Harian Metro: Rap |
Gosip cinta tak gugat 3 bintang Posted: 29 Aug 2011 07:15 AM PDT CANTIK, ternama dan popular. Tiga artis wanita yang ditemukan bagi sesi fotografi khas sempena Aidilfitri hari ini jelas ada pengaruh kuat dalam industri hiburan Malaysia. Mereka mewakili bidang masing-masing. Lisa Surihani Mohamed sangat menyerlah dalam lakonan, Noor Hasliah Abu Hasan atau Alyah begitu melonjak dalam nyanyian dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain pula hebat dalam dunia pengacaraan. Mempunyai bakat dan populariti juga menyebabkan ketiga-tiga bintang jelita ini sering dikaitkan dengan pelbagai gosip, begitupun apa yang berlaku tidak pernah menghalang Lisa, Alyah dan Nurul Syuhada untuk melangkah dengan yakin sekali gus memberikan yang terbaik buat peminat. Lisa sendiri yang sebelum ini heboh dikatakan akan mengahwini jejaka pilihan hati, Yusry Abdul Halim sekitar 2013 tetap tenang berdepan dengan pelbagai spekulasi membabitkan dirinya.
Lisa mengakui dia dan keluarganya terkejut namun enggan melatah. "Sekurang-kurangnya biarlah kami memberitahu ahli keluarga terlebih dulu mengenai apa-apa perancangan. Kalau ada apa-apa perkembangan yang sah, pasti kami akan beritahu juga nanti," kata Lisa. Bercerita mengenai sambutan raya, Lisa akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan semua ahli keluarga dan saudara-maranya menetap di sini. Alyah pula yang semakin melonjak dengan lagu Kisah Hati turut terkena tempias gosip apabila dia dilaporkan menjalin hubungan rapat dengan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS. Cerita itu jelas membuatkan ramai pihak terkedu kerana tiada angin, tiada ribut, pokok sudah bergoyang. Pada fotografi itu, Alyah menjelaskan perkara itu usahlah diperbesarkan lagi kerana dia hanya bersahabat dengan Ramli. Dia faham, itu bukan kali pertama Ramli digosipkan dengan artis dan enggan melatah. "Alyah baru kembali bernafas dalam dunia nyanyian. Susah untuk Alyah bina semula nama yang pernah tenggelam satu ketika dulu. Jadi buat masa ini biarlah Alyah bekerja keras untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang ini dan barulah berfikir soal bercinta apa lagi berkahwin. "Alyah anggap itu semua asam garam dunia hiburan. Tidak salah rasanya kalau Alyah berkawan dengan orang yang baik termasuk juga Ramli," ujarnya. Syawal kali ini Alyah semakin sibuk dengan pelbagai program hiburan dan hanya berpeluang balik kampung di Gelang Patah, Johor pada pagi hari raya pertama. "Alyah mesti menyambut raya dengan mak. Persiapan raya lebih bertumpu kepada anak angkat Alyah (Afiqah) yang umurnya baru tiga tahun," katanya. Sementara itu bagi Nurul Syuhada, tahun ini rayanya pasti berbeza kerana baru saja mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Raja Amir Shah Raja Azwa. Bercerita mengenai statusnya sebagai isteri sekarang, semangat tugas Nurul tidak pernah luntur. Malah dari satu sudut, perkahwinan memberikan dia lebih keyakinan untuk memberikan yang terbaik buat penonton TV3. "Sebelum ini ada ramai penyampai TV3 lebih 'senior' sudah berkahwin dan masih berjaya mengimbangi kerjaya dan rumah tangga. Pada saya perkahwinan tidak sepatutnya dijadikan isu atau penghalang," katanya. Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, kata Nurul dia tidak berdepan masalah untuk beraya di rumah siapa kerana rumah mentuanya terletak di Damansara manakala ibu bapanya pula menetap di Sungai Buluh, Selangor. Bagi pengacara Majalah 3 itu, bukan raya di mana yang menjadi isu persoalannya, sebaliknya bagaimana cara umat Islam memenuhi tuntutan raya itu agar mendapat rahmat dan kesejahteraan. PROFIL LISA SURIHANI: NAMA SEBENAR: Lisa Surihani Mohamed PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda HELP University College & Ijazah Undang-Undang dari Aberystwyth University United Kingdom. KERJAYA: Model, pengacara, pelakon. FILEM: Goodbye Boys, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3 Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Lagenda Budak Setan, Kapoww!!, Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Sekali Lagi, Papa I Love You, Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan 2, Cyber X: Ancaman Penggodam, S.A.M. DRAMA: Ayah Kami, Jeff's Place, Obsesi Suriati, 3 Janda Intan, Seputih Salju, AdaMaya, Mertua vs Menantu, Tudung Ekspress IKLAN: Johnson & Johnson, McDonald's, Hotlink, Rexona, MyEG, Lip Ice, Garnier, Honda Icon PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia 2, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010. PROFIL NURUL SYUHADA NAMA PENUH: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia STATUS: Berkahwin PROFIL ALYAH NAMA PENUH: Noor Hasliah Abu Hasan SINGLE POPULAR: Tak Mungkin Kerna Sayang, Ku Pinjam Satu Bintang (feat Riz AF6), Realiti Dewi, Kau Bisu, Kisah Hati ALBUM: Album Kompilasi Khas Dr Mahathir - Kita Adalah Kita, Permata, Kompilasi GEMPAQ, Fantastik/The Fabulous Cats, Alyah, Kisah Hati PENCAPAIAN: Juara Wirawan EON, Juara Suara Johor, Juara Bintang Asli, Juara Bintang Sensasi Johor, Naib Johan Asia Bagus! Juara Bintang MPPJ, Juara Bintang HMI, Lagu Paling Popular Era FM - Tak Mungkin Kerana Sayang, Persembahan Terbaik GAH1 Akhir RTM, Lagu Terbaik Best Song GAH1 Akhir RTM (2010) - Tak Mungkin Kerna Sayang. |
Posted: 29 Aug 2011 06:22 AM PDT SYUKUR ke hadrat Ilahi, Ramadan yang indah sudah selamat kita tempuhi selama sebulan dan kini tibalah detik Aidilfitri yang membawa sinar kemenangan buat semua umat Islam. Tambah syukur kita gembira kerana dilahirkan sebagai warga negara Malaysia yang bebas dan merdeka bagi menyambut perayaan dalam penuh kemeriahan dan rasa muhibah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, warga kerja RAP (Rentak Artis Popular) - sisipan hiburan di Harian Metro - tampil bergambar khas untuk meraikan hari yang penuh bermakna ini. Bukan tujuan untuk mencuri glamor, sebaliknya ia sekadar kesepakatan kami untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca setia Harian Metro, khususnya yang menggemari cerita hiburan setiap hari, atas segala sokongan terhadap akhbar ini.
Kami di RAP juga berazam untuk terus bekerja keras bagi membangunkan industri hiburan tanah air khususnya melalui laporan berita yang membina sekalipun tidak terlepas daripada elemen sensasi. Diharapkan semua yang meraikan hari raya kali ini akan selamat dalam setiap destinasi perjalanan dan meraikan Aidilfitri dengan penuh keceriaan. Salam Syawal dan Salam Merdeka! Hari ini sisipan RAP turut menyajikan pelbagai kisah menarik yang relevan dengan sambutan Aidilfitri kepada anda pembaca yang budiman. Antara paparan kami adalah 'cover story' atau kisah muka depan yang memfokus tiga selebriti yang dianggap hebat dalam arena masing-masing iaitu Lisa Surihani (pelakon), Alyah (penyanyi) dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain (pengacara). Apa cerita raya mereka tahun ini selain apa komen mereka terhadap tempias gosip hangat yang melanda diri masing-masing? Seterusnya kami juga menampilkan kisah keluarga seni yang terkenal, pelakon Khaty Fauziah bersama dua anaknya yang cukup berbakat, Zizie Ezette dan Shaheizy Sam sebagai penyeri halaman muka tengah. Tidak ketinggalan cerita lain mengenai Anita Sarawak bersama program rayanya, Astana Aidilfitri serta kisah sedih ahli keluarga vokalis Spring, Ameng yang begitu sayu menyambut hari raya tanpa kehadirannya yang kini menjalani hukuman penjara. Dalam pada itu, kita imbas kembali gambar muka depan RAP untuk empat tahun kebelakangan ini. Ternyata dalam tempoh itu, dua artis nampaknya masih mempertahankan populariti mereka untuk ditampilkan sebagai penyeri muka depan.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |