Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Peniaga glamor bazar RamadanBAGAIKAN rutin tahunan, apabila tibanya bulan Ramadan kerjaya seni sesetengah artis direhatkan buat sementara waktu. Ada yang ingin merehatkan diri sambil memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah puasa. Bagaimanapun jadual semakin padat buat beberapa orang artis seperti Enot, Didie Alias dan Bienda kerana setiap kali tibanya Ramadan, mereka bertukar kerjaya daripada artis kepada peniaga bazar di bazar larut malam Downtown Cheras, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Enot, Didie rakan kongsi Dari jauh sudah kedengaran suara jerit pekik dua selebriti Enot dan Didie Alias cuba menarik perhatian orang ramai ke gerai mereka yang menjual kuih raya menggunakan jenama mereka sendiri iaitu Hot Test Mom. Melihat gelagat mereka, orang ramai yang lalu lalang tersenyum sendirian tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka berdua. Menurut Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, tahun ini sudah masuk tahun keempat dia berniaga kuih raya di bazar Downtown Cheras. Jika tahun sebelumnya, dia hanya melakukannya seorang diri tetapi tahun ini, dia berkongsi wang, tenaga dan idea bersama rakan baiknya Didie Alias. "Selepas empat tahun saya banyak belajar daripada kesilapan yang dulu. Jadi tahun ini, saya buat sendiri semua kuih sebanyak sembilan jenis. Harga pun tidak mahal cuma RM25 sahaja. "Saya bertanggungjawab membuat kuih, manakala Didie menjadi tukang rasa, mana kuih yang sedap dan boleh dijual. Sehingga hari ini, setiap kuih yang saya buat, dia akan rasa dulu kerana takut rasanya tidak sama, dia juga yang akan buat pemasaran," kata Enot yang turut dibantu keluarganya. BAKRI sedang melayan pengunjung di gerainya yang menjual kaftan dan kebaya. Sungguhpun gerai Enot dan Didie dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula pukul 10 malam sehingga 4 pagi, Enot dan Didie hanya ada di gerai pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Selebihnya, gerai mereka akan dijaga oleh keluarga mereka termasuk anak Didie serta pekerja. "Hari-hari lain saya dikuarantin di dapur, kerja saya buat kuih sahaja, bukan apa kalau hari-hari di gerai, bila masa pula saya nak buat kuih. "Ini pun saya tidak cukup tidur kerana sibuk menyiapkan tempahan dan juga kuih untuk dijual di gerai," katanya yang mencipta sendiri resipi kuih raya. Terang Enot, kini dia semakin kurang berlakon kerana baru sahaja menamatkan pengajian pembuatan roti dan kek. Tidak lama lagi, dia bakal menyambung pengajiannya dalam bidang semburan warna ke atas kek pula. "Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai kek, jadi sekarang sebagai persediaan saya mahu menimba ilmu sebanyak mana yang boleh. "Kalau mahu buka sekarang, saya masih tidak cukup modal kerana buka kedai kek bukan boleh kecil-kecil tetapi bukan bermakna saya tidak mahu berlakon, saya masih sukakan bidang lakonan, jadi kepada penerbit di luar sana jangan segan bagi tawaran lakonan pada saya," ujarnya dalam tawa. Pewangi Didie Tahun ini merupakan tahun pertama pengacara, pelakon dan pelawak Fadzilah Mohamed Ali atau nama pentasnya Didie Alias berniaga di bazar Downtown Cheras bersama Enot. Meskipun begitu, ini bukan kali pertama Didie berniaga kerana sebelum ini, dia juga ligat berniaga ketika bulan Ramadan. "Dulu-dulu lagi saya ligat berniaga kuih raya tetapi sebab masa itu anak masih kecil lagi, saya berhenti sekejap. Sekarang bila sudah jumpa rakan kongsi saya sama minat, saya sambung balik. "Setakat ini, semua kuih kami buat sendiri dan syukur kuih kami telah sampai ke Singapura kerana selain Downtown Cheras, kami juga ada buka bazar di Woodlands, Singapura," tutur ibu kepada lima orang anak itu lagi. BEINDA bersama suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman di hadapan gerainya. Selain kuih raya, Didie juga ligat menjual pewangi keluarannya sendiri di bawah jenama DD Perfume. Beritahu Didie yang sinonim dengan nama Lady Gaga Malaysia itu, perniagaan minyak wangi telah diusahakannya sejak tahun lalu lagi cuma dia tidak melakukan promosi secara besar-besaran. "Kalau rakan-rakan dan peminat, semua sudah tahu saya ada keluarkan minyak wangi jenama sendiri. Mungkin orang ramai belum tahu sebab kurangnya promosi. "Jadi, dengan peluang yang ada ini, peminat boleh datang ke gerai kami yang terletak sebelah menyebelah antara saya, Enot dan Bienda untuk berjumpa kami dan membeli produk-produk kami," tuturnya. Tudung Bienda Buat penyanyi, pelakon dan pengacara Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli pula, tahun ini merupakan tahun ketiganya berniaga tudung di bazar. Dek sambutan hangat yang diterima sebelum ini, Bienda memutuskan untuk meneruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri itu meskipun kini sedang berbadan dua selepas melangsung perkahwinan dengan Kamarul Zariman Abdul Rahman pada Oktober tahun lalu. "Sepanjang puasa saya tidak banyak sangat kerja, jadi fokus saya hanya untuk perniagaan sahaja. Penat memang penat, tambahan sekarang kandungan saya mencecah tiga bulan, saya juga alami alahan, tetapi nasib baik suami banyak membantu," katanya.
Jelas anak penyanyi dangdut Sheeda itu lagi, tudung jualannya berharga daripada RM10 sehingga RM20 sahaja. Disebabkan itu tudung jualannya cukup laris terjual. "Ada di antara tudung yang dijual merupakan tudung rekaan saya sendiri, jadi tidak sama dengan tudung yang dijual ditempat lain. "Sebenarnya saya sangat suka berniaga kerana bukan sahaja dapat menambah pendapat tetapi saya puas apabila melihat orang menghargai barang yang kita jual. "Bagi saya, berniaga di bazar seperti ini juga merupakan platform buat saya untuk bertemu peminat kerana hanya pada bulan Ramadan sahaja mereka dapat berjumpa saya dan artis lain dengan lebih dekat," katanya yang teringin membuka empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti. Selain Enot, Didie Alias dan Bienda, artis lain yang turut berniaga di bazar larut malam Downtown adalah Sheila Lama dan juga bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain, Bakri Ismail. Sheila Lama yang merupakan penyanyi daripada kumpulan nasyid Huda, pernah menjalankan perniagaan di bazar yang sama pada tahun lalu. Produk yang dijualnya adalah pakaian kasual wanita Bakri yang merupakan bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain dan kini bersama band Kugiran D' Tepi Pantai menjalankan perniagaan baju raya seperti kebaya dan juga kaftan yang diimport dari luar negara bersama keluarganya. Sebelum ini Bakri pernah berniaga pakaian lelaki tetapi katanya wanita lebih gemar berbelanja daripada lelaki sebab itu tahun ini, dia menjual baju raya untuk wanita pula. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Upin Ipin terbit album rayaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SIRI kartun animasi Upin dan Ipin boleh dikatakan telah membuka satu dimensi baharu dalam bidang animasi tempatan. Bukan sekadar di Malaysia sahaja, bahkan karakter pasangan kembar tersebut telah mencetuskan fenomena di negara jiran iaitu Indonesia. Dihasilkan oleh syarikat tempatan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada tahun 2007, pada asalnya siri kartun berkenaan disiarkan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak supaya menghayati bulan Ramadan. Menariknya, setelah lima tahun rancangan kartun yang diminati ramai itu disiarkan di kaca televisyen, pada tahun ini kedua-dua karakter tersebut akan tampil pula dengan sebuah album raya berjudul Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin. Penerbit Eksekutif, Rosmin Hashim yang ditemui pada majlis pradengar album berkenaan menyatakan ia diterbitkan menerusi kerjasama antara Les' Copaque dan Nova Music. "Idea untuk menghasilkan album ini sudah tercetus sejak beberapa bulan yang lalu. Kemudian kami telah berjumpa dengan pihak Les' Copaque dan ternyata mereka berminat memberi persetujuan untuk ianya dihasilkan. "Dalam album ini terdapat lima buah lagu kesemuanya, tetapi ia bukanlah lagu-lagu baharu. Sebaliknya ia adalah lagu-lagu raya yang sememangnya cukup popular dan digemari ramai ketika sambutan Aidilfitri," jelasnya. Antara lagu-lagu raya yang terkandung di dalam album berkenaan adalah seperti Suasana Di Hari Raya (Anuar Zain & Ellina), Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) dan Balik Kampung (Sudirman). Menurut Rosmin, semua lagu tersebut telah dirakamkan sejak awal bulan Julai lalu dan ia dinyanyikan oleh Asyiela Putri Azhar yang juga merupakan pemilik suara untuk karakter Upin dan Upin. Jelasnya lagi, tempoh selama sebulan diambil untuk menyiapkan album berkenaan sepenuhnya sebelum ia dijual di pasaran seluruh Malaysia dengan harga RM14.90. "Apa yang menarik tentang album ini, beberapa kata-kata yang berunsur nasihat turut diselitkan pada setiap lagu. Malah, mereka yang membeli album ini juga diberi lima keping poskad Upin dan Ipin secara percuma," ujarnya. Menurutnya, pada peringkat permulaan sebanyak 5,000 unit akan dikeluarkan terlebih dahulu dan mereka merancang untuk mengedarkan album berkenaan di Indonesia berdasarkan sambutan kartun Upin dan Ipin yang cukup hangat di negara berkenaan. Selain album raya tersebut, Rosmin juga memberitahu, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kedua-dua pihak turut mempunyai rancangan untuk menerbitkan album kedua Upin dan Ipin. Ujarnya, untuk album baharu itu nanti akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang merangkumi lagu baru dan lagu rakyat serta mendapat sentuhan komposer terkenal iaitu Adnan Abu Hassan. Sementara itu, Asyiela yang turut ditemui pada majlis yang sama meluahkan rasa gembiranya kerana dapat merakamkan lagu-lagu raya untuk tatapan peminat siri kartun Upin dan Ipin. Jelas pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 itu lagi, meskipun gembira tetapi dia turut mengakui berdepan kesukaran untuk merakamkan sebuah lagu iaitu Suasana Hari Raya. "Sebelum ini saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan nyanyian dan memang seronok apabila diberi peluang untuk merakamkan lagu. Malah, saya juga teringin untuk berjumpa dengan Anuar Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk M. Nasir," ujarnya yang turut meninati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Christy akui sudah bercerai
CHRISTY CHUNG mengakui dia sudah beberapa bulan bergelar janda. Menurut laporan media Hong Kong, aktres jelita itu membuat pengakuan terbuka bahawa dia sebenarnya sudah bercerai sejak enam bulan lalu. Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Christy dan lelaki yang pernah bergelar suaminya itu, Jon Yen mula diperkatakan sejak Mei tahun ini, selepas Jon meletakkan fotonya bersama yang memeluk seorang gadis misteri di hadapan bangunan Taipei 101 dalam blog miliknya. Rentetan itu, Christy kemudian memberi reaksi terhadap foto itu dengan menulis dalam blognya yang berbunyi: "Menyayangi insan yang melayan dengan betul dan melupakan orang yang tidak melayan dengan baik." Sejak spekulasi tersebut tercetus, Christy dan Jon dikatakan sudah tinggal secara berasingan. Apabila media yang menyedari Christy tidak lagi menyarungkan cincin perkahwinan pada jari manisnya, mereka terus bertanyakan mengenai hal itu kepada Christy yang ketika itu sekadar tersenyum dan enggan memberikan jawapan. Namun, dalam satu temu bual dengan pihak media Hong Kong baru-baru ini, Christy mendedahkan perceraian itu tiada kaitan dengan orang ketiga. Malah katanya, Jon hidup dalam tekanan ketika menjadi suaminya kerana Christy meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding dirinya. Mereka semakin kurang berkomunikasi biarpun selepas Jon menjadi pengurus kerjaya seninya dan rakan-rakan pula cuba membantu menyelamatkan hubungan mereka. Tambah Christy, hubungan mereka bagaimanapun semakin baik selepas mereka mengambil keputusan untuk bercerai enam bulan lalu. "Hubungan saya dan Jon menjadi semakin baik pula selepas kami bercerai enam bulan lalu. Nampaknya kami lebih sesuai menjalinkan hubungan sebagai kawan sahaja," ujar Christy. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |