimuatkan beberapa lagu baru di samping lagu lama yang digubah semula.

"Idea ini timbul atas permintaan sebuah syarikat penerbitan yang meminati lagu saya dan Ahmad Nawab. Jadi ini juga menjadi peluang untuk saya terus berada dalam bidang seni suara," jelasnya.

Setelah lebih 30 tahun tidak menghasilkan album, buah tangan terbaru Latiff yang memuatkan 10 lagu itu diharap dapat mengamit kembali nostalgia buat peminatnya. Selain lagu popular Sabar Menanti, lagu ciptaan Ahmad Nawab yang pernah dipopularkan dulu turut dimuatkan dalam album berkenaan.
"Ramai artis seperti Baggio menyanyi kembali lagu malar segar macam itu. Jadi pada saya, lagu sebegini masih mendapat tempat di hati peminat," katanya yang berkeyakinan penyanyi era terdahulu masih mempunyai pengikut mereka sendiri.

Mengakui generasi muda kini turut meminati lagu malar segar, faktor itu turut mendorong Latiff terus aktif dalam bidang nyanyian, bersama karya terbaru.

Memiliki semangat seni yang masih tegar, Latiff sering menerima undangan nyanyian di majlis korporat walaupun tidak memiliki single mahupun album terbaru.

Baginya, berada di atas pentas membuatkan dirinya melupakan sejenak mengenai kesihatan dan seolah-olah memberi semangat baru dalam dirinya.

"Mungkin ini yang dikatakan semangat seni. Kalau kita menyukai atau mencintai sesuatu, segala masalah kita dapat lupakan, macam arwah Normadiah (seniwati), walau sakit pun dia tetap bersemangat.

"Kecekalan dan ketabahan penyanyi dulu sukar kita lihat pada penyanyi sekarang. Kalau tengok saya sekarang, memang nampak macam sakit, tetapi kalau saya berada di atas pentas segala penyakit hilang," katanya yang turut popular menerusi gandingan bersama Datuk Sharifah Aini.

Enggan harapkan bantuan

PERNAH dimasukkan ke hospital pada 1994 kerana penyakit paru-paru berair, Latiff yang ditemui pada majlis pelancaran program Inilah... baru-baru ini kelihatan agak kurang bertenaga. Dia yang baru saja keluar dari Institut Jantung Negara bulan lalu kerana tekanan darah rendah. Namun, dia masih menggagahkan diri ke majlis berkenaan.

"Alhamdulillah, kesihatan saya kini semakin baik dan masih mampu untuk menyanyi. Cuma saya sudah tak boleh berlakon kerana berlakon memerlukan masa yang panjang di lokasi penggambaran.

"Saya bersyukur sangat walaupun tak mampu untuk berlakon tetapi masih ada peluang untuk menyanyi. Saya sudah tidak ambil tawaran berlakon, tetapi kalau teater, saya masih mampu jayakan," jelasnya.

Latiff bagaimanapun enggan menerima sebarang pertolongan daripada sesiapa, mahupun persatuan seni, apabila bercerita mengenai kesihatannya.

Baginya, selagi terdaya dia akan cuma berusaha mencari sumber pendapatan sendiri. Bukan memperkecilkan bantuan yang dihulurkan, tetapi dia berasakan ada insan lain yang lebih memerlukan.

"Sebelum ini ada pihak tertentu yang ingin menghulurkan sumbangan, tetapi saya menolak kerana saya masih mempunyai ahli keluarga dan saudara mara. Saya tahu mereka berniat baik, namun kalau boleh saya tak harapkan sumbangan dan bukan sikap saya untuk meminta-minta," jelasnya.

Konsert mini 13 penyanyi popular

SEMENTARA itu, melihat sambutan baik diterima konsert Inilah... Sharifah Aini tahun lalu mendorong produksi ZGB Media Sdn Bhd menerbitkan konsert terbabit dalam bentuk program televisyen. Program 13 episod itu mengenengahkan artis lama dan baru dalam konsert mini selama setengah jam, yang mula bersiaran pada 4 Oktober di TV1.

Menurut Pengarah Urusannya, Zohara Gany Mhd Bathusha, program itu menampilkan 13 artis terkenal tanah air dari era 70-an sehingga sekarang.

"Setiap artis akan menyampaikan enam ke lapan lagu mengikut keselesaan mereka. Memandangkan masa persembahan agak terhad, jadi ada antara lagu mereka dipersembahkan secara medley. Program ini juga tidak ada pengantara dan dikendalikan artis itu sendiri," jelasnya.

Inilah... menampilkan artis seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Latiff Ibrahim, Ning Baizura, Datuk Malik Ridzuan, Zur Eda, Uji Rashid & Hail Amir, Jay Jay, Francesca Peter, Aris Ariwatan, Adibah Noor, Zamani, Azlina & Liza Aziz dan Tomok.

Pemilihan artis dibuat berdasarkan era kegemilangan di samping lagu malar segar mereka yang menjadi pujaan ramai peminat.

Zohara yang berharap program itu mampu memperkenalkan penyanyi lama kepada generasi baru memberitahu, Inilah... dirakam pada Mac lalu, namun baru kini dapat ditayangkan.