Adsense

Khamis, 16 Jun 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Jalinan nada dan cerita Rossa

Posted:

Jalinan nada dan cerita Rossa

Jalinan nada dan cerita Rossa

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar FAUZI BAHARUDIN dan WAHIDAH ZAINAL


ROSSA berduet dengan salah seorang peminat menerusi lagu Terlanjur Cinta pada majlis An Evening With Rossa di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


KALAU bertemu dengan jelitawan ini, pastinya soalan berbaur peribadi pasti dengan pantas akan diajukan kepadanya.

Tidak pernah mengelak berbicara soal cinta mahupun menyembunyikan statusnya, Rossa lebih gemar untuk berterus-terang daripada bermain tarik-tali dengan pihak media.

Cuma, dia masih berpegang kepada prinsip hidupnya untuk mengumumkan siapakah sang arjuna yang benar-benar bertakhta di hatinya apabila sampai waktu yang sesuai.

Sekali lagi diusik tentang percintaannya tetapi jawapan yang diberikan oleh Rossa benar-benar mengejutkan.

"Saya kembali memegang status solo dan hubungan cinta saya dengan si dia sudah pun dinoktahkan. Saya pun enggan mengulas lanjut tentang kisah cinta saya kerana bagi saya apa yang berlaku adalah suratan takdir.

"Mungkin sudah ditentukan Allah SWT bahawa jodoh saya dengan bekas teman lelaki saya terhenti setakat ini sahaja.

"Buat masa ini biarlah saya bersendirian terlebih dahulu dan memberikan tumpuan kepada anak saya, Rizky Langit Ramadhan yang akan mencecah usia lima tahun pada Oktober ini.

"Insya-Allah, kalau ada jodoh saya lagi selepas ini, saya pasti akan umumkan pada kalian (pihak media). Mana bisa untuk saya sembunyikan perkara yang baik kepada umum," jelas Rossa dalam derai tawa ketika dihubungi Hits baru-baru ini.

Walaupun pahit untuk ditelan apabila berhadapan dengan perpisahan, namun Rossa lebih selesa untuk bersikap optimis kerana percaya perihal jodoh adalah ketentuan Allah.

Wanita berusia 32 tahun ini juga sedar untuk memegang status sebagai seorang janda memang bukan sesuatu yang mudah.

Kesabaran

Apatah lagi untuk seorang artis ternama sepertinya memang sukar untuk mengelak kerana setiap gerak-geri dan cerita tentang dirinya akan menarik perhatian.

Melihat kepada raut wajahnya yang cukup manis dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya, tiada siapa pernah menyangka liku-liku hidup yang dilaluinya memang cukup mencabar.

Jelas Rossa, seandainya dia tidak bersabar dengan dugaan hidup, pasti semuanya akan hancur berderai umpama gelas terhempas ke lantai.

Barangkali kesabaran dan sikap rendah diri yang dipegangnya selama 16 tahun menjadi anak seni membuatkan dirinya terus diterima dengan baik oleh peminatnya.

Dalam nada penuh syukur, Rossa memberitahu dia benar-benar menghargai pemberian dan rezeki yang terus mencurah-curah dari Maha Esa untuk dirinya dan keluarga.

Apa yang dimilikinya hari ini bukanlah sesuatu yang pantas dan mudah untuk mendapatkannya. Kata kuncinya, kata Rossa adalah kerja keras.

"Percaya atau tidak saya sendiri tidak pernah mengimpikan segala kemewahan mahupun kejayaan seperti mana hari ini.

"Tempoh 16 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat tetapi bagi saya, ia adalah laluan yang penuh onak duri bagi saya untuk mencapai tahap ini.

"Berkat sokongan keluarga, peminat dan teman-teman serta doa yang diiringi mereka untuk saya juga merupakan faktor mengapa saya terus bertahan di persada seni hiburan Nusantara," ucap pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini penuh luhur.

Kedudukan

Seharusnya Rossa boleh berbangga dengan posisinya sebagai penyanyi wanita nombor satu Indonesia ketika ini sekali gus mengatasi gelaran yang pernah dipegang oleh seorang lagi diva seberang, Krisdayanti.

Apabila ditanya tentang perasaannya merampas gelaran tersebut daripada penyanyi lagu Menghitung Hari itu, Rossa dengan pantas menjawab:

"Kehadiran saya sebagai seorang penyanyi bukan untuk menggantikan tempat sesiapa mahupun berlawan dengan mana-mana penyanyi sedia ada.

"Saya menghormati setiap penyanyi yang lahir sebelum saya dan mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri."

Selesa

Barangkali apa yang dikatakan oleh Rossa itu ada kebenarannya. Kekuatan dan magis penyanyi yang dilahirkan pada 9 Oktober 1978 itu terletak kepada suara lunaknya setiap kali mendendangkan lagu-lagu berunsur cinta.

Tidak keterlaluan dikatakan, setiap kali dia muncul dengan produk terbaru, lagu-lagu sentimental yang mampu membunuh sukma setiap mereka yang mendengar akan menjadi pertaruhan sekali gus menjadi siulan peminat.

Lihat sahaja deretan lagu-lagu popularnya seperti Tegar, Aku Bukan Untukmu, Perawan Cinta, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Takdir Cinta semuanya meninggalkan kesan di hati peminat.

Apakah Rossa selesa seandainya digelar pembunuh sukma dengan lagu-lagu baladanya, dia hanya mampu ketawa besar.

"Kenapa gelaran itu diberikan kepada saya? Kedengaran begitu kejam sekali (ketawa). Ya, saya akui peminat begitu gemarkan lagu-lagu cinta saya.

"Saya menganggap semuanya adalah rezeki dan selagi peminat mahukan saya mengalunkan lagu-lagu cinta, saya tidak mampu menolaknya,"kata Rossa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

NORA mahu takluk dunia

Posted:

NORA mahu takluk dunia

NORA mahu takluk dunia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN


HEBAT... Barisan tenaga kreatif untuk pementasan The Secret Life of Nora yang diumumkan dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


SELEPAS Enfiniti Vision Media (EVM) mengumumkan projek teater muzikal terbaru mereka, The Secret Life of Nora (NORA), ramai yang sudah tidak sabar lagi untuk menunggu pengumuman seterusnya.

Maklumlah, apabila memperkatakan tentang EVM dengan produk mereka, pastinya ia adalah sesuatu yang cukup ditunggu-tunggu.

Lihatlah sahaja bagaimana mereka memberikan impak besar menerusi dua teater muzikal mega mereka sebelum ini iaitu Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical yang mendapat sambutan di luar dugaan.

Berdasarkan kepada dua kejayaan tersebut, sudah pasti NORA juga telah memberi satu gambaran kepada peminat teater muzikal tempatan bahawa ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa.

Bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 29 September hingga 16 Oktober ini, NORA sudah bersedia untuk menggegarkan panggung bertaraf dunia itu.

Apatah lagi, barisan tenaga kreatif yang bakal merealisasikan NORA kelak bukan sembarangan kerana kesemuanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Sewaktu pengumuman dilakukan di pejabat EVM yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, daripada senarai mereka yang terlibat untuk pementasan mega ini sahaja sudah memberi gambaran jelas bahawa naskhah NORA bukan calang-calang.

Demi memberikan perubahan serta suntikan yang lebih segar dan baru, pihak EVM nampaknya begitu berani menyahut cabaran dengan menggabungkan bakat tempatan dan antarabangsa.

Semuanya adalah untuk memastikan NORA mampu menjadi sebuah pementasan yang bukan hanya akan berjaya di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Setiap kali menghasilkan sebuah karya baru, kami mahu menampilkan perubahan dan memberikan santapan yang berbeza kepada peminat serta audiens.

"Malah, sebagai pemain utama dalam pementasan ini, Datin Seri Tiara Jacquelina sendiri mencabar dirinya dengan membawakan watak yang tidak pernah dibawanya sebelum ini.

"Kami memang mahu menggunakan kepakaran anak tempatan serta orang luar bagi memastikan NORA mampu pergi jauh bukan hanya di peringkat Asia tetapi ke serata dunia.

"Ini sekali gus dapat membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia mampu menghasilkan sebuah teater muzikal yang bertaraf antarabangsa," ujar Naib Presiden Operasi Kumpulan Enfiniti, Izan Satrina dalam majlis pengumuman tersebut.

Walau bagaimanapun, Tiara selaku penerbit eksekutif dan pemegang watak utama dalam NORA tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana masalah peribadi.

Seramai 14 orang telah dipilih dalam tenaga kreatif NORA dan daripada jumlah itu, hanya tiga muka lama yang pernah mencurahkan khidmat mereka sebelum ini iaitu Roslan Aziz sebagai pengarah muzik, Pat Ibrahim (koreografer) dan Raja Maliq (penasihat rekaan set).

Muka baru yang pertama kali bekerja dengan EVM ialah Steven Dexter sebagai pengarah, Chedd Eddie Yusof (penolong pengarah), Raymond Miranda (penulis naskhah), San Weng Onn (komposer) dan Jerome Kugan (penulis lirik).

Turut terpilih adalah Alfian Sa'at yang dipilih sebagai penulis teks dan lirik bahasa Melayu, Francis O' Connor (pereka rekaan set), Moe Kassim (pereka kostum), Nick Richings (pereka tata cahaya), Ken Freeman (jurutera bunyi) dan Melissa Teoh (pengurus produksi).

Ternyata, Tiara dan EVM membuat pilihan yang tepat tenaga kerja untuk NORA kerana kesemuanya merupakan mereka yang profesional serta pernah memenangi anugerah berprestij di dalam dan luar negara.

Malah, ada di antaranya juga yang pernah berkhidmat dalam pementasan mega dan popular di West End, London dan Broadway, New York, Amerika Syarikat.

Melihatkan pelaburan yang dikeluarkan oleh EVM untuk mendapatkan mereka yang terbaik dalam bidang masing-masing untuk NORA, sudah pasti kos penerbitannya bukan kecil-kecil anak.

Terdengar juga desas-desus sebelum ini mengatakan kos keseluruhan untuk mementaskan NORA memakan belanja hampir RM10 juta.

"Kami bersyukur dan bertuah kerana dapat kesemua orang-orang hebat ini untuk NORA kerana kami percaya dengan pengalaman serta kepakaran mereka mampu memberikan magis dalam pementasan ini.

"Memang benar. Untuk mendapatkan yang terbaik, kita harus berani melabur untuk melihat hasil yang dapat memberikan kepuasan maksimum.

"Tetapi, kami tidak mahu menjadikan soal bajet sebagai isu besar kerana apa yang penting adalah visi dan matlamat kami untuk melihat NORA pergi jauh.

"Kerana itu jugalah, apabila NORA akan dipentaskan nanti, kami akan menjemput beberapa orang produser teater muzikal dan pihak media dari luar negara untuk menontonnya," kata Izan Satrina penuh optimis.

Bukan itu sahaja, ramai juga yang menantikan pengumuman siapakah barisan pelakon NORA yang akan menggegarkan Panggung Sari kelak.

Menjawab persoalan itu, Izan Satrina menjelaskan semuanya akan diumumkan dalam satu sidang akhbar yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.