Berita Harian: Hip |
Posted: 08 Jun 2011 06:05 PM PDT Hip AARON Aziz dan isteri. KEHILANGAN bapa ketika dia masih terlalu kecil, iaitu pada usianya dua tahun membuatkan pelakon kacak dan sasa kelahiran Singapura, Aaron Aziz, amat menghargai setiap detik dan waktu bersama tiga cahaya matanya. Semuanya kerana dia bimbang anak-anaknya Danish Anaqi, 7, Dewi Ariana, 5, dan Dahlia Arissa, 1, tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang bapa sebagaimana yang pernah dia sendiri lalui. "Saya tidak tahu sampai bila akan hidup. Selagi masih bernafas, saya tidak akan sia-siakan waktu bersama anak-anak. Saya tahu bagaimana perasaan kehilangan bapa sejak kecil. Bapa meninggal dunia ketika umur saya dua tahun, sebelas tahun kemudian barulah ibu saya berkahwin semula. Walaupun hubungan dengan bapa tiri akrab, tetap tak sama sebagaimana hubungan dengan bapa kandung. "Pengalaman itu membuatkan saya tidak mahu terlepas detik penting bersama anak-anak. Mujur isteri yang menguruskan kerjaya seni saya. Biasanya selepas bertungkus lumus bekerja, dia akan memastikan saya dapat bercuti beberapa hari."Waktu itulah yang akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk bersama anak-anak. Saya cuba menolak sebarang undangan ketika sedang bercuti kerana tidak mahu keluarga terabai. "Jika terlalu sibuk, paling tidak, saya akan memastikan dapat menikmati sarapan pagi bersama isteri dan anak-anak. Kalau terbabit dengan penggambaran pada waktu malam, saya akan luangkan waktu pada sebelah siang dengan menghantar mereka ke sekolah," katanya yang ditemui pada majlis pengumuman kempen Hari Bapa anjuran pengeluar biskut Oreo, Kraft Foods Malaysia. Ini tahun kedua pemegang watak utama sebagai Malik dalam filem KL Gangster itu terbabit dalam kempen Hari Bapa. Bagaimanapun, dia dan keluarga tidak pernah membiasakan diri menyambut hari istimewa seperti Hari Bapa mahupun ibu. Bukan bererti lupa atau tidak ambil peduli, bagi Aaron ingatan untuk insan istimewa perlu hadir setiap hari.
"Jika tidak meraikannya sekali pun, saya berharap golongan bapa dapat meluangkan waktu walaupun seketika demi anak-anak. Jika anak ramai, saya faham mungkin mereka sukar untuk luangkan masa bersama. Tapi kalau anak seorang pun sukar untuk diberikan tumpuan, itu memang tidak patut sama sekali," kata Aaron yang tidak memanjakan anak-anaknya dengan kemewahan. Menurut Aaron, anak-anak memang sudah diajar tidak meminta-minta. Biasanya mereka akan meminta kebenaran daripadanya terlebih dulu jika mahukan sesuatu, tetapi dia tidak akan mendapatkan barang yang diinginkan mereka pada waktu itu juga. Sebaliknya, dia hanya akan membelikan apa yang dipinta mereka selepas tempoh tertentu, malah mereka juga hampir terlupa dengan barang yang dimahukan itu. Dalam ketegasan itu, Aaron masih lagi seorang bapa yang lembut. Di rumah Aaron sering melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama anak-anak. Aktiviti dilakukan ada kalanya pelik seperti mencari semut dan kemudian memberi makan kepada binatang itu, tetapi ternyata aktiviti berkenaan amat digemari oleh anak-anaknya. "Alhamdulillah setakat ini anak-anak tidak pernah bersungut dengan kesibukan saya. Mereka memahami kerjaya saya, mungkin sebab ada ketikanya mereka juga terbabit dalam iklan komersial yang saya jayakan. Jadi mereka tahu macam mana susah dan penatnya kerja saya. "Lagipun saya selalu katakan kepada mereka, jika saya tidak bekerja, siapa yang akan membelikan mereka mainan dan makanan. Mungkin disebabkan itu mereka tidak pernah merungut," kata Aaron yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem untuk Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB). Rezeki lelaki berusia 35 tahun ini juga nampaknya terus murah apabila dia kini terikat dengan empat drama bersiri untuk syarikat terbabit. Namun, dia tegas menafikan menjadi wajah eksklusif untuk TV3 hanya disebabkan menerima banyak tawaran sekali gus. Sebaliknya, kata Aaron, dia masih lagi boleh berlakon dalam drama untuk stesen televisyen lain. Jahat cuma di filem EMPAT kali berlakon di bawah arahan Syamsul Yusof, Aaron Aziz mengakui dia selesa dan serasi dengan pengarah muda itu. Kebebasan diberikan Syamsul kepada pelakonnya dalam KL Gangster membuatkan mereka berasa tidak terkongkong kerana dapat berkongsi kreativiti. "Pemikiran kami sama, Syamsul bukan pengarah yang stereotaip. Baginya, watak jahat tidak perlu digambarkan seperti kebanyakan filem lain. Dia memberi kami ruang untuk melakukan apa saja termasuklah mereka dialog sendiri. Dia tak kisah jika kami tidak mengikut skrip asalkan dialog mempunyai kesinambungan. "Apabila diberikan kebebasan sebegini, sebagai pelakon kami berasa seronok kerana pengarah menerima pendapat kami. Secara tidak langsung juga ia membuatkan filem itu nampak ikhlas," kata Aaron yang membawakan watak jejaka bernama Malik iaitu samseng yang sudah kembali ke pangkal jalan. Sebagai seorang yang sudah berkeluarga, pasti hasil lakonannya turut ditonton oleh anak-anak. Apabila beberapa kali melakonkan watak agak ganas, tentunya peminat tertanya-tanya, bagaimana reaksi mereka apabila menonton bapa beraksi sedemikian rupa? Bagaimanapun Aaron beruntung kerana watak jahat yang dibawakan, katanya, tidak pernah mempengaruhi minda anak-anak. Mereka memahami bapa mereka seorang pelakon, justeru mereka tahu apa yang dilihat di kaca televisyen hanyalah lakonan semata-mata. "Anak-anak faham saya seorang pelakon. Mereka tahu kalau saya bawakan watak jahat, itu hanyalah untuk filem saja. Di rumah saya masih lagi bapa yang mereka kenali. Cuma anak kedua saya pernah menangis ketika melihat tubuh saya berlumuran darah dalam filem Evolusi KL Drift. Bagaimanapun selepas dijelaskan mengenai perkara terbabit, dia boleh memahami," kata Aaron yang akan terus berlakon selagi khidmatnya diperlukan. Menurut Aaron yang mula mencipta nama di negara ini sejak 2004, dia tidak pernah terfikir untuk berpatah balik ke Singapura kerana selesa dan seronok kehadirannya di sini diterima. "Tak kenal maka tak cinta, selepas beberapa tahun berlakon di sini, timbul pula rasa seronok. Kalau boleh saya mahu terus menetap di sini. Mungkin satu hari nanti saya mahu mencuba bekerja di belakang tabir pula," katanya yang berharap filem KL Gangster akan mendapat sambutan baik daripada peminat filem tempatan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 08 Jun 2011 05:35 PM PDT Hip DALAM kerjaya Rossa nyata sudah berada pada kedudukan paling selesa - tersohor di tanah kelahiran dan menempa tempat tersendiri di kalangan peminat muzik negara jiran, khususnya Malaysia. Namun rona percintaan yang dilalui penghibur Indonesia itu tidak serancak kerjaya seninya, bermula dengan ikatan perkahwinan yang kecundang tatkala populariti memuncak dan kini dikhabarkan sedang berkasih bersama anak seorang tokoh politik terkenal di Jakarta pula menemui titik noktahnya. Namun bagai tiada sisa duka pada wajahnya. Hanya tawa gembira selain celoteh bersahaja yang muncul satu persatu daripada bibir munggil pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani yang diterbangkan sekali lagi ke Kuala Lumpur memenuhi permintaan ramai. "Ya, saya masih solo!" luahnya ringkas sambil tertawa besar apabila diminta mengulas lanjut desas-desus yang bertebaran terutama menerusi laman sosial mengenai kisah cintanya.Mungkin dirinya sudah kebal melayani soal hati dan perasaan hingga tiada masa untuk meratapi nasib atau bermuram di atas perpisahan itu. Rossa yang ditemui di sebuah puat membeli belah di Petaling Jaya ketika sesi bertemu peminat datang kembali untuk mengadakan persembahan eksklusif pada esok dan Jumaat ini di Tropicana Golf & Country Resort tampak seperti selalu - ceria!
Sememangnya, jika dihitung Kuala Lumpur sudah menjadi rumah kedua ibu kepada Rizky Langit Ramadhan kerana sejak awal tahun hingga kini sudah empat kali Rossa 'turun' ke negara ini dengan kunjungan terbaru April lalu untuk promosi album kompilasi, Harmoni: Jalinan Nada dan Cerita. Senyuman terus mekar menguntum apabila membicarakan perihal anak tunggal hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami, Yoyo yang kini sudah memasuki alam persekolahan. Walau masih terlalu muda, penyanyi itu cukup mementingkan pendidikan sahsiah diri buah cintanya apabila mendaftarkan si kecil menghadiri kem cuti sekolah sempena musim cuti persekolahan. "Saya mahu dia merasai pengalaman istimewa - bermain dengan rakan sebaya dan mencuba bermacam perkara baru. Sekarang Rizky punya hobi menarik iaitu mewarna dan melukis dinding rumah," kongsinya lagi sambil tertawa mengenang telatah anak kesayangannya. Pada Julai ini genap dua tahun Rossa hidup sendirian namun biar apa pun dugaan, perceraian membuatkannya semakin tegar melayari kehidupan terutama sekali apabila membabitkan soal anak. Selain keluarga, tumpuan penghibur berusia 32 tahun kini adalah merealisasikan pembikinan album solo membabitkan paduan suara dengan beberapa teman seangkatan dari negara jiran. Walau rancangan yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan sesetengah pihak itu sebagai kerja gila, sebaliknya Rossa tidak peduli kerana itulah hajatnya selama ini. Antara penyanyi yang bakal bergandingan dengan Rossa ialah Afghan yang juga rakan seperjuangan dari negaranya sendiri, selain Taufik Batisah (Singapura) dan penyanyi lelaki Taiwan, dari Malaysia pula adalah Anuar Zain. Awal dulu Aizat antara nama yang disebut-sebut sebagai teman duetnya namun berikutan rancangan penyanyi muda itu mahu melanjutkan pelajaran di luar negara, hasrat itu terpaksa dilupakan. "Memang Aizat calon awal tetapi disebabkan situasi tidak mengizinkan, saya yang sememangnya menyukai vokal Anuar Zain terus berbincang dengan penyanyi itu untuk merakamkan sebuah lagu lain yang khusus diciptakan untuk kami. "Jika ikut perancangan, rakaman bersama Anuar dilaksanakan selepas Aidilfitri. Sekarang projek ini sudah dimulakan malah antara projek lain yang membuatkan saya sukar untuk duduk diam adalah single bersama Ungu berjudul Ku Pinang Kau Dengan Bismillah," kongsinya lagi. Mahu intim dengan peminat Mengulas mengenai persembahan khas di Tropicana Golf & Country Resort, Rossa teruja untuk bertemu peminatnya kerana berasakan persembahan berkonsepkan makan malam itu lebih dekat dengan khalayak. Selain rangkaian seleksi popularnya, dia bakal membawakan beberapa lagu daripada penyanyi tempatan termasuk dendangan Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain yang disifatkan cukup istimewa. "Boleh dikatakan malam itu nanti akan lebih Rossa. Sudah dua minggu kami berlatih dan tentu saja saya mahu lebih intim dengan peminat yang selama ini membuka pintu selebar-lebarnya untuk saya," katanya. Persembahan yang turut mendapat sokongan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ini dijangka berlangsung satu setengah jam dengan menyampaikan hampir 20 lagu termasuk Aku Bukan Untukmu, Hey Ladies dan Atas Nama Cinta Diminta mengulas perihal moral selebriti Indonesia khususnya membabitkan teman baik sendiri, Krisdayanti yang mengakui hamil sebelum nikah, secara jujur katanya artis bukan manusia sempurna dan ada kalanya terkhilaf. Namun tambahnya lagi peminat semakin bijak membuat pertimbangan apabila hanya menyenangi karya seseorang bukannya mencontohi pelakuan atau sikap idola mereka dengan membabi buta. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |