Adsense

Khamis, 26 Mei 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Serius boleh, komedi boleh

Posted: 25 May 2011 08:27 AM PDT

AURA manisnya ketara. Mewarisi kecantikan 'Cik Siti Wan Kembang', dia mula dipancing.

Bukan pancingan orang kenamaan atau VIP, tetapi pancingan pengarah dan produser tempatan.

Sekali pandang, ada yang berpendapat wajah dan tutur kata Bea Rameshan atau nama sebenarnya, Rabiatul Balqis Rameshan, 23, iras-iras Intan Ladyana.

Tidak kurang juga menyamakan wajahnya seperti Raja Ema dan Mazuin Hamzah - artis popular era 1980-an.


Apa yan nyata, gadis kelahiran Machang, Kelantan ini yang mula mengukir nama selepas menyertai program realiti, Pilih Kasih musim pertama semakin mendapat tempat dalam dunia seni tanah air.


Lakonan sebagai Sahara dalam telefilem Dosa Siapa terbitan Enuja Production Sdn Bhd untuk TV3, baru-baru ini turut menguji kemampuannya.

Bea mengakui ia satu pengalaman yang cukup menarik apabila pertama kali bekerja di bawah bimbingan pengarah terkenal, Murali Abdullah dan produksi Enuja.

Watak Sahara yang bertugas sebagai wartawan dalam telefilem itu menguji kemampuan sebagai pelakon kerana banyak bermain emosi.

"Seronok dapat bekerjasama dengan Murali kerana dia banyak membantu. Selain memberi tunjuk ajar dia juga tahu 'mood' yang diperlukan ketika menjalani penggambaran itu. Cerita itu agak berat kerana banyak bermain emosi.

"Ini pertama kali saya membawa watak wartawan. Sebelum ini, saya hanya mengenali wartawan ketika ditemu bual sejak terbabit dalam bidang seni. Saya tidak tahu imej dan penampilan sebenar wartawan, jadi saya banyak bertanya kepada orang.

"Pada mulanya saya agak gementar dan risau untuk menerima watak berkenaan. Namun saya memberanikan diri untuk menyahut cabaran. Kebetulan pula ketika hari pertama memulakan penggambaran ada beberapa wartawan hadir di lokasi untuk membuat liputan. Saya memerhatikan serta bertanya mengenai gaya dan penampilan wartawan berkenaan," katanya.

Pengalaman berlakon bersama barisan pelakon hebat seperti Rozita Che Wan, Sabrina Ali, Zamarul Hisyam, Rabiatul Balqis dan Bell Ngasri serta kerjasama baik daripada kru produksi yang terbabit memastikan penggambaran berjalan dengan lancar.

Selain watak serius Bea turut membuktikan kemampuan menjayakan watak komedi ketika membintangi beberapa siri komedi antaranya Tan Tun, Biar Betul Bendul dan Pangkin Atuk.

Terbaru Bea dijangka terus menerajui sitkom komedi, Moh Ke Kafe Kita arahan Othman Hafsham yang kini memasuki musim kedua.

Bea membawa watak Melati gadis berbahasa loghat negeri asalnya, Kelantan.
Siri komedi ala Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Sheila Mambo, Maya, Yus Raja Lawak, Pak Lah Cecupak, Lan Zailan, Munir dan Julia Hana.

Tambahnya, pertama kali terbabit dalam penggambaran sitkom yang menjalani penggambaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya turut memberi satu pengalaman baru buatnya.

"Sejak akhir-akhir ini memang banyak tawaran membabitkan cerita komedi. Sebenarnya saya tidak kisah di bayang watak komedi sekali pun.

"Memang saya mahu mencuba pelbagai watak. Buat masa ini saya tidak begitu kisah soal watak yang diberikan. Apa yang lebih penting menceduk pengalaman sebanyak mungkin," katanya.

Jika ada segelintir pelakon yang mengintai peluang dalam bidang nyanyian dengan menerbitkan lagu single selain pengacaraan. Bea pula menolak untuk membabitkan diri dalam salah cabang seni itu.

Sebaliknya memaklumkan dirinya masih belum bersedia dan mahu memantapkan kerjaya lakonan terlebih dulu.

"Sekadar menyanyi secara suka-suka di pusat karaoke bersama rakan-rakan dan menyanyi di rumah itu adalah, tapi kalau hendak menghasilkan album saya rasa tidak layak. Saya memang suka menyanyi tapi secara suka-suka saja.

"Begitu juga pengacaraan, saya pernah menyertai beberapa uji bakat dapat belum bersedia sepenuhnya. Banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi dalam bidang seni. Bukan hanya membabitkan pengacaraan malah bidang lakonan itu sendiri," katanya.

PROFIL

NAMA KOMERSIAL: Bea Rameshan
NAMA PENUH: Rabiatul Balqis Rameshan
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1988
TEMPAT LAHIR: Machang, Kelantan
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Sains Geometrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
KARIER: Pelakon dan model
KOMERSIAL: Nokia
DRAMA/TELEMOVIE: antaranya Tok Ketua, Tan Tun, Biar Betul Bendul, Pangkin Atuk, Surat Cinta, Sutera Sebalik Wajah, Pusaka dan Unjul Nak Jadi Orang, Angelina O Angelina, Moh Ke Kafe Kita (sitkom), Dosa Siapa

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Menghibur hati penghibur

Posted: 25 May 2011 08:16 AM PDT

MENGHIBURKAN orang dengan alunan suaranya yang merdu dilakukan penyanyi Hasnah Haron sejak usia belasan tahun lagi.

Bersama kumpulannya, Les Kafilas, Hasnah yang mula menyanyi di majlis kenduri kahwin dan keramaian kemudian merakamkan album memuatkan lagu Bersedih dan Sabar Menanti pada 1969.

Lagu Bersedih juga menaikkan namanya sebaris dengan penyanyi seangkatan, Allahyarham Datin Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

Malah, ketika bersama suami, M Y Eunos mereka dikenali sebagai Titiek Sandhora dan Mohsin dan sering menyanyikan lagu popular pasangan dari seberang itu, Dunia Belum Kiamat.


Kini, semua itu tinggal kenangan kerana masalah kesihatan dihidapi. Januari 1999 mengubah seluruh hidupnya apabila Hasnah disahkan menghidap kanser pangkal rahim tahap dua dan menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.

Selain kimoterapi dan radioterapi, Hasnah juga mencuba rawatan tradisional.

Bukan saja perlu melawan penyakit paling ditakuti dan belum ada penawarnya itu, malah Hasnah berhadapan pula dengan masalah buah pinggang hingga dinasihatkan doktor supaya membuang rahim dan buah pinggangnya.

Kini, dalam usia 64 tahun, keadaan fizikal penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 itu sangat berbeza kerana badannya kurus disebabkan kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat.

Katanya, sebelum sakit dulu, ada juga undangan menyanyi dijayakan jika lokasinya sesuai, tetapi kini, dia banyak menghabiskan masa di rumah bersama anak dan cucu serta berkumpul dengan kawan-kawan di surau mengaji dan mendengar ceramah agama.

"Mungkin Allah mahu saya berehat menyanyi hingga diberikan penyakit," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Hasnah yang tinggal di Bandar Baru Uda, Johor Bahru dibawa anak sulungnya, Haslinda Mohd Eunos, 39, ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu untuk mendapatkan rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak. Kawan baik Hasnah, Rubiah Suparman memujuknya mencuba rawatan alternatif cara Islam selain rawatan moden.

Kata Haslinda, pelbagai usaha dilakukan sebagai pilihan kerana doktor mahu menjalankan pembedahan buah pinggang Julai ini dan usul kawan baik ibunya itu disambut dengan penuh kesyukuran.

"Ternyata mak mahu datang walaupun terpaksa turun ke Kuala Lumpur kerana minat dengan lakonan Ashraf. Kami sampai pagi Isnin dan terus ke pusat rawatan itu pada tengah hari.

"Kami dimaklumkan ada dua benda dalam badan mak. Pertama, kanser pangkal rahim tahap tiga dan sudah merebak ke paru-paru dan kedua, ada sihir dengan kehadiran 30 jin dalam badannya.

"Ibu dibekalkan surah Al-Mukminin untuk diamalkan setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak dan surah Hud selepas solat Subuh selama enam minggu. Rawatan susulan selepas ini pada 30 Jun nanti dan kami diberi pilihan untuk melakukannya di Singapura di klinik mereka di Woodlands," katanya.

Kata Haslinda, apa yang mampu dilakukan kini ialah membahagiakan dan menggembirakan hati ibu mereka. Dia bersama empat anak-anaknya berpindah ke rumah ibunya di Bandar Baru Uda dan tinggal bersama tiga lagi adik-adiknya, Sharifah Seha Syed Murshed, Syed Mohd Hyekal dan Sharifah Zakiah.

Sementara adik lelakinya, Mohd Luthfi Mohd Eunos yang tinggal di Larkin, sering datang menjenguk ibunya terutama waktu pagi sebelum memulakan kerja.

Haslinda dan Luthfi adalah anak Hasnah bersama suami pertama manakala Seha, Hyekal dan Zakiah anak bersama suami kedua. Kedua-duanya kini sudah tiada apabila Syed Murshed meninggal dunia pada 2003 manakala Mohd Eunos pada 2010.

"Mak tidak ada selera makan dan saya selalu bertanya teringin makan apa dan cuba usahakan masak atau belikan. Saya juga risau melihat mak hanya baring saja dan malas hendak keluar rumah dan cuba galakkan dia melakukan aktiviti ringan di sekitar rumah.

"Saya juga berusaha menggembirakan mak dengan membawanya berjumpa kawan-kawan. Antara kawan baiknya yang sering berkunjung ke rumah ialah mak cik Rubiah yang akan singgah apabila pulang ke Singapura.

"Kesempatan datang ke Kuala Lumpur saya ambil peluang membawanya jalan-jalan dan bertemu saudara dan kawan-kawannya. Hari ini saya terharu melihat ibu gembira apabila bertemu mereka," katanya.

Antara rakan yang datang dalam pertemuan di Restoran Puteri, Sungai Penchala tengah hari Selasa lalu ialah Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan isteri serta Datuk Yusni Hamid.

Pada sebelah pagi, Hasnah berjumpa dengan saudaranya, Siti Hawa Majid dan sebelah petang pula bertemu dengan Bahyah Mahmud (Bam).

Walaupun menghabiskan sebahagian hidupnya dengan menyanyi, Hasnah tidak membenarkan anak-anak mengikut jejaknya menceburi dunia seni.

Haslinda masih ingat lagi, ketika mereka kecil ibunya terpaksa membawa dia dan adiknya ke tempatnya menyanyi. Bagaimanapun, mereka diletakkan dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga selesai ibunya bekerja.

"Dulu saya tidak suka apabila orang kaitkan saya dengan Hasnah Haron, tetapi kini saya bangga menjadi anaknya. Bukan saja mempunyai suara merdu, apa yang paling penting, mak ada prinsip yang dipertahankannya walaupun keluar menyanyi merata tempat.

"Sejak kecil lagi mak selalu tekankan kepada anak-anak supaya menjaga diri dan jangan memalukan keluarga. Itu juga yang dilakukan mak. Saya juga tahu cabaran besar yang harus dilalui mak apabila menjadikan nyanyian sebagai kerjayanya. Kini menjadi tanggungjawab saya menjaga mak dan saya akan cuba mendapatkan rawatan terbaik buatnya.

"Saya harap ada peminat atau kawan-kawan yang sudi menziarah dan berbual dengannya menghiburkan hati mak. Kalau dulu dia menghiburkan orang, kini hatinya perlu dihiburkan. Tapi kebanyakan yang datang lebih kepada ingin menjual produk mereka hingga membuatkan kami serba salah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.