Adsense

Rabu, 3 Ogos 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Maya karin: Mahu terus mengembara

Posted: 02 Aug 2011 07:02 PM PDT

SEJAK lebih dua bulan lalu, kelibat aktres Maya Karin tidak dilihat dalam banyak acara hiburan. Dia juga tidak muncul di media massa. Perkembangan tentang dirinya hanya dapat diketahui melalui Twitter miliknya. Maya Karin, sejak dua bulan lalu telah kembali menikmati kecintaan lamanya, mengembara.

Menariknya, kembara Maya kali ini adalah destinasi yang tidak dijangka umum. Dia yang diketahui sebagai seorang wanita yang gemarkan cabaran dan mencintai alam sekitar memilih Brazil, Venezuela, Colombia dan Peru sebagai destinasi terkini kembaranya. Destinasi-destinasi itu diketahui sebagai kawasan hitam untuk diteroka.

Aktres itu senyum lebar saat dirinya sebagai seorang wanita lasak yang berani untuk masuk ke empayar yang terkenal sebagai wilayah dadah itu. Dia kemudian menjelaskan momokan tentang 'kehitaman' destinasi yang disinggahi tidaklah seteruk mana.

Katanya yang mengaku berasa bebas dan lebih bersemangat sebaik kembali daripada mengembara: "Memang satu dunia tahu Colombia misalnya sangat terkenal dengan kisah dadah dan gangster.

"Tetapi apabila saya sampai ke sana, ia tidaklah seburuk yang disangka. Saya kira mungkin 10 tahun lalu, ia memang satu wilayah hitam. Namun seiring masa beredar, Colombia boleh dikatakan agak selamat untuk dilawati." katanya yang bagaimanapun tidak menggalakkan wanita mengembara ke negara seperti itu seorang diri.

Mengutip sejuta pengalaman baru seperti perjalanan di dalam hutan selama empat hari untuk sampai ke Machu Picchu, Peru serta memerlukan masa selama hampir dua hari dengan menaiki pesawat, bas dan kemudian berjalan kaki masuk ke hutan untuk melihat keajaiban air terjun tertinggi di dunia, Air Terjun Angel's Falls di Venezuela, semua itu tidak mungkin diperoleh jika dia tidak bersetuju untuk menerima pelawaan adiknya, Armin.

Namun ada kisah di sebalik kembaranya itu. Selain menerima pelawaan Armin, 29, untuk menikmati keindahan dan mengenali budaya negara luar, Maya sendiri secara jujur mahu lari daripada suhu 'panas' yang menerjah dirinya lewat kebelakangan ini.

Dia mahu mengembalikan suhu seorang Maya Karin kepada suhu yang seimbang, tidak mahu lagi terus diterpa dengan gosip-gosip terutama yang berkaitan isu peribadi.

"Antara salah satu sebab saya mengembara juga adalah kerana saya rimas dengan gosip yang terlalu banyak menerpa sejak kebelakangan ini.

"Saya mahu meredakan semua gosip tersebut dan mahu khalayak kembali memberi tumpuan kepada kerjaya saya," ujarnya jujur.

Tambah Maya, lagi pula dia sendiri sudah lama tidak mengembara melihat dunia luar.

Melaksanakan mimpi

Memberitahu sudah enam tahun tidak mempunyai waktu untuk diri sendiri menjalani aktiviti kegemarannya ini, tahun lalu dia menanam azam agar niat mengembara harus dilaksanakan tahun ini.

Sementelah, jadual kerjanya tidak terlalu padat, lantas ini menjadi masa terbaik untuk dia melaksanakan mimpinya itu.

Namun yang menariknya, perancangan untuk menerima pelawaan Amir hanya dibuat dalam masa empat hari selepas dia tamat menjalani penggambaran filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan.

Lebih menarik, agenda asal mahu mengembara selama dua minggu sahaja bertukar kepada dua bulan sebaik dia menjejakkan kaki ke Brazil.

"Perancangan untuk mengembara telah saya fikirkan sejak setahun lalu selepas saya hanya pergi mengembara ke negara-negara Asia seperti Bali dan Thailand.

"Kebetulan adik saya mengajak saya mengikut dia mengembara ke Brazil kerana dia mahu mempelajari bahasa Portugis jadi selepas melihat jadual saya agak tidak sibuk, saya bersetuju.

"Maka saya hanya melakukan persiapan dalam masa empat hari iaitu mencari tiket penerbangan dan mengetahui serba sedikit tentang geografi, budaya dan bahasa tentang negara yang ingin saya lawati.

"Namun sebaik sampai di Brazil, saya yang pada mulanya hanya ingin bercuti selama dua minggu telah memanjangkan cuti menjadi dua bulan!," ceritanya sambil ketawa.

Ujar aktres berkaliber ini lagi, jika dia tidak mengembara sekarang, dia tidak tahu bila masanya lagi dia akan dapat meneruskan kelangsungan cintanya terhadap aktiviti riadah tersebut.

"Sementara saya mempunyai waktu, kemampuan dan paling penting tidak terikat dengan sebarang komitmen, saya tidak mahu melepaskan peluang meneruskan kecintaan saya terhadap dunia ini," beritahu Maya yang mengaku hanya merindui masakan Melayu seperti Nasi Kandar berbanding merindui teman-teman di Malaysia sepanjang dia mengembara.

Ramadan dan Aidilfitri

Mengalih topik mengenai agenda seninya, Maya memberitahu sehingga akhir tahun dia tidak mempunyai sebarang komitmen di lokasi.

Dua buah filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu hanya menanti untuk ditayangkan pada tahun hadapan.

Sebaliknya dia kini kembali memberi fokus terhadap bidang nyanyian dengan single pertamanya, Terbang, sedang digiat menjalani promosi. Sementara selebihnya, dia mempunyai banyak masa untuk diri sendiri - satu hal yang sudah lama tidak dapat diberi perhatian kerana terlalu sibuk dengan kerja.

Disoal tidakkah bimbang jika ada yang mula terlupa mengenai dirinya, dalam senyum Maya menjawab: "Secara jujur, saya senang dengan suasana yang agak tenang sekarang.

"Saya selesa dengan perjalanan suku tahun kedua karier saya ini dan saya tidak keberatan jika cerita saya tidak banyak di media massa. Paling penting, saya kini makin bersemangat untuk terus mengembara ke destinasi yang lain pula."

Sementara itu, menyentuh tentang bulan Ramadan yang baru bermula, ia disambut Maya sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Tiada yang terlalu berlebihan, sebaliknya selain mempertingkatkan ibadat, dia memilih untuk menghabiskan masa lebih banyak dengan keluarganya.

Ini kerana, sepanjang Ramadan, Maya tidak terikat dengan sebarang komitmen. Dia masih lagi dalam tempoh 'bulan madu' sehingga selepas Aidilfitri nanti.

"Jadi saya akan habiskan banyak masa bersama emak saya. Selain berada di Kuala Lumpur, mungkin saya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berpuasa bersama sanak saudara di sana. Selebihnya, saya akan memenuhi undangan majlis berbuka puasa yang memerlukan saya hadir," ujarnya yang tidak suka bermewah makanan kala berbuka puasa.

Abby takut nangis

Posted: 02 Aug 2011 06:51 PM PDT


KUALA LUMPUR: "Saya masih tidak tahu sama ada saya perlu datang atau tidak ke majlis perkahwinan Norman dan Memey. Saya masih berbelah bagi untuk hadir kerana saya takut saya akan menangis dan merosakkan majlis mereka," kata pelakon, Abby Abadi, 33, yang juga bekas isteri kepada pelakon, Norman Hakim, 35, (gambar).

Abby berkata, sehingga kini dia masih belum mahu memberikan sebarang kata putus sama ada mahu menghadiri majlis yang digelar 'wedding of the year' itu selepas memberitahu emosinya akan terganggu dan pasti menitiskan air mata sekiranya melihat persandingan bekas suaminya bersama Memey Suhaiza, 23.


"Saya sudah maafkan mereka, saya tidak mendendami mereka lagi dan tidak cemburu melihat kebahagiaan mereka. Tetapi sekiranya saya hadir ke majlis itu nanti, saya yakin saya akan titiskan air mata seterusnya merosakkan detik bahagia mereka," katanya.

Norman dan Memey dijadualkan bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor iaitu rumah pengantin perempuan manakala majlis persandingan pada 28 September di sebuah hotel dengan tajaan sebanyak RM12 juta.


Menurut Abby, dia turut menyangkal satu laporan media kononnya dia menerima kad undangan daripada Norman dan Memey untuk hadir ke majlis resepsi pasangan itu.


"Saya tidak tahu menahu mengenai jemputan itu dan tidak menerima sebarang kad jemputan untuk hadir ke majlis perkahwinan terbabit," katanya.

'Saya Orang Melayu Yang Makan Tempe' - Zain Saidin

Posted: 02 Aug 2011 06:49 PM PDT

AMPANG: Pelakon Zain Saidin,27, mahu peminat dan sesiapa sahaja yang ingin menegurnya supaya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia kerana dia lebih mencintai bahasa itu daripada berbahasa Inggeris.

Kata Zain, walaupun dia berdarah campur iaitu Melayu – Inggeris, tetapi dia bersekolah dan dibesarkan dalam kehidupan orang Melayu.

"Saya orang Melayu yang makan tempe. Saya pun makan rebung. Saya lebih senang dan selesa jika semua pihak bercakap Bahasa Malaysia dengan saya," ujarnya ketika ditemui mStar Online pada majlis berbuka puasa di Restoran Intai-Intai, Jalan Hulu Klang di sini, Isnin.

Zain berkata, masalah timbul apabila kebanyakan peminat dan orang ramai menganggap dia tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia dengan baik kerana wajah kacukannya.

Menurut Zain, perkara tersebut membuatkan ramai pihak berasa keliru ketika mahu memulakan perbualan dengannya.

"Saya dibesarkan dalam persekitaran Melayu. Saya bersekolah di sekolah kebangsaan malah rakan-rakan juga ramai berbangsa Melayu. Jadi saya lebih suka orang kenal saya sebagai orang Melayu," ujarnya.

Walaupun mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, ujar adik kepada Sasha Saidin (Elite) ini dia akan mudah mesra jika dapat berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan dan berharap selepas ini orang ramai dapat memenuhi permintaannya itu.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan kononnya dia mahu berhijrah ke Indonesia kerana kecewa disebabkan pelakon kacukan sepertinya kurang diberi perhatian, ujar Zain dia bukan merajuk tetapi sekadar ingin mencuba peluang baru.

"Saya bagi tempoh untuk berjaya dalam bidang seni dalam masa tiga tahun. Sekarang dah dua tahun saya melibatkan diri sebagai pelakon.

"Jadi bila masuk tahun ke tiga saya hendak ke Indonesia bagi mencari peluang di sana sekiranya industri seni di negara ini tidak menerima saya kerana watak yang terhad," jelasnya.

Tambah Zain, bagi mempersiapkan diri menjadi artis yang serba boleh, dia berhasrat menghasilkan album mini tidak lama lagi yang menampilkan enam buah lagu ciptaannya sendiri.

Bagaimanapun sempena kedatangan Syawal ini dia akan menghasilkan "single" Hari Raya terbaru berjudul "Rayeh" berkosnepkan rap yang akan dirakamkan dalam waktu terdekat.

Johan As'ari Rendah Diri Digelar 'Jamban'

Posted: 02 Aug 2011 06:44 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Juvana yang popular dengan watak Botak iaitu Johan Arrif As'ari,25, mendedahkan dia pernah diminta menukar nama kerana namanya sekarang dikatakan membawa maksud "jamban".

Johan berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia menyertai aktiviti keagamaan bersama kumpulan tabligh di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu apabila didatangi seorang ustaz lalu bertanyakan nama penuhnya.

"Ketika di sebuah masjid, salah seorang anggota jemaah tabligh itu mendekati saya lalu bertanyakan nama.

"Ketika saya memberitahu nama penuh saya, terus dia meminta saya menukarnya kerana Johan itu membawa makna jamban," katanya ketika diminta mengimbas kenangan pelik yang pernah terjadi dalam hidupnya selama ini.

Tambah Johan, kerana terkejut dengan kata-kata ustaz tersebut, dia tidak menghiraukan permintaannya sebaliknya menjelaskan nama Johan Arrif ialah nama yang cukup komersial dan tidak perlu di tukar selain Arrif itu sendiri bermakna bijak.

Selepas itu ujarnya ketika meninggalkan ustaz berkenaan untuk ke sebuah kedai runcit berdekatan, dia terperanjat apabila mendapati kedai itu secara kebetulan turut menjual selipar jamban yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang bernama "Johan".

Pengalaman itu kata Johan menjadikan dia seorang yang rendah diri dan sentiasa melihat keburukan namanya agar tidak terus alpa dan lupa dengan nikmat yang dikurniakan Allah.

"Saya juga percaya walaupun saya adalah "jamban" tetapi saya jamban yang bijak," katanya bergurau.

Jelasnya, selepas melibatkan diri sebagai pelakon Juvana, dia mendapat banyak tawaran berlakon dan bersyukur kerana mampu meneruskan minatnya dalam bidang seni yang dicintainya selama ini selepas mengambil masa bertahun-tahun melakukan uji bakat.

Tomok Rasai Nikmat Berpuasa Dengan Isteri

Posted: 02 Aug 2011 06:43 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27, mengakui bulan Ramadan yang disambutnya buat pertama kali bersama isteri, Rahayu Abbas (Ayu), 32, pada tahun ini sungguh bermakna.

Kata Tomok yang baru sahaja berkahwin pada 1 Julai lalu, dia berasa kehidupannya cukup sempurna lebih-lebih lagi apabila dapat bersahur dan berbuka puasa bersama isterinya serta dapat merasai keenakan masakan Ayu.

"Rasanya sambutan puasa tahun ini lebih teratur. Walaupun sebelum ini saya tinggal bersama keluarga dan berpuasa dengan mereka, tetapi kali ini, perasaannya sungguh berbeza, sukar untuk saya gambarkan.

"Tambah pula, isteri saya rajin dan pandai memasak. Jadi sepanjang beberapa hari ini, saya makan masakan daripada air tangannya. Antara makanan kegemaran saya seperti lauk asam pedas dan ayam masak lemak untuk juadah berbuka puasa manakala untuk juadah sahur pula, dia menyediakan masakan ikan sardin dan ketam goreng," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.


Tomok kini lebih bahagia di samping isteri.
Dalam pada itu menurut Tomok, sempena kedatangan Ramadan pada tahun ini dia menolak semua tawaran kerja kerana mahu meluangkan masa bersama isteri dan keluarga.

Walaupun baru sahaja menyambut bulan Ramadan, pasangan tersebut telah pun membuat persiapan Hari Raya lebih awal dengan membeli perabot serta memasang kain langsir di rumah baru mereka di Serdang, Selangor.

"Sebenarnya kami telah membeli rumah itu sejak tiga tahun lalu dan baru Ahad lepas kami masuk rumah baru secara rasmi.

"Memandangkan sebelum ini kami telah ubah suai rumah, membeli beberapa perabot baru, mengecat dinding serta memasang langsir, saya kira peruntukan Hari Raya untuk kelengkapan rumah sudah selesai," selorohnya.

Tahun ini, pasangan suami isteri itu akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman Tomok di Rembau dan Palong 3, Negeri Sembilan.

Ida Nerina Kembali Berlakon Filem

Posted: 02 Aug 2011 06:43 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Ida Nerina (gambar) kembali aktif dalam industri seni tanah air dengan melakonkan watak Jah menerusi filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menurut Shuhaimi, pelakon itu yang sebelum ini mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas insiden kemalangan di rumahnya pada Jun 2009 bersetuju untuk melakonkan watak yang diberikan dan telah menjalani penggambaran pada bulan lalu.

"Setiap kali membikin filem, pasti saya teringat pada Ida Nerina. Saya selesa bekerja dengan Ida yang pernah berlakon dalam beberapa filem arahan dan terbitan saya sebelum ini iaitu Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2 dan 1957 Hati Malaya.

"Saya tertarik dengan cara persembahan lakonannya dan kredibiliti Ida sebagai seorang pelakon yang versatil dalam melakonkan setiap watak," katanya kepada mStar Online.

Biarpun watak Jah yang dilakonkan oleh Ida hanya sekadar pelakon undangan, Shuhaimi yakin kemunculan wanita itu pasti memberikan impak kepada penonton.

"Saya pasti para penonton pasti menanti-nantikan kemunculan semula Ida di layar perak. Walaupun tidak melakonkan watak utama, tetapi Ida tetap memberikan lakonan yang mantap dan bertenaga," kata Shuhaimi yang cuba seimbangkan antara watak utama dan watak pembantu dalam filem tersebut.

mStar Online cuba mendapatkan Ida, namun dia enggan ditemu bual.

Tanda Putera mengisahkan tentang perjuangan dan persahabatan di antara dua negarawan iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Filem yang menelan belanja RM4 juta itu turut dilakonkan oleh Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Kamarulzaman Taib atau Che' Kem (Tunku Abdul Rahman), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Ton Puan Norashikin Mohd. Seth) dan Norman Hakim (Tun Hanif Omar).

Shuhaimi turut mengundang pelakon lain seperti Fizz Fairuz, Kavita Kaur, Zoey, Ika Nabila dan Alan Yun.

Jelasnya, filem yang memilih Ipoh, Perak, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor sebagai lokasi penggambaran ini turut menggunakan teknik janaan komputer (CGI) sebanyak 40 peratus untuk memberi kesan kepada imej bangunan lama.

Tanda Putera dijangka ditayangkan di pawagam pada pertengahan 2012.

Zachery Berpisah Selepas Sembilan Tahun Bercinta

Posted: 02 Aug 2011 06:42 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Zachery Francis, 34, atau mahu dikenali sebagai Zach Diamond ini baru sahaja berpisah dengan kekasihnya selepas sembilan tahun bercinta.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Si Capik dan Duyung Airidinata ini terpaksa meninggalkan wanita itu apabila cintanya didustai kira-kira tiga bulan lalu.

Biarpun hatinya sudah patah untuk untuk mencintai bekas kekasihnya itu, Zach, bekas anggota kumpulan X-Factor ini masih menghulurkan salam persahabatan dan tidak bermusuh.

"Saya tidak mungkin kembali kepadanya sebagai kekasih tetapi kami tidak berniat untuk memusuhi antara satu sama lain. Saya juga tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat ini dan tetap memaafkannya terhadap apa yang berlaku.

"Saya menganggap kami sudah tiada jodoh untuk bersama lagi dan biarlah masing-masing memilih haluan hidup sendiri.

"Andai saya bertemu dengan orang lain, mungkin saya akan terus berkahwin dengan wanita itu dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

"Selepas melalui pengalaman pahit ini, saya akan menilai seseorang itu dengan mempelajari karakternya mengikut gerak hati dan akal fikiran," ujarnya kepada OopStarz!.

Di sebalik kisahnya dengan wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu, ada satu hadiah yang masih disimpan untuk diabadikan sebagai kenangan hidupnya iaitu kotak muzik kecil.

Selain itu, Zach turut berkongsi kenangannya dengan kedua-dua datuk tersayang apabila melihat bekas tembaga dan basikal mini.