Adsense

Isnin, 25 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Abby ada hantar SMS

Posted: 24 Jul 2011 08:18 AM PDT

HANYA Tuhan yang tahu debaran yang melanda dalam diri pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey menanti saat diijabkabulkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Harapan Norman semoga semua pihak mendoakan yang terbaik buatnya dan Memey untuk memulakan kehidupan berkeluarga yang diimpikan setiap pasangan.

Memang sudah tuah badan apabila pasangan yang paling mendapat perhatian ramai di persada seni tanah ketika ini bakal diraikan dalam majlis resepsi besar-besaran bernilai lebih RM12 juta sekali gus diangkat sebagai 'Wedding of The Year.'

Majlis resepsi bertemakan Rafflesia Pearl Wedding dan mengetengahkan konsep New York ini akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September depan.


Secara peribadi, Norman nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 35, mengakui dia sendiri berasa takut apabila pihak Rafflesia bakal meraikan mereka dalam majlis resepsi sehebat itu di ibu kota.


"Sebenarnya, saya dan Memey menjangkakan majlis perkahwinan yang sederhana saja selepas pelbagai ujian dilalui dalam hubungan kami sebelum ini.

"Saya anggap diri kami 'kerdil' untuk mendapat penghargaan dari hujung rambut hingga hujung kaki seperti itu.

"Namun, selepas berbincang Bill Bora (mewakili Rafflesia) tiga minggu lalu, kami melihat penghargaan yang diterima ini menguntungkan kedua-dua pihak.

"Maklumlah, saya dan Memey banyak bekerjasama dalam pelbagai majlis anjuran Rafflesia sebelum ini," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, baru-baru ini.

Hadir sama, barisan penaja majlis resepsi mereka iaitu Winnie Sin (mewakili Rafflesia), Profesor Datuk Dr Jimmy Choo, Lee Lee Loh, Kenny Loh (Lord's Tailor), Snips dan wakil dari Hotel Crowne Plaza Mutiara sendiri.

Ditanya siapa artis yang bakal menjadi pengapit, Norman berkata, ia masih dalam perbincangan.

"Saya difahamkan, dua artis lelaki dan dua artis perempuan akan menjadi pengapit kami pada majlis resepsi itu nanti.

"Kami juga akan mengundang rakan artis yang rapat dengan kami berdua untuk sama-sama memeriahkan majlis," katanya.

Ketika ditemui, Bill selaku perancang majlis perkahwinan itu berkata, Memey bakal menggayakan dua gaun bertatah mutiara yang berharga setiap satu RM500,000 untuk acara persandingan dan memotong kek perkahwinan.

"Memey juga bakal menggayakan dua kasut rekaan eksklusif Datuk Jimmy yang pernah mencipta kasut untuk mendiang Puteri Diana berharga lebih RM300,000 setiap satu dan dua set perhiasan jenama Rafflesia iaitu anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara bernilai RM5.6 juta.

"Tidak ketinggalan, majlis ini akan dihadiri kira-kira 200 tetamu membabitkan selebriti dan wakil media yang bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan antarabangsa," katanya.

Majlis nikah di Johor tidak ditaja

TINGGAL dua bulan saja lagi, Norman dan Memey bakal diijabkabulkan di kediaman keluarga pihak perempuan selepas solat Asar di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor pada 24 September ini.

Ia disusuli dengan majlis persandingan di sana pada keesokan harinya, 25 September.

Berkongsi persiapan majlis majlis pernikahan di Johor, kata Memey atau pemilik nama sebenar Suhaiza Suihaimi, 23, dia dan Norman baru kembali dari Bandung, Indonesia sebagai persiapan mencari barangan untuk majlis perkahwinan mereka.

"Majlis ini juga tidak ditaja dan kami gunakan duit simpanan hasil pembabitan dalam bidang lakonan.

"Setakat ini, persiapan majlis pernikahan dan persandingan kami mendapat bantuan perancang majlis perkahwinan di Johor. Tidak ketinggalan, majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malamnya.

"Kami mengundang tetamu yang terdiri daripada penduduk kampung lebih 2,000 tetamu untuk sama-sama meraikan hari bersejarah ini.

"Saya memilih konsep moden dan 'Garden Wedding' pada hari pernikahan nanti dengan mengenakan gaun moden rona warna-warni," katanya.

Kata Memey, dia juga sudah menghadiri kursus kahwin di Zura's Akademik, Bangsar pada 9 Julai lalu.

"Dari segi kad undangan majlis di Kota Tinggi, ia mula diedarkan pada pihak media tempatan pada Ramadan nanti.

"Saya dan Norman juga terpaksa membahagikan masa untuk buat persiapan kahwin kerana masing-masing terbabit dalam bidang seni.

"Saya juga habiskan penggambaran program raya terlebih dulu kerana semua persiapan kahwin dari A hingga Z saya uruskan sendiri dengan bantuan keluarga di Johor," katanya.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu, kata Norman, dia dan Memey belum memilih destinasi pilihan mereka lagi.

"Saya juga tidak tahu destinasi itu dalam atau luar negara kerana beri tumpuan pada persiapan majlis perkahwinan terlebih dulu," katanya.

Diminta mengulas sama ada dia akan mengundang pelakon Abby Abadi ke majlis itu, kata Norman, bekas isterinya juga sudah tahu mengenai majlis mereka.

"Abby ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengucapkan tahniah pada saya.

"Insya-Allah, saya akan mengundangnya ke majlis kerana belum menghantar kad undangan secara rasmi padanya.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai bekas isteri kerana kami sudah ada haluan hidup masing-masing.

"Bagaimanapun, selepas saya dan Memey berkahwin, saya dan Abby tetap buat hak penjagaan tiga anak kami bersama-sama demi masa depan mereka," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Kumpul dana untuk Palestin

Posted: 24 Jul 2011 08:10 AM PDT

SEKALIPUN tunggak utamanya, Mohamad Asri Ibrahim sudah meninggal dunia, Rabbani tetap tabah meneruskan perjuangan nasyid mereka.

Malah, rezeki Rabbani masih murah apabila menerima pelbagai tawaran mengadakan persembahan pentas.

Bukan itu saja, Rabbani juga berjaya mempertahankan gelaran Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk 10 tahun berurut-turut.

Bahkan, hingga kini populariti Rabbani di kalangan peminat nasyid masih sukar digugat.


Apapun, baru-baru ini Rabbani dipilih sebagai duta produk Ana Edar Sdn Bhd yang halal, suci dan sesuai untuk masyarakat Islam.


Selain itu, Rabbani juga diumumkan akan membuat persembahan sepanjang Ramadan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Pengarah Komunikasi Korporat Rabbani Productions (M) Sdn Bhd, Azadan Abd Aziz ketika sidang media itu berkata, persembahan di Hotel Singgahsana setiap Ramadan sudah dijayakan Rabbani bertahun-tahun. Justeru, Ramadan ini adalah tahun ke-20.

"Kami sangat berterima kasih dengan pihak Ana Edar mahupun Hotel Singgahsana kerana masih berkeyakinan dengan Rabbani.

"Kami dipilih sebagai duta produk Ana Edar manakala kerjasama dengan Hotel Singgahsana pula sudah berlanjutan agak lama.

"Sehubungan itu, kami akan berusaha memikul tanggungjawab besar ini sebaik mungkin," katanya yang memaklumkan Rabbani mengadakan bacaan tahlil khas pada 3 Ogos ini bersempena genap dua tahun kematian Mohamad Asri.

Allahyarham Mohd Asri yang mesra dipanggil Ustaz Asri itu diakui banyak mencurah keringat demi memastikan kejayaan diraih Rabbani kini.

Jadi, memandangkan tarikh itu juga sudah masuk Ramadan maka majlis khas dirancang untuk arwah.

Selain Rabbani, hadir sama di majlis yang diadakan di Hotel Singgahsana itu ialah Pengurus Besar Hotel Singgahsana, Rohizan Zainal dan Pengarah Urusan Ana Edar, Luqman Othman. Rabbani juga tampil mendendangkan lagu popular mereka, Intifadah.

Tidak hanya mengenai duta produk dan persembahan sepanjang Ramadan, Rabbani turut memaklumkan mengenai konsert 'Ana For Gaza' yang akan berlangsung pada 30 Julai ini di Stadium Kajang, jam 8.30 malam. Ia bertujuan mengumpul dana untuk masyarakat Islam Palestin.

Mengulas lanjut, Azadan berkata, ia rentetan daripada kejayaan konsert Mahabbah Gaza yang pernah dijayakan Rabbani di Stadium Malawati, Shah Alam, tahun lalu. Sekalipun, konsert diadakan secara percuma, tetapi sambutan sangat menggalakkan.

"Jika tahun lalu, seramai 15,000 pengunjung datang ke Stadium Malawati untuk menyaksikan konsert dan sumbangan sebanyak RM40,000 berjaya di kumpulkan, kali ini kami mengharapkan kutipan dana lebih besar. Diharapkan konsert ini mendapat sambutan.

"Rabbani mensasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM80,000 dapat dikumpulkan pada konsert 'Ana For Gaza' yang akan dijangka selama dua jam. Barisan artis terbabit ialah Inteam, Saujana, Nowseeheart dan Aishah termasuk penceramah terkenal.

"Kami mengundang Datuk Siti Norbahyah Mahmud dan Datuk Dr Ibrahim Ghafar untuk mendeklamasikan puisi pada malam itu. Apapun, acara sebelah siangnya diadakan karnival jualan, pertandingan azan, pidato, forum perdana dan pertandingan nasyid Piala Rabbani," katanya.

Menyentuh soal artis sama kerap diundang menjayakan konsert, Azadan berkata, bukan pihaknya tidak berminat mengundang artis nasyid lain, tetapi kumpulan artis yang diundang itu diyakini mampu memberikan komitmen yang cukup baik.

"Penganjuran konsert bukanlah perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi, konsert amal. Kami memilih artis nasyid yang sama untuk turut serta menjayakan konsert 'Ana For Gaza' kerana komitmen diberikan. Malah, masing-masing juga ada kelompok peminat tersendiri.

"Tiada istilah pilih kasih atau tidak layak, cuma artis yang diundang ini mudah memberi kerjasama. Mereka sentiasa bersedia dan sudi membabitkan diri untuk acara amal seperti itu. Justeru, saya mengharapkan konsert 'Ana For Gaza' akan berjaya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.