Adsense

Rabu, 14 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Serina nafi cerita tak benar

Posted: 13 Sep 2011 07:15 AM PDT

SEMAKIN hari semakin sayang, begitulah ibaratnya hubungan cinta antara pelakon Ana Dahlia dan anak bujang Datuk Chef Wan, Mohd Nadzri Redzuawan atau lebih mesra dengan panggilan Chef Riz yang mula berputik sejak enam bulan lalu.

Tampil mendedahkan kisah cinta mereka kepada umum ketika rakaman Melodi Raya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada Ramadan lalu, pasangan ini sekali lagi muncul berdua pada Majlis Rumah Terbuka On The Table Restaurant Sdn Bhd dan syarikat Culinary Brilliance Sdn Bhd milik Chef Riz dan rakan kongsinya, Farhan Shafee, Sabtu lalu.

Bertempat di kawasan eksklusif Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, majlis ini dihadiri ramai tetamu antaranya rakan niaga, pelanggan korporat dan saudara-mara termasuk ibu dan adiknya, Serina.

Turut hadir, rakan artis seperti Amran Ismail, Ikhwan Hot FM, Amanda Misbun, Zoey, Shera Aiyob, Intan Nor Saina dan Mas Muharni.


Pasangan ini tidak menang tangan melayan tetamu yang mengajak mereka berbual.

Menghampiri tengah malam barulah tetamu mula beransur pulang.

Ana atau nama sebenar, Diyana Mastura Jaafar, 28, mengakui dia kini bertindak sebagai pengurus peribadi Chef Riz. Katanya, bukan berniat untuk sengaja campur tangan, sebaliknya langkah ini diambil kerana Riz begitu sibuk dengan karier sehingga tiada masa untuk melayan pihak yang ingin berurusan dengannya.

"Saya akan bantu dia setakat yang termampu. Riz sibuk tapi pada masa sama, dia kena jaga kariernya sebagai hos TV. Rasanya saya perlu ada di belakangnya bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, saya juga tahu mengenai kontrak dan pengurusan jadual. Jadi sedikit sebanyak saya boleh buat yang terbaik untuk Riz.

"Pada saya, kerja ini tidak pula satu masalah besar buat kerjaya saya sebagai pelakon. Dulu ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga bekerja sambilan sebagai 'baby sitter' untuk cari pendapatan lebih. Selepas itu, barulah saya membabitkan diri dalam lakonan.

"Sudah enam bulan saya uruskan Riz dan alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar," kata bintang Mantra ini membuka cerita.

Mengenai khabar angin mengatakan hubungan mereka sebelum ini dikatakan tidak direstui keluarga, Serina yang berada tidak jauh dari situ sempat berjenaka sambil mengatakan siapa kata hubungan mereka tidak direstui Chef Wan.

"Pandai-pandai saja buat cerita. Saya tahu semuanya dan nafikan perkara itu," katanya sebelum meminta diri untuk pulang bersama si comel, Tristan Tareef yang menginjak usia setahun pada 13 September ini.

Kata Ana, dia bersyukur kerana mengenali Riz serta keluarganya dan mengatakan semuanya berjalan lancar. Bahkan Riz juga sudah bertemu ibu bapa dan keluarganya ketika hari raya lalu, sekali gus membayangkan kesungguhan jejaka berusia 29 tahun ini untuk menyuntingnya sebagai isteri.

"Kalau ikutkan, kami semua termasuk ayah Riz sibuk tetapi kami sentiasa kemas kini perkembangan semasa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Riz bertandang ke rumah keluarga saya di Taiping pada hari raya kedua dan keluarga saya sangat menyenanginya.

"Berkenaan gosip itu, saya sangat terkejut bagaimana cerita itu boleh timbul, sedangkan cerita sebenarnya lain," kata Ana.

Riz yang berada di sisi Ana sempat menyampuk apabila mengatakan kemungkinan berlakunya salah faham dari sudut penulisan sehingga bapanya terkejut dan menghantar SMS mengandungi kata-kata nasihat seolah-olah menampakkan tidak merestui hubungan mereka.

"Kami sebenarnya tidak baca artikel berkenaan dan ayah menasihatkan saya begitu. Dia mungkin terkejut apabila saya dikatakan melamar Ana sedangkan maksud saya sebenarnya lain. Sebelum ini ketika saya bawa Ana jumpa ayah ketika awal perkenalan, dia memang tiada masalah.

"Cuma dia nasihatkan saya kenal Ana dengan mendalam terlebih dulu sebelum buat apa-apa keputusan kerana kami baru kenal sebulan ketika itu. Dia suruh bersabar dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Jadi, mungkin setengah orang salah anggap kenyataan yang dikeluarkan itu," katanya.

Hujah Riz diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ana yang sempat bertemu Chef Wan yang pulang ke Malaysia seminggu sebelum hari raya. Bahkan, dia turut menunjukkan mesej SMS perbualan antaranya dengan tokoh popular itu kepada media sebagai bukti keakraban mereka sebaik Chef Wan kembali ke New Zealand.

"Saya dah beberapa kali jumpa Chef Wan dan dia sangat baik. Saya memang menjaga hati Chef dan ibu Riz kerana orang kata kalau nak kahwin, kita kena kenal semua. Apabila bercakap mengenai ibu bapa Riz, saya memang takut kerana bimbang tidak disenangi mereka. Namun apabila bertemu dan kenal, saya dapati mereka sangat baik.

"Saya juga menafikan sukakan Riz kerana kedudukannya sebagai anak Chef Wan. Kalau diikutkan, orang tak kenal sangat dia berbanding ayahnya. Serina adalah penyebab kerana menemukan kami berdua untuk makan-makan.

"Mulanya saya memang tak sukakan dia. Ketika makan, saya tengok Riz sangat selamba dan dari situ, saya jatuh hati dengannya tanpa fikir siapa ayahnya.

"Dia memang anak Chef Wan tapi sebenarnya Chef Wan suruh dia berdikari tanpa mengharapkan bantuannya semata-mata. Saya pula nak Riz kenal keluarga sepenuhnya sebelum pilih saya. Itulah sebabnya saya bawa dia balik kampung untuk tengok keadaan sebenar keluarga kami. Apabila tengok sendiri, barulah buat keputusan untuk terima saya.

"Kalau saya nak cari suami kaya raya, masa bekerja sebagai pramugari dulu lagi saya dah boleh buat begitu kerana ramai yang cuba nak pikat. Saya hanya cari lelaki yang ikhlas sayangkan saya serta kerja yang berpada-pada kerana takkanlah saya nak makan pasir apabila pilih berkahwin dengannya. Itu sudah cukup buat saya," katanya yang kini berlakon drama 13 episod Metro Skuad terbitan Skop Production Sdn Bhd.

Sebagai anak kedua daripada enam beradik serta anak perempuan tunggal, Ana mengakui sangat rapat dengan ayahnya dan setiap perkara yang dibuat perlu mendapat persetujuan beliau. Akuinya, dia sentiasa berdebar-debar setiap kali membaca gosip mengenainya kerana bimbang keluarganya terluka.

"Saya boleh hadapi lagi semuanya, tapi takut keluarga terutama ayah akan terluka kerana dia tak sihat. Sejak dulu lagi, ayah sebenarnya tak suka lelaki datang ke rumah. Tapi apabila saya jelaskan hubungan dengan Riz adalah serius, baru dia okey. Saya juga nafi berselindung apa-apa dengan Riz kerana apa saja yang jadi, dia dan keluarganya tahu.

"Saya juga tak pernah rahsiakan apa-apa dengan Riz. Memandangkan umur saya sudah 28 tahun, ayah kata perkara yang baik eloklah dipercepatkan tapi kami perlu mendapatkan persetujuan daripada Chef Wan terlebih dulu. Untuk mendapatkan dia perlu makan masa kerana jadualnya sangat padat.

"Kalau ikutkan, saya tak kisah jika majlis perkahwinan diadakan secara sederhana tapi Chef Wan nak buat sesempurna mungkin untuk perkahwinan Riz. Apa yang boleh saya katakan, kami tak terburu-buru untuk ke arah ini tapi Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin dan akan mencuba seawal mungkin," ceritanya yang mengakui turut diduga dengan panggilan daripada wanita yang mengakui kekasih Riz.

PROFIL:

NAMA PENUH: Diyana Mastura Jaafar
PANGGILAN: Ana Dahlia
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1983
USIA: 28 Tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada enam beradik
BERAT: 47 Kilogram
TINGGI: 160 Sentimeter
ZODIAK: Gemini
ASAL: Taiping, Perak
PENDIDIKAN: SPM
PENCAPAIAN: Peserta program realiti, Pilih Kasih musim pertama (2009)
KERJAYA AWAL: Pramugari AirAsia (2005 hingga 2009)

DRAMA: Bonda, Delima, Loga Maya, Hati Lia, Salam Terakhir, Hadi, Orang Luar, Arjuna, 3 Serumah, Pulangnya Karina dan Metro Skuad

FILEM: Mantra

Tokoh muda negara

Posted: 13 Sep 2011 06:46 AM PDT

USIA mereka masih muda tetapi pelbagai pengiktirafan sudah diterima bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima, Aizat Amdan, 22, atau Aizat dan Syamsul Yusof, pengarah yang mencipta sejarah apabila filem arahannya, KL Gangster mencecah kutipan pecah panggung RM11 juta.

Terbaru, kedua-dua karyawan berbakat besar ini dipilih sebagai seorang tokoh muda negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.

Kedua-duanya diberitahu mengenai pemilihan mereka menerusi surat yang dihantar Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Aizat dipilih berdasarkan kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan sementara Syamsul, anak kepada pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dipilih berdasarkan kejayaan diraih dalam bidang perfileman.


Kedua-dua anak muda ini bakal diarak pada Hari Kemerdekaan ke-54, Jumaat ini sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Sewaktu dihubungi, Aizat berkata, dia rasa terharu atas penghormatan yang diberikan negara terhadapnya kerana sekiranya hendak dinilai pembabitannya dalam industri muzik, ia masih baru.

"Saya difahamkan, selain saya, ada beberapa lagi penggiat seni golongan muda
turut dipilih untuk menyertai perarakan penuh bersejarah ini antaranya Syamsul Yusof yang mewakili industri perfileman. Ada lagi beberapa tokoh muda dipilih mewakili bidang atau industri tertentu," katanya lagi.

Kata Aizat, penghargaan yang diberikan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 juga adalah kejayaan tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar pencipta lagu atau penyanyi.

"Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu dipilih untuk menyertai perarakan ini. Pada saya, ia memberikan banyak signifikan sama ada secara peribadi mahupun umum.

"Dalam hati tertanya-tanya juga, apakah benar saya dipilih. Bagaimanapun, saya percaya, sebelum keputusan dibuat, kerajaan mempunyai badan penilai bagi melihat adakah mereka yang mahu diangkat menjadi tokoh dalam bidang masing-masing ini layak atau tidak," katanya.

Pengiktirafan diberikan ini jelas Aizat lagi, akan dijadikan pembakar semangat untuk dia terus menghasilkan karya terbaik dan pada waktu sama penyumbang kepada ekonomi menerusi industri muzik tempatan.

"Selain itu, saya juga bercadang untuk menghasilkan lebih banyak karya yang melambangkan semangat patriotik agar ia akan terus membakar jiwa rakan muda sebaya saya," katanya yang turut terbabit dalam projek khas mendendangkan kembali lagu Warisan bersama beberapa lagi artis muda mewakili pelbagai kaum.

Bagi Syamsul pula sewaktu dihubungi menjelaskan, dia percaya pemilihannya dibuat berdasarkan apa yang dilakukan selama ini bagi meningkatkan lagi mutu industri perfileman, sekali gus mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan.

"Kalau hendak diikutkan, ramai lagi penggiat muda yang kalau kita lihat banyak sumbangannya dan jauh lebih berjaya, namun pemilihan saya ini mungkin dilihat dari sudut pengarahan saja. Dinilai dari sudut lain seperti lakonan, ada juga bintang muda lebih berbakat dan menonjol.

"Saya menganggap pemilihan saya sebagai wakil atau suara kepada penggiat filem muda tempatan sama ada yang aktif berkarya secara komersial mahupun bersendirian.

"Jelas pemilihan ini juga menunjukkan kerajaan sentiasa melihat perkembangan pengkarya muda dan pengiktirafan ini membawa maksud bahawa sekiranya apa yang diusahakan itu dilakukan bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan, pasti kerajaan akan menghargainya dan penghargaan itu diberikan dalam pelbagai bentuk," katanya.

Pada waktu sama, Syamsul meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan itu dan tidak menyangka apa yang dilakukan mendapat perhatian. Malah ia memberikan pengertian bahawa apa yang dilakukan penggiat muda ini sebenarnya turut diperhatikan sumbangan mereka.

Syamsul berkata, pengiktirafan diberikan itu turut menjadi inspirasi kepada dirinya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini.