Adsense

Sabtu, 20 Ogos 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Tasha Shila Akui Sukar Bawa Watak Baik

Posted: 19 Aug 2011 07:15 AM PDT


KUALA LUMPUR: Pelakon baru, Tasha Shila, bersyukur kerana tawaran lakonan yang diterimanya tidak pernah putus sejak awal Januari selepas dia membintangi drama Gemilang.

Menurut Shila, dia tidak sangka, kerjaya lakonan untuk beberapa drama lakonannya diterima umum dan dia menganggap ia merupakan rezeki bagi mengembangkan bakat seninya.

"Selepas drama arahan Khabir Bahtia, Gemilang, saya terus ditawarkan berlakon menerusi drama Sahara pula dan kedua-dua drama tersebut saya membawa watak antagonis.

"Mengejutkan, saya dapat rasa watak antagonis yang dilakonkan benar-benar menepati kehendak orang ramai kerana ada beberapa orang di luar sana mengatakan yang dia tidak sukakan saya kerana watak yang dibawakan itu," katanya yang bakal muncul dengan filem keduanya, Klip 3GP pada hujung tahun ini.

Tambah Tasha, dia tidak kisah jika dirinya dibenci kerana watak, cuma dia mengingatkan kepada semua bahawa, karakternya yang sebenar tidak sama dengan watak yang dilakonkannya dalam drama mahupun filem.

Dalam pada itu. Tasha turut mengakui bahawa dia agak sukar menjiwai watak baik berbanding watak antagonis yang sering dilakonkannya sebelum ini.

Katanya, watak baik memerlukan dia bermain dengan emosi dalaman tanpa menunjukkan mimik muka marah atau dendam.

"Seperti yang saya lakonkan watak Sakinah dalam drama Ramadhan Terakhir yang masih lagi ditayangkan di TV3, saya perlu bermain emosi dalaman dan segala perasaan marah kena simpan dalam hati. Lain pula untuk watak antagonis, setiap rasa tidak puas hati akan dikeluarkan saja.

"Apa-apa pun, saya harap dapat mengasah bakat lakonan saya dengan melakonkan pelbagai jenis watak di masa akan datang nanti," tuturnya.

Shila Amzah Tinggalkan 'Monkey Bone'

Posted: 19 Aug 2011 07:14 AM PDT

PETALING JAYA: Selepas tiga tahun bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, penyanyi Shila Amzah mengambil keputusan untuk menguruskan kerjayanya sendiri dengan meninggalkan syarikat itu.

Tambah Shila, dia yakin mampu menguruskan perjalanan kerjayanya terutamanya dalam bidang nyanyian dengan lebih baik secara berseorangan.

"Saya rasa sudah sampai masa untuk saya menguruskan kerjaya saya sendiri, saya faham mereka (Monkey Bone) menguruskan ramai artis dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada saya seorang sahaja.

"Tapi bagi saya pula sebagai penyanyi saya mahu produk saya keluar segera," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program-Program Baru TV3 dan TV9, di sini, Khamis.

Tambah Shila, bukan kerana kecewa terhadap syarikat rakaman tersebut tetapi dia mahu merangka strategi sendiri untuk masa depan kerjayanya.

"Formula yang digunakan oleh Monkey Bone mungkin sesuai dengan artis-artis lain tetapi tidak sesuai dengan saya.

"Lebih baik saya buat strategi dan formula sendiri untuk album saya dan jika ia untung atau rugi saya yang tanggung sendiri," katanya.

Bagaimanapun, kata Shila, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang secara baik dengan pihak Monkey Bone.

"Saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Bone, Ahmad Izham Omar dan selesaikan perkara ini dengan baik.

"Lagipun jika saya tidak mendatangkan keuntungan pada syarikat rakaman tersebut lebih baik saya keluar," katanya.

Dalam pada itu, "single" pertama lagu Hari Raya nyanyian Shila berjudul "Patah Seribu" mula dimainkan di stesen-stesen radio tempatan.

Tambah Shila, lagu tersebut merupakan lagu pertama ciptaannya yang dirakamkan.

"Lagu "Patah Seribu" ini merupakan lagu pertama ciptaan saya sepenuhnya yang saya rakamkan.

"Banyak lagi lagu-lagu yang saya cipta tapi belum berkeyakinan untuk merakamkannya," katanya.

Fedtri Yahya Masih Sedih Isteri Keguguran

Posted: 19 Aug 2011 07:13 AM PDT


PETALING JAYA: Pengacara Malaysia Hari Ini, Fedtri Yahya, 30, mengakui masih berasa sedih selepas isterinya Nurul Anati Ismail, 26 mengalami keguguran bayi pertama pada 26 Julai lalu.

Peristiwa itu berlaku selepas kedua mereka pulang daripada berbulan madu di Korea.

Kata Fedtri, keguguran kandungan yang baru berusia lima minggu itu berkemungkinan disebabkan isterinya terlalu banyak bergerak ketika mereka berada di sana selama empat hari.

"Sebelum pergi berbulan madu kami sudah membuat pemeriksaan doktor terlebih dahulu, namun tiada apa-apa tanda positif yang dia mengandung.

"Setelah beberapa hari pulang kami buat pemeriksaan sendiri dan keputusannya positif, namun beberapa hari selepas itu berlaku pendarahan yang menyebabkan keguguran," ujarnya yang ditemui pada Majlis Pelancaran Program Raya TV3 dan TV9, di sini, Khamis.

Pasangan ini telah melangsungkan perkahwinan pada 28 Mei lalu di rumah pengantin perempuan di Pengkalan Machang, Pasir Mas, Kelantan.

Biarpun masih bersedih, namun Fedtri menerima kenyataan bahawa belum dikurniakan rezeki dan menganggap ada hikmah di sebalik keguguran tersebut.

"Siapa tak sedih, semasa mendapat tahu isteri mengandung, saya paling teruja namun saya faham bukan rezeki saya untuk menimang cahaya mata.

"Apa yang penting isteri saya selamat dan saya faham perasaan dia selepas keguguran lebih sedih berbanding saya," ujarnya.

Tambah Fedtri selepas kejadian tersebut, dia beberapa hari menjaga isterinya di rumah.

"Saya tidak cuti tapi saya kerap pulang ke rumah untuk menjenguk dan masak untuk dia.

"Itu juga pengalaman yang sangat berharga kerana sebelum ini saya hanya jaga diri sendiri tetapi kini ada tanggungjawab menjaga orang lain pula," katanya.

Dalam pada itu, bercerita kehidupan selepas berumah tangga, Fedtri mengakui dia lebih bahagia dan sering menghabiskan masa di rumah.

"Kehidupan saya hanya di pejabat dan rumah, jika tiada kerja saya duduk saja di rumah. Isteri saya seorang yang rajin memasak dan saya pula pemakan," ujarnya berseloroh.

Dadah : Samzy Fuzette Berpeluang Sambut Aidilfitri

Posted: 19 Aug 2011 07:12 AM PDT


SHAH ALAM: Bekas pelakon, Samzy Fuzette A. Samad pada Khamis, boleh menarik nafas lega kerana berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya selepas dibebaskan dengan jaminan, sementara menunggu rayuan kes dadahnya di Mahkamah Rayuan yang akan ditetapkan kemudian.

Jika tidak, Samzy yang juga abang kepada pelakon, Zizie Ezette akan menyambut hari kebesaran umat Islam itu di balik tirai besi memandangkan dia sedang menjalani hukuman penjara selama 30 bulan dan sebatan tiga kali bagi kesalahan memiliki syabu.

Hukuman tersebut berjalan pada 12 Julai lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Dua minggu selepas hukuman itu dijatuhkan, iaitu pada 25 Julai lalu, Samzy yang pernah mencuba nasib dalam industri seni menerusi drama Cucu-Cucu Atuk dan Seri Istana memfailkan notis usul untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan.

Permohonan itu didengar pada Khamis, dan peguam Samzy, Muhammad Faiz Fadzil memohon agar jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya kerana prosiding rayuan berkemungkinan akan mengambil masa yang lama.

"Pemohon (Samzy) dihukum penjara selama 30 bulan dan jika diberikan diskaun, mungkin dia hanya perlu menjalani hukuman selama 20 bulan.

"Ini akan prejudiskan dia jika permohonan dia untuk mendapatkan kebenaran merayu didengar lebih lewat daripada tarikh dia selesai menjalani hukuman," kata Muhammad Faiz.

Selain itu, Muhammad Faiz juga berkata, pengalaman berada di penjara sejak lebih sebulan lalu banyak memberi pengajaran kepada Samzy yang perlu menanggung tiga orang anak yang masih kecil memandangkan isterinya, Sarinah Mohammad, 32, tidak bekerja.

"Jika permohonan ini dibenarkan, pemohon dapat menguruskan hal keluarganya di samping dapat menyambut hari raya yang tidak lama lagi dengan keluarga," tambahnya.

Beliau juga memberitahu, Samzy tidak akan melarikan diri kerana dia berhasrat mahu menggunakan peluang di Mahkamah Rayuan untuk membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut dan bersedia untuk menerima apa sahaja syarat tambahan yang akan diberikan oleh mahkamah.

Pada prosiding itu, Samzy turut diwakili oleh peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar.Permohonan itu di bantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam atas alasan Samzy telah disabitkan bersalah seperti pertuduhan yang dihadapinya selepas perbicaraan penuh diadakan.

Hakim Datuk Mohd Sufian Abdul Razak selepas mendengar hujahan-hujahan tersebut, membenarkan Samzy yang juga abang ipar kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengenakan syarat tambahan supaya Samzy melaporkan diri di Balai Polis Ampang Jaya, dekat sini yang berhampiran dengan rumahnya pada setiap bulan bermula 19 Ogos ini manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Sebaik sahaja mendengar keputusan itu, Samzy yang hadir di mahkamah dengan memakai pakaian seragam penjara berwarna merah dan dikawal oleh empat kakitangan penjara dilihat meraup wajahnya dan tersenyum.

Sarinah dan ibu Samzy, Khaty Fauziah yang berada di galeri awam mahkamah pula mengalirkan air mata menerima keputusan tersebut.

Turut hadir memberikan sokongan ialah tiga lagi keluarga Samzy, manakala anak-anaknya yang berusia 10, setahun enam bulan dan enam bulan dibawa masuk untuk berjumpa bapa mereka sebelum prosiding bermula.

Khaty Fauziah semasa ditemui berkata, dia gembira dengan keputusan tersebut.

"Alhamdulillah. Doa saya dan anak-anak dimakbulkan Tuhan," katanya dalam nada yang tersekat-sekat.

Pada 30 November 2010, Majistret Aida Mastura Mohamed Aman memerintahkan Samzy dihukum penjara 30 bulan dan disebat tiga kali selepas didapati bersalah memiliki 12.15 gram syabu.

Samzy yang kini menjalankan perniagaan sendiri didakwa memiliki dadah itu pada pukul 3.30 petang, 11 April 2005 di rumah beralamat DG-W4, Kondominium Villa Ria, Taman Bukit Mulia, Jalan Mulia 1/5, Bukit Antarabangsa, dekat sini.

Dadah tersebut disimpan dalam 10 paket plastik lut sinar dan dijumpai dalam beg pinggang berwarna hitam dan di dalam beg tersebut terdapat dompet yang mengandungi kad pengenalan dan dokumen peribadi Samzy.