Adsense

Jumaat, 26 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak tumpu satu bidang

Posted: 25 Aug 2011 08:28 AM PDT

SEKALIPUN tampil dengan imej bertudung, ia nyata tidak pernah menyekat pintu rezeki dua artis jelita ini untuk terus aktif sebagai anak seni. Sama ada, Irma Hasmie Ibrahim, 29, mahu pun Rafidah Ibrahim, 25, mereka masih memperoleh ruang dan menjadi perhatian ramai.

Irma Hasmie atau mesra dengan panggilan Irma, bukan saja masih laris di pentas lakonan tetapi turut menjadi pengacara program bual bicara siaran langsung, Assalamualaikum di TV AlHijrah yang disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 9 pagi.

Fida pula kini mendapat perhatian menerusi drama lakonannya, Kasih Alia di TV3 dalam slot Akasia yang menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam. Drama menarik 26 episod itu terbitan JS Pictures Sdn Bhd.

Bersua Irma dan Fida pada sesi fotografi diadakan, mereka mesra berbicara dan saling mengenali. Maklum saja, sama-sama terbabit dalam Kasih Alia.


Apa yang nyata, siapa kata, artis bertudung tidak laku? Lihatlah peluang buat mereka tetap ada dan hanya perlukan kesesuaian karakter.


Irma berkata, penghijrahan imejnya kepada bertudung sedikit pun tidak memberi kesan kepada perjalanan karier seni diceburi. Ujarnya, rezeki masih ada dan ia tidak pula tertumpu pada satu-satu bidang saja. Selain berlakon, dia juga boleh menjadi pengacara.

"Tak dinafikan, watak untuk pelakon bertudung agak terhad tapi masih ada cara untuk melakonkan peranan bertudung. Syukurlah semua rezeki ini adalah daripada Tuhan buat diri saya.

"Bagi saya menutup aurat adalah wajib kepada wanita Islam. Saya bersyukur dengan perubahan sekarang dan berasa lebih tenang," katanya akan menjalani penggambaran telefilem Hatiku Di Kinabalu tidak lama lagi.

Berkongsi kisah Ramadan dan Syawal, Irma lebih mengutamakan sambutan Ramadan untuk mencari keredaan dan keberkatan Ilahi. Katanya, Ramadan adalah bulan istimewa yang dijanjikan Tuhan pelbagai keberkatan kepada umat Islam.

"Allah SWT menjanjikan pahala tidak terhad banyaknya sepanjang Ramadan berbanding bulan-bulan lain. Saya akui sebelum ini saya banyak lalai dan terlupa. Namun, apabila sudah sedar, saya ingin lebih mendalaminya.

"Syawal pula bagi saya adalah satu perayaan untuk meraikan kemenangan umat Islam kerana berjaya menahan lapar, dahaga dan nafsu sepanjang sebulan berpuasa," katanya.

Menyentuh soal membintangi filem, Irma berkata tawaran memang ada diterima tetapi dia menolak kerana memikirkan karakter kurang sesuai.

"Lebih baik saya menolak kerana tidak mampu melakukannya. Saya memikirkan daripada memburukkan cerita itu nanti dan menyusahkan pihak produksi, tak
payahlah menerimanya. Sekalipun tidak banyak berlakon filem, saya masih boleh membintangi drama yang ada banyak pilihan," ujarnya.

Selain sibuk dengan karier seni, Ramadan ini juga membuka ruang kepada Irma mengusahakan perniagaan. Hasil kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, dia menjual jubah yang cantik-cantik. Mula berniaga jubah pada Mei lalu, Irma akui sambutan diterima menggalakkan.

Katanya harga jubah rekaan khas itu adalah RM599 sehelai. Menurut Irma, kesibukan tugas juga menyebabkan tahun ini dia tidak sempat menjual kuih raya. Ujarnya, tempatan kuih raya ada diterima tetapi dia menolak dan memaklumkan tiada masa membuat kuih.

Dalam karier pengacaraan, Irma akan tampil dengan program baru pencarian pendakwah wanita, Solehah di TV AlHijrah selepas Aidilfitri ini. Selain itu, dia kini menjadi duta tudung jenama D'Haja selama setahun dan produk kesihatan, Walid Gold.

Fida belum sedia jadi isteri

SEJAK akhir-akhir ini wajah Fida kerap terpampang di media massa kerana kisah cinta dengan anggota kumpulan Sepah, Mamat hingga ia seakan menenggelamkan perihal perkembangan positif kariernya.

Apakah Fida sudah benar-benar sedia bergelar isteri?

Menjawab soalan itu, Fida berkata, sekarang dia tidak mahu melepas dan mensia-siakan peluang untuk membina nama serta memantapkan karier seni terlebih dulu. Baginya, masih terlalu awal juga untuk memikirkan soal rumah tangga atau menjadi suri hidup sesiapa.

Ia berikutan tanggungjawab harus dipikul Fida terhadap ibu tersayang, Norimah Derani, 62, yang kurang sihat serta memerlukan lebih perhatian. Ujar gadis manis ini, dia masih belum puas berbakti dan membalas jasa insan yang sudah membesarkannya.

"Keutamaan saya sekarang adalah kepada ibu. Dia pernah hidup susah dan sekarang adalah masanya untuk saya membahagiakan ibu. Saya tidak mahu terburu-buru berkahwin sebelum dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik kepada ibu saya itu.

"Selepas ayah meninggal dunia, ibu adalah tempat kami sekeluarga bergantung hidup. Sekarang, saya masih ada seorang ibu dan dialah insan terpenting buat diri saya. Justeru, saya harus bekerja keras memantapkan karier demi ibu tersayang," katanya.

Menurut Fida, beberapa hari sebelum Ramadan berakhir, dia akan melelongkan semua tudung yang dipakainya dalam drama Kasih Alia. Ia hasil rekaan sendiri menerusi Rafidah Ibrahim Scarf. Katanya, jumlah terhad dan sesiapa yang berminat boleh membelinya di laman sosial Facebook miliknya.

Menyentuh soal karier nyanyiannya, Fida berkata buat masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan yang semakin mendapat perhatian. Ujarnya, dia bercadang memberi tumpuan sepenuhnya kepada nyanyian pula pada tahun depan.

Aktif menyertai Gerakan Belia 4B (Bergerak, Bekerja, Bersatu, Belajar), Fida turut dipilih sebagai ikon Beliawanis 4B. Katanya, dia berminat menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu kerana dapat menyertai banyak aktiviti kemasyarakatan.

PROFIL

PANGGILAN KOMERSIAL: Irma Hasmie
NAMA PENUH: Irma Hasmie Ibrahim
TARIKH LAHIR: 8 Januari 1982
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
UMUR: 29 tahun
STATUS: Bujang
KARIER: Model, pelakon dan pengacara
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
IKLAN: Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha, Pringle's DRAMA: Antaranya Janji Diana (musim ketiga), Suara Merdeka, Agensi Abadi, Pendekar Melayu, Mas Kahwin, Bella, Segalanya Ku Terima, Kasih Alia
FILEM: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Bujang Senang, Diva
PROGRAM TV: Antaranya Assalamualaikum, Solehah (TV Alhijrah)
PENCAPAIAN: Juara Gadis Jelita 2004

PROFIL

PANGGILAN KOMERSIAL: Fida
NAMA: Rafidah Ibrahim
TARIKH LAHIR: 4 Jun 1986
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 25 tahun
STATUS: Bujang
AKADEMIK: Pemegang Diploma Perniagaan, Kolej Shah Putra, Kuantan
KERJAYA: Model iklan, pengacara dan penyanyi
PROGRAM TV: Perantara Festival Nasyid Kebangsaan ke-18, Carta Nasyid (TV9), Program Astro Oasis: Riwayat Kamil
DRAMA: Cinta Tikar Sejadah, Jalan Pinang Sebatang, 3 Serumah, Epilog Syurga Cinta, Dihalalkan Epal Itu, Kasih Alia
PENCAPAIAN: Juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene

TERIMA KASIH:

Lokasi - Perkarangan TV Alhijrah
Jubah merah Fida
(wardrobe TVAlhijrah)
Tudung Irma Hasmie
tajaan D'Haja

42 filem bakal bertanding

Posted: 25 Aug 2011 08:21 AM PDT

KEMELUT perselisihan faham antara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) sudah pun berjaya diselesaikan awal Ogos lalu, sekali gus membolehkan tumpuan terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) kini dibuat.

Acara kemuncak itu dijadualkan berlangsung pada 19 November ini di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC).

Selain PFM, Gafim turut dianggotai 11 gabungan persatuan iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (PFM), Persatuan Penulis Skrin
Malaysia (SWAM) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar).

Persatuan lain yang menjadi ahli Gafim ialah Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (IRIM).

Ditemui pada majlis Amal Berbuka Puasa FFM24 yang dianjurkan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd milik Nancy Foo dan Wendy Wong di Jalan Ampang, baru-baru ini, Pengerusi FFM24 juga Pengerusi Gafim, Jurey Latiff Rosli, menjelaskan hampir semua filem yang disenaraikan untuk bertanding tahun ini sudah pun menghantarkan penyertaan.

"Hendak diikutkan 42 filem layak bertanding dan sekarang pihak kami sudah menerima 36 penyertaan. Ia satu jumlah yang besar. Kami akan menghubungi penerbit yang belum menghantar penyertaan mereka. Insya-Allah sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos ini saya yakin semua filem akan dapat mengesahkan penyertaan mereka," katanya.

Menarik mengenai sambutan FFM24, Jurey berkata ada beberapa anugerah baru diwujudkan seperti Anugerah Filem Bukan Bahasa Melayu Terbaik, Pencapaian Sepanjang Hayat dan Filem Pilihan Umum.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai anugerah yang diwujudkan kata Jurey, sebelum ini wujud isu mengatakan filem bukan berbahasa Melayu tidak dipertandingkan tahun lalu.

"Selaku penganjur kita mengambil kira setiap pendapat diberikan. Tahun lalu ada lima saja filem bukan berbahasa Melayu. Bagaimanapun, tahun ini kita ada tujuh filem jadi secara tidak langsung satu kategori khas untuknya boleh dilaksanakan," katanya.

Begitupun pasti akan timbul rasa kurang senang di kalangan penggiat filem. Mengapa pula perlu ada kategori untuk filem berbahasa Melayu dan bukan berbahasa Melayu. Bukankah yang dipertandingkan adalah filem dan bukan bahasa?

Menjelaskan mengenai perkara itu kata Jurey, selaku penganjur dia hanya mengikut apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan atau undang-undang. Untuk mengubah syarat penyertaan bukan terletak di tangan Gafim sebaliknya perkara itu harus diketengahkan kepada pihak berwajib seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

"Ada syarat termaktub bahawa filem yang dipertandingkan harus menggunakan bahasa kebangsaan dan bahasa asing digunakan peratusannya haruslah kecil. Sekiranya ia melebihi daripada apa yang ditetapkan filem itu tidak layak bertanding.

"Bagaimanapun sayang pula kalau filem terbabit tidak turut serta kerana seperti yang kita ketahui ada antara filem terbabit bagus dari sudut mutu. Sekurang-kurangnya dengan adanya kategori filem bukan berbahasa Melayu akan memberi ruang kepada mereka," katanya.

Katanya lagi, tambahan kategori pencapaian sepanjang hayat juga penting bagi menilai sumbangan yang diberikan penggiat seni. Ia berbeza dengan anugerah artis veteran lelaki dan perempuan.

"Tahun ini juga kita ada anugerah pilihan ramai sama seperti 'People's Choice Award' ia diwujudkan pihak penyiar sendiri iaitu Astro.

"Tahun ini FFM24 akan disiarkan secara langsung di Astro Prima dan ulangannya di Astro Warna," katanya yang turut menandatangani kontrak hak penyiaran bersama Astro di majlis terbabit. Hadir sama Presiden Seniman, Harun Salim Bachik dan Timbalan Presiden Segmen Bahasa Malaysia Astro, Khairul Anwar Salleh.

Kata Jurey, dia gembira apabila pihak Astro sendiri berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak kelak dengan waktu tayangan selama dua jam.

Menyentuh mengenai Majlis Amal Berbuka Puasa yang dilaksanakan Produksi Seni 2020 bagi pihak Gafim, kata Jurey tujuannya adalah bagi menarik perhatian orang ramai agar bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik. Malah, kutipan dana yang dibuat pada majlis itu diserahkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia dan Persatuan Wanita & Ibu Tunggal Global 1Malaysia.

Antara aktiviti yang diadakan, selain berbuka puasa majlis pertunjukan fesyen diadakan dan membabitkan personaliti Elaine Kang, Corrine Adrianne, Azura Zainal, Chelsia Ng dan Wincci Soo.