Berita Harian: Hip |
Posted: 22 Aug 2011 04:04 PM PDT Hip Ezlynn tidak sabar tunggu tarikh 11.11.11TARIKH 11.11.11 semakin hampir. Buat insan lain barangkali ia sekadar angka menarik namun berbeza dengan penyanyi, Ezlynn apabila pada tarikh itulah dia bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihan sekaligus mengucapkan 'bye, bye' kepada zaman solonya. Sejak tahun lalu sememangnya penyanyi lagu lagu Hi! Hi! Bye, Bye itu secara terbuka sudah memilih tarikh untuk hari keramatnya cuma hingga kini masih belum bersedia mendedahkan siapa bakal suaminya. Puas memujuk, si jelita yang bakal menyambut ulang tahun ke-30, September ini masih berahsia malah mengakui hanya bersedia merungkai segala persoalan sebaik kad undangan perkahwinan siap. Adakah si dia jejaka yang sentiasa berada di sisinya sejak dulu atau Ezlynn sudah menemui insan baru? Hanya tawa kecil kedengaran sebaik persoalan demi persoalan diajukan kepadanya."Ya! Perancangan ke arah (kenduri) itu sedang berlangsung sebab harinya sudah semakin hampir. Saya bersyukur mempunyai ahli keluarga banyak membantu terutama ibu yang menjadi perancang utama majlis. "Begitupun, siapa bakal suami akan saya perkenalkan kemudian... apabila segala-galanya sudah dipastikan nanti terutama kad jemputan," katanya ketika ditemui selepas majlis peragaan fesyen hari raya di sebuah pusat beli belah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Hadir bersendirian, Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin terus rancak berkongsi cerita terutama tatkala menyentuh filem terbaru, Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit yang juga kesinambungan daripada Zombie Kampung Pisang. "Tentunya saya seronok dapat bertemu semula dengan rakan-rakan dari Kampung Pisang apatah lagi bekerja semula dengan Abang Mamat yang punya idea di luar kotak sekali pun nampak merapu. "Dalam filem ini saya berubah menjadi separuh pontianak dan separuh manusia. Kisahnya memang menarik malah saya sendiri tak sabar menunggu ia muncul di pawagam," katanya mengenai filem yang selesai menjalani penggambaran April lalu. Mengimbas semula pengalaman di Kuala Kangsar, Perak selaku lokasi kegemaran sutradaranya, Ezlynn mengakui agak takut kerana kebanyakan babaknya berlangsung pada waktu malam. Biarpun ramai kru di sekelilingnya, penyanyi dan pelakon yang masih dikekalkan dalam trilogi berkenaan berkata, dia tidak mampu menyembunyikan rasa gelisah apabila bulu roma berdiri tatkala terpaksa 'terbang' di tengah malam. "Memang ini pengalaman baru. Sebagai pontianak saya perlu terbang dan menunggu di atas pokok. Dalam kedudukan yang tinggi, saya boleh nampak bumbung rumah kampung dan tidak semena-mena saya rasa takut yang amat sangat. "Itulah detik yang saya masih ingat hingga kini. Saya sendiri tidak tahu kenapa tetapi dek tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan, saya tidak berani melihat ke mana-mana arah selain Abang Mamat yang memberi arahan di bawah," katanya lagi. Dalam kesibukan merencana kerjaya lakonan, jauh di sudut hatinya masih tersimpan hasrat merakamkan single ke dua selepas single terdahulu, Tic Tac Toe ciptaan Noh Hujan mendapat sambutan ramai. Menyelak repertoire lalu, selepas album sulung berjudul Ehmm... yang diedarkan pada 2003 disusuli Psst... setahun kemudian dan selepas itu dia hanya muncul bersama single. "Hasrat menerbitkan album fizikal memang saya idamkan sejak dulu, cuma masa dan ketikanya belum sesuai. Saya akui muat turun lagu menjadi trend semasa tetapi sebagai penyanyi kita lebih puas mempunyai album fizikal. "Tunggulah, jika peluang seperti itu hadir, saya tidak akan lepaskan. Sekarang pun saya masih mencari dan mengumpul bahan untuk rakaman akan datang," katanya yang dijangka masuk studio selepas Syawal. Mengenai persiapan hari raya, Ezlynn lebih senang bersederhana dalam segala hal kerana baginya paling utama adalah diberi kesempatan untuk berhimpun seisi keluarga serta saling bermaafan. Sebagai anak jati Perak, katanya paling meriah sudah tentu tradisi pulang ke kampung di Ulu Kinta serta Sitiawan mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak ditemui. |
Tempurung Pecah: Nostalgia Aidilfitri tanpa lagu dan filem Posted: 22 Aug 2011 04:02 PM PDT Hip KALI pertama aku mendengar lagu raya nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma adalah di dalam perjalanan aku ke kedai Pak Mokhtar ketika aku berusia lima atau enam tahun.Aku ingat lagi aku menggenggam duit syiling 20 sen berjalan memasang selera untuk mengulum aiskrim berbentuk roket yang diiklankan di akhbar lalu terdengar lagu itu berkumandang di corong radio rumah jiran di sebatang jalan utama kampung aku. Perasaan aku begitu gembira sambil cuba ikut menyanyikan lagu yang hanya kedengaran pada satu musim yang amat menyeronokkan itu. Tiada kedengaran pada waktu yang lain, eksklusifnya. Sebentar tadi aku terdengar lagu yang sama menggamit merdu dari sebuah kereta yang berlalu di sebelah set penggambaran aku ini. Segala hukum fizik beku. Sel-sel otak aku bergegas mengeluarkan caj elektrik mengingatkan aku pengalaman dengan suasana yang terbit setiap kali lagu ini berkumandang! Begitu tebal nostalgianya.Aku terfikir. Adakah unsur magis yang diadun oleh pengkaryanya sehingga keriangan dan keindahan berputik setiap kali lagu ini berkembang? Adakah nada yang dialun itu begitu sempurna zarahnya sehingga menyusup jauh ke sudut hati setiap kali ia diputarkan? Aku pasti jawapannya, ya. Sememangnya lagu itu mampu menggerakkan segala deria yang ada kepada si pendengar. Seperti terpukau membangkitkan kita ke alam yang terasa istimewanya. Bukan semua lagu bersifat demikian. Bagaimana dengan lagu-lagu dendangan Sanisah Huri, Fazedah Joned, Datuk Ahmad Jais dan yang lain-lain itu pula?
Mungkin aku harus melakukan sesuatu. Tim Allen dengan siri Santa Clause; Chevy Chase dengan Xmas Vacation; John Hughes pula dengan Home Alone, sehinggakan Arnold Schwarzenegger pun ada 'Jingle All The Way'nya! Sudah tiba masanya kita mempunyai satu filem yang dibikin khusus untuk mengingati sambutan hari raya. Tapi, perlukah ikut cara Hollywood itu? Aku rasa dalam niat persembahan hiburan yang bersikap singular agama Islam harus difikir positifnya. Filem Hong Kong juga mempersembahkan cerita perayaan Gong Xi Fat Choy mereka saban tahun berkemungkinan kerana permintaan dan budaya bangsa Cina amat gemar akan sambutan perayaan itu secara total. Kebangkitan kenangan terhadap kemeriahan sambutan Aidilitri banyak dihidupkan oleh lagu-lagu berbanding dengan pengaruh filem mahupun drama TV. Pada waktu suasana sambutan perayaan ini sedang rancak dirasai, aku terpanggil untuk mencari kuasa dan kesegaran yang dibawa oleh lagu-lagu itu. Keletihan segala lapar dahaga berpuasa hilang disulam senyuman manis apabila mendengar pekikan idola aku Datuk Ahmad Jais yang nyaring memberi rangsangan kembali segar setiap kali ia ke udara. Yang sedang keletihan membeli-belah di kawasan Masjid India di Kuala Lumpur juga akan melompat semakin rancak memilih dan kurang menawar apabila mendengar lagu Menjelang Hari Raya nyanyian Datuk D J Dave! Patutlah setiap kedai memutarkan lagu-lagu raya dengan kuatnya dengan harapan kita terpukau dan terus membuka dabey (beg duit)! Sanisah Huri pula mengalunkan lagu kronologi suasana hari raya yang begitu terperinci sekali! Dari sembahyang raya, bermaafan di antara kita, menziarah pusara sehinggalah kepada perajurit yang berada di sempadan kesemuanya disatukan di dalam penceritaan yang sayu. Diakhiri dengan pohon maaf suami isteri dan yang sedang bercinta untuk berkekalan kasihnya. Hayati seni kata itu pasti kita akan terasa indahnya bait lagu dan niatnya. Nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman yang didengar dalam hening Subuh mengenang nasibnya di perantauan, dari jauh dipohonkannya ampun maaf kerana tidak dapat kita bersama, sering bergenang air mata aku. Ah! Lagu raya! Bayangkan jika kita tiada mendengarnya minggu ini membawa ke minggu hadapan! Nescaya sesuatu yang bermakna di dalam santapan naluri kita akan terganggu. Hayati dan senyumlah. Lagu-lagu itu adalah pengaruh besar di dalam kerohanian perjalanan hidup kita, hidup aku sebenarnya. - khalidmamat@yahoo.com. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |