Adsense

Rabu, 17 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Diulit bahagia

Posted: 16 Aug 2011 03:52 PM PDT

Hip

Ramadan tahun ini lebih bermakna

JADUAL kerja Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dalam bulan puasa ini tetap padat dengan pelbagai perancangan untuk mengembangkan dan mengukuhkan kerjaya seninya.

Ketika ini dia sabar menanti kemunculan video klip lagu terbarunya, Takeover yang akan disiarkan di MTV Asia pada 19 Ogos nanti. Video klip itu dibuat di Miami. Dalam menanti kemunculan video klip itu, Mizz Nina sudah melakukan persediaan untuk menghasilkan lagu baru nyanyiannya kerana mengikut perancangan mahu dikeluarkan tahun depan.

Mujurlah dalam proses menyiapkan lagu terbaru itu, dia sangat beruntung kerana mendapat sokongan daripada suaminya, Noh Salleh atau Noh Hujan.

Biarpun Noh sendiri memang agak sibuk menyiapkan lagu baru untuk kumpulan Hujan yang dijangka mahu dipasarkan bulan depan, tetapi masih mempunyai masa menemani isterinya di studio rakaman.

"Bulan puasa memang masing-masing sibuk. Walaupun tak ada persembahan, Noh banyak menghabiskan masa di studio, manakala saya sibuk di rumah.
"Kali pertama berpuasa dan beraya sebagai pasangan suami isteri, rasa lain sikit sebab sebelum ini dengan keluarga tapi sekarang apa-apa pun berdua," kata Mizz Nina.

Mengulas mengenai lagu TakeOver, Mizz Nina yang kadang kala disapa dengan panggilan Nina saja, menjelaskan single itu dikeluarkan pada Jun lalu dan dinyanyikan secara berduet dengan penyanyi antarabangsa, Flo Rida. Sebelum ini, Nina muncul dengan dengan lagu single, What You Waiting For pada tahun 2010.

Tidak menumpukan kepada lagu Inggeris saja, Nina mengorak langkah menghasilkan lagu berbahasa Melayu yang akan dimuatkan dalam albumnya nanti.

"Masih lagi mengumpul bahan sesuai untuk lagu baru itu nanti dan lagu itu mungkin berentak mid-tempo atau electro bersesuaian dengan lagu saya sebelum ini. Album belum diputuskan lagi kerana nak tumpukan kepada single dulu.

"Alhamdulilah single terbaru saya setakat ini mendapat sambutan," jelasnya.

Mizz Nina adalah anggota kumpulan Teh Tarik Crew. Menjadi satu-satunya ahli wanita dalam Teh Tarik Crew, dia berjaya menjadi penyanyi solo yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Sepanjang penampilannya secara solo, Mizz Nina menyanyi lagu Bahaya yang turut menampilkan Dayang Nurfaizah, manakala dalam video muzik untuk lagu What You Waiting For pula, penyanyi ini mengundang Colby O'Donis.

Sementara itu, video klip terbaru Nina itu juga boleh ditonton melalui laman web rasminya, www.mizznina.com, Jumaat ini yang turut memuatkan pelbagai barangan cenderamata daripadanya.

Bukan saja lagu single, malah peminatnya boleh membeli barangan cenderamata yang direka khas oleh Nina dan akan mula terjual di laman terbabit selepas Aidilfitri nanti.

"Saya ada jual beg sandang, slim bag, singlet dan aksesori lain. Semuanya ada tujuh jenis barangan yang direka khas oleh saya sendiri.

"Barangan ini ditempah di Bandung khas buat peminat saya dengan reka bentuk dan corak yang menarik sesuai dengan golongan muda," jelasnya.

Walaupun bulan puasa, masa yang dikhaskan untuk berehat digunakan sebaik mungkin termasuk menumpukan kepada penghasilan single dan albumnya.

Teruja sambut raya di Sarawak

BAGI sesetengah artis, ada lebih gemar beraya di kampung halaman tetapi bagi Mizz Nina kesempatan itu tidak pernah dirasainya kerana keluarganya memang menetap di ibu negara.

Berkesempatan beraya di kampung halaman suami di Sarawak memberi peluang kepadanya merasai suasana beraya di rumah mentua selama seminggu.

"Mulanya beraya di sini (Kuala Lumpur), kemudian ke Miri dan Kuching di rumah keluarga suami. Saya sudah tak rasa kekok dengan keluarga suami, malah rasa teruja nak beraya dengan mereka.

"Persiapan raya setakat ini masih belum buat apa-apa lagi mungkin lagi seminggu nak raya baru nak siapkan lagi pun kami berdua saja jadi persiapan pun sederhana," katanya. Pasangan ini bernikah pada 1 Julai lalu.

Berpeluang mengecapi percutian berbulan madu di luar negara, ia sememangnya meninggalkan kenangan indah buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga bulan lalu. Malah kesempatan itu digunakan mereka untuk beristirehat sepenuhnya setelah penat bekerja disamping meluangkan masa berdua.

"Kami ke London empat hari, begitu juga Rome kemudian ke Maldives. Kali pertama dapat menjejakkan kaki di bumi Maldives memang tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata sebab terlampau cantik.

"Masa yang ada itu kami gunakan sebaik mungkin untuk berehat. Kenangan yang kami tak boleh lupa ketika di London kena beratur sejam lebih nak tengok Festival Muzik, tiba-tiba tak boleh masuk sebab penuh sesak," katanya.

Namun, pasangan itu belum bersedia untuk mempunyai cahaya mata dalam masa terdekat kerana lebih fokus kepada kerjaya masing-masing.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Jawablah! Untuk apa kami bergaduh!

Posted: 16 Aug 2011 03:46 PM PDT

Hip

JOHAN (kiri) dan Zizan tidak bergerak secara berkumpulan.

JOHAN (kiri) dan Zizan tidak bergerak secara berkumpulan.

Jozan bukan kumpulan tapi gabungan dua nama khusus untuk Maharaja Lawak

ZAHIRNYA mereka nampak mesra. Suka buat lawak serta saling mengusik antara satu sama lain.

Malah pasangan pelawak ini dikatakan cukup serasi dan setiap kali mereka berdua digabungkan pasti jenaka yang mereka ketengahkan akan menghiburkan. Namun, siapa sangka di sebalik kemesraan yang mereka tunjukkan itu, hanyalah sekadar pura-pura semata. Khabarnya sejak berada di dalam program Maharaja Lawak lagi, dua pelawak sensasi ini iaitu Johan dan Zizan (Jozan) dikatakan tidak sebulu. Puncanya, Johan makan hati dengan sikap Zizan yang tidak memberikan sepenuhnya komitmen terhadap persembahannya untuk pertandingan itu gara-gara jadualnya yang terlalu sibuk dengan aktiviti lain.

Sudahnya, Johan terkontang-kanting berusaha, memerah otak mencari idea bagaimana untuk menghasilkan lawak yang bermutu sedangkan perkara itu akan menjadi lebih mudah seandainya Zizan menghulurkan bantuan.

Dan kekalahan mereka di tangan kumpulan Sepah juga menjadikan Johan panas hati dan berlakulah babak saling menuding jari siapakah yang bertanggungjawab di atas kekalahan itu.

Untuk mendapatkan kepastian sebenar adakah Johan dan Zizan saling bermusuhan, Hip mendasari hati dua lelaki ini ketika bertemu mereka di sebuah restoran di ibu negara petang kelmarin.
Sambil mengakui terkilan dengan dakwaan itu, mereka juga tanpa ragu-ragu menyifatkan gosip mereka berdua bergaduh itu timbul disebabkan ada pihak yang dengki dengan kejayaan yang mereka kecapi ketika ini.

Hip: Betulkah anda sebenarnya ada masalah tapi depan orang ramai pura-pura mesra.

Johan: Saya sebenarnya hairan bagaimana cerita seperti ini boleh timbul? Antara kami tiada sebarang masalah. Kami tidak pernah bergaduh seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Jadi untuk apa kami bersikap hipokrit. Mungkin ada pihak yang salah faham dengan cara kami berlawak di atas pentas iaitu saling 'laser melaser' antara satu sama lain. Itu hanyalah lakonan ataupun dalam bahasa hiburan "propa" semata-mata. Selalunya kalau kami beraksi seperti lelaki lembut dan mengenakan salah seorang daripada kami, itu maknanya kami hanya berjenaka dan bukannya kerana kami tak puas hati. Kami rasa mungkin disebabkan cara kami itu membuatkan orang luar menyangkakan yang kami memang benar-benar bermasam muka.

Hip: Ada yang menyampaikan kononnya permusuhan itu berlaku disebabkan Zizan tidak memberikan sepenuh komitmen sepanjang Maharaja Lawak dan ini membuatkan Johan makan hati. Benarkah begitu?

Zizan: Setahu saya sepanjang program itu berlangsung, saya tidak pernah gagal dalam memberikan komitmen. Saya tetap memberikan idea pada Johan walaupun ada ketika idea itu tidak diguna pakai. Malah, walau penat mana pun, saya tetap mengutamakan program Maharaja Lawak. Kalau ada penggambaran di luar, saya akan pastikan saya tetap pergi membuat latihan walaupun sehingga lewat pagi. Jadi, dakwaan yang mengatakan saya tidak memberikan sepenuh komitmen adalah tidak benar dan ia seperti mahu memburuk-burukkan saya.

Hip: Reaksi anda ketika membaca gosip itu?

Johan: Saya rasa cerita yang mengatakan kami bergaduh itu sudah dua kali tersiar di media. Kali pertama membacanya, saya ketawa kerana cerita itu memang tidak benar. Kali kedua cerita yang sama tersiar, ketika itu kami mahu berangkat ke London untuk penggambaran telefilem Drogba dan Rooney. Masa itu memang terkejut lebih-lebih lagi apabila gosip itu ditulis berdasarkan sumber dari pihak produksi. Apa tujuannya produksi itu memberitahu perkara yang tidak benar? Walaupun kami adalah pelawak, tapi kami ada hati dan perasaan. Rasa terkilan sangat kerana gosip seperti ini seolah-olah mahu menjatuhkan kami. Saya percaya mereka yang menyebarkan tohmahan ini adalah mereka yang tidak senang dengan kejayaan kami. Bila gosip seperti ini tersiar, yang akan jadi mangsa selain kami adalah peminat. Tak pasal-pasal mereka juga akan bertelagah disebabkan gosip kononnya kami berdua bergaduh.

Hip: Mustahil kamu berdua tidak pernah bergaduh

Johan: Memanglah pernah bergaduh tapi bukanlah disebabkan masalah peribadi tetapi lebih kepada kerja. Contohnya, sewaktu Maharaja Lawak, kami saling bertukar idea dan masing-masing cuba mempertahankan idea siapakah yang perlu digunakan. Itu adalah perkara yang normal jika dalam satu pertandingan. Kami menghormati antara satu sama lain. Kalau Johan ada tawaran lain, saya tidak perlu rasa cemburu dan begitulah sebaliknya. Kami sangat profesional apabila membabitkan hal kerjaya.
Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa Jozan bukanlah satu kumpulan tetapi ia adalah dua nama individu yang digabungkan untuk program Maharaja Lawak. Ini adalah untuk menjawab pertanyaan apakah benar Jozan sudah berpecah? Kami bukanlah sebuah kumpulan seperti yang disangkakan

Hip: Pesanan untuk mereka yang masih percaya anda berdua bergaduh

Zizan: Buat semua peminat kami, cerita kami berdua bergaduh hanyalah sebuah gosip saja. Selepas ini, saya harap jika ada terdengar cerita yang bukan-bukan mengenai kami berdua, adalah lebih baik bertanya kepada tuan punya badan sendiri supaya nanti ia tidak sampai mengelirukan banyak pihak.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.