Adsense

Khamis, 30 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Waspada didekati lelaki

Posted: 29 Jun 2011 12:22 PM PDT

Hip

SUSUK tubuhnya yang kecil molek dan wajahnya yang awet muda menyembunyikan usia sebenar pelakon bernama Wan Sharmila Wan Muhamad ini.

Mungkin mereka yang tidak mengenali aktres yang mula dikenali sejak membintangi drama Kisah Kaisara ini tidak tahu bahawa dia pernah bergelar isteri dan kini memegang status janda.

Hampir dua tahun memegang status yang amat digeruni ramai wanita, pelakon yang petah berbicara ini bagaikan seorang yang tidak punya masalah. Perwatakannya sentiasa ceria, seceria persalinan yang digayakan ketika menghadiri sidang akhbar drama lakonannya untuk slot Lagenda, Si Jundai.

Dedah anak jati Johor Baharu, Johor ini, dia tidak pernah memikirkan tanggapan orang mengenai status yang dibawa. Kadang kadang dia hampir terlupa pernah berkongsi hidup dengan lelaki bernama Fazli Baharom.

Dalam pada dia lupa seketika dengan status yang dipegang, jauh di sudut wanita berusia 30 tahun ini masih terbit keinginan untuk kembali berumah tangga. Bagaimanapun sehingga ke saat ini katanya, dia masih belum bertemu calon yang sesuai untuk dijadikan lelaki yang layak untuk bergelar suami.

"Status yang saya pegang ketika ini tidak pernah menyukarkan hidup saya. Malah ada kalanya saya terlupa pernah berkahwin sebelum ini. Bagi saya, status yang saya pegang sekarang tidak pernah membezakan saya dengan wanita lain.
"Kegagalan rumah tangga yang dibina selama empat tahun tidak pernah membuatkan saya serik untuk berkahwin lagi. Memang terlintas di fikiran mahu berkahwin dan ingin lekas menimang cahaya mata tetapi sehingga ke hari ini saya masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan calon suami.

"Memang saya mengaku berkawan dengan ramai lelaki tetapi kebanyakannya lebih kepada teman tapi mesra. Saya tidak kisah lelaki itu muda atau tua, jika itu jodoh saya, saya terima," kata Wan yang menyerahkan semuanya kepada takdir.

Memegang watak Sarah dalam drama bersiri Si Jundai, Wan berkata biarpun dia membuka ruang untuk lelaki mengenali dirinya namun jauh di sudut hatinya tetap timbul keraguan sama ada jejaka yang mendekati dirinya betul-betul menginginkan atau sekadar untuk suka-suka.

"Saya suka berkawan tetapi pada waktu yang sama saya bimbang dipermainkan. Memang saya ingin berkahwin tetapi bila waktunya, saya sendiri tiada jawapannya. Buat sementara waktu, biarlah dulu.

"Alhamdulillah keluarga tidak mendesak terutama ibu. Ibu bukan jenis yang suka memaksa, dia juga tidak suka bercakap banyak. Mungkin ibu tahu isu itu sensitif, jadi dia hanya menyerahkan segala keputusan di tangan saya.

"Kalau boleh biarlah bakal suami saya nanti orang biasa saja. Saya tidak mahu berkahwin dengan artis dan paling penting lelaki itu perlulah pandai membimbing saya menjadi seorang isteri dan wanita yang betul," katanya yang mengakui masih lagi baik dengan bekas suami.

Masih bersahabat biarpun berpisah

MUNGKIN dia serta bekas suaminya Fazli lebih sesuai bergelar sahabat berbanding suami isteri. Biarpun tidak lagi tinggal sebumbung dan tidur sebantal, dia dan Fazli ada ketikanya masih berhubung dengan bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Malah dia juga masih lagi berlakon di bawah syarikat produksi yang turut dinaungi suaminya, Radius One.

Berbicara pula mengenai kerjaya seninya, wanita yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu berkata, wataknya sebagai Sarah di dalam drama arahan Fairuz Loy menuntutnya menguasai tarian tradisional.

Bagaimanapun ini bukanlah drama pertama Wan yang memerlukan dia menari, sebelum ini juga dia pernah terbabit di dalam drama bersiri Tari Tirana. Selain dirinya, Si Jundai turut dibintangi oleh Nabila Huda, Azam Pitt, Faralyna, Tasha Shilla, Rahim Omar dan Rozita Che Wan.

"Saya tidak pernah berlakon dalam drama sebegini, yang mana saya dikehendaki menari dan dirasuk dalam masa yang sama. Memang agak sukar juga untuk membawakan watak ini kerana saya tidak mempunyai pengalaman dirasuk tetapi saya berusaha membawanya dengan baik.

"Oleh kerana terlalu menghayati watak menari sambil dirasuk, saya tidak sedar yang diri saya tercedera apabila dikehendaki berjalan di atas kaca. Kononnya saya berjalan atas kaca tetapi sebenarnya ia membabitkan gula batu. Mungkin ada gula yang berketul sehingga saya tidak perasaan kaki saya luka," katanya yang kini turut melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan pula.

Dia yang pernah mengacarakan program Klik-Klik Asia di saluran RTM bakal muncul sekali lagi di saluran yang sama bagi mengacarakan program Pentas Dikir. Mungkin ada yang beranggapan bergelar pengacara di RTM tidak glamor, tetapi bagi wanita ini, dia menerima tawaran berkenaan disebabkan minat. Malah dia sendiri yang bersusah payah menghadiri sesi uji bakat dianjurkan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

AIM18 gugurkan 10 kategori

Posted: 29 Jun 2011 12:17 PM PDT

Hip

ROSMIN bersama Khairul Anwar (kiri), Andrian Lim (kanan) dan Zalman Effendy.

ROSMIN bersama Khairul Anwar (kiri), Andrian Lim (kanan) dan Zalman Effendy.

Yuran pencalonan dikurangkan daripada RM100 kepada RM50

ANUGERAH Industri Muzik Malaysia (AIM) edisi ke-18 menggugurkan 10 kategori selain memberi tumpuan kepada lagu berbahasa Melayu.

Ini menjadikan AIM18 nanti mempunyai 19 kategori untuk dipertandingkan. Pengguguran hampir separuh kategori itu untuk menjadikan jumlah pencalonan dilihat lebih padat. Namun, pengguguran itu juga sebenarnya tidak dapat dielakkan kerana penghasilan album kebelakangan ini merosot dengan ketara.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Persatuan Industri Rakaman Muzik Malaysia (RIM), Rosmin Hashim menjelaskan, walaupun 10 kategori digugurkan pada penganjuran kali ini, namun ia dilihat mampu menarik lebih ramai penggiat muzik tempatan menghantar karya mereka untuk dicalonkan.

"Kalau tahun lalu kita fokus kepada album dengan setiap kategori album mengikut genre tetapi kali ini kita lebih kepada genre lagu seperti Nasyid, Pop Etnik, Rock, Pop dan Hip Hop.

"Bila kita buat macam ini akan ada pencalonan daripada artis indie yang mempunyai single saja tetapi mereka perlu mendaftar sebagai ahli RIM dulu baru boleh dicalonkan," katanya pada sidang media AIM18, di ibu negara, semalam.
Lebih menarik lagi, anugerah yang dianjurkan RIM itu hanya mengiktiraf karya ciptaan sepenuhnya rakyat Malaysia saja berbanding sebelum ini yang turut membuka peluang kepada karya luar.

Bagaimanapun, karya yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia tetapi dinyanyikan oleh artis luar masih boleh dicalonkan melalui kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara.

"Hanya satu kategori saja dibuka kepada artis luar tetapi karya mestilah sepenuhnya ciptaan rakyat Malaysia sebab anugerah ini untuk menghargai penggiat muzik tempatan.

"Perubahan ini mencerminkan apa yang berlaku dalam industri muzik tempatan dan pemilihan calon akan diadili oleh PAIM (Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia)," jelasnya.

Tempoh kelayakan anugerah tahun ini dibuat selama 18 bulan bermula Januari 2010 hingga 30 Jun 2011 dan tempoh penyerahan pencalonan untuk AIM 18 akan bermula pada 1 hingga 29 Julai depan.

Malam anugerah AIM 18 yang dijangka berlangsung pada 12 November depan akan diadakan di lokasi lebih besar di Stadium Putra Bukit Jalil berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.

"Jika sebelum ini setiap pencalonan akan dikenakan bayaran RM100 bagi setiap kategori yang ingin dipertandingkan, namun kali ini yurannya dikurangkan kepada RM50 bagi setiap kategori.

"Disebabkan penganjuran kali ini diadakan di lokasi yang lebih besar serta mampu menampung lebih ramai penonton, maka kita tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada penonton," katanya.

Pencalonan yang diterima akan diadili oleh juri profesional yang dilantik PAIM selama empat minggu bermula 1 Ogos depan, manakala calon Top 5 bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan diumumkan pada 15 September depan.

AIM18 mendapat sokongan daripada Celcom, manakala Astro Ria pula menjadi stesen penyiar rasmi. Turut hadir di majlis sidang media ini ialah Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Naib Pengerusi RIM, Andrian Lim.

Penjurian secara online

SISTEM penjurian secara talian atau online turut diwujudkan namun ia akan beroperasi sepenuhnya pada AIM edisi akan datang bagi menggantikan sistem penjurian secara pos.

"Juri online ini bukan diadili oleh orang ramai tetapi oleh juri profesional yang dilantik cuma kita akan hantar karya calon yang bertanding secara online bukan pos. Mereka memainkan peranan 30 peratus pemarkahan bagi memilih calon Top 5 yang dipertandingkan," kata Rosmin.

Bukan saja kategori dan sistem penjurian yang turut diubah, malah penganjuran AIM juga turut dipecahkan mengikut pelbagai bahasa yang terdapat di dalam industri.

Jika sebelum ini terdapat kategori Album Cina, India dan Inggeris Terbaik, namun bermula tahun hadapan setiap kategori terbabit akan mempunyai anugerahnya tersendiri.

"Ketika kita fokus kepada anugerah Berbahasa Melayu tetapi pada suku kedua tahun hadapan kita akan menganjurkan AIM Berbahasa Cina, Tamil dan Inggeris mengikut format kategori yang sama dalam AIM18.

"Ini bertujuan bagi mengiktiraf penggiat muzik setiap kaum yang terdapat di Malaysia kerana mereka turut terbabit dalam memajukan industri hiburan tempatan," katanya.

INFO AIM18

19 Kategori dikekalkan

1. Artis Baru Terbaik
2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu
5. Kulit Album Terbaik
6. Rakaman Album Terbaik
7. Video Muzik Terbaik
8. Lagu Pop Etnik Terbaik
9. Lagu Nasyid Terbaik
10. Lagu Rock Terbaik
11. Lagu Pop Terbaik
12. Lagu Hip Hop Terbaik
13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
14. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
15. Anugerah Kembara
16. Anugerah Sri Wirama
17. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
18. Lagu Terbaik
19. Album Terbaik

10 Kategori Digugurkan

1. Album Inggeris Tempatan Terbaik
2. Album India Tempatan Terbaik
3. Album Cina Tempatan Terbaik
4. Album Nasyid Terbaik
5. Album Rock Terbaik
6. Album Pop Terbaik
7. Album Hip Hop Terbaik
8. Album Pop Etnik Terbaik
9. Lagu India Tempatan Terbaik
10. Lagu Cina Tempatan Terbaik


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.