Harian Metro: Rap |
Posted: 15 Jul 2011 06:13 AM PDT DALAM usia muda, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat, 22, sudah mengecapi pelbagai kejayaan besar. Lebih daripada itu, anugerah prestij sudah dimenangi, sekali gus meletakkan namanya sebaris penyanyi ternama sedia ada. Sebelum ini ramai skeptikal apabila penyanyi berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini muncul dalam persada seni apabila menyertai rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim keempat (AF4). Ramai memperkatakan saiz badannya yang besar hingga mempersoalkan kemampuannya untuk menambat hati peminat. Sedar dalam industri muzik tempatan imej turut memainkan peranan penting, Aizat berusaha keras menguruskan badan dan memastikan dia cukup pakej apabila tampil dengan album sulung, Percubaan Pertama. Lima tahun berlalu, penyanyi yang melonjak namanya menerusi lagu Kau Aku itu kini tidak lagi menoleh ke belakang. Kemampuan diri juga sudah dibuktikan dengan Konsert Solo yang pertama, Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara. Hampir 700 peminat setia memenuhi dewan Bentley Music, Damansara Utama.
Ia dimulakan dengan Konsert Borneo Tour - Urusan Aizat Amdan - Live In Kuching pada 16 Julai ini di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak. Selepas itu, persembahan sama akan diadakan di Dewan KDCA, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Julai ini. Dalam pertemuan itu, ternyata Aizat gembira dengan perkembangan itu dan dia berasa teruja untuk mengadakan persembahan. Bagaimanapun, kata Aizat, untuk merealisasikan konsert terbabit tidak mudah, segala usaha dijalankan dengan gerak kerja terperinci. Lebih penting, dia sendiri selaku penyanyi turut turun padang untuk mempromosikan konsert bakal diadakan. "Hampir dua minggu juga saya bersama kakitangan (KGESB) mengadakan promosi jelajah di Sarawak dan Sabah. Setakat ini sambutan amat menggalakkan. "Seronoknya apabila mengadakan promosi di sana, saya juga dapat berkenalan dengan pihak di sana, sekali gus membuka lagi ruang untuk saya menjalinkan kerjasama. Saya mengharapkan apa yang diusahakan ini mendapat sambutan," katanya. Bercerita lanjut, jelas Aizat, untuk merealisasikan impiannya itu agak mencabar. Seperti yang diperjelaskan sebelum ini, paling payah adalah untuk mendapatkan penaja. "Kerana itu, kami tidak mahu menghebohkan terlebih dulu mengenai konsert diadakan selagi ia belum pasti. Bimbang kalau saya asyik bercerita tetapi kesudahannya ia gagal direalisasikan. Syukur apabila DiGi dan Firefly bertindak selaku penaja utama. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung belanja besar diperlukan. "Saya sendiri turut berusaha keras sebaik urusan penajaan berjaya diselesaikan dengan menguar-uarkan di seluruh laman sosial yang saya ada. Menerusi maklum balas diberikan, peminat di sana juga tidak sabar mahu hadir menyaksikan konsert bakal diadakan," katanya. Menyentuh mengenai konsep persembahan, jelas Aizat, ia tidak akan sama dengan konsert yang diadakan di Damansara, terutama dari sudut pemilihan lagu dan pemuzik yang dibawa. "Ia tidaklah sebesar konsert di Kuala Lumpur, tetapi ia tidak mengurangkan suasana konsep persembahan. Menariknya dalam persembahan ini nanti, saya turut menampilkan beberapa penyanyi tempatan di setiap negeri. Mengambil contoh di Sabah, saya turut mendendangkan satu lagu dalam dialek tempatan dan bergandingan dengan penyanyi Jimmy Palikat, pak cik kepada Nikki Palikat. Dia ada satu lagu yang sedang popular di sana," katanya. Selain itu dalam konsert ini juga, Aizat akan menampilkan penyanyi pertama yang bernaung di bawah syarikat KGESB, iaitu bintang Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Mohamad Amirullah Jahari atau Amir berasal dari Sarawak. "Saya memilih Amir untuk bernaung di bawah syarikat saya kerana yakin dengan kemampuannya. Bakatnya juga besar. Bayangkan berbekalkan gitarnya saja, dia mampu menghiburkan orang ramai. Saya percaya kebolehan dimiliki diperoleh daripada kerja kerasnya selama ini yang sangat mencintai muzik. Dia juga seorang pemuzik jalanan jadi pengalamannya sangat luas. Single yang dihasilkan Amir sendiri sudah siap, dan ia akan diperdengarkan kepada peminat pada konsert itu nanti," katanya. Dalam menjayakan konsert ini, jelas Aizat, sebagai persediaan dia banyak bermuhasabah diri, terutama melihat apa yang harus dilakukan. Baginya apa yang penting adalah memberi fokus dan tidak panik. Dia juga tidak mahu mengikut emosi kerana bimbang persembahan dilakukan dianggap syok sendiri. "Persembahan diadakan itu nanti lebih kepada untuk menghiburkan peminat. Itu adalah tanggungjawab saya dan ia harus dilaksanakan dengan sempurna," katanya. Jelas Aizat lagi, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia dan 10 pertubuhan kebajikan lain bagi mengutip dana kebajikan Tabung Taman Harapan. Ia digunakan untuk membina Taman Harapan yang berupa satu konsep pembangunan hartanah pertama di Malaysia dan menjadikan kebajikan sebagai matlamat utama. Setiap RM5 daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Taman Harapan Malaysia. Bagi tujuan ini, pihak KGE dan YHKM sedang berusaha untuk mendapatkan dan mengalu-alukan mana-mana badan berminat untuk membiayai pembelian tiket konsert bagi disalurkan ke tabung terbabit. PROFIL: NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan PENCAPAIAN: Lagu Terbaik (Pergi) dan Persembahan Terbaik (Kau Aku), Anugerah Juara Lagu Ke 24 (AJL24); Vokal Lelaki Terbaik Dalam Album Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM 16) Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 15 Jul 2011 06:00 AM PDT NAMA Datuk Bahaman tercatat dalam sejarah Melayu sebagai pahlawan unggul yang tiada tolok bandingnya dalam memperjuangkan maruah bangsa serta tanah air, sekali gus menjunjung kesultanan Pahang pada zaman kegemilangannya dulu. Justeru, tidak hairanlah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Pahang dengan kerjasama produksi Antara Teroka Sdn Bhd (ATSB) memilih untuk mengangkat perjuangan Datuk Bahaman ke pentas teater untuk menjadi pembakar semangat pada generasi akan datang.
Ketika ditemui, pengarah teater ini, Rahman Adam berkata, dia memang berminat mengarahkan cerita sejarah dan teater patriotik sejak dulu. "Sekalipun saya berasal dari Melaka dan bukan anak Pahang, saya tetap berminat untuk mengangkat sejarah pahlawan Pahang ini. Selepas Datuk Bahaman, mungkin kami akan pentaskan sejarah Melaka dan negeri lain pula pada masa depan.
"Pihak kami mengambil sedikit masa kerana perlu membuat kajian lebih mendalam mengenai sejarah Datuk Bahaman itu. Muzikal ini adalah teater patriotik dan pihak kami tidak mahu ada salah fakta membabitkan tokoh pahlawan yang unggul sepertinya," katanya. Rahman ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon teater muzikal Bahaman yang berlangsung di Bora Asmara, Jalan Sungai Penchala, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang, Datuk Seri Wan Abd Wahid Wan Hassan. Barisan pelakon teater muzikal Bahaman ialah Zul Huzaimy (Bahaman), Datuk Rahim Razali (Imam Noh), Razali Hussain (Katib), Almy Nadia (Wan Rohani), Geofrey Perrin Williams (Hugh Clifford), Baharuddin Omar (Bilal), Radhi Khalid (Tok Ku Paloh) dan Julia Zeigler (Putih). Tidak ketinggalan, Rosli Rahman (Man Bera), Roslan Madun (Awang), Feeda Ibrahim (Siti Anom), Mas Intan Amalina (Maziah). Roslina Baharim (Rokiah), Nur Asmidar Ahmad (Cik Embun) dan Sultan Ahmad (Shukor Ibrahim). Mengulas lanjut dari segi pemilihan barisan pelakon teater itu pula, tambah Rahman lagi, pihaknya juga memilih pelakon selepas buat sesi uji bakat terlebih dulu. "Maklumlah, bukan mudah untuk berlakon dalam filem sejarah dan pelakon yang dipilih juga perlu benar-benar berkaliber untuk memegang watak Datuk Bahaman. Selepas uji bakat, kami sepakat memilih pelakon Zul Huzaimy untuk beraksi sebagai teraju utama muzikal ini. "Begitu juga dengan pemilihan pelakon untuk watak pembantu yang masing-masing memainkan peranan penting memastikan kejayaan teater yang dijangka dipentaskan di Istana Budaya pada Januari depan," katanya. Teater Muzikal Bahaman adalah sebuah epik mengenai perjuangan seorang wira iaitu Bahaman. Beliau adalah wira Pahang yang juga pemilik nama sebenar Inderapura. Bahaman yang mengetuai sekumpulan pejuang bangsa ketika itu mara menentang penjajahan British yang mula bertapak di bumi Pahang. Perjuangan Bahaman dan kawan-kawannya, Mat Kilau, Mat Lela dan lain-lagi tercatat sebagai salah satu perjuangan membela bangsa dan tanah air daripada pencerobohan musuh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |