Adsense

Isnin, 16 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Segala-galanya dimiliki

Posted: 15 May 2011 04:23 PM PDT

Hip

pix_gal0
Tubuh langsing, wajah menarik, namun hanya bakat tentukan perjalanan seninya

PAKEJ yang lengkap dari segi bakat, rupa dan penampilan yang menarik adalah cukup sinonim dengan kelayakan seseorang pelakon wanita untuk berjaya di persada seni tanah air.

Hanya masa saja untuk menentukan sejauh mana boleh bertahan di persada hiburan ini.

Nama Izreen Azminda mungkin jarang atau tidak pernah didengar seperti beberapa pelakon popular sedia ada. Namun, percayalah kalau bakatnya digilap dengan baik dan dia sendiri sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan, Izreen boleh menjadi muka baru yang sudah bersedia menggantikan pelakon sekarang pada bila-bila masa sahaja. Dicabar kuruskan badan

IZREEN Azminda, 26, sedar saingan yang wujud di dalam dunia lakonan bukanlah calang-calang, tetapi di atas minat yang menebal, pelakon yang sudah menceburi dunia lakonan sejak empat tahun lalu ini berusaha gigih untuk tampil lebih menarik.

Demi minat yang mendalam di dalam dunia lakonan, gadis ini tekad untuk menurunkan berat badannya yang agak gempal, kerana menurut Izreen, badannya sebegitu rupa membuatkan kurangnya tawaran berlakon yang diterima.

Mengimbas kembali, atas desakan dan kritikan dari pengarah terkenal, Rosyam Nor, yang dianggap sebagai pembakar semangatnya itu, Izreen menguatkan tekadnya untuk mengawal pemakanannya secara serius.
Seperti kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, macam mana nak dapat sagunya. Ternyata usaha gadis ini membuahkan hasil apabila mana kini dia tampil lebih langsing dan menyerlah berbanding dulu.

"Mungkin dulu saya agak berisi dan tampak kasar. Namun sejak 2009, saya sudah mulai kurus serta tampil feminin dan dari situ saya dapat merasai kelainannya dengan lebih banyak watak yang ditawarkan.

"Rosyam Nor adalah insan yang banyak menolong saya dan disebabkan kata-katanya, saya mengambil langkah untuk diet. Katanya, jika saya berjaya menguruskan badan, dia akan mengambil saya berlakon dalam dramanya.

"Ternyata di atas usaha gigih saya, dalam masa setahun lebih, saya berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 12 kilogram, iaitu dari 65 kilogram kepada 53 kilogram. Juga, abang Rosyam mengotakan janjinya dengan mengambil saya berlakon di dalam drama berjudul Isabella.

"Saya mengamalkan pemakanan yang sihat di mana saya mengurangkan pengambilan nasi yang berlebihan dan makan malam dielakkan serta senaman juga tidak dilupakan," katanya yang ditemui di Studio Hip baru-baru ini.

Kesan positif Cikgu Zakiah

MENURUT Izreen lagi, kejayaannya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 menjadi titik mula buatnya menceburi bidang lakonan secara lebih serius.

Namun, melihat pencapaian rakan seangkatan dengannya, Scha Al Yahya yang lebih berjaya darinya, sedikit pun tidak terlintas perasaan cemburu kerana berpendapat rezeki terletak di tangan Tuhan.

Walaupun namanya dikatakan lambat dikenali oleh orang ramai, itu tidak melemahkan semangatnya, malah ia memangkin usahanya supaya lebih kuat bekerja bagi mencapai kejayaan.

Selain itu, sebelum ini gadis kelahiran Kangar, Perlis ini banyak menjayakan watak antagonis dan wataknya di dalam drama bersiri Juvana, sebagai Cikgu Zakiah adalah watak baik pertama baginya sepanjang empat tahun terbabit di dalam dunia lakonan.

Katana, watak Cikgu Zakiah agak sukar untuk dibawa kerana watak berkenaan amat berlainan dengan watak yang pernah dibawanya sebelum ini, namun di atas dorongan dan tunjuk ajar dari keluarga, kawan-kawan serta krew produksi, dia berjaya mengatasi kelemahannya.

"Dan saya juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terbabit, kerana di atas sokongan mereka watak Cikgu Zakiah mendapat banyak komen positif serta drama Juvana juga mendapat rating yang cukup tinggi pada awal tayangan.

"Selain itu, saya lihat ada peningkatan dalam diri saya dari segi lakonan di mana orang ramai sudah mulai mengenali saya secara tidak langsung tawaran lakonan yang diterima juga semakin bertambah. Diakui tahun ini memang murah rezeki saya," ujar Izreen yang lebih menggemari melakonkan watak antagonis ini.

Sepanjang empat tahun terbabit dalam bidang seni, Izreen sudah beraksi dalam beberapa drama antaranya Nenek Kebaya, Gelora Di Hati Sarah 2 serta Samson dan Delaila. Selain itu, dia juga pernah muncul dalam dua filem iaitu Otai dan Nana Tanjung 2.

Ketika ini, Izreen baru saja selesai dengan penggambaran telefilem bersama pengarah Micheal Ang berjudul Mendongak Ke Langit.

Melihat ke hadapan, graduan Jurusan Kewartawanan Malaysian Institute of Integratif Media (MIIM) ini juga tidak mahu hanya bergantung pada karier seninya, Izreen bercita-cita untuk menjalankan perniagaan dengan membuka salon apabila kedudukan ekonominya sudah kukuh.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perjalanan ajaib

Posted: 15 May 2011 04:18 PM PDT

Hip

pix_gal0
Perjuangan empat dekad Sweet Charity dirakam dalam buku

SEPANJANG 40 tahun memperjuangkan muzik, kumpulan rock legenda Sweet Charity tidak pernah terkecuali melalui episod pasang surut dalam perjuangan seni mereka. Sejak ditubuhkan pada 1967, kumpulan yang berasal dari Singapura itu pernah beberapa kali bersilih ganti anggota, tetapi perkara itu tidak pernah menjejaskan kewujudan kumpulan terbabit.

Aktif mengadakan persembahan di tapak pesta sekitar Singapura, Sweet Charity kini hanya tinggal berempat iaitu Ramli Sarip, Rosli Mohalim, Rahman Sarbani dan Ahmad Jaafar Jawahir, setelah Syed Hassan Al Attas dan Masrom Hamid terlebih dulu kembali ke pangkuan Yang Maha Esa.

Biar cuma berempat, mereka terus berjuang demi kelangsungan Sweet Charity. Dedah Ramli Sarip yang mewakili temannya pada majlis pelancaran Buku Bergambar, DVD dan CD eksklusif Konsert Sweet Charity di Esplanade, Singapura pada 2009, lambang perjalanan seni mereka kekal sehingga 40 tahun apabila sentiasa menganggap kesusahan sebagai cabaran. "Kerja seni tidak boleh ada kekecewaan. Saya tidak pernah anggap kepayahan sebagai musibah, sebaliknya kesusahan itu mengajar siapa diri kita. Kesusahan itu juga yang mengajar kami mengenai pengorbanan, pasrah dan membantu kami menjadi lebih yakin.

"Dalam muzik, jika berasa penat, maka berehatlah sekejap. Jangan berhenti kerana kerja seni tidak boleh habis. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berhenti kerana ini saja kerja yang saya rasa sesuai dan tahu," kata Ramli yang ditemui selepas pelancaran buku terbabit.

Buku berjudul Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi itu hanya dicetak kira-kira 3,000 naskhah. Justeru peminat Sweet Charity harus segera mendapatkannya kerana ia tidak akan diulang cetak.

Buku setebal 64 muka itu memuatkan rakaman, catatan serta foto belakang pentas yang unik dijual pada harga RM99.90. Buku terbitan Rasamusic itu ialah hadiah istimewa kumpulan berkenaan buat peminat mereka sempena sambutan empat dekad kumpulan rock & roll.
Ramli yang turut ditemani Rosli berkata, mereka tidak pernah bermimpi akan berada sehingga ke tahap ini, seperti mana yang diluahkan sebagai judul buku itu. Mereka juga tidak pernah merancang Sweet Charity akan hadir dengan buah tangan yang amat bermakna dan boleh dijadikan koleksi peribadi oleh peminat.

"Perjalanan selama 40 tahun cukup mematangkan dan ia satu perjalanan yang ajaib. Kami tidak pernah merancang untuk menghasilkan sebuah buku sehinggalah ia menjadi kenyataan. Mungkin kehadiran buku ini dapat memberi idea kepada artis tempatan lain untuk menghasilkan buku serupa.

"Idea untuk menerbitkan buku ini terbit selepas menjayakan konsert di Singapura, dua tahun lalu. Juriah Banding dari Rasamusic mencadangkan supaya kami menghasilkan buku yang memaparkan perjalanan seni muzik kami. Buku itu tidak perlu panjang tetapi padat. Semua yang terkandung dalam buku ini dipilih oleh Juriah sendiri," kata Ramli.

Bergabung dengan Blues Gang dalam Konsert Raksasa 2

BAGI Ramli, tidak ada yang menggembirakan hati apabila melihat golongan muda masih meminati dan membeli tiket untuk menyaksikan persembahan mereka. Lebih menggembirakan lagi apabila menyaksikan anak muda yang belum lahir ketika kumpulan itu ditubuhkan, mampu mengikut Sweet Charity menyanyi.

Sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk berada sejauh ini. Hanya ungkapan terima kasih mampu diluahkan atas sokongan berterusan daripada peminat. Katanya, kumpulan lama mampu bertahan kerana mereka mempunyai banyak karya yang hendak dipersembahkan.

"Kenapa artis sekarang tidak mampu bertahan dan dikenali generasi muda kerana kebanyakannya berpecah selepas hanya memiliki sebuah album. Mereka tidak mempunyai banyak lagu, itulah sebabnya kenapa artis baru tidak mampu bertahan. Berbeza dengan artis dulu, kebanyakannya memiliki berbelas-belas album dengan puluhan lagu, jadi karya kita terus hidup.

"Ada juga kalangan artis masa kini yang tidak bersedia untuk menjadi artis. Mereka fikir dunia muzik boleh main-main, jadi apabila tidak mampu menerima sepak terajang dunia seni, mereka mengambil keputusan untuk mengalah," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, penyanyi berusia 59 tahun itu akan mengadakan persembahan bertemakan Tenaga, Semangat dan Bunyi di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 19 Jun ini. Pada persembahan selama dua jam itu, dia berjanji akan menyanyikan seberapa banyak lagu tanpa batasan.

Selain itu, Sweet Charity akan kembali bekerjasama dengan kumpulan Blues Gang selepas kali terakhir bergabung kira-kira 28 tahun lalu. Konsert yang diberi nama Konsert Raksasa 2 itu dirancang diadakan pada 9 Julai nanti.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.