Adsense

Rabu, 21 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Permintaan arwah adik

Posted:

Permintaan arwah adik

Permintaan arwah adik

MEMPERTAHANKAN ikatan cinta sesebuah perhubungan dalam tempoh masa yang lama justeru mengekalkannya hingga ke jinjang pelamin bukan perkara mudah. Banyak rintangan dan dugaan perlu dilalui tambahan pula jika pasangan tersebut dikenali ramai contohnya seperti selebriti dan ikon terkenal.

Bagi pasangan selebriti tempatan, aktor Azad Jasmin dan isterinya, Eira Syazira, tiga tahun menyulam kasih banyak beri dugaan dan cabaran buat mereka. Namun, semuanya dilalui dengan reda dan tabah untuk bergelar suami isteri yang sah.

Hanya dengan sekali lafaz, Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi sah menjadi milik Azad Jasmin John Louis Jeffri yang dinikahkan oleh bapanya sendiri, Shuhaimi Haji Acheh dan disaksikan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat.

Eira dan Azad yang anggun menyarungkan busana putih rekaan WanPa dan Hairi Tajuddin, hanya tersenyum dan di saat mereka telah sah, air mata gembira mengalir di pipi suaminya setelah selesai majlis akad yang berlangsung di rumah Eira di Putrajaya pada 16 September lalu.

Sepanjang ditemu ramah, Eira dan Azad tidak putus memanjat kesyukuran terhadap Illahi kerana diberi kelancaran dari mula majlis hingga selesai.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan segalanya berjalan dengan lancar dan tiada masalah yang timbul. Namun, ada juga terdetik kerisauan kerana majlis kami ini dibuat pada saat-saat akhir begini.


EIRA SYAZIRA dan Azad Jasmin saling memahami karier mereka sebagai pelakon yang penuh dengan pancaroba.


"Syukur juga kerana berkat usaha ibu bapa Eira dan juga pihak keluarga Azad semuanya lancar. Tidak ketinggalan juga kerjasama yang diberikan oleh sanak saudara yang membantu bagi menjayakan majlis ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan baik seperti mana yang kami rancangkan," bicara Eira yang menerima mas kahwin sebanyak RM300 daripada pihak Azad.

Selain itu, Eira menerima sembilan dulang berbalas 11 dulang yang diberikan oleh pihak pengantin lelaki. Antara hantaran Eira merupakan seutas jam tangan berjenama Police, kasut jenama Aldo, sejadah berserta persalinan baju Melayu putih, dompet dan tali pinggang jenama Polo, minyak wangi dan penjagaan diri Davidoff, sepasang kemeja Valentino, jambangan coklat, buah-buahan, sebentuk cincin nikah, dan juga set barangan sukan pasukan bola sepak Chelsea.

Manakala Azad membalas sebentuk cincin berlian, sepasang kasut berjenama Charles & Keith, sebuah beg tangan Tod's jam tangan Fossil, senaskhah al-Quran, sepasang telekung serta sejadah, minyak wangi dari Mekah, tepak sirih dan juga iPad 2.

Bagi Azad yang kelihatan sedikit emosi berbanding isterinya, dia mengatakan saat disahkan menjadi suami kepada Eira, itu merupakan momen yang paling bermakna dan terdetik rasa sedih di dalam hatinya ketika itu.

Tambahnya, selain mengenai tuntutan dalam Islam, jejaka berumur 35 tahun ini berasa lega kerana dugaan yang dilalui selama tiga tahun bercinta akhirnya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Bukannya mudah ingin jadi mudah dan bukannya senang ingin jadi senang. Alhamdulillah hari inilah bermula detiknya hari saya bergelar suami kepada wanita yang saya cintai, Eira Syazira dan Eira juga telah sah bergelar isteri kepada Azad Jazmin.

"Dan itulah saat yang saya nantikan selama tiga tahun yang membuatkan saya sedih dan gembira yang teramat sangat," cerita Azad yang menahan perasaannya yang masih bercampur baur itu.

Cerita pasangan pengantin baharu ini, oleh kerana masa suntuk yang ada justeru majlis resepsi dianjakkan dan diadakan sedikit lewat untuk memberi ruang kepada keluarga masing-masing melakukan persediaan dan persiapan yang lebih teratur bagi majlis persandingan yang ingin diadakan kelak.

Selain permintaan ibu Eira yang ingin mempercepatkan pernikahan setelah pulang dari umrah, ada juga sebab lain yang mengukuhkan lagi hubungan ini untuk dibawa ke alam perkahwinan.

"Ini merupakan permintaan arwah adik saya yang sememangnya sangat rapat dengan saya iaitu Nizar Jeffri, 31, yang telah kembali ke rahmatullah pada Hari Raya AidilAdha tahun lepas. Dia terlalu mahukan saya berkahwin dengan Eira," bicara Azad sedikit emosi menceritakan pesanan terakhir arwah adiknya itu.

Lantas menyambung cerita suaminya itu, ujar Eira, sebelum itu dia rapat bersama arwah dan oleh itu, arwah pernah berpesan agar jika abang kesayangannya itu ingin berkahwin, dia hanya mahukan Eira yang menjadi pengantin kepada abangnya itu.


Azad melihat dengan tenang Eira menanda tangani sijil pernikahan mereka.


"Saya hanya mahukan Azad berkahwin dengan Eira sahaja. Itulah pesanan arwah kepada saya dan juga Azad. Jadi, Alhamdulillah, Eira rasa arwah juga gembira di sana kerana hajatnya akhirnya termakbul dengan ikatan pernikahan kami berdua ini," tutur Eira sopan menyusun kata sambil diperhatikan suaminya yang duduk di sebelah. Sempat bergurau semasa ditemu ramah, lelaki berkulit hitam manis ini mengatakan jika ikutkan hati, dari mula perkenalan dia sudah ingin mengajak Eira berkahwin.

Namun, hakikatnya, tempoh tiga tahun itu, digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua dramatis ini kerana ketika itu, masing-masing sedang sibuk membina karier yang sedang meningkat naik dan juga disebabkan oleh jadual harian yang agak sibuk.


EIRA dan Azad tidak merancang keluarga, mereka menerima jika Tuhan memberi rezeki mendapat cahaya mata dalam tempoh terdekat.


Tidak letakkan syarat

Oleh kerana kedua-duanya menceburkan diri di dalam bidang yang sama, Azad sebagai suami menjelaskan bahawa, dia tidak ingin meletakkan syarat terhadap isterinya untuk meneruskan karier sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

"Sekalipun ketika Eira mengandung, dan dia ingin menyanyi dan kariernya, saya tidak menghalang jika itu yang dimahukannya. Ini kerana, rezeki yang hadir itu semuanya dikurniakan oleh Allah SWT," tutur Azad juga mengatakan perancangan keluarga juga tidak dibuat dan menyerahkannya kepada rezeki yang diberikan Tuhan.

Aura Alleycats terus memukau

Posted:

Aura Alleycats terus memukau

Aura Alleycats terus memukau

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


MASIH mahal. Walau tanpa Loga, Alleycats masih hidup bersama David.


BIARPUN ketika ini terdapat pelbagai kumpulan muzik yang muncul di persada hiburan tanah air, namun kumpulan Alleycats dilihat masih lagi mampu mengekalkan auranya yang tersendiri.

Pada usia kumpulan yang berasal dari Pulau Pinang itu sudah menjangkau 43 tahun, ternyata kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan mereka terus menjadi siulan ramai sehingga kini.

Maka, tidak hairan apabila Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan terutama peminat yang merindukan persembahan kumpulan berkenaan secara langsung.

Pada konsert yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 sehingga 18 September yang lalu, tidak dinafikan persembahan yang ditampilkan sangat menghiburkan dengan dendangan lagu-lagu mereka yang masih malar segar.

Lebih menarik lagi, vokalis utama kumpulan itu iaitu Datuk David Arumugam dilihat masih bertenaga untuk menghiburkan peminat yang hadir di kala usianya kini yang sudah pun mencecah 61 tahun.

Menurut David, biarpun kali kedua kumpulannya itu membuat persembahan di Istana Budaya, tetapi dia menyifatkan konsert pada kali ini adalah merupakan hadiah yang cukup istimewa kepada para peminatnya.


BERGABUNG. David berkolaborasi dengan Glenn (kiri) dan anak perempuan Loga, Dasha Loga.


"Sudah semestinya saya sangat menghargai sokongan yang telah diberikan sehingga Alleycats masih lagi kekal sehingga kini. Walaupun hanya berlangsung selama tiga hari, harapan kami agar mereka yang menyaksikannya berpuas hati.

"Apa yang istimewanya untuk konsert ini, berdirinya saya di atas pentas bukan sekadar menyanyi, sebaliknya saya turut membuat humor dan mengajak penonton menyanyi bersama-sama agar mereka yang datang akan rasa lebih terhibur dan seronok," ujarnya.

Pada konsert yang berlangsung selama dua jam, penonton dihiburkan dengan lagu-lagu seperti Senyumlah Kuala Lumpur, Suratan, Jika Kau Bercinta Lagi, Senandung Semalam, Seribu Bintang, Suara Kekasih dan Sampaikan Salam.

Apa yang menariknya, selain David, turut membuat persembahan adalah anak kepada mendiang Loganathan Arumugam atau Loga iaitu Priyadashini serta penyanyi baharu kumpulan tersebut iaitu Glenn Salay.

Menurut Priyadashini atau lebih mesra dengan panggilan Dasha Logan, dia mengakui tidak dapat menahan kesedihan apabila menyampaikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh ayahnya.

"Memang perasaan sedih itu tetap ada ketika membuat persembahan, tetapi apa yang lebih penting ialah saya perlu terus memberikan tumpuan di atas pentas agar ia tidak terus mengganggu persembahan saya," ujarnya.

Walaupun sudah biasa menyanyikan lagu-lagu ayahnya sebelum ini, namun Dasha meluahkan dia tetap rasa berdebar memandangkan ini adalah kali pertama dia membuat persembahan di sebuah pentas yang besar.


DATUK DAVID ARUMUGAM duduk di kerusi penonton sambil melihat gelagat peminat setianya, Hatta menyanyi di atas pentas.


Sementara Glenn pula yang ditemui selepas konsert itu berakhir berkata, adalah satu penghormatan yang cukup besar buat dirinya apabila diundang untuk menganggotai kumpulan tersebut oleh David sendiri.

"Pada mulanya saya ingatkan sekadar menyanyi bersama mereka untuk tempoh sementara sahaja, namun tidak lama kemudian saya telah ditawarkan untuk terus bersama kumpulan ini. Tanpa mengambil masa yang panjang, saya terus menerimanya," jelas Glenn yang turut membuat persembahan yang tidak mengecewakan pada konsert tersebut.

Bagaimanapun, penyanyi tersebut berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang akan membandingkannya dengan mendiang Loga kerana merasakan masing-masing mempunyai suara dan gaya yang tersendiri ketika membuat persembahan.

Spears nafi bertunang

Posted:

Spears nafi bertunang

Spears nafi bertunang


BRITNEY SPEARS dan kekasih baharunya, Jason Trawick.


KHABAR pertunangan Britney Spears semakin kencang kedengaran. Lebih-lebih lagi apabila dia dilihat memakai cincin berlian yang dikenakannya di jari manis. Walau ada banyak bukti yang semakin menguatkan isu pertunangan tersebut, penyanyi itu dan kekasihnya, Jason Trawick, tetap menafikan hal tersebut.

Spears yang kini berada di London untuk menjalani pembikinan klip video terbaharunya, Criminal telah hadir ke BBC Radio hujung minggu lalu untuk satu temu bual. Sewaktu dikerumuni jurugambar, dia telah melambaikan tangan ke arah mereka. Pada waktu itu, gambar dia memakai cincin berlian di jari manis tangan kanannya telah dibidik jurugambar yang membuatkan isu dia telah bertunang dengan Trawick semakin hangat.

Insiden ini terjadi hanya beberapa hari selepas si kekasih, Trawick dilihat membeli sebentuk cincin di butik perhiasan Pascal Mouawad di Hollywood.

"Khabar mengenai cincin pertunangan ini sama sekali tak benar. Namun, memang Trawick di sana (kedai cincin) untuk berbincang masalah lain bersama Pascal, tapi bukan untuk kepentingan peribadinya," ujar jurubicara Spears.

Pernyataan yang dikeluarkan jurubicara Spears itu mungkin ada kebenaran, ini kerana sebelum ini penyanyi itu juga pernah memakai cincin berlian di jari manis seperti tanda bertunang.

Sementara itu, Trawick sendiri telah menafikan isu bertunang itu kepada Access Hollywood.