Utusan Online - Hiburan |
Posted: Tetap Yuna yang duluOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MEMANG cukup istimewa apabila sambutan Aidilfitri tahun ini disambut serentak dengan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54. Dalam kita bergembira menyambut Syawal yang sudah pun memasuki hari kedua, sebagai rakyat Malaysia juga tidak seharusnya melupakan tarikh keramat 31 Ogos yang telah merubah kehidupan kita secara total. "Saya harus akui Hari Raya kali ini cukup istimewa kerana kita juga meraikan Merdeka. Pada pendapat saya ini merupakan cara yang paling baik untuk meraikan bulan Merdeka apabila kita dapat beraya bersama-sama rakyat Malaysia yang berbilang kaum. "Di sinilah kita dapat melihat keharmonian dan keserasian walaupun daripada bangsa yang berbeza. Apabila kita menyambut sesuatu perayaan, kita juga sepatutnya berkongsi kegembiraan tersebut dengan orang lain," demikian luahan Yuna sewaktu membuka bicaranya apabila diminta memberikan pendapat tentang sambutan berganda Merdeka dan Syawal tahun ini. Namun, apabila memperkatakan tentang merdeka, barangkali ada yang berpendapat anak muda hari ini semakin jauh menyimpang dari landasan sebenar mereka. Kerana terlalu asyik mengagungkan budaya luar, anak muda hari ini telah dilabelkan sebagai lupa diri sehingga melupakan pengorbanan waris terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan kemerdekaan negara. "Merdeka adalah satu peringatan bahawa kita semua sebagai rakyat Malaysia, tak kira apa jua bangsa, hanya mahukan kehidupan yang selesa dan gembira tanpa persengketaan. "Ia juga mengingatkan kita untuk terus rasa bersyukur kerana kita hidup di negara yang aman damai dan bebas dari krisis-krisis. Tidak seperti negara-negara yang lain yang sedang mengalami krisis dan peperangan. "Sesuatu yang agak menyedihkan apabila kadang kala saya lihat ramai yang lupa yang kita sebenarnya sangat bertuah untuk hidup di bumi Malaysia," jelas Yuna dalam sesi fotografi yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini. Melihat kepada senario remaja masa kini yang semakin tersasar daripada jalan mereka, Yuna masih mengharap agar generasi muda hari terus berpegang teguh kepada jati diri mereka. Kata pemilik nama penuh Yunalis Zarai ini lagi, remaja hari ini memiliki sikap dan sifat yang jauh berbeza berbanding mereka yang dilahirkan sebelum mereka. Pada pengamatannya, remaja hari ini sangat pintar dan tidak pernah lupa untuk mengkaji serta mempelajari sejarah yang telah termaktub. "Daripada pembelajaran mereka, mereka cukup dengan maksud penjajahan dan merdeka secara keseluruhannya. Jika tidak, mana mungkin ada yang menimba ilmu sehingga ke luar negara dan kembali mencurahkan bakti kepada negara. "Dalam masa yang sama, saya tidak menafikan ada juga yang terlalu taksub dengan pengaruh dari Barat. Jujurnya, saya sendiri tidak merasakan untuk mempelajari kepintaran atau kemajuan negara Barat itu adalah satu kesalahan. "Tetapi, jangan sampai terlalu terpengaruh dan mengagungkan budaya kuning yang disebarkan oleh mereka. Dalam kata mudah, yang positif diambil dan mana yang tidak elok itu usahlah diikuti," kata pelantun lagu Gadis Semasa ini penuh bersemangat. Dalam konteks itu, Yuna mengambil contoh dirinya sendiri apabila dia terus berpegang teguh kepada pepatah klasik, di mana bumi dijunjung, di situ langit dipijak. Walaupun sudah berkelana jauh sehingga ke bumi Amerika Syarikat (AS) untuk mengembangkan sayap seninya, kata Yuna, hatinya tetap di Malaysia. Secara jujur anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini memberitahu secara luaran, benar dia sudah jauh berubah. Hampir tiga tahun lalu, dia lebih selesa untuk memilih hanya seluar jeans dan kemeja T bersama sepatu sukan. Tetapi, kini Yuna sudah boleh berbangga apabila ada pihak yang mula melihatnya sebagai ikon fesyen baru. Dalam erti kata lain, Yuna sudah semakin berani berfesyen dan memastikan dirinya sentiasa up-to-date sehingga menjadi ikutan ramai. Ternyata menjadi anak pasca merdeka telah membawa Yuna jauh melangkah setapak langkah lagi dalam anjakan karier serta perubahan untuk dirinya sendiri. "Saya harus akui pemikiran saya kini lebih matang. Jika dulu saya hanya fikirkan kepentingan diri sendiri, selalu bergantung kepada keluarga dan rela hidup selesa tanpa mencuba perkara-perkara baru dan luar biasa yang mencabar minda dan kreativiti. "Selepas mendapat peluang untuk bekerja di luar negara semuanya berubah. Di Los Angeles, ia telah membuka mata saya apabila melihat sendiri bagaimana karyawan mereka bekerja. "Sehinggakan saya menyoal diri saya sendiri apabila melihat mereka mampu untuk memajukan diri sendiri. Benarkah mereka lebih bijak daripada kita sehinggakan filem, muzik dan seni mereka menjadi begitu dahsyat. "Tidak mahu terus berasa selesa dalam lingkaran hidup yang sama, saya memaksa diri saya untuk menjadi meletakkan diri saya setanding dengan mereka dengan berfikir dengan pantas selain menjadi kreatif dan agresif dalam bekerja," jelas anak tunggal ini dengan makna yang cukup mendalam. Untuk itu katanya, selama dua tahun bekerja sebagai pemuzik di AS, dia sudah berjaya mendalami jati dirinya yang sebenar apabila berpeluang bekerja dengan karyawan-karyawan seni hebat. Contohnya, apabila dia mendapat tahu dia akan bekerja dengan penerbit album terkenal, Pharrell Williams, Yuna mampu menepikan rasa gementarnya dan mengekspresi jiwanya sebagai penyanyi serta komposer. "Di sebalik itu, saya juga berdepan dengan masalah kekurangan idea selepas menghasilkan beberapa buah lagu. Mungkin ia berpunca daripada diri saya sendiri kurang membaca dan pengalaman. "Dalam masa yang sama, pengalaman di sana juga telah mematangkan saya sebagai seorang individu apabila bertemu dengan pelbagai latar belakang manusia. "Saya belajar cara-cara untuk bergaul dengan mereka tanpa perlu membuang identiti saya sebagai anak Malaysia. Saya masih diri saya yang dulu, cuma lebih bijak dan matang serta berdikari. Jadi, semua itu semua serba sedikit telah memerdekakan saya sebagai seorang individu," ujar Yuna yang kelihatan cukup bergaya memperagakan rekaan terbaru Syomir Izwa untuk sesi fotografi ini. | ||
Posted: Aidilfitri disambut sederhanaOleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR Nana dan Rayyan akan menyambut Aidilfitri di Seremban. BAGI penyanyi yang terkenal dengan lagu Benang Emas, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 27, kehadiran Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kesederhanaan. Menurut Nana, kebiasaannya dia dan anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3 tahun, akan pulang ke kampung halaman di Felda Sendayan, Seremban apabila Aidilfitri tiba. "Memandangkan kampung Nana di Seremban sahaja, Nana tidak perlu terburu-buru nak balik ke kampung," ujarnya. Tambahnya, lebaran tahun ini, dia bersama anaknya akan turut menziarahi pusara bekas suaminya, Mohd. Faisal Yusup yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu. Sebagai insan yang bergelar ibu, Nana mengakui kehidupannya bersama Rayyan ketika ini sudah cukup sempurna. Bagi Nana, Rayyan adalah permata hatinya dan apa yang dilakukannya dalam karier seni ketika ini adalah untuk kebahagiaan anaknya itu. Nana bergerak sendiri Apabila bercerita tentang kerjaya seninya, Nana kini sudah mengambil inisiatif untuk bergerak sendiri dan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak lain. "Nana telah tubuhkan syarikat sendiri Siti Nordiana Management (SN Management). Tapi ini bukan bermaksud Nana keluar dari FMC Music Sdn. Bhd. "SN Management adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan karier Nana sepenuhnya. "Kiranya, majlis yang diadakan oleh FMC dan SN Management adalah majlis yang berbeza tetapi Nana masih berada di bawah syarikat rakaman tersebut," jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), baru-baru ini. Seiring dengan penubuhan SN Management, Nana berhasrat untuk kembali aktif bergerak sendiri dan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat. "Nana akan kembali aktif di Fan Page Nana di Facebook, Siti Nordiana Fans Club. "Jadi, segala aktiviti yang akan diadakan selepas ini, Nana akan beritahu melalui Facebook," kata Nana. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |