TIGA hari selepas tewas 0-4 kepada Arsenal pada Rabu lalu, skuad bola sepak kebangsaan bakal turun beraksi menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, jam 5.45 petang ini.
Maruah serta kredibiliti selaku jaguh Asia Tenggara menerusi pingat emas Sukan SEA 2009 dan gelaran juara Piala Suzuki AFF 2010 perlu dipertahankan setelah skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu tidak beraksi pada tahap sebenar ketika berdepan Arsenal tempoh hari.
Tatkala Rajagobal menagih sokongan padu daripada penyokong tempatan, timbul dilema untuk para peminat setia Liverpool di negara ini untuk memakai jersi merah kebanggaan skuad The Reds itu atau jersi biru (jersi kedua skuad kebangsaan) yang dituntut jurulatih negara itu.
"Kita amat memerlukan sokongan peminat pada saat genting menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura.
"Sebagai rakyat Malaysia dan menetap di Malaysia, bukan saya nak kata kita tak boleh sokong kelab Liga Perdana England.
"Tetapi kenapa tak boleh sehari sahaja datang ke stadium pakai jersi Malaysia? Saya harap esok (hari ini) ramai yang datang dengan jersi Malaysia, terutamanya warna biru," kata Rajagobal pada sesi latihan terakhir di Stadium Nasional petang semalam.
Pasti ia menimbulkan dilema buat rakyat Malaysia yang menyokong Liverpool kerana ini merupakan kali pertama skuad The Reds itu ke negara ini selepas 119 tahun penubuhan kelab England itu, satu penantian cukup lama.
Sementara itu, Liverpool yang menewaskan Guangdong Sunray Cave 4-3 di Guangzhou, China pada Rabu lalu bakal turun tanpa pengurus mereka, Kenny Dalglish untuk aksi petang ini.
Pembantunya, Steve Clarke bakal menggalas sementara tugas Dalglish yang terpaksa pulang segera ke England bagi menyelesaikan urusan pembelian pemain baru.
Namun itu tidak bermakna tugas mudah buat Rajagobal dan para pemain kebangsaan kerana Liverpool tetap bakal turun dengan pemain-pemain bertaraf dunia.
Andy Carroll, Christian Poulsen, Raul Meireles, Jamie Carragher, Sotiros Kyrgiakos dan Dirk Kuyt tampak sudah bersedia untuk mempamerkan kehebatan mereka petang ini.
"Satu suasana menakjubkan pada sesi latihan semalam (kelmarin). Jadi saya menjangkakan satu suasana yang meriah serta perlawanan yang menarik esok (hari ini)," kata Carroll ketika sesi bertemu peminat di Pavilion KL, petang semalam.
Poulsen pula dengan nada yakin berkata: "Kami sudah bersiap sedia untuk turun beraksi esok (hari ini). Kami menang 4-3 di Guangzhou pada Rabu lalu dan harap dapat mencatat satu lagi kemenangan di sini."
Bagaimanapun adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk skuad kebangsaan mengejutkan Liverpool jika aksi yang ditampilkan petang ini adalah pada tahap sebenar.
Ini kerana Liverpool tidaklah turun dengan kekuatan sebenar seperti Arsenal.
Beberapa tonggak utama skuad The Reds itu tiada dalam skuad ke Malaysia seperti kaptennya, Steven Gerrard, Luis Suarez, Martin Skrtel, Pepe Reina, Lucas dan Fabio Aurelio.
Apa pun, nantikan kesudahannya petang ini sama ada Safee Sali, Abdul Hadi Yahaya, Safiq Rahim, S. Kunanlan atau lain-lain pemain kebangsaan mampu menembusi gawang Liverpool atau sebaliknya prestasi hambar ketika bertemu Arsenal berulang.