Adsense

Rabu, 15 Jun 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Hazama: ‘Saya dapat ilmu, kepuasan diri’

Posted: 14 Jun 2011 10:39 AM PDT


KEGAGALAN pada Konsert Prelude Akademi Fantasia 4 (AF4) kini berganti bahagia buat Hazama Ahmad Azmi atau Hazama, 27, apabila akhirnya diangkat sebagai juara Akademi Fantasia 9 (AF9) yang tamat dengan meriah di Dataran Putrajaya, Persint 3, kelmarin.

Hazama nyata menepati ramalan ramai peminat dengan aksi konsisten sepanjang menyertai pertandingan itu sehingga melayakkan dia dianugerahkan sebagai juara AF terakhir.



CURI TUMPUAN...juri profesional (dari kiri) Datuk Ramli MS, Hattan dan Ogy.


Trio...Fina bersama adik-beradiknya pada konsert final.


Bersama pengetua...finalis AF9 turut mengadakan persembahan dengan Amy.


Naib juara - Lena


Tempat ketiga - Fina


Tempat keempat - Azri

Mengulas mengenai kemenangan itu, Hazama berkata penyertaannya dalam AF4 dulu adalah titik permulaan untuk bergiat dalam dunia seni. Walaupun dalam tempoh lima tahun bergelar anak seni, dia rasa tiada yang mustahil untuk menyertai semula pertandingan itu.

"Saya anggap kemenangan ini sebagai peluang kedua buat saya untuk terus berusaha gigih mencapai impian. Penyertaan saya dalam AF meningkatkan lagi motivasi diri. Walaupun sudah lima tahun menyanyi, bukan bererti saya sudah sempurna. Banyak benda yang sepatutnya dulu saya belajar diperoleh dalam AF9. Bagi saya setiap peserta ada kelebihan masing-masing," katanya.


Hazama dinobatkan juara AF9 selepas jauh meninggalkan saingannya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan memungut 45 peratus markah diikuti naib juara, Lenaber Hadir atau Lena, 21, (28 peratus), manakala ketiga, Nur Shafinaz Jebat atau Fina, 18, (15 peratus) dan keempat, Mohamad Azri Abdullah atau Azri, 24, (12 peratus).



Kejayaan itu membolehkan Hazama membawa pulang wang tunai RM200,000 serta piala sumbangan Astro, hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root selain sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 sumbangan Sony.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Hazama memberitahu ini kali pertama dia memenangi pertandingan nyanyian dan memperoleh habuan cukup lumayan. Dia sendiri belum memikirkan apa yang akan dilakukan bersama wang kemenangan itu.

Yang pasti katanya, wang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan simpanan, membantu keluarga dan karier seninya sendiri.

Hazama yang menyertai AF9 pada minggu keempat menerusi Operasi Gugur pada mulanya kurang yakin kerana perlu berdepan cabaran pengkritik. Begitupun, sikap mahu belajar dan terbuka membuatkan dia berani mencuba.

"Saya tak kisah apa tanggapan orang mengenai penyertaan saya menerusi program ini. Apa yang penting saya dapat mencari ilmu dan kepuasan bagi diri sendiri," kata Hazama yang ditemui selepas berakhirnya konsert itu.

Mengenai persembahan final pula Hazama berpuas hati dengan lagu disampaikan iaitu Pukau yang dipopularkan oleh Tomok serta single terbaru yang menjadi taruhan terkininya, Cinta Teragung ciptaan Kuncidemak.

"Bagi saya Fina sangat berbakat dengan suaran lantang. Begitu juga Lena yang ada 'tone' suara unik. Pada saya Azri pula ada pakej bagus dari segi wajah dan suara," kata Hazama yang bakal muncul dalam program khas bagi juara AF9, Hey Hazama di Astro Ria tidak lama lagi.

Ditanya mengenai kerjasama bersama band indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) pula Hazama memberitahu dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan band itu jika diperlukan. Sebelum ini dia bertindak sebagai penyanyi undangan untuk MUH. Sebagai artis dia yang mahu bergerak solo walaupun ada undangan dengan band.

Persembahan final itu turut diserikan dengan penampilan bekas pelajar AF dari musim pertama hingga ke sembilan, persembahan pembukaan daripada barisan pengacara AF serta penampilan Amy Search selalu Pengetua AF9.

Walaupun acara malam itu nampak begitu gah, sistem audio sebenarnya kurang mantap berbanding konsert final musim terdahulu.




Naib juara - Lena

"SAYA bersyukur kerana penat lelah dan pengorbanan sepanjang tiga bulan berada dalam AF9 berbaloi dengan pencapaian ini. Saya percaya kepada rezeki masing-masing. Apa yang penting usaha. Kejayaan melangkah ke final satu pencapaian yang besar maknanya buat saya. Apatah lagi menduduki tempat kedua pada pertandingan ini.

"Sepanjang dalam AF, saya juga sempat mencipta lagu. Saya sendiri tidak menyangka dapat mencipta lirik lagu dan melodi ketika waktu lapang. Jika tiada aral saya akan menerbitkan lagu itu. Saya akan kongsi duit kemenangan ini untuk perniagaan keluarga di pasar malam," katanya.


Tempat ketiga - Fina

"MUNGKIN rezeki Hazama untuk muncul juara AF9. Dia juga sudah berusaha bersungguh-sungguh. Saya perhatikan sejak di belakang pentas lagi dia begitu serius mahu lakukan terbaik dalam persembahannya.

"Soal Sistem Imuniti yang diperoleh saya pada minggu kelapan adalah sesuatu yang cukup bermakna kerana selain mencipta sejarah ia juga sebagai motivasi untuk berusaha.

"Selepas ini, saya akan mengikuti segala perancangan Astro dan bakal tampil dengan kumpulan sendiri iaitu Sassu. Kumpulan ini dianggotai saya tiga beradik dengan single terbaru," katanya.


Tempat keempat - Azri

"SAYA tidak kisah kalau orang kata persembahan dan suara saya seakan-akan Faizal Tahir kerana ia hanya kebetulan. Saya minat kebanyakan penyanyi rock seperti Chris Adam, Brian Adams dan David Cook.

"Tujuan saya menyertai AF9 untuk menjadi platform mencipta nama dalam dunia seni," kata Azri yang turut aktif bersama bandnya, Breakfast Band.

'Rasuk' : Fouziah Gous Hadapi Kecederaan

Posted: 14 Jun 2011 10:37 AM PDT


PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous, 29, mengakui sanggup berhadapan dengan risiko dengan melakukan sendiri adegan-adegan berbahaya semata-mata untuk memberikan impak pada lakonannya dalam filem terbaru, Rasuk.

Kata Fouziah, selepas empat tahun bergelar pelakon sudah tiba masanya dia melakukan anjakan pada mutu lakonannya dengan menerima watak dan filem yang berlainan dan mencabar.

Walaupun berasa terlalu penat sepanjang pembikinan filem itu, Fouziah menganggap pengalaman tersebut memberikan kepuasan secara peribadi kepadanya.

"Buat pertama kalinya saya melakukan babak-babak berbahaya seperti menjatuhkan diri ke arah belakang tanpa sebarang alas atau tilam, memecahkan botol kaca dan memanjat tiang tanpa menggunakan pelakon aksi ngeri.


Barisan pelakon 'Rasuk'.
"Risiko tindakan itu apabila saya berdepan dengan kecederaan tulang belakang sejak dua tahun akibat pembikinan filem itu dan bersusah-payah untuk menjayakan watak wanita yang dirasuk.

"Semua itu saya lakukan demi memberikan impak pada lakonan dan perjalanan filem itu," katanya yang ditemui pada pratonton filem berkenaan di GSC One Utama, di sini, Selasa.

Selain Fouziah, filem seram itu turut membariskan Iqram Dinzly, Sidek Hussin dan Fauziah Nawi.

Filem Rasuk akan ditayangkan di 65 pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Jun ini.

Selain tayangan tempatan, filem arahan Baldev Singh itu juga bakal ditayangkan di Singapura (8 pawagam), Hyderabad, India (2), Iran (2) dan Jepun (2).

Jehan Terbit Program Realiti 'K-Pop Hitz Talent Show'

Posted: 14 Jun 2011 10:36 AM PDT


KUALA LUMPUR: Pelakon Jehan Miskin melalui syarikatnya Mastermind Group Sdn Bhd menerbitkan sebuah rancangan program realiti berjudul K-Pop Hitz Talent Show yang bakal bersiaran bermula 18 Jun ini, pukul 3.30 petang di saluran 705, Astro Hitz.

Menurut Jehan, program dengan kerjasama Astro Hitz dan Organisasi Pelancongan Korea itu bertujuan mencari bakat-bakat terpendam dalam bidang tarian dan nyanyian yang sedang menjadi satu fenomena di Malaysia.

"Program ini lain daripada program realiti yang biasa. Kita membuat satu formula baru yang mana mencampurkan format realiti, MTV dan pengembaraan.

"Melalui episod pertama hingga kelima kita adakan pencarian dan pertandingan, manakala episod keenam merupakan final dan episod ketujuh merupakan episod siri penjelajahan pemenang yang bakal dibawa ke Korea," ujarnya pada sidang media Pelancaran K-Pop Hitz Talent Show, di sini, Selasa.

Program ini juga menawarkan hadiah utama pakej empat hari, tiga malam percutian ke Korea yang dibiayai penuh dan berpeluang membuat persembahan secara langsung di Lotte World Theme Park, Korea.

Dalam pada itu, kata Jehan, idea menerbitkan program tersebut tercetus apabila melihat trend dan penerimaan masyarakat yang luar biasa terhadap aliran muzik dari negara Korea ini.

"Kita lihat terlalu ramai yang meminati kumpulan-kumpulan dari negara Korea. Oleh itu kita memberi peluang kepada mereka untuk merealisasi impian tersebut.

"Saya sendiri mengaku meminati filem, drama dan muzik dari negara tersebut. Malah bukan ketika kemunculan bintang-bintang K-pop tetapi sejak dahulu lagi," katanya.

Ketika ditanya, adakah pengaruh muzik dan budaya asing ini boleh memberi kesan negatif kepada industri seni tanah air, Katanya, K-pop hanya sekadar muzik yang mewarnai industri hiburan tanah air semata-mata.

"Kedatangan K-pop dalam industri hiburan Malaysia adalah untuk menambah bilangan muzik di negara ini, ia tidak mengurangkan atau menjejaskan industri kita.

"Ia seperti kehadiran genre muzik hip hop suatu masa dahulu yang pada mulanya ditentang masyarakat kerana bertentangan budaya tapi lama kelamaan ia turut diterima dan diserapkan mengikut budaya kita," katanya.

Sementara itu, bagi peminat setia K-pop boleh mendaftar bagi sesi uji bakat melalui www.facebook.com/astrohitz atau terus ke beberapa lokasi uji bakat yang akan diadakan di tempat-tempat berikut:

- 18 Jun di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

- 25 Jun di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur.

- 2 Julai di The Curve, Damansara, Selangor.

- 4 Julai di SACC Mall, Shah Alam, Selangor.

Khidmat Pharrell Williams Kagumkan Yuna

Posted: 14 Jun 2011 10:33 AM PDT


PETALING JAYA: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui pengalamannya bekerjasama dengan vokalis dan pemain dram kumpulan N.E.R.D iaitu Pharrell Williams dalam proses rakaman album barunya adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.

Kata Yuna, dia berasa seolah-olah bermimpi apabila terlibat secara langsung dalam penghasilan lima buah lagu baru di sebuah studio di Miami, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

"Saya tidak pernah termimpi akan berpeluang untuk bekerjasama dengan Pharrell. Sejak bangku sekolah saya sudah mendengar lagu-lagunya dan mengagumi kreativiti yang diketengahkan dalam muziknya.

"Rasa seperti tidak percaya pun ada apabila kami bersama-sama menulis lima lagu untuk album saya," katanya yang ditemui di Menara Star, di sini, Isnin.


Yuna dan Pharrell Williams di studio rakaman di Miami, Amerika Syarikat, baru-baru ini. - Gambar ihsan Yuna
Tambah penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini, kesungguhan dan kecekapan Williams sepanjang penerbitan album itu bukan saja mengagumkan, malah memberikan pengalaman baru.

"Pharrell bukan saja kreatif, malah begitu cepat mencari idea untuk menulis lagu. Berbeza dengan cara saya di mana selalunya saya tunggu ilham datang tetapi dia mencari ilham itu untuk menghasilkan muzik.

"Dia seorang yang tegas, cekap dan bekerja-keras. Disiplin yang diterapkan dalam kerjanya begitu mengagumkan.

"Bayangkanlah, saya seorang yang ego dan tidak mudah untuk akur dengan kata orang lain tetapi saya tunduk pada arahannya ketika rakaman kerana dia tahu apa yang dia mahu," kongsinya.

Lima lagu yang ditulis bersama itu bakal dimuatkan dalam album sulungnya untuk pasaran AS kelak.

Album yang mengandungi 10 hingga 12 trek lagu itu dijangka dipasarkan pada hujung Oktober atau awal tahun depan.

Sejak mengikat kontrak di bawah Fader Label di AS pada Mac lalu, Yuna kerap berulang-alik di antara Malaysia dan AS untuk mengukuhkan jenamanya di sana.

Album EP Yuna untuk pasaran AS iaitu Decorate dipasarkan sejak 15 Mac lalu menerusi iTunes.

Campuran Buah Rahsia Chef Wan Nampak Muda

Posted: 14 Jun 2011 10:31 AM PDT


KUALA LUMPUR: Chef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), 53, mendedahkan rahsia awet mudanya setelah berjumpa dengan produk minuman kesihatan Mavellous enam bulan lalu.

Menurut bapa kepada pelakon Serina Redzuawan ini, ramai yang menegur kulitnya menjadi tegang dan wajahnya kelihatan lebih muda berbanding usianya.

Malah, Serina turut menjadi salah seorang wakil pengedar Mavellous.

"Saya rasa teruja apabila dilantik menjadi duta produk ini dan tidak kisah tentang bayaran yang ditawarkan," katanya ketika ditemui di Bangsar, di sini, Selasa.

Minuman yang dijual pada harga RM500 itu disasarkan kepada golongan berumur 20 tahun ke atas. Ia sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan awet muda, merawat pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan mati pucuk.

Produk ini dibuat daripada campuran buah-buahan seperti anggur, beri dan ceri.

Dia berkata, setelah menggunakan produk itu badannya juga menjadi segar dan bertenaga lebih-lebih lagi waktu rehatnya sering terganggu akibat kerja yang tidak menentu.

"Saya rasa untuk muda tak perlukan suntikan dan rawatan lain yang boleh mendatangkan kesan buruk. Produk ini mampu menghalang seseorang mendapat kanser sel darah dan membuang toksin dalam badan.

"Saya mengesyorkan produk ini kerana ia sangat bagus terutama kepada mereka yang berumur," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, dia bakal menjadi tenaga pengajar kepada dua orang peserta program realiti masakan Masterchef Australia yang layak ke peringkat separuh akhir.

Lebih menarik, dia juga akan mengacarakan program televisyen 26 episod berjudul My Family Feast Asia di saluran SBS Australia.

Program ini akan menampilkan pelbagai perayaan melibatkan budaya di Asia termasuk Hari Gawai, bulan puasa, perkahwinan Melayu dan Hari Thaipusam.

Selain itu, dia akan terlibat dalam program jelajah Ayamas di gedung membeli-belah Carrefour dan Giant di sembilan buah lokasi termasuk Alor Setar, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Pada Julai ini, Chef Wan juga akan melancarkan buku masakannya berjudul Best Wan Flavour Malaysia di Pulau Pinang.

Chef Selebriti Terbaik Dunia 2009 di Gourmand Award, Perancis ini juga merupakan duta beberapa pertubuhan seperti Yayasan Buah Pinggang Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Duta Makanan Kementerian Pelancongan dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia.