Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nurul kian bijak kunci mulutPADA usia 34 tahun, Nurul selesa untuk tidak berkongsi kisah cintanya selepas siri cintanya sebelum ini kecundang. SEMAKIN cantik dan langsing. Itulah yang dapat dirumuskan saat penyanyi dan pelakon kelahiran Pulau Pinang, Nurul Huda Abdul Wahab atau Nurul hadir ke sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini untuk mempromosikan filem terbarunya, Tolong! Awekku Pontianak. Wajahnya juga semakin berseri-seri berbanding sebelum ini. Wartawan Kosmo! menyoal, adakah hatinya sudah berbunga kembali selepas lima tahun menjanda dan cintanya bersama lelaki yang dikenali sebagai Ryzal terputus di tengah jalan. Mendengar soalan itu, Nurul hanya memberi senyuman isyarat enggan menceritakan kisah peribadinya kepada khalayak. Balas wanita berusia 34 tahun itu lagi, dia bukan ingin menyembunyikan kisah peribadi sebaliknya kejujurannya dan keterbukaannya sebelum ini memakan dirinya sendiri. Justeru, dia kini mengambil langkah menutup mulut mengenai kisah peribadi dan memberi fokus kepada kerjayanya sahaja. "Bukan saya tidak mahu kongsi tetapi kejujuran saya membuatkan orang mengata dan menabur fitnah, jadi untuk mengelakkan perkara itu, lebih baik saya zip mulut. "Dulu memang saya kongsi kisah peribadi kerana sedar saya hak masyarakat tetapi sekarang hal peribadi adalah hak saya sahaja," ujarnya minta dimengerti. Rahsia langsing Berbalik kepada badan langsing yang diperolehnya, ia adalah hasil usahanya menjaga makan dan melakukan senaman serta hobi terbaharunya menari tarian bachata. "Saya baru beberapa bulan mengikut kelas tarian bachata, tariannya mirip tarian salsa. Jika ada masa lapang saya pasti akan ke kelas tarian, selain menyihatkan badan saya juga berazam untuk memahirkan diri dalam tarian itu," katanya tentang rahsia badan langsingnya. Bukan itu sahaja, Nurul juga melakukan pekerjaan sampingan sebagai jurulatih kecergasan yang membantu orang ramai terutama peminatnya untuk mendapatkan badan yang sihat dan langsing. "Dulu badan saya susah nak turun, syukur sejak saya amalkan pemakanan yang sihat, kini berat badan saya turun sebanyak tujuh kilogram dan sekarang berat badan saya adalah 51.5 kilogram. "Jadi, saya ingin berkongsi pengalaman dengan wanita-wanita lain. Saya berkomunikasi dengan mereka menerusi akaun Facebook saya, selain dekatkan diri dengan peminat saya juga boleh menyihatkan mereka," tuturnya yang juga duta kepada pusat pelangsingan Glow & Glamour serta produk kanta lengkap, ColourVue. Filem puntianak
Kali terakhir kelibat Nurul beraksi di layar perak adalah pada 15 tahun lalu menerusi filem Sate, lakonannya bersama Hairie Othman dan Faizal Hussein. Ketika itu usianya baru menjangkau angka 20 tahun. Sejak itu, dia tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi filem, cuma beraksi dalam drama sambil memberi fokus kepada bidang nyanyian. Katanya, bukan dia tidak mendapat tawaran sebaliknya tawaran sering tiba tidak kena dengan waktu ataupun, watak yang ditawarkan tidak bersesuaian. Namun, tawaran yang diterima daripada rumah produksi Tayangan Unggul untuk terlibat dalam filem seram komedi Tolong! Awekku Pontianak arahan James Lee tidak dapat ditolaknya. "Kebetulan saya memang berminat untuk berlakon dalam filem seram komedi, jadi tawaran yang diberikan Tayangan Unggul tepat pada waktunya. "Lagipun watak yang ditawarkan berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Watak saya sebagai Nadia merupakan puntianak wanita yang jahat dan mangsanya semuanya lelaki," ceritanya. Menariknya dalam filem kedua lakonannya itu, Nurul melakukan sendiri semua lagak ngeri termasuklah terbang dan tergantung selama lima jam pada ketinggian bangunan enam tingkat. "Saya memang seorang yang gayat, jadi bila disuruh terbang dan tergantung pada ketinggian itu, saya akui saya takut. Tetapi ketakutan itu yang mencabar saya untuk melakukan yang terbaik," ucapnya yang menjalani penggambaran selama enam hari. Bagaimanapun, sebelum bersetuju untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri, Nurul terlebih dahulu memastikan aspek keselamatan supaya tiada kejadian tidak diingini terjadi. "Bayangkan kalau terjatuh dari ketinggian enam tingkat bangunan. Tetapi ketika dapat terbang, saya memang seronok sangat sebab bila lagi saya boleh terbang (ketawa). "Saya bersyukur kerana mendapat tenaga produksi dan tenaga kerja untuk aksi lagak ngeri yang terbaik. Tiada sebarang kecederaan berlaku dan semua orang seronok ketika berada di set penggambaran," katanya yang mengimpikan untuk memegang watak utama dalam filem pada masa akan datang. Dalam filem Tolong! Awekku Pontianak yang akan ditayangkan di pawagam pada 7 Julai depan, ia mengisahkan Bob (Zahiril Azim) jatuh cinta kepada Maya (Sazzy Falak). Maya memiliki seorang adik perempuan bernama Liyana (Liyana Jasmay) yang aktif menjalankan aktiviti puntianak di sekitar kawasan perumahan mereka. Tetapi keadaan menjadi kecoh apabila seorang puntianak bernama Nadia (Nurul) datang dari Johor ke Kuala Lumpur untuk mencari Maya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Misi perjuangan KeenaOleh NOOR ASHREEN ISMAIL KEENA bersama single pertamanya, Cinta Luluh. WALAUPUN perjalanan mencari nama pada dalam bidang nyanyian terhenti selama tiga tahun selepas tidak berjaya dalam program realiti Mentor musim ketiga, Keena tidak pernah berputus asa berusaha untuk mencapai impiannya. Berkat usaha dan minat yang tidak pernah luntur, Keena atau nama sebenarnya, Suriana Ab Wahab yang pernah menjadi protege Awie ini kembali dengan single terbaru yang berjudul Cinta Luluh. Keena yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Dream Music Sdn. Bhd. telah mendapat kerjasama daripada komposer baru, Y. Hamid dan masih lagi mengekalkan konsep rock yang dianggap sesuai dengan empunya diri. "Syukur kerana akhirnya Keena dapat hasilkan dan lancarkan single Cinta Luluh ini dan Keena juga akan kekalkan konsep rock kerana bagi Keena, konsep ini sememangnya sudah sebati dan sesuai dengan diri. "Mungkin juga satu hari nanti, Keena akan menggabungkan irama rock bersama genre yang lain seperti dangdut, irama tradisional dan sebagainya," ujar Keena yang mana single terbarunya ini dimulakan dengan genre slow rock. Tambahnya lagi, Cinta Luluh adalah sebuah single yang menggarapkan unsur-unsur cinta kepada Allah, keluarga, rakan dan sesama insan. Menurut anak kelahiran Kelantan ini, lagu itu dipilih untuk menjadi single pertamanya kerana makna lirik lagunya yang begitu mendalam dan ia pasti boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat kerana mesej yang cuba disampaikan adalah menyeluruh. Bicara Keena, single pertama mengambil masa tiga tahun kerana setelah keluar daripada program Mentor, banyak tawaran berlakon yang diterimanya. Jadi, oleh kerana ingin memberi fokus terhadap bidang lakonan, Keena terpaksa tangguhkan dahulu kariernya di dalam bidang nyanyian. "Misi utama Keena kini adalah untuk meneruskan perjuangan di dalam bidang seni, tidak kiralah nyanyian mahupun lakonan. "Keena telah mempertaruhkan bakat dalam bidang ini dan justeru pastinya Keena tidak akan mensia-siakan segala usaha, pengorbanan dan titik peluh untuk bergelar seorang insan seni dan menjadi pelapis untuk memartabatkan industri muzik tanah air," ujar Keena yang juga ingin mencuba bakatnya dalam bidang pengacaraan jika diberi peluang. Bagi Keena, single pertamanya merupakan batu loncatan untuk meluaskan lagi karier untuk bergelar seorang penyanyi di dalam industri muzik tempatan. Kini, Cinta Luluh telah pun diputarkan di beberapa corong-corong stesen radio swasta dan kerajaan dan telah mula mendapat tempat di hati peminat yang telah lama menantikan kemunculan Keena. Berehat selama tiga tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Apabila ditanya mengenai album penuh, jawabnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk mempromosikan single satu persatu dahulu. "Perancangan bikin album memang ada, mungkin suatu hari nanti. Beberapa lagu telah disiapkan, dan selepas ini untuk single kedua, Keena belum lagi pilih apa lagu yang hendak dikeluarkan. Apa yang boleh diberitahu, single kedua Keena kelak akan berentak catchy pula," ujar Keena yang juga sedang menunggu tayangan dua filem lakonannya iaitu Ajak dan Tokak pada bulan Julai kelak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Mraz batal kahwin
SELEPAS enam bulan secara rasmi menjadi tunangan kepada Tristan Prettyman, penyanyi Jason Mraz membuat keputusan untuk memutuskan ikatan tersebut dan membatalkan niatnya untuk berkahwin dengan wanita itu. Keputusan itu dibuat oleh pelantun lagu popular, I'm Yours itu kerana dia lebih mementingkan kerjayanya berbanding hal peribadi. "Kesalahan terbesar saya adalah kerana terlalu fokus terhadap pekerjaan saya. Saya telah berjaya dalam hal ini, tetapi kalah dalam hal asmara. "Ya, tunang saya cantik, tetapi hubungan kami tidak menjadi. Dalam hubungan peribadi yang kami jalin ini, saya telah mengorbankan diri saya sendiri. Jadi kami berpisah," kata penyanyi yang terkenal dengan imej bertopi fedora itu. Walaupun tidak jadi berkahwin, penyanyi berusia 33 tahun itu tetap menjalin hubungan baik dengan bekas tunangnya. Dia memberitahu, mereka masih menghabiskan masa bersama seperti menghadiri kelas yoga bersama dan mahu melewati hari akan datang dengan rasa bahagia tanpa sebarang ikatan rasmi, kecuali sebagai sahabat. Marz dan Prettyman bertunang pada Disember tahun lalu dan penyanyi itu mengumumkan pertunangan mereka melalui laman Twitter. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |