macam macam hiburan terkini |
- Kontroversi Tak Ganggu Kerjaya Neelofa
- Salimah Mahmood, Masih Lagi Aktif Menyanyi
- Transformasi Irma
- Cinta maya Yassin-Farah
- Noraniza kejar berkat Ramadan
- Leya fobia bunga api
- Alvin pernah jadi badut
- Demi cinta Melly
- ‘Terima kasih’ David
- Motif dendam dirogol, disimbah asid
- Gambar kepala dipenggal trend baru dalam internet
- Terkejut lihat lembu depan pintu
- Telefon pintar ‘lembab’ di pedalaman
- Stesen komuter China ada beg tinju gergasi
Kontroversi Tak Ganggu Kerjaya Neelofa Posted: 13 Aug 2011 09:40 PM PDT Menurut bekas juara Dewi Remaja 2011 itu, pada mulanya, dia risau apabila sering dikaitkan kontroversi yang negatif kerana ia mampu menjejaskan kariernya. "Saya menyertai bidang hiburan tempatan kerana satu tujuan iaitu mahu mengukuhkan nama menerusi prestasi lakonan dan pengacaraan. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan. "Alhamdulillah, walaupun nama saya dikenali kerana kontroversi, tawaran lakonan juga tidak putus-putus," katanya. Tambah pelakon filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) itu, dia tahu, sebagai seorang selebriti yang dikenali umum, dia tidak boleh elak daripada sebarang gosip yang menimpanya. "Saya percaya, kita tidak boleh elak kontroversi dan menjadi seorang selebriti bukannya mudah. "Apa-apapun, selain kontroversi, saya juga mahu orang ramai melihat hasil kerja yang saya usahakan," ujarnya. Selain itu, Neelofa turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis dan juga kini dia sedang mengendalikan program hiburan terbitan KRU TV, Paparazzi bersama dua hos lain iaitu Aina Suzaily Zailanny dan Sharifah Sakinah. "Saya juga sedang berjinak dalam bidang pengacaraan dan Paparazzi merupakan pengacaraan program pertama saya. "Lagipun, matlamat saya ke bidang hiburan sebenarnya untuk menjadi seorang pengacara dan harap, bakat saya dapat dikembangkan dalam selain lakonan," tuturnya. Paparazzi merupakan sebuah prgram hiburan yang menyampaikan berita-berita panas mengenai selebriti Malaysia dan Indonesia. Program tersebut disiarkan menerusi laman web www.tonton.com.my dan akan bersiaran di sebuah televisyen tidak lama lagi. |
Salimah Mahmood, Masih Lagi Aktif Menyanyi Posted: 13 Aug 2011 09:39 PM PDT Salimah berkata, dia tidak pernah berhenti daripada bidang nyanyian malah sering memenuhi undangan persembahan lebih-lebih lagi daripada majlis badan-badan korporat dan kerajaan. "Alhamdulillah, setiap minggu, ada saja undangan nyanyian yang saya terima. Saya gembira dengan kehidupan sekarang dimana saya tidak perlu mengejar glamor untuk mendapat nama. "Saya terasa seperti seorang pekerja yang bekerja sebagai penyanyi dan ya, saya selesa begini," katanya. Tambah Salimah, dengan tidak berhadapan dengan publisiti juga membuatkan dia mudah untuk menjaga kualiti diri sebagai seorang penyanyi profesional. "Mungkin juga kerana faktor usia saya, rasanay tak perlulah nak glamor sangat. Biarlah saya bekerja keras demi bidang yang saya minati. "Selain menyanyi lagu-lagu sendiri dan lagu saduran, saya juga perlu tahu membawakan lagu-lagu daripada pelbagai negara luar. Ini penting apabila saya diundang menyanyi untuk tetamu-tetamu daripada negara luar," tutur penyanyi yang popular dengan lagu Melati Suntingan. Ditanya pula bagaimana vokalnya masih lagi mantap dan mampu memenuhi pelbagai undangan nyanyian, kata Salimah, dia hanya memerlukan rehat yang secukupnya selain tidak memakan makanan yang berminyak. "Penjagaan kesihatan amatlah penting jika mahu menjaga suara kita agar tidak pecah. Tapi rasanya, amalan menjaga kesihatan perlu dilakukan walaupun kita bukanlah seorang penyanyi," ujarnya. |
Posted: 13 Aug 2011 09:37 PM PDT Ketara berbeza adalah penampilannya yang kini mendapat perhatian dan pujian marhaen. Imej muslimah yang dibawa Irma ternyata memaut setiap pandangan. Dia akur bahawa transformasi itu tidak ditutur ramai tetapi khalayak sentiasa mahukan perubahan positif dalam atmosfera dunia hiburan. Manis bertudung dengan gaya tersendiri, ucap Irma penuh syukur, perubahan imej dan persona ini membawa juga transformasi dalam pengaliran rezekinya. "Syukur, makin murah rezeki. Perjalanan hidup saya makin tenang walau sibuk dengan kerjaya. Saya bersyukur walaupun kadangkala rasa penat tetapi rezeki saya makin murah. Saya hanya perlu korbankan masa," ujar Irma yang tenang bersuara. Terbaru, wanita muda berusia 29 tahun ini muncul dalam siri Kasih Alia terbitan JS Pictures yang kini ditayangkan di saluran TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Membawa watak Qistina, Irma memerankan anak sulung yang paling rapat dengan ibunya. "Paling mendengar kata dan sesuai dengan imej diri saya yang bertudung kini," ujar Irma tentang drama 26 episod tersebut. "Saya berlakon bersama Sheila Rusly dan Fida dan siri ini menampilkan konflik keluarga tiri yang berlaku dalam masyarakat," ujarnya yang seronok berlakon bersama pelakon-pelakon lain seperti Sharnaaz, Iqram Dinzly, Erry Putra dan Rafidah Ibrahim. Seiring pertukaran imej yang berlaku buat pelakon yang mula dikenali melalui filem Kuliah Cinta ini, ada yang menganggap Irma bakal meninggalkan dunia lakonan. Ujar Irma telus, dia belum terfikir untuk berhenti daripada kerjayanya sebagai pelakon walaupun sudah berubah imej. "Sampai hari ini, hati saya belum terdetik lagi untuk berhenti bidang lakonan sejak bertudung. Syukur kerana pihak produksi begitu memahami saya," ujar Irma yang meminta pihak produksi memperuntukkan 30 minit setiap kali waktu solat kerana mahu membuang dan memakai solekan. Tidak berdepan masalah dengan setiap penggambaran yang dilakukan, Irma turut bersyukur kerana tidak putus-putus diberikan tawaran berlakon dan mengacara. Terbaru, pelakon comel ini diberi kesempatan mengendalikan program Solehah dan Assalamualaikum yang ditayangkan di saluran TV AlHijrah. "Saya mahu mencari akhirat. Pernah terfikir kenapa tidak sedar daripada awal lagi dan kenapa ketika berusia saya 26 tahun, baru saya terpanggil untuk berubah? Tapi saya tetap bersyukur kerana Allah buka hati saya," kata Irma menjadikan lakonan sebagai medium untuk berdakwah ke jalan yang diredai Tuhan. Selain itu, pelakon ini turut melebarkan kerjayanya dan bergelar usahanita hasil kerjasama dengan pereka fesyen kegemarannya, Ezuwan Ismail. Irma dan Ezuwan yang juga merupakan rakan baiknya bekerjasama mengeluarkan seleksi jubah yang diberi nama Irma Hasmie by Ezuwan Ismail dikeluarkan dengan sepuluh rekaan eksklusif dalam sepuluh warna. Menurut Irma, rekaan busana tersebut juga hasil perbincangan dan persetujuan dirinya dan Ezuwan Ismail sendiri. |
Posted: 13 Aug 2011 09:36 PM PDT Begitulah yang terzahir pada pasangan baharu ini. Usik-mengusik, gurauan kecil jadi perencah utama sesi temu ramah ini. Episod cinta Yassin Senario, si pembikin lelucon dan pencetus ketawa marhaen sedang berkembang cantik. Cintanya dicurahkan habis-habisan setelah bergelar suami kepada Farah Wahida Maharidan, 32, sejak tiga bulan lalu. Yassin banyak senyum-senyum malu, memandang terus ke muka isteri yang dinikahi 15 Mei lalu di Putrajaya. Seperti mahu disimpannya Farah dalam jasadnya kalau dilihat kepada pandangan itu. Ya, bak kata usikan orang tua-tua, 'Pengantin baru pantang tercuit'. Bukan rahsia Bersua pasangan pengantin baru ini pada majlis berbuka puasa program Melodi, Farah dan Yassin bersetuju untuk dipotretkan kali pertama sebagai pasangan. Ujar Farah, kali pertama mereka muncul di majlis rasmi adalah pada 10 Ogos lalu untuk program Melodi Raya. Rasa kekok tapi dia perlu belajar beradaptasi dengan suasana sebegitu lantaran sekarang sudah bergelar pengurus kepada suami sendiri. "Bukan niat untuk merahsiakan pernikahan saya. Buat saya, biarlah famili dan saudara terdekat yang tahu. Apa yang penting kami sudah bergelar suami isteri," kata Yasin sambil melirik kepada si isteri. Yassin juga membuka cerita cintanya. Katanya, pertemuan di laman maya popular, Facebook, menjadi mukadimah cintanya dan Farah. Ia episod cinta serius mereka. "Kali pertama berjumpa kami keluar makan ramai-ramai. Kemudian saya hantar mesej di Facebook, mengingatkan dia yang kami pernah bertemu. Lantas selepas itu kami jadi kawan di Facebook dan kerap juga berbual. "Selepas lama berbual di alam maya, dia minta nombor telefon saya dan ajak keluar. Waktu itu kami sudah lima bulan 'bertemu' di Facebook. Selepas itu kami rasmi sebagai pasangan," ujar Farah yang senang bercerita tentang kisah cinta mayanya yang kemudian bertukar realiti. Sambung Farah, Yassin kemudian membawanya pulang ke kampung halaman untuk bertemu famili. Nasihat keluarga usah lama-lama ke sana sini tanpa status. Pesan dan nasihat keramat itu diambil serius. Lalu pada bulan ketujuh perkenalan, mereka mengikat kasih yang utuh dan abadi. UJAR Yassin, Farah itu wanita tegas dan menjadi pemangkin dalam transformasi dirinya. Ciri-ciri dicari Sekarang mereka menjadi suami isteri yang sah dan sedang belajar berkasihan selepas kahwin, sesuatu yang dilakukan oleh pasangan zaman dahulu. Ia manis dan punya tarikan tersendiri. "Sasaran saya sebenarnya mahu nikah pada usia 25 tahun, ikut Rasulullah SAW. Tapi terbabas. "Namun, saya bersyukur bertemu jodoh dengan Farah," terang Yassin dan kemudian mengusik Farah, kenapa lewat dia hadir dalam hidupnya. "Isteri saya, Farah seorang yang tegas. Itu ciri utama yang saya cari dalam seorang wanita. Agar nanti dia boleh membimbing saya, boleh tegur apa yang patut. Paling penting dia tidak hipokrit. "Saya hargai kejujurannya dan dia boleh terima saya seadanya," ujarnya yang tahu bahawa Farah pasti tidak terlepas pandang akan cerita-cerita silamnya baik jernih mahupun keruh. "Jujurnya saya peminat Senario. Dalam grup tersebut, saya suka Apek dan abang (Yassin). "Saya pernah pergi sekeluarga melihat persembahan mereka waktu saya di Johor," ujarnya yang tidak menyangka status peminat bertukar isteri dalam selang waktu yang tidak terfikirkan. Mengulas si suami yang baru dikenali luar dan dalam masuk hari ke-90, Farah sangat menyenangi sifat penyabar yang dipamerkan Yassin. Katanya, sangat susah melihat Yassin melempar amarah. Bagi dirinya, Yassin terbalut sifat sabar yang tinggi. "Marah-marah itu kan perangai jin," sampuk Yassin senyum. Ditebak kalau-kalau dalam perangai melucu Yassin yang jelas di pentas dan kaca televisyen terbalut sisi romantik, Farah mengangguk. "Kadangkala dia romantik, malah kadangkala terlebih. Tapi sebenarnya abang tak banyak cakap," ujar Farah yang diusik-usik Yassin dengan gerak tubuh manja sepanjang fotografi. Pengakuan Yassin, dia terkena kejutan budaya. Selesa hidup bersendirian sebelum ini, kini makan pakai dan tidurnya dijaga sang isteri, pengarang hati penenang jiwa. "Farah banyak mengubah saya. Dulu hidup saya banyak berteman, mahu berkawan-kawan. Tapi kini saya selalu bersamanya," jelas Yassin yang nampak santai dengan pernyataan itu tapi punya makna yang tersirat. "Dia kini jadi pengurus saya. Tahu jadual saya. Saya baru selesai dengan filem Sofaz The Movie. Juga bakal muncul dengan program Maharaja Terbaik serta Lawak Minggu Ini di Astro," ujarnya yang mengaku ada sikap selektif dalam berkarya. MAHU kelihatan sedondon pada pagi Syawal, pasangan ini teruja untuk beraya bersama. "Saya bercuti panjang sebelum ini. Saya ambil keputusan untuk memilih kerja sebab mahu bercuti," ujarnya serius. Bercerita secara serius, Yassin bangga melihat perkembangan lawak tanah air. Baginya, pelawak-pelawak kini mempunyai tempat tersendiri dan diterima baik khalayak. "Sebagai penghibur dan pelawak, saya berbesar hati dengan penerimaan masyarakat terhadap pelawak," ujarnya yang bakal membawa isteri berhari raya di Sentul, Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung halaman isteri di Kluang, Johor. "Seronok dan teruja mahu beraya dengan suami," ujar Farah dan disampuk Yassin bahawa mereka mahu pakai baju raya warna sedondon. Pengantin baharu ini ketara sedang bersanding rasa dan jiwa. Belum terlewat untuk mengucapkan selamat pengantin baharu buat mereka. |
Posted: 13 Aug 2011 09:34 PM PDT Sekadar melihat secara luaran, riak wajah wanita berusia 43 tahun itu jelas di ambang bahagia. Senyumnya terukir dan sesekali dia melirik lembut memerhatikan tunangannya, Jeffri Hudi, 52, yang kali pertama dibawa berdepan puluhan wartawan. Untuk pengetahuan, Noraniza ibu tunggal kepada dua cahaya mata, dan Jeffri bapa tunggal empat anak itu berkenalan sejak Ramadan tahun lalu di sebuah bazar Ramadan di Johor Bahru. Ketika itu Noraniza sibuk menguruskan jualan amal biskut raya termasuklah kuih tat nanas untuk mencari dana tabung anak-anak yatim. "Saya diperkenalkan dengan Jeffri oleh seorang ustaz yang berurusan dengan saya. Katanya, Jeffri orang Singapura yang bertugas sebagai bilal di sana. "Kebetulan saya ada adik yang berniaga biskut raya di Singapura. Dari situ kami mula berhubungan dan dia pula rajin menghantar SMS kepada saya," cerita Noraniza. Mengikat tali pertunangan pada 22 April lalu, kini penyanyi yang senang dibahasakan sebagai Kak Ani itu bukan sahaja berdebar untuk berdepan detik 29 September nanti sebagai hari pernikahan ketiganya, bahkan ada perkara yang tidak kurang penting dalam hidupnya. Majlis pernikahan kelak bakal berlangsung serentak dengan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 yang julung-julung kali diadakan di negeri berkenaan anjuran syarikat miliknya sendiri dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Johor. Seiring dengan objektif festival yang dijalankan, Noraniza bersama Jeffri, yang bertugas sebagai bilal bebas di Singapura itu akan bernikah dan bersanding dalam acara besar-besaran serta penuh adat-istiadat negeri Johor. Tidak hanya untuk tetamu jemputan, majlis akad nikah serta persandingan Noraniza bersama Jeffri itu terbuka untuk disaksikan semua pengunjung festival yang berlangsung selama empat hari di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru itu. SENSASI BINTANG: Ceritakan bagaimana idea pernikahan sebegitu ditimbul? NORANIZA: Projek Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia itu sudah saya rancang sejak dua tahun lalu. Sebenarnya saya dan tunang tak merancang untuk kahwin secara besar-besaran, cukup sekadar dilakukan dalam sebuah majlis sederhana di masjid. Asalnya juga, saya bercadang untuk berkahwin pada 1 Oktober tetapi keluarga mencadangkan tarikh 29 September berdasarkan alasan tertentu yang lebih afdal. Mengapa tiba-tiba putuskan untuk menganjurkan majlis pernikahan sendiri serentak dalam suasana festival kahwin yang juga dianjurkan syarikat Ani (Noraniza)? Idea itu datang selepas saya dilamar pada 22 April lalu. Mulanya macam tak nak buat, tapi saya nak rasa pengalaman itu dan mahu istiadat perkahwinan yang cuba saya ketengahkan itu dapat dikongsi bersama masyarakat. Walaupun itu perkahwinan ketiga dan kedua buat Jeffri, tapi ia tetap hari besar saya. Bagaimana pula penerimaan pihak bakal pengantin lelaki dalam soal ini? JEFFRI: Saya memang tidak jangka pernikahan saya akan dijalankan dalam majlis sebegitu meriah. Soal jodoh dan rezeki adalah urusan Allah. Memang asalnya kami merancang untuk majlis perkahwinan yang sederhana, tapi memikirkan Ani mahu ia dilangsungkan dalam majlis sebegitu, saya setuju dan beri sokongan. Sejujurnya adakah anda (Jeffri) mengenali dan mengetahui sejarah hidup Ani sebelum ini? Mengenali Ani, saya tahu dia seorang artis cuma tidak secara mendalam. Apabila kami sudah berhubungan, dari situ saya mula mengenalinya. Saya boleh menangis mendengar kisah hidupnya. Sungguh saya amat memahami situasi yang pernah dilalui kerana saya juga pernah mengalami perkara yang sama (perceraian). Selepas ini, saya juga tidak akan menghalang Ani daripada terus bergiat dalam bidang seni. Apa kualiti Ani yang memikat hati anda (Jeffri)? Kalau dari segi kecantikan itu, semuanya akan luntur bila kita tua. Saya suka dengan wawasan yang selalu Ani perkatakan, dia bercakap tentang masa depan. Saya fikir, kami ada ruang untuk hidup bersama dan boleh bentuk sebuah keluarga yang bahagia. Saya tidak akan menyekat kerja-kerja seninya. Bagi saya dia juga sebutir mutiara kepada negara dan saya seorang yang cukup bertuah. Untuk Ani pula, bagaimana boleh terbuka hati untuk berkahwin lagi? Sejarah hidup saya memang menakutkan. Kalau diikutkan, saya memang serik untuk berkahwin dan 90 peratus hidup saya adalah untuk kerja, dengan syarikat dan Akademi Tatih Seni. Tapi bila secara kebetulan bertemu dengan Jeffri, dia selalu ambil berat. Saya pula banyak bertanya tentang agama, dari situ kami mula rapat dan rasa cinta itu datang secara semula jadi. Bagaimana dengan pandangan Ani terhadap Jeffri? Selama ini saya banyak bertemu dengan lelaki yang tegas perwatakannya tapi Jeffri lain, dia selalu senyum, lembut, pemalu dan sukar menunjukkan rasa marah. Kalau marah pun, dia akan berdiam dan tegur dengan cara yang berhemah. Dari situ datangnya perasaan suka, mungkin ini disebabkan saya sendiri yang berperwatakan kasar dan tegas terutama bila bercakap soal kerja. |
Posted: 13 Aug 2011 09:33 PM PDT Mudah dibahasakan Leya, anak sulung kepada pasangan Syed Zainal dan guru lakon, Siti Fatimah Abu Bakar ini masih seperti Leya yang dikenali dulu, sama seperti ketika dia belum bergelar isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimuddin serta ibu kepada pasangan kembar Aza Ameena dan Asha Ameena, 2 tahun. "Saya macam dahulu juga, cuma perwatakan mungkin berbeza. Dah jadi mak orang," katanya yang kini lebih banyak menghabiskan masa senggang bersama anak-anak. Masih bertugas mengendalikan segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang, Leya, 28, kini muncul sebagai ikon iklan Ramadan di TV9. "Ini kali pertama kolaborasi TV9 dan Hot FM untuk menjayakan iklan Ramadan di TV9. Untuk projek berkenaan, saya dan AG (penyampai Hot FM) terlibat dengan dua iklan Ramadan yang sedang disiarkan dan dua iklan Syawal yang bakal menyusul tidak lama lagi. "Saya seronok dengan iklan begitu, saya tertarik sebab ia tidak seperti bersyarah. Setakat ini, respons yang diterima sangat bagus dan Alhamdulillah," katanya yang sudah agak lama tidak muncul dengan filem mahupun drama baru. LAKONAN Saya tidak pernah mengisytiharkan berhenti daripada berlakon. Drama terakhir lakonan saya mungkin Mencari Jannah yang disiarkan Astro tidak lama dahulu. Saya pernah membintangi filem Mukhsin dan Magika cuma saya bukan jenis yang seratus-peratus dengan lakonan, filem atau drama, bukan macam adik saya, Nani (Syarifah Amani). Saya lebih kepada muzik dan penyampai di radio. KURUS Saya rasa sihat begini tapi ada juga orang kata saya anoreksia. Berat saya mungkin 42 atau 43 kilogram tapi saya bukan jenis yang tak makan, mungkin penat dengan kerja dan anak-anak. Saya makan banyak tapi cuba kawal jenis-jenis makanan tertentu. Nak tahu, ukuran pingggang saya sekarang sekitar 66.25 sentimeter, saya bangga sebab itu ukuran semasa saya belum berkahwin, sampai suami saya makan hati dibuatnya. BUNGA API ATAU MERCUN Sekarang saya tak suka mercun atau bunga api. Bunga api dan mercun mengingatkan saya terhadap bahaya yang menakutkan. Fobia sebenarnya. Dahulu masa kecil-kecil, kami adik-beradik bersama sepupu-sepupu yang sebaya ada bermain bunga api, tiba-tiba api menyambarkan pakaian pada badan sepupu saya. Kami semua panik dan nasib baik kecederaan sepupu saya tidak teruk walaupun habis pakaiannya terbakar. SI KEMBAR Kedua-dua, Aza dan Asha sangat aktif dan tidak pernah duduk diam sebab mereka berdua, ada kawan untuk diusik dan bermain. Kalau di rumah atau di mana sahaja, memang mereka kena diawasi sebab, berbanding Azza, Asha jenis yang agak cemerkap, dia suka terlanggar apa sahaja. PERSIAPAN RAYA Sesungguhnya kami (saya dan Ashraf) bukan jenis yang gemar membeli-belah. Baju yang saya pakai ini pun (sambil menunjukkan baju kurung warna biru yang menyaluti tubuhnya) ialah baju yang dibeli pada tahun lepas. Kalau untuk raya, biasanya saya akan ambil masa satu hari sahaja untuk keluar membeli-belah, dan pulun beli semua yang dikehendaki. |
Posted: 13 Aug 2011 09:32 PM PDT Dia bermula sebagai seorang pekerja am bersama sebuah syarikat penganjuran majlis yang menyediakan perkhidmatan sistem bunyi pada 1995. Ketika itu, tugasan hakikinya adalah sebagai pemunggah alatan pembesar suara ke dalam dewan dan menyusun kembali peralatan dalam lori. Dek kerana minat dan kebolehannya, majikan Alvin memberinya peluang untuk bertindak sebagai DJ. Sekiranya pengacara majlis yang dilantik oleh syarikat majikannya tidak dapat hadir, Alvin pantas dipilih sebagai pengganti sebagai DJ atau pengacara. "Pengalaman saya dalam bidang penganjuran majlis memang luas," ujar Alvin dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini. Berkhidmat dalam bidang penganjuran majlis menuntutnya melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi badut. Berbekalkan kostum badut yang berwarna-warni serta solekan tebal, Alvin tidak malu untuk beraksi. Baginya pengalaman itulah yang menjadi bekalan dan guru untuk dia menjadi seorang penghibur yang hebat. "Saya tidak malu menjadi badut, bahkan ia merupakan pengalaman yang baik untuk menjadi seorang penghibur hebat. "Saya belajar bagaimana jika orang gemarkan persembahan kita mahupun tidak menyukainya. Di sebalik kostum itulah saya belajar menjadi penghibur," jelas jejaka yang berketinggian 180 sentimeter itu. Setelah lama menimba pengalaman, Alvin menubuhkan syarikat penganjuran majlis miliknya sendiri pada tahun 2000 atas nama Mainstream Entertainment. Alvin turut berpeluang menyertai dunia penyiaran sebagai pengacara bagi program bual bicara di TV2 iaitu Lets Talk. Perkenalannya dengan komposer terkenal, Ajai pada satu majlis yang dikendalikan oleh syarikatnya itu mendekatkan impiannya bergelar penyanyi. "Bidang penganjuran majlis membuka peluang untuk saya mengembangkan bakat, peluang berkenalan dengan komposer terkenal termasuk Ajai," ujar usahawan itu. Tampil dengan single pertamanya yang berjudul Berdua, Alvin yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby itu ingin mengorak langkah memenangi peminat Melayu. Dia menjadikan pelantun lagu Gemilang, Jacklyn Victor sebagai penanda aras sebagai penyanyi India yang diterima oleh peminat Melayu. "Saya kagum dengan Jacklyn bukan sahaja kerana kehebatannya melantunkan suara bahkan kejayaan dia memenangi hati peminat Malaysia. "Jadi sebagai permulaannya saya tampil dengan sebuah lagu Melayu berkonsepkan pop rock ini dengan harapan agar diterima oleh seluruh rakyat Malaysia," ujarnya yang pernah membintangi iklan televisyen seperti Twisties, DiGi dan Sunsilk. |
Posted: 13 Aug 2011 09:31 PM PDT "Jadi untuk Ramadan saya ada aktiviti merakamkan single yang saya nyanyikan sendiri," ujar isteri komposer Anto Hoed ini. Untuk lagu ini, Melly mengaku tak memerlukan masa yang lama untuk menyelesaikannya. "Cepat tapi saya lupa berapa hari. Kalau satu album saja selalunya saya ambil masa dua bulan. Kalau satu lagu dua atau tiga hari," ujarnya yang terkenal dengan lagu-lagu nukilan buat Rossa dan Kris Dayanti. Terang Melly, dia akan memberi keutamaan buat lagu runut bunyi dahulu berbanding pemprosesan album solonya. |
Posted: 13 Aug 2011 09:30 PM PDT "Jujurnya tidak pernah sangka ia akan jadi sebegini dan masih kekal walaupun selepas 43 tahun. Album Alleycats meletup pada 1979. Kita buat album pertama pada tahun 1976 tetapi album Inggeris yang dibuat pada tahun 1978 tidak laku. Ungkapan 'terima kasih' terkeluar sewaktu Alleycats mengadakan persembahan di Stadium Negara. Waktu itu saya tidak tahu mahu berkata apa dan hanya terkeluar ungkapan tersebut dengan lenggok yang sama. Sampai sekarang ia melekat," ujar David yang bangga dengan letupan album keempat mereka, Hingga Akhir Nanti. Jujur David lagi, Alleycats dulu tidak fasih berbahasa Melayu. Maklumlah lama mereka berkelana di Hong Kong mencari rezeki dan yang yang terkeluar daripada mulut mereka adalah dialek Kantonis. "Sembilan tahun kami di Hong Kong. Datuk M. Nasir, Amin Sahab dan A. Ali yang mengajar kami berbahasa Melayu dengan betul. Mereka ajar bagaimana menyebut dan maksudnya sekali," cerita David tentang pengalaman mereka merakamkan album di Hong Kong. |
Motif dendam dirogol, disimbah asid Posted: 13 Aug 2011 09:28 PM PDT KUALA LUMPUR – Polis menahan bekas suami kepada seorang wanita yang dilaporkan diperkosa sebelum disimbah asid di rumahnya di Wangsa Maju Rabu lalu. "Suspek yang berumur 30-an ditahan ketika melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur. Seutas rantai dipercayai kepunyaan mangsa turut dirampas daripada suspek," kata Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan di sini semalam. Beliau juga berkata, berdasarkan keterangan serta pengakuan suspek sendiri, kejadian tersebut adalah bermotifkan dendam kerana masalah rumah tangga. Kejadian itu berlaku ketika suspek menceroboh rumah mangsa sebelum mangsa pulang daripada membeli juadah untuk berbuka puasa. Mangsa kemudiannya dikatakan dirogol dan turut disimbah asid sementara rantai lehernya turut diragut. Zakaria berkata, mangsa hanya cedera dua peratus pada mukanya kerana asid yang dikatakan disimbah itu hanya merupakan cecair peluntur. Wanita berkenaan mempunyai tiga orang anak berumur antara 3 hingga 11 tahun dan sudah bercerai sejak setahun yang lepas. – Bernama |
Gambar kepala dipenggal trend baru dalam internet Posted: 13 Aug 2011 09:27 PM PDT Konsep fotografi itu menyerupai gambar bersejarah pada tahun 1920-an apabila beberapa individu menyamar seperti kepala mereka telah dipenggal. Kini, orang ramai berlumba-lumba menyiarkan gambar mereka melakukan aksi serupa di Internet dengan menggunakan pelbagai latar. Antara aksi yang cukup popular ialah seorang lelaki sedang bersandar di sofa sambil tangannya diletakkan di atas kepala yang berada di sebelahnya. Ilusi itu dihasilkan dengan individu tersebut menyembunyikan seluruh badan daripada kamera kecuali mukanya. Agensi |
Terkejut lihat lembu depan pintu Posted: 13 Aug 2011 09:26 PM PDT Maguire berkata, dia mendapati lembu jantan berwarna coklat itu asyik merenung cermin kaca pada pintu depan kediamannya di sini, negeri Ireland Utara. Bagaimanapun, tanpa disangkanya, dia ketawa apabila menyedari haiwan itu seperti seronok dapat melihat refleksi sendiri pada cermin itu. "Ia seperti memuji 'betapa kacaknya aku' di hadapan pintu depan rumah saya. Kejadian ini sungguh melucukan," kata Maguire kepada sebuah akhbar tempatan. Lembu itu yang terlepas dari sebuah treler, kemudian beredar sebelum ia ditangkap penduduk setempat ketika merayau-rayau di bandar ini. – Agensi |
Telefon pintar ‘lembab’ di pedalaman Posted: 13 Aug 2011 09:25 PM PDT Kajian oleh agensi telekomunikasi Ofcom mendapati telefon bimbit lama dengan rangkaian 2G dapat membuat panggilan dengan jelas di lokasi pedalaman kerana ia memiliki ruang dalaman lebih luas untuk antena. Telefon pintar 3G seperti iPhone pula walaupun boleh digunakan untuk mengakses rangkaian berkelajuan tinggi, e-mel dan Internet, memiliki prestasi kurang memuaskan untuk membuat panggilan di ceruk rantau. "Di pedalaman, kami mendapati telefon lama 2G yang murah menghasilkan prestasi lebih baik berbanding telefon pintar yang mahal untuk membuat panggilan," kata satu Ofcom dalam satu kenyataan. "Selain kelebihan antena, telefon lama ini tidak perlu menukar daripada rangkaian 2G kepada 3G seperti telefon pintar," tambah kenyataan tersebut. – Agensi |
Stesen komuter China ada beg tinju gergasi Posted: 13 Aug 2011 09:23 PM PDT Ditaja jenama sukan terkenal, Adidas, pengguna komuter yang marah, penat atau mabuk boleh menumbuk dan menendang beg tinju gergasi itu untuk melegakan perasaan mereka selepas ia dipasang baru-baru ini. Pemasangannya juga diharap dapat mengurangkan kes petugas stesen komuter dimaki hamun penumpang akibat tertinggal tren seperti yang kerap berlaku sebelum ini. Di permukaan beg tinju itu tertera pelawaan kepada orang ramai untuk menggunakan 'kemudahan' tersebut yang memberitahu: "Setiap tahun, anda menghabiskan masa sekitar 1,824 minit di platform komuter. Jangan bazirkan masa, sudilah lepaskan satu dua tumbukan untuk mengurangkan tekanan dalam diri anda!" – Agensi |
You are subscribed to email updates from macam macam hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |