Hip
Kursus nikah tiga tahun laluPEJAM celik, Oktober semakin hampir. Bagi pelakon, Yasmin Hani Richardson, 32, ia membawa makna tersendiri kerana dirinya bakal diijabkabulkan dengan jejaka tercinta, Sha'arin Mohd Razali atau Shahrin Blackrose, 45, pada bulan depan.
Begitupun, dia belum sedia berkongsi tarikh demi menjaga hati pelbagai pihak semetelah majlis yang akan berlangsung di Ampang nanti hanya membabitkan kehadiran saudara mara terdekat dan sahabat akrab.
Sebagai insan, inilah saja cara kami menunaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sibuk bukan alasan kerana menghulur bantuan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara kerana yang penting kesungguhan". - Yasmin Hani, Pelakon/pengacara
"Bukan mahu berahsia, saya enggan mengumumkan tarikh sebab tidak mahu ada di kalangan kenalan yang berkecil hati tiada undangan. Majlis ini juga sederhana, nikah selepas Zohor dan pada sebelah malamnya pula bersanding.
"Memang ada yang mahu menaja tetapi biarlah begini kerana saya sendiri seorang yang ringkas. Biar majlis ini kecil-kecilan, ia cukup bererti buat kami," katanya yang tidak mampu menyembunyikan debaran di hati.
Sebelum ini, bakal suaminya, Shahrin yang juga pemain dram kumpulan Blackrose mendirikan rumah tangga bersama aktres Ida Nerina pada Mac 2006 namun berpisah Disember tahun lalu.
Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata namun menerusi perkahwinan pertamanya, Shahrin mempunyai dua anak yang kini sudah meningkat remaja iaitu Narissa, 15 dan Arman, 9.
Sementara itu, akui gadis berdarah campuran itu lagi, buat masa ini persiapan belum sempurna sepenuhnya memandangkan banyak perkara perlu diambil kira selain dihambat kekangan tugas.
Tetap sedia berkongsi persediaan meniti momen bahagia, kata Yasmin segala-galanya dilaksanakan hasil perbincangan kedua-dua pihak malah ibunya antara orang kuat yang banyak membantu merencanakan acara.
"Sebenarnya saya sendiri kalau boleh mahu mengadakan satu majlis saja, tetapi ibu saya berhajat mengadakan kenduri kesyukuran di kampung kami di Jeram, Selangor. Tarikh belum ditentukan lagi dan mungkin tiada acara naik pelamin.
"Lebih senang begitu kerana kami boleh melayani tetamu yang hadir apatah lagi majlis itu nanti lebih kepada acara perhimpunan ahli keluarga. Tetamu pula kira-kira 500 orang," katanya ketika ditemui pada majlis hari raya Celepets di Bandar Utama, Isnin lalu.
Mengenai pernikahan dan resepsi, bertepatan lokasi serta impiannya melakar hari bersejarah dengan persandingan dalam taman, Yasmin memilih rona putih gading untuk kedua-dua acara yang juga lambang ikatan suci mereka.
Katanya, persalinan pernikahan daripada butik Qamilla SACC Mall, Shah Alam yang dimiliki saudara terdekat Shahrin, manakala gaun bagi majlis resepsi mendapat sentuhan Hatta Dolmat.
"Segala-galanya sedang diuruskan kerana bukan mudah merencana majlis perkahwinan apabila banyak perkara perlu diambil kira. Dari sekecil-kecil benda hinggalah saat berakhirnya kenduri.
"Syukur kerana saya sendiri sudah pergi ke kursus perkahwinan dua atau tiga tahun lalu. Itu pun atas ajakan kawan-kawan. Kami memang sengaja menjalani kursus bersama-sama. Jadi tidaklah kelam kabut melakukan semuanya serentak," katanya yang mengamanahkan pasukan Avicenna Studios sebagai jurufoto dan juruvideo rasmi.
Ditanya soal tanggungjawab sebagai isteri, tanpa berselindung katanya dia sudah bersedia ke arah itu malah sebagai bakal teman hidup, Shahrin diyakini mampu membimbingnya sekali gus merencana masa depan bersama.
Beramal menerusi Celepets
BIARPUN jadual harian padat dengan tugasan dan persediaan bergelar raja sehari, anak ketiga daripada empat bersaudara itu tidak melepaskan tanggungjawab sosial melaksanakan kerja amal menerusi Celepets.
Gabungan dengan teman karib termasuk Sazzy Falak, Dynas, Serena C, Aishah Sinclair, Dahlia Iking dan Atilia rancak mengatur misi membantu mereka yang memerlukan terutama membabitkan isu wanita, kanak-kanak, wanita dan haiwan peliharaan.
"Sebagai insan, inilah saja cara kami menunaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sibuk bukan alasan kerana menghulur bantuan boleh
dilaksanakan dalam pelbagai cara kerana yang penting kesungguhan.
"Walau tidak mampu menyumbang dari segi kewangan, sekurang-kurangnya ia merangsang insan lain untuk sama-sama peka dengan persekitaran
malah mendorong orang lain melaksanakan misi sama. Lebih ramai, lebih baik," katanya mengenai Celepets yang direalisasikan sejak tiga tahun
lalu.
Barangkali melihat kaitan dengan Pets atau haiwan peliharaan, ramai berpendapat mereka hanya lantang bersuara apabila membabitkan isu
terbabit namun sebenarnya ia merangkumi semua perkara yang memerlukan perhatian ramai.
Terbaru, Celepets menganjurkan majlis jamuan hari raya bersama 30 anak yatim orang asli yang diadakan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Utama.