Adsense

Rabu, 13 April 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Scha tidak mahu peminat bosan

Posted:

Scha tidak mahu peminat bosan

Scha tidak mahu peminat bosan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN dan DJOHAN SHAHRIN SHAH


SCHA mengharapkan lebih banyak peluang berlakon dengan watak lebih mencabar.


MEMANG sudah menjadi prinsip hidup aktres popular ini tidak akan mencampuradukkan kisah peribadi dengan kerjaya seninya.

Atas alasan itulah, Scha Alyahya akan menolak segala tawaran berlakon mahupun sesi fotografi bersama buah hatinya, aktor dan pengacara kacak, Awal Ashaari.

"Saya tidak mahu masyarakat dan peminat bosan apabila melihat kelibat kami berdua dalam mana-mana drama, filem mahupun gandingan kami untuk majalah dan akhbar.

"Saya harus akui, memang banyak tawaran berlakon yang kami terima, namun kami menolaknya dengan baik. Bukan apa, kalau terlalu kerap muncul, pasti orang akan berasa jelik dan menyampah melihat kami nanti.

"Adalah lebih baik untuk kami mengasingkan diri serta menetapkan batasan antara kerjaya dan peribadi kami," luah Scha penuh jujur.

Juara pertandingan Dewi Remaja 2006 itu berkata demikian pada majlis pengumuman pencarian Carefree Girl Bebaskan Bakatmu yang berlangsung di The Actor's Studio, Lot 10, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas Scha dan Awal digandingkan dalam drama Prebet Jamilah tahun lalu, respons yang diterima cukup menggalakkan dan mereka dilihat sebagai pasangan yang serasi di layar kaca.

Melihat kepada keserasian itu, mereka bakal disatukan kembali dalam drama mini bersiri, Dunia Kita yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Mengulas tentang pemilihan Awal sebagai teraju utama dalam drama itu, Scha memberitahu semuanya di luar bidang kuasanya.

"Jujurnya, saya sendiri tidak tahu tentang pemilihan Awal untuk drama ini sehinggalah diberitahu sendiri olehnya. Malah, Awal juga tidak tahu bahawa saya juga berlakon dalam drama ini.

"Tetapi, apabila keputusan itu dilakukan oleh pihak penaja, saya tidak dapat menolaknya dan perlu menghormatinya," ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sambil tersenyum.

Sudah empat tahun bergelar anak seni, pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini mengakui dia masih belum puas dengan pencapaiannya sebagai seorang aktres.

Cukup dikenali dengan watak Dania dalam drama rantaian, Awan Dania selama tiga musim, Scha mahu meneroka lagi bakat lakonannya dengan pelbagai watak yang mencabar.

Malah, Scha juga cukup sedar akan watak-watak yang diberikan kepadanya setakat ini kebanyakannya tidak banyak lari daripada perwatakan dirinya yang sebenar.

"Tetapi, percayalah, saya sanggup untuk belajar dan mencari kelainan untuk mempelbagaikan lagi watak demi memantapkan portfolio seni saya.

"Dalam erti kata lain, saya bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru dan berharap peluang itu akan datang kepada saya kelak," kata Wajah Eksklusif Astro ini dalam nada optimis.

Sehingga kini, Scha sudah membintangi lima buah filem iaitu Antoo Fighter, Libas, Histeria, Papadom dan Evolusi KL Drift 2.

Antara pencapaian terbaiknya apabila dia dicalonkan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bagi filem Histeria.

Dalam pada itu, Scha juga menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah apabila dapat berlakon di samping pelakon hebat seperti Nasha Aziz dan Hans Isaac.

Bukan itu sahaja, apa yang membuatkan dirinya bangga apabila diberi tunjuk ajar dan berlakon di bawah arahan pengarah hebat antaranya Afdlin Shauki dan James Lee.

Bakat Scha tidak hanya pada bidang lakonan tetapi juga sebagai seorang pengacara apabila pernah mengacarakan program seperti Sehati Berdansa dan Kata Kau!.

"Saya juga mahu terus menjadi pengacara dan meneroka bakat saya dalam bidang ini kerana ia merupakan cabang seni yang cukup saya minati," ujar Scha lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Edry cipta lagu dakwah

Posted:

Edry cipta lagu dakwah

Edry cipta lagu dakwah

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


AKHIL HAYY (kiri) dan Mawi berduet menyanyikan lagu Hambamu.


SELAMA ini Edry Abdul Halim banyak mencipta lagu-lagu nyanyian kumpulan, KRU dan juga artis-artis lain seperti Adam dan Stacy sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai komposer.

Anak ketiga daripada empat beradik ini tidak setakat mencipta lagu-lagu pop semata-mata, sebaliknya dia juga diberi kepercayaan mencipta lagu-lagu yang berkonsepkan ketuhanan.

Menurut Edry, Astro Oasis misalnya menyerahkan tanggungjawab kepadanya mencipta lagu yang berunsurkan ketuhanan berjudul Hambamu sebagai lagu tema program Imam Muda musim kedua.

"Saya galas kepercayaan yang telah diberi oleh Astro Oasis itu. Sebelum mencipta lagu Hambamu saya cari tema yang sesuai. Mulanya saya mahu gunakan tajuk Imam Muda sahaja.

"Tetapi saya cadangkan tajuk dan tema yang lebih meluas dan neutral untuk judul lagu itu. Pada masa sama mesej dan misi program ini yang mahu mencari tokoh imam muda tidak diketepikan.

"Astro Oasis akhirnya setuju dengan pendekatan saya menghasilkan lagu itu kerana skop yang lebih luas pendekatannya," katanya kepada Hits yang ditemui sewaktu rakaman lagu itu baru-baru ini.

Pada pertemuan di KRU Studio di Cyberjaya itu, Mawi dan Akhil Hayy baru sahaja selesai merakamkan lagu Hambamu yang mereka nyanyikan secara duet.

Hambamu yang akan digunakan sebagai lagu tema rancangan realiti televisyen (TV) Imam Muda musim kedua itu juga akan diterbitkan dalam bentuk klip video bagi tujuan promosi.

Jelas Edry, dia mengambil masa tidak sampai dua jam mencipta melodi dan lirik Hambamu itu selepas membuat kajian daripada program Imam Muda musim yang pertama.

"Sebelum mencipta lagu itu, saya telah menonton Imam Muda musim pertama melalui YouTube. Daripada situlah saya dapat idea. Ideanya bersifat global dan juga boleh disiarkan pada bila-bila masa.

"Sebab itu, saya berharap agar lagu itu bukan setakat disiarkan di saluran-saluran radio Astro tetapi juga di rangkaian radio dan TV Media Prima dan RTM demi manfaat bersama.

"Lagu itu bukan setakat berkaitan perjalanan para peserta Imam Muda tetapi ia juga boleh dikaitkan dengan individu-individu muslim yang lain. Lagi ramai yang mendengarnya ia lebih bagus," jelasnya.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pemilihan Edry bagi mencipta lagu tema khas untuk Imam Muda musim kedua berdasarkan bakat dan reputasi Edry.

Ini kerana katanya, bagi menarik perhatian para penonton terutamanya golongan muda, pihaknya mahu menggunakan pendekatan lebih segar dan moden dalam lagu tersebut.

"Sebab itu, kami rasakan Edry adalah komposer yang paling sesuai. Kami tidak mahu lagu berunsurkan ketuhanan yang dijadikan lagu tema Imam Muda ini sama seperti lagu-lagu nasyid lama yang stereotaip.

"Kami mahu mengkontemporarikan lagu itu supaya ia bukan sahaja mudah menarik perhatian golongan muda tetapi juga sesuai dihayati oleh semua lapisan agama dan bangsa," tuturnya.

Sebagai penyanyi lagu Hambamu, Mawi tidak menafikan dia dapat merasakan kelainan lagu itu berbanding lagu-lagu lain yang pernah dinyanyi serta dirakamkan dalam album-albumnya sebelum ini.

Kata juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu, Hambamu bukan sahaja tidak kedengaran seperti sebuah lagu nasyid, tetapi ia juga mampu mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kalau nasyid mungkin orang Arab atau Islam sahaja yang sesuai mendengarnya. Tetapi lagu ini seperti kedengaran macam kontemporari dan ia ke arah world music konsepnya.

"Cuma pada masa sama nilai-nilai keislaman itu ada dalam lirik lagunya. Memang saya rasa lain apatah lagi ini kali pertama saya berduet dengan Akhil Hayy dalam sebuah lagu," katanya.

Sementara itu, Akhil Hayy yang banyak menyanyikan rangkap lagu itu dalam nada tinggi begitu teruja merakamkan lagu yang bakal mendapat siaran meluas itu.

Katanya, lirik lagu itu yang ringkas tetapi padat dengan mesej ketuhanan dan melodinya yang mudah untuk dialunkan tambah menyakinkannya Hambamu mampu menjadi lagu popular.

"Lagu ini mudah untuk dihayati. Saya dan Mawi hanya mengambil masa lebih kurang tiga jam sahaja untuk merakamkannya di studio. Itu satu petanda awal untuk lagu itu popular," ujarnya.

Lagu Hambamu akan disiarkan pada epsiod pertama Imam Muda musim kedua mulai 29 April ini di Astro Oasis pukul 9 malam selain menerusi radio-radio saluran badan penyiaran swasta itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.