Adsense

Khamis, 26 Mei 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Ceritera sebagai Dahlia

Posted:

Ceritera sebagai Dahlia

Ceritera sebagai Dahlia



GELORA yang melanda aktres dan pengacara popular Daphne Eleanor Iking bukan dugaan biasa, malah ia merupakan cubaan terbesar pernah dialami Daphne yang kini bergelar seorang muslimah memegang nama Dahlia.

Usai kes mahkamah membabitkan dirinya dengan Pengarah Urusan Adidas Malaysia, Darren Choy Khin Ming serta bekas suaminya, Ryan Chong Yiing Yih Mac lalu, secara automatik melepaskan Daphne daripada terus dibelenggu rasa bersalah dan diburu cerita lampau yang mengganggu kelancaran cerita baharu kehidupannya.

Siapa tahu Daphne yang dahulu penuh dengan kontroversi berhubung status puteri sulungnya, Isobel Daniella Iking, 4, kini sudah mampu mengecap ketenangan selepas sah memeluk Islam Disember tahun lalu.

Tempoh yang singkat itu digunakan sebaik-baiknya oleh anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu untuk mendekatkan diri dengan pegangan baru pilihannya selepas mengahwini Azmi Abdul Rahman, 42, Januari lalu.

"Alhamdulillah kini saya sudah hafal surah al-Fatihah dan boleh mendirikan solat tanpa bantuan suami. Setiap hari saya akan membaca buku panduan solat dan jika ada yang saya tidak faham saya akan merujuk kepada suami saya.

"Ia bukan perkara mudah terutama saudara baru seperti saya untuk menerima terus ajaran baru dalam hidup tetapi setiap kali saya solat saya dapat rasa diri saya semakin dekat dengan Islam.

"Walaupun sibuk dengan kerja tetapi saya akan pastikan solat lima waktu ditunaikan dan sekiranya saya gagal mengerjakan solat, jiwa saya akan berasa amat kosong seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hari saya," akui pengacara rancangan Bella di ntv7 itu dengan bersungguh-sungguh.

Cabaran bergelar muslimah

Namun keikhlasan wanita berusia 32 tahun itu menyelami Islam turut dicabar dengan pelbagai tohmahan dan cacian sesetengah pihak yang mahukan dirinya berubah secara total lengkap mengenakan tudung dan memakai pakaian menutup aurat.

"Saya faham sebagai seorang wanita Muslim saya perlu menutup aurat tetapi saya perlukan masa untuk semua itu dan biarlah saya lakukannya dengan jujur dan bukan kerana terpaksa.

"Insya-Allah sedikit demi sedikit saya akan memperbaiki diri agar menjadi lebih baik di sisi Allah dan harus diingatkan saya masih lagi dalam proses mengenali agama baharu saya," jujur sahaja jawapannya.


DAPHNE dan suaminya, Azmi teruja menanti kehadiran cahaya mata pertama mereka.


Pelbagai reaksi pasif diterima Daphne di laman sosialnya yang menuntut dirinya menukar penampilan sinonim seksinya kepada imej yang lebih sopan malah ada segelintir mempersoalkan keputusan nekad Daphne menukar agama asalnya.

Tidak cepat melatah dengan kata-kata orang, Daphne yang sedang hamil empat bulan berasa tidak perlu menjelaskan isu tersebut kepada orang ramai kerana dia perlu menjaga hati ramai pihak dan tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa terutama mereka yang dekat di hatinya.

"Menjadi Dahlia tidak bermakna saya perlu melupakan terus siapa Daphne yang dahulu. Kedua-duanya masih insan serupa cuma kini saya lebih berhati-hati dengan apa yang ingin saya lakukan kerana setiap pergerakan saya diperhatikan ramai orang," katanya tanpa berselindung.

Ditanya penerimaan keluarganya berhubung statusnya sebagai seorang muslimah, Daphne memberitahu, tidak mudah untuk meyakinkan kedua ibu bapanya itu bagi memahami keputusan yang dibuatnya.

Pemenang Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu mengakui dia perlu menyimpan dahulu kebenaran itu buat seketika dan menunggu waktu sesuai membongkarkan berita itu kepada keluarganya.

"Pada awalnya memang sukar untuk mereka menerima namun lama-kelamaan mereka sudah boleh menerima kenyataan itu.

"Tetapi, walaupun fahaman kami tidak lagi sama ia tidak bermakna saya menolak terus adat dan tradisi yang pernah saya jalani kerana saya juga perlu menghormati pegangan keluarga saya.

"Saya sering mengingatkan ibu bapa saya agar tidak berusaha menukar cara hidup mereka semata-mata demi saya kerana walau apa pun terjadi mereka tetap ibu bapa saya sama seperti dahulu," ucap Daphne lagi.

Isobel dan adik baharu

Melihatkan Isobel yang semakin membesar membuatkan Daphne berasa lapang malah tidak tertanam rasa resah terhadap anaknya itu kerana anak kecil itu mudah dibimbing.

Tidak lama lagi Isobel bakal menerima adik baharu dan Daphne bersyukur kerana bakal dikurniakan cahaya mata kedua oleh Allah.


DAPHNE IKING atau Dahlia kini bahagia menjalani kehidupan baharu.


Detik silam tatkala mengandungkan Isobel dilalui aktres filem Belukar itu tanpa masalah namun berbeza pula dengan kandungan keduanya kali ini yang sering membuatkan dirinya jatuh sakit dan mengalami simptom normal orang mengandung.

"Ketika mengandung anak pertama, saya rasa biasa sahaja tetapi kali ini saya kerap pening kepala dan muntah-muntah dan suami saya menjadi mangsa melayan kerenah-kerenah pelik saya.

"Pernah satu malam lebih kurang pukul 3 pagi saya terjaga dan mengidam untuk makan laksa Penang. Saya tidak mahu laksa di tempat lain tetapi tekak saya menginginkan laksa yang memang dari Penang.

"Memandangkan awal pagi esok saya perlu bekerja jadi suami saya hanya membelikan nasi kandar sebagai pengganti laksa tersebut dan saya makan satu sudu sahaja kemudian saya sambung tidur," cerita Daphne dengan tawa yang tidak ditahan lagi apabila mengingat kembali momen lucu itu.

Jika dilihat kepada simptom yang dialami Daphne, ramai orang memberitahunya dia bakal menimang cahaya mata lelaki namun Daphne memilih untuk tidak mempercayai jawapan teka-teki orang lagi selepas pengalaman ditempuh ketika mengandungkan Isobel yang sebelum itu dikatakan sebagai bayi lelaki.

Menerima sahaja apa jua jantina bayi yang bakal dilahirkan, dia tidak dapat menolak keinginannya untuk memiliki anak perempuan kedua kerana baginya dia lebih mudah menguruskan anak perempuan berbanding lelaki.

"Biarlah saya tahu apabila saya melahirkan bayi ini nanti tetapi naluri saya kuat merasakan saya akan mendapat anak perempuan," ujar Daphne dengan senyuman penuh makna.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Adnan Sempit 2 cuba atasi rekod

Posted:

Adnan Sempit 2 cuba atasi rekod

Adnan Sempit 2 cuba atasi rekod

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


PENGGAMBARAN Adnan Sempit 2 dijalankan sekitar Kuala Lumpur.


FILEM Adnan Sempit ternyata telah mencatat kejayaan tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang memperoleh kutipan melebihi RM7 juta pada tahun lalu. Tidak dinafikan bahawa melalui filem berkenaan juga sebenarnya telah melonjakkan nama Shaheizy Sam sehingga dinobatkan sebagai pelakon paling popular.

Memandangkan filem yang menceritakan tentang mat rempit itu mendapat sambutan hangat, maka pihak Metrowealth Pictures mengambil inisiatif menerbitkan sekuelnya.

Jika Ahmad Idham menjadi pengarah untuk filem pertama, kini tanggungjawab untuk mengarah Adnan Sempit 2 telah diberikan kepada Ismail Bob Hashim.

Menurut Bob, filem tersebut adalah kesinambungan kepada filem pertama dan langsung tidak berkaitan dengan drama Adnan Sempit yang disiarkan di saluran Astro sebelum ini.

"Apa yang boleh saya katakan untuk filem ini, jalan ceritanya lebih menarik apabila Adnan akan dibentuk menjadi seorang ahli korporat dan perlu mempelajari bahasa Inggeris," ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

"Bagaimanapun, dia masih lagi kekal sebagai seorang mat rempit, manakala Nadia pula akan dilatih oleh ibunya untuk menjadi suri rumah tangga untuk tempoh yang sama," ujarnya yang menjadi penolong pengarah untuk filem pertama.

Tambah Bob, untuk sambungan Adnan Sempit ini, dia masih lagi mengekalkan kesemua pelakon-pelakon asal seperti Sam dan Intan Ladyana kecuali Cat Farish dan Julia Hana.

Jelasnya, mengikut perancangan asal filem ini akan mula dihasilkan pada awal tahun, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana mahu memilih skrip dan jalan cerita yang sesuai.


SHAHEIZY SAM tidak berani untuk mengatakan filem Adnan Sempit 2 mampu mengatasi rekod kutipan filem asalnya, Adnan Sempit dahulu.


"Untuk skrip sahaja, ia telah dirombak sebanyak enam kali oleh saya dan panel skrip MIG sehinggalah kami tertarik untuk memaparkan jalan cerita yang membentuk Adnan menjadi ahli korporat," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran yang akan dihadapi untuk filem tersebut, Bob menjelaskan salah satunya adalah sasaran untuk mengatasi kutipan filem sebelumnya.

Ujarnya, berdasarkan kepada rekod sebelum ini, boleh dikatakan jarang ada filem tempatan yang akan dapat mengatasi jumlah kutipan filem yang pertama.

"Namun saya yakin filem ini akan terus mendapat sambutan hangat. Saya yakin penonton tentunya akan terhibur untuk menontonnya," ujar Bob.

Watak menarik

Menurut Shaheizy Sam yang menjadi tunjang utama untuk filem Adnan Sempit 2, dia menyifatkan karakter Adnan yang dibawanya itu ternyata lebih menarik.

Jelasnya, dengan membawakan watak sebagai seorang mat rempit yang akan menjalani transformasi untuk bergelar ahli korporat tentunya akan menampilkan suatu kelainan.

"Menerusi sambungan filem ini, saya masih lagi kekal dengan Adnan yang sama, namun saya diberi tempoh 30 hari untuk menjadi ahli korporat sebagai syarat sebelum mengahwini Nadia.

"Sebenarnya, saya sendiri turut tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan untuk filem ini dan tiada masalah besar buat diri saya untuk membawakan watak yang diberi," ujarnya.

Sementara itu, apabila ditanya adakah dia yakin filem kedua ini akan dapat mengatasi kutipan filem yang pertama, secara jujur pelakon berkenaan menjelaskan dia tidak pernah memikirkan mengenai soal kutipan.

"Apa yang lebih penting sekarang ini adalah memberikan yang terbaik untuk setiap filem atau drama lakonan saya dan berharap kehadiran saya dalam industri ini akan terus diterima peminat," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2AM pukau peminat Malaysia

Posted:

2AM pukau peminat Malaysia

2AM pukau peminat Malaysia

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


KUMPULAN 2AM, (dari kiri), Jinwoon, Jo Kwon, Changmin dan Seulong tidak menyangka popular di Malaysia.


BUAT pertama kalinya sejak muncul di persada seni pada tahun 2008, band balada popular asal Korea Selatan hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert mini sulung mereka yang berlangsung pada Sabtu lalu di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Kosmo! berkesempatan menemubual 2AM yang dianggotai oleh Jo Kwon, Changmin, Seulong dan Jinwoon sehari sebelum konsert mini mereka berlangsung.

2AM merasakan diri mereka bertuah kerana tidak menyangka mereka popular di Malaysia dan kehadiran mereka diiringi dengan sambutan hangat oleh peminat.

"Sebenarnya ini bukan kali pertama kami datang ke Malaysia kerana dua tahun lalu kami pernah ke sini untuk mempromosikan album tetapi ini kali pertama kami mengadakan mini konsert untuk peminat.

"Jadi, kami gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk bertemu dengan peminat di sini kerana bukan selalu kami dapat peluang seperti ini berbeza dengan peminat di Korea yang kami dapat bertemu pada bila-bila masa sahaja," ujar Changmin yang mengakui Internet mempopularkan 2AM.

Apabila bercerita tentang impian mereka dalam industri muzik, kesemua anggota 2AM mengatakan yang mereka meminati band g.o.d sebuah band yang cukup popular sekitar penghujung tahun 90-an di Korea Selatan.

"Idola kami dalam bidang muzik adalah band g.o.d dan kami mahu menjadi seperti mereka. Muzik mereka mempunyai identiti tersendiri, walaupun hanya mendengar lagu, kita akan tahu lagu itu milik band g.o.d.

"Kami sedar yang perjalanan masih jauh untuk ke arah itu tetapi kami sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kerana muzik adalah hidup kami," jawab Changmin lagi.

Muncul sebagai sebuah band balada di dalam kebanjiran band pop di Korea Selatan membezakan 2AM dengan band-band yang lain.

Disebabkan perbezaan itu, mereka pada mulanya tidak yakin untuk menarik perhatian peminat muzik kepada mereka, tetapi hari ini mereka berjaya membuktikan yang 2AM merupakan salah sebuah band paling popular di Asia.

"Pada peringkat permulaan, kami sendiri tidak nampak jalan sukses buat 2AM dan band kami lambat popular berbanding dengan band pop yang mempertaruhkan lagu rancak dan tarian.

"Tetapi syukur, walaupun kami naik dengan perlahan tetapi kami stabil. Muzik kami bukan sahaja untuk anak muda tetapi juga semua peringkat umur kerana muzik kami, muzik yang tenang dan dekat dengan hati," kata Jinwoon sambil mengucapkan syukur kerana album mereka turut berada dalam carta antara album terlaris.


SEORANG peminat 2AM teruja diajak ke atas pentas bersama kumpulan tersebut.


Changmin dan Jinwoon juga sempat bercerita tentang lambakan program realiti dan hiburan di Korea Selatan yang secara tidak langsung mendedahkan privasi mereka kepada khalayak ramai.

Ujar mereka, kemunculan 2AM dalam program televisyen mempunyai kebaikan dan keburukannya.

"Dalam program televisyen kami semua memaparkan perangai sebenar kami dan sifat humor, malah secara tidak langsung mendedahkan banyak perkara peribadi kepada penonton.

"Kebaikannya, adalah orang ramai semakin mengenali siapa 2AM menerusi program seumpama itu dan peminat juga boleh mengenali kami dengan lebih dekat. Sebenarnya kami juga menggunakan peluang itu untuk mempromosi lagu dan album terbaru serta mempamerkan bakat lain yang kami miliki.

"Keburukannya pula, apabila kami mengadakan persembahan, kami tidak sama seperti dalam program televisyen kerana lagu-lagu dendangan kami adalah balada, jadi kami serius.

"Kami juga tidak keluarkan perangai gila-gila di atas pentas persembahan, itu secara tidak langsung membuatkan peminat kecewa kerana mereka mengharapkan kami sama seperti di dalam program TV" jawab Changmin.

Dekat dengan peminat

Dalam showcase mereka, 2AM telah mendendangkan enam buah lagu iaitu Never Let You, Confessions Of A Friend, I Did Wrong, Like Crazy dan This Song.

Menariknya dalam konsert mini yang bermula pada pukul 6.20 petang dan berdurasi sejam lebih itu, 2AM turut terlibat dalam kuiz yang diadakan seperti mengikut gaya artis serta menyambung lagu.

Malah, sebelum konsert mini bermula, pihak penganjur turut mengadakan kuiz untuk penonton dengan meneka nama lagu. Setiap pemenang diberikan hadiah poster yang siap dengan tandatangan kesemua anggota 2AM.

Bukan itu sahaja, peminat yang hadir turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Korea dan juga bahasa Malaysia buat tiga anggota 2AM iaitu Changmin, Seulong dan Jinwoon yang kebetulan hari lahir mereka jatuh pada bulan Mei.

Peminat yang bertuah juga diberi kesempatan untuk memberi hadiah kepada penyanyi pujaan mereka di atas pentas.

"Terima kasih tidak terhingga buat semua kerana menyanyikan lagu sambutan hari lahir dan kami sayang anda semua," kata Changmin yang kelihatan sungguh terharu dengan sambutan peminat mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.