Adsense

Jumaat, 24 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kematangan Yusry memikat

Posted: 23 Jun 2011 12:43 PM PDT

UMUM mengetahui kebelakangan ini cerita peribadi lebih menjadi bualan hangat bagi pelakon jelita, Lisa Surihani Mohamed.

Ini kerana percintaannya dengan duda dan pengarah filem popular, Yusry Abdul Halim bukanlah satu rahsia lagi.

Apapun, Lisa tetap profesional antara cinta dan karier. Bahkan, gadis berusia 25 tahun ini masih sibuk dengan pelbagai aktiviti seni termasuk sebagai duta produk.

Baru-baru ini pun, Lisa dipilih menjadi duta produk tuala wanita, Sofy.

Mengikat kontrak selama setahun, Lisa berkata dia akan memberikan komitmen sebaik mungkin untuk mempromosi produk itu.

Malah, Lisa juga bersedia untuk turun padang ke beberapa lokasi promosi selain beramah mesra dengan pengguna di facebook (FB).

Sedar jadualnya kini sangat padat, apakan daya dia harus akur. Apatah lagi, di sebalik kesibukannya sebagai insan seni popular, Lisa juga terpilih menyertai perbincangan Meja Bulat 1Malaysia bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Teruja dan menganggap ia penghargaan besar pada dirinya, Lisa menolak sepenuhnya tanggapan pembabitannya di dalam persidangan itu kerana ingin menyertai politik.

Katanya, penyertaan dia pada persidangan itu akan membincangkan isu sosial saja.
"Saya tidak akan menyentuh sedikit pun isu berkaitan politik atau ekonomi. Ia lebih tertumpu kepada isu sosial yang bersesuaian dengan usia serta bidang kerja saya. Jujur saya akui, diri ini kurang arif untuk berbincang mengenai politik.

"Malah, saya juga akui tiada minat untuk menyertai politik. Barangkali, mungkin saya tidak dikelilingi individu yang menyertai politik, jadi minat itu tiada. Apapun, saya mahu mendekatkan golongan muda tanah air dengan program amal.

"Menyentuh soal program amal, tidak semestinya menderma wang ringgit. Ia boleh disalurkan dalam banyak aspek bantuan. Perkara ini harus diberikan penjelasan sebaik mungkin supaya suatu hari nanti program amal akan jadi budaya dalam masyarakat," katanya.

Selain Lisa, personaliti televisyen terkenal, Aznil Nawawi dan ikon rock negara, Amy Search antara selebriti tempatan yang terpilih menyertai perbincangan meja bulat itu.

Berbicara mengenai percintaannya, Lisa berkata dia kini harus membiasakan diri apabila kisah peribadinya lebih menjadi tumpuan selain karier.

Tak dinafikan selama empat tahun dalam industri sebelum ini memang kisah karier yang difokuskan.

"Bagaimanapun, kini saya harus lebih bersedia berhadapan dengan gosip. Biarpun, ia bukan perkara baru, tetapi saya tidak boleh lagi menganggap gosip sebagai usikan manja semata-mata seperti dengan Farid Kamil dulu. Antara Yusry dan saya ada sahihnya.

"Apapun, saya akui tidak begitu gemar bercerita mengenai kisah peribadi. Ini kerana hubungan kami pun masih dalam proses mengenal hati budi. Bahkan, berkaitan soal jodoh kami berdua selesa menyerahkan semuanya pada ketentuan Tuhan.

"Jadi, jangan ditanya bila dan apa saja berkaitan perancangan masa depan kerana saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga. Bagi saya, jika ada jodoh, Tuhan pasti aturkan semuanya.

"Saya belajar daripada pengalaman lalu. Ketika berkawan dengan seseorang sebelum Yusry, saya pernah meletakkan sasaran mahu membina keluarga pada usia 24 tahun.

"Namun, impian itu tak kesampaian dan kini saya tidak mahu terlalu fikirkan jodoh," katanya.

Tenang mengungkap kata-kata dan tak lekang mengukir senyum, Lisa berkata dia menerima Yusry kerana kematangannya.

Ujar Lisa, sebagai wanita timur, prinsip tradisional Melayu masih utuh menjadi pegangannya yang mana biarlah lelaki meluahkan dulu.

Selain laris di layar perak, Lisa juga aktif berlakon drama dan kini dia turut memikul tanggungjawab sebagai pengacara program realiti TV, Mari Menari musim kedua di Astro Ria di saluran 104 di samping pengacara dan pelakon, Awal Ashaari.

Ketika dikaitkan dirinya yang banyak mendapat tawaran umpama pisang goreng panas, Lisa berkata setakat ini dia sangat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Ujarnya, namun ia tidaklah sampai ke tahap dia tak menang tangan untuk menerimanya.

"Buat masa ini, apa yang boleh saya ucapkan hanyalah kesyukuran. Saya gembira di kala industri hiburan tanah air yang kian membangun pesat dan kemunculan artis baru, diri ini masih diterima baik peminat. Saya berasa syukur dan sangat bertuah.

"Apapun, mengenai produk Sofy ini saya secara jujurnya mengakui memang berpuas hati. Sebagai gadis yang lasak dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, kedatangan haid ada kalanya mengganggu batas pergerakan. Tetapi, dengan Sofy 360 baru, saya tiada masalah.

"Oleh itu, saya berterima kasih dengan kepercayaan pihak Sofy yang memilih saya sebagai duta produk ini. Saya akan memberikan kerjasama dan komitmen baik sebagai menghargainya. Malah, menariknya juga ada permainan interaktif FB untuk pengguna.

"Kepada mereka yang berminat boleh melayari FB Sofy dan bermain permainan ini. Bagi pengguna yang berjaya, mereka akan berpeluang memeriahkan rumah terbuka Aidilfiri bersama saya. Apapun, ia memang satu permainan menarik untuk anda cuba," katanya.

Berbicara mengenai filemnya, Lisa berkata peminat jangan lupa ke pawagam menyaksikan gandingan mantapnya bersama Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), Shaheizy Sam dalam filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab pada 30 Jun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KL Gangster menuju RM11j

Posted: 23 Jun 2011 07:54 AM PDT

KEJAYAAN filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof mencatat kutipan tertinggi mencecah lebih RM10 juta membuktikan filem Melayu masih ada pasaran besar di negara sendiri jika digarap dengan baik.

KL Gangster yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Jun lalu mencatat kutipan kasar RM10.6 juta untuk tempoh 14 hari sehingga kelmarin.

Dengan sambutan hangat daripada orang ramai yang terus ghairah untuk melihat karya kelima arahan Syamsul itu, menyakinkan pihak panggung yang ia mampu mencatat angka RM11 juta sehingga Ahad ini.

Malah, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan dijayakan Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul dan Sheera Iskandar ini dijangka terus bertahan selama sebulan di pawagam walaupun satu demi satu filem baru ditayangkan seperti 3,2,1 Cinta pada 16 Jun dan semalam 23 Jun filem seram Rasuk mula menghantui pawagam dan Sekali Lagi pada 30 Jun.


Produsernya, Datuk Yusof Haslam memanjatkan kesyukuran dan rasa bangga dengan kejayaan buah tangan terbaru anaknya yang mula menunjukkan kejayaan pada hari pertama tayangan dengan angka RM1.5 juta.


Katanya, pihak panggung meramalkan KL Gangster mampu mencecah RM11 juta pada Ahad ini, bahkan menunjukkan minat untuk terus menayangkan filem ini selama sebulan berdasarkan sambutan penonton.

"Sudah tentu kejayaan ini satu kebanggaan buat saya dan Syamsul, tetapi waktu sama memberi cabaran besar kepadanya apabila orang mula memberi harapan yang lebih besar untuk karya-karyanya akan datang.

"Bermula dengan Evolusi KL Drift kemudian Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat, ia menunjukkan peningkatan dari satu anak tangga buat Syamsul.

"Selepas ini filem Aku Bukan Tomboy akan ditayangkan pada 11 November manakala filem Jalan Kembali sudah selesai penggambaran dan sedang dalam proses suntingan.

"Syamsul kini dalam persiapan memulakan penggambaran KL Gangster 2 yang dijangka selepas hari raya nanti. Kali ini Syamsul hasilkan prekuel mengenai kisah Malik lakonan Aaron sebelum menjalani hukuman penjara dan mengapa dimasukkan ke penjara. Semuanya akan dikupas nanti," katanya.

Jika Syamsul muncul dengan watak jahat sebagai Shark dalam KL Gangster, Yusof hanya ketawa apabila dicadangkan membuat penampilan khas sebagai ketua gangster dalam sambungannya nanti.

Katanya, ia satu idea menarik dan mungkin akan dipertimbangkan.

Mengenai rahsia kejayaan KL Gangster, Yusof mengatakan asas paling utama sudah tentu genre dihasilkan sememangnya menjadi tarikan penonton dan lebih penting lagi adalah kualitinya dan promosinya.

"Apa yang mengharukan saya adalah sambutan yang diberikan penonton sebaik saja cerita berakhir kerana mereka akan bertepuk tangan. Ini sesuatu yang jarang berlaku kepada filem Melayu.

"Lebih membanggakan saya ialah filem ini bukan saja diminati kalangan penonton Melayu, malah pelbagai kaum apabila ramai Cina dan India turut pergi menonton," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.