Adsense

Jumaat, 10 Jun 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Alyah, Ramlah Ram Berganding Dalam 'Konsert Sensasi 2'

Posted: 09 Jun 2011 04:28 PM PDT


KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, dua penyanyi popular, Ramlah Ram dan Alyah digabungkan dalam satu pentas yang sama bagi menjayakan Konsert Sensasi 2 di Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut penerbitnya, Mohd Yusni Mohd Ali, kedua-dua artis berkenaan digabungkan bagi memberi kelainan terhadap program rakaman sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang.

"Kedua-dua artis ini digandingkan kerana mereka merupakan artis kelahiran RTM dan mempunyai kekuatan vokal tersendiri.

"Selain itu, mereka juga mempunyai peminat sendiri daripada dua zaman berbeza. Dari segi pemilihan lagu, kami memberi peluang kepada mereka untuk menyanyikan lagu popular dan kegemaran masing-masing," jelasnya ketika ditemui selepas selesai rakaman Konsert Sensasi 2, di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, Rabu.


Dalam pada itu, kata Yusni program sepanjang satu jam setengah itu juga bakal menyelitkan sketsa-sketsa yang menarik antara Ramlah Ram dan Alyah.

"Kami akan melakukan penggambaran untuk sketsa yang akan dipaparkan untuk beberapa segmen dalam program ini, ia berkisar tentang kedua-dua artis ini," katanya.

Persembahan yang dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu popular Hari Raya seperti Hari Raya Hari Bahagia, medley Lama Tak Jumpa dan Apa Khabarmu Di Sana pastinya mampu membangkitkan kehangatan raya para penonton.

Menyusul kemudian segmen Lagu Popular Alyah iaitu realiti Dewi, Tak Mungkin Kerna Sayang dan Kisah Hati. Manakala Ramlah Ram turut mendendangkan lagu popularnya iaitu Benar Mencintai, Kau Kunci Cintaku duet bersama Awis (peserta Tiada Lama Tiada Baharu) serta lagu Ketentuan.


Kedua-dua artis popular ini kemudiannya bakal menghangatkan pentas dengan segmen Lagu Pujaan Cinta nyanyian Ramlah Ram iaitu Di Alam Fana Cinta, Mahakarya Cinta sebelum Alyah mengambil pentas dengan memilih mendendangkan lagu Nokhtah Cinta dan Mimpi Yang Tak Sudah.

Kemeriahan program yang bakal bersiaran menerusi saluran Dunia Ria, TV2 ini diakhiri dengan penyampaian duet lagu Penawar Rindu dan medley Raya Indahnya Berada Di Desa dan Bersama di Hari Raya.

Dedah Perkara Sulit, Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul

Posted: 09 Jun 2011 04:27 PM PDT


PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia.

"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.


Antara babak dalam filem Kongsi
Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut.

Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster.

"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.

Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut.

"Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida.

"Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.

Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang.

David Teo, Yusof Haslam Sangkal Dakwaan Pekida

Posted: 09 Jun 2011 04:27 PM PDT


PETALING JAYA: Penerbit filem KL Gangster dan Kongsi, Datuk Yusof Haslam dan David Teo, menjelaskan filem-filem terbitan syarikat produksi mereka itu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti mana-mana pertubuhan bukan kerajaan seperti yang didakwa oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Penerbit Skop Productions, Yusof menegaskan, dia tidak mahu melayan dakwaan buruk terhadap filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu kerana ia hanyalah perkara remeh yang boleh merunsingkan fikiran.

"Kalau hendak fikirkan pelbagai komen orang terhadap filem atau drama terbitan saya, memanglah orang akan cakap macam-macam.

"Perkara ini bukan satu isu yang perlu diperbesar-besarkan. Filem KL Gangster hanyalah sebuah cerita rekaan dan tiada kena-mengena dengan mana-mana orang perseorangan atau pertubuhan.

"Kita sudah mendapat penapisan dan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dan Kementerian Dalam Negeri sebelum ia ditayangkan. Jadi saya tidak mahu layan perkara seperti ini," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.


Penerbit filem Kongsi, David Teo
Sementara itu, penerbit Metrowealth Movies Production yang menerbitkan filem Kongsi, David Teo berkata, filem arahan Farid Kamil itu dihasilkan atas tujuan hiburan dan bukan untuk mempersendakan mana-mana pihak.

"Filem Kongsi hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak pun. Kita sama sekali tiada niat untuk mempersendakan mana-mana individu menerusi tema yang di paparan.

"Hakikatnya, isu gengsterisme berlaku di mana-mana negara atau bangsa pun dan bukan merujuk kepada pertubuhan tertentu.

"Ia tidak sepatutnya menjadi isu tetapi saya tidak boleh kata apa kerana itu hak mereka (Pekida). Cuma, kalau isu ini timbul lebih awal, pasti ia akan lebih membantu publisiti Kongsi," katanya.

Pekida berhasrat untuk menyaman penerbit dan pengarah dua filem berkenaan kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Pertubuhan itu akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie, Jumaat (hari ini) bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem-filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.

Rabecca Menangis Keguguran Anak Sulung

Posted: 09 Jun 2011 06:33 AM PDT


PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rabecca Nur Al-Islam, 25, menganggap keguguran kandungannya yang baru mencecah usia dua bulan sebagai tiada rezeki.

Dia yang pada mulanya mengalami pendarahan dan sakit perut dikejarkan ke Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

"Pada malam kejadian saya sakit di bahagian bawah perut dan berlaku pendarahan. Suami saya bawa ke hospital dan apabila diperiksa bayi dalam kandungan sudah tidak bernyawa.

"Kemudian doktor melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi. Kata doktor bayi tersebut sudah beberapa hari meninggal dunia tanpa saya sedari," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Rabecca, dia masih lagi berasa terkejut, kecewa dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.

"Ketika mendapat tahu perkara tersebut saya tak henti menangis, mungkin saya terlalu berharap untuk mendapatkan bayi.

"Alhamdulillah, suami saya sentiasa berada di sisi dan memberi sokongan agar tidak terlalu bersedih dengan apa yang sudah berlaku itu," katanya yang dijangka keluar pusat perubatan berkenaan Khamis.

Rabecca telah mendirikan rumah tangga bersama seorang peguam Nor Azam Sulaiman pada 15 Januari lalu dan mempunyai seorang anak angkat bernama Nor Adam Danie yang kini berusia tiga tahun.

Katanya, sejak mengetahui dirinya mengandung, dia sudah menolak semua tawaran berlakon untuk berehat buat sementara waktu.

Rozita Che Wan Masuk Hospital

Posted: 09 Jun 2011 06:31 AM PDT


PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan, 38, dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, dekat sini kerana dipercayai menghidap hepatitis.

Sumber memberitahu mStar Online, Rozita pada mulanya mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu pada Isnin lalu selepas berasa sakit kepala dan akhirnya terpaksa ditahan untuk pemeriksaan.

"Doktor yang membuat pemeriksaan mengatakan Rozita menghidap hepatitis dan dia perlu ditahan untuk pemantauan," kata sumber berkenaan.

Jelas sumber itu lagi, Rozita enggan menerima sebarang pelawat kerana mahu berehat melainkan ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan berhubung dengannya.

Akibat kejadian itu, beberapa penggambaran drama yang melibatkan Rozita terpaksa ditangguhkan sehinggalah pelakon itu benar-benar sembuh.