Adsense

Isnin, 25 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kerelaan sendiri

Posted: 24 Jul 2011 05:52 PM PDT

Hip

Jangan kaitkan dengan dia

BUKAN mahu menafikan kehebatan kakaknya, Haliza Misbun tetapi Amanda mahu berada dalam dunia seni ini seumpama berdiri di kaki sendiri, tidak terlalu bergantung dengan populariti saudaranya itu.

Sebab itulah, berkali-kali Amanda menegaskan antara dengan dan kakaknya langsung tidak ada persamaan ketara, sebaliknya masing-masing membawa imej dan gaya berbeza.

"Kami sering dikaitkan kerana berkongsi ayah yang sama. Itu betul. Tapi selain itu, kami tidak mempunyai banyak persamaan dari apa segi sekalipun, saya membawa personaliti saya yang tersendiri. Kerjaya saya sebagai pelakon pun tiada kena mengena dengan kakak. "Tapi kakak memanglah banyak memberikan nasihat dan memberi jalan kepada saya untuk bekerja sendiri. Tidak dinafikan kak Haliza ada memberi sokongan dan tunjuk ajar.

"Saya sedar saya tidak boleh mengangkat diri setarafnya, kerana dia jauh lebih berpengalaman. Tidak mahu juga dibandingkan dengan dirinya mahu pun menumpang populariti, kerana saya menceburi bidang ini kerana minat serta di atas keinginan sendiri," kata pelajar tahun kedua Fakulti Psikologi, di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di ibu negara.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap dunia lakonan dan ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjayanya yang semakin memberi rezeki mencurah-curah, Amanda menangguhkan pelajarannya 12 bulan, dan akan kembali menghabiskan pengajian berbaki setahun lebih itu pada 2012.

Baginya, walaupun dia mempunyai karier sebagai pelakon, pelajaran juga penting kerana tidak mahu selama-lamanya bergantung hidup sebagai insan seni.
Menyingkap kemunculannya sebagai pelakon, Amanda memulakan karier lakonannya pada umur 14 tahun menerusi telefilem Rohaya Roy yang diterajui oleh kakaknya.

"Kak Haliza menawarkan wataknya pada usia muda kepada saya, dan saya menerimanya. Sejak dari itu minat berlakon semakin berkembang dalam diri saya. Namun disebabkan masih muda dan sedang bersekolah, saya berhenti sekejap dan kembali berlakon selepas tamat sekolah.

"Kemudian, seperti pucuk dicita ulam mendatang, Kabir Bhatia menawarkan saya watak untuk drama bersiri, Front Page, dan ia mendapat sambutan menggalakkan dari penonton. Selepas itu pula, saya membintangi telefilem bersama Sheila Rusly, Berdosakah Aku.

"Disebabkan watak yang saya bawa dalam cerita itu agak berat, saya terharu kerana orang ramai mula nampak bakat saya, malah sejak dari itu, syukur kepada Tuhan, rezeki datang mencurah-curah, di mana banyak tawaran lakonan yang diberikan kepada saya selepas itu," katanya ketika menceritakan pembabitannya dalam lakonan.

Tambahnya lagi, dia sering diberi watak antagonis disebabkan mukanya yang dikatakan tampak bengis. Namun diakuinya sifat itu amat berbeza dengan dirinya kerana dia seorang yang kelakar dan ceria.

Sebagai pelakon yang masih baru, gadis berusia 22 tahun ini tidak pernah memilih watak dan menerima apa saja tawaran yang diberikan asalkan ia berpatutan, secara tidak langsung membuka lebih peluang pada dirinya untuk mencuba pelbagai watak.

Ketepikan dulu cerita peribadi

Walaupun masih baru, gadis ini bertuah kerana diberi kepercayaan menjayakan pelbagai watak serta berlakon di sisi barisan nama besar seperti Eman Manan, Fauziah Ahmad Daud dan Nasir Bilal Khan.

Mungkin masih ramai kurang mengenali namanya, namun Amanda sudah menjayakan pelbagai drama dan telefilem, tidak mengira dari watak kecil sehinggalah peranan utama.

Antaranya ialah Suzana, Angin Rindu Sarajevo, Jidin, Bahang Ravina, Jelma, Kekasihku Seru, Cerita Sebuah Impian, Tragedi Malam Raya, Cinta Buta, Ayu Suraya, Mistik Alam Hitam, Kem Pink, Kemboja Putih, dan Wan Tempe Ke London.

Masih ada beberapa drama yang turut mengetengahkan lakonannya sedang dan akan disiarkan seperti Stanza Cinta, Gulai Tempoyak Chicken Chop, Dewa Cinta, Pekan dan Rafael.

Amanda baru saja selesai membintangi telefilem Tunggu Sekejap arahan Along Kamaruddin dan kini sedang dalam penggambaran Sujudku di Sejadah dan Syurga Bagiku.

Selepas filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami terbitan kakaknya sendiri dan Hijab, filem ketiganya iaitu Klip 3GP akan dibawa masuk ke panggung wayang pada Oktober nanti.

Melihat kepada senarai drama dan filem yang dibintangi itu, memang Amanda kini sedang memantapkan kerjaya lakonannya.

Mengenai kisah peribadinya, gadis ini mengakui sudah memiliki teman istimewa tetapi tidak mahu memperbesar-besarkan perkara itu kerana dia mahu lebih dikenali atau menonjol kerana kerjayanya sebagai pelakon.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Merajuk bukan isu

Posted: 24 Jul 2011 05:49 PM PDT

Hip

PFM tarik diri dari GAFIM kerana tidak perlukan pihak lain jadi perantara mereka

BUKAN merajuk dan kecewa tetapi keputusan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) keluar daripada Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) kerana mereka kurang yakin dengan kedudukan pengurusan gabungan itu sendiri yang dilihat sebagai kurang stabil.

Bagi PFM, soal ahli persatuan ini tidak dipilih menganggotai mana-mana jawatan dalam GAFIM adalah isu yang sangat kecil.

Bahkan tindakan keluar daripada GAFIM juga tidak ada kena mengena dengan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24). Setiausaha Kehormat PFM, Norman Abdul Halim ketika dihubungi Hip menjelaskan, antara aspek yang tidak disenangi dalam GAFIM ialah kedudukan kewangan yang tidak diuruskan dengan baik selain perubahan laporan minit mesyuarat yang boleh bertukar sesuka hati.

PFM menjadi anggota gabungan dalam GAFIM selama lima tahun dan persatuan itu bertindak keluar apabila dalam mesyuarat agung gabungan itu baru-baru ini, Jurey Latiff Rosley daripada Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dipilih sebagai Presiden menggantikan Ahmad Puad Onah. Ahmad Puad yang mewakili PFM pernah menjadi Presiden GAFIM selama dua penggal.

Keputusan keluar daripada GAFIM dicapai secara sebulat suara oleh ahli PFM tiga hari sebelum mesyuarat agung GAFIM berlangsung iaitu pada 17 Julai yang lalu.

"PFM tidak ada jawatan dalam GAFIM adalah isu paling kecil. Keputusan PFM menarik diri juga tiada kena mengena dengan FFM24, tetapi ia dibuat kerana kami melihat masalah pentadbiran yang wujud dalam gabungan itu.
"Kewangan GAFIM tidak diuruskan dengan baik. Kami juga dapati apa yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat boleh ditukar sewenang-wenangnya dalam laporan minit mesyuarat. Menyedari kepincangan ini, kami berasakan menarik diri adalah jalan terbaik," katanya.

Norman juga menegaskan, PFM bukan angkuh dengan tindakan itu tetapi sebagai penyumbang terbesar dalam industri perfileman, persatuan ini sewajarnya diberi keutamaan memimpin GAFIM.

"Kami (PFM) adalah majikan. Kami mengeluarkan bajet besar menghasilkan filem dan menyediakan pekerjaan kepada pengarah, pelakon, penulis skrip, krew dan mereka yang terbabit dalam aliran ini.

"Apabila bukan penerbit filem memegang jawatan penting itu, bererti dia menjadi seperti orang tengah untuk kami. PFM tidak memerlukan orang tengah, lebih-lebih lagi yang tidak terbabit dalam penerbitan filem," katanya.

Berikutan tindakan PFM itu, anggota gabungan GAFIM sekarang ialah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (PENYIAR).

Turut menganggotai GAFIM ialah PTVM, Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanahair (PAPITA), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MIEWA), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (IRIM).

Norman menambah, apabila bukan ahli PFM memegang jawatan penting dalam GAFIM, ia tentunya mengundang kesukaran untuk menjaga kepentingan persatuan lain, terutama sekali dalam perbincangan berkaitan dengan Skim Wajib Tayang, MDeC dan hal berkaitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kerana Presidennya bukan dari orang filem.

"Penerbit filem berdepan dengan isu yang berbeza daripada penerbit drama televisyen. Jadi mereka pastinya tidak memahami masalah yang kami hadapi. PFM tidak memerlukan perantara atau orang tengah untuk menjadi penyalur maklumat kami kepada pihak yang disebutkan.

"Kami perlu berhubung sendiri secara terus dengan pihak di Skim Wajib Tayang atau dengan MDeC dan FINAS. Mereka yang tidak terbabit dengan filem tidak tahu apa keperluan yang kami mahukan.

"Berdasarkan persetujuan yang pernah dicapai sebelum ini, PFM tidak boleh berada di bawah pemimpin lain. Jadi selepas perbincangan dibuat dengan ahli PFM, kami merasakan menarik diri adalah jalan penyelesaian terbaik," jelas Norman lagi.

Walaupun menarik diri daripada GAFIM, Norman berkata, ia tidak bererti PFM mahu sabotaj FFM24 yang akan diadakan akhir tahun ini.

"Kami berharap mereka tidak meletak logo PFM. Bagaimanapun, kami akan tetap memberikan sokongan sewajar nya," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.