Adsense

Isnin, 17 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Doakan kebahagiaan kami

Posted: 16 Jan 2011 07:07 AM PST

KESERASIAN dua hati menemukan jodoh Rabecca Nur Al Islam Ahmad, 25 dengan lelaki pujaan hatinya, Nor Azam Datuk Sulaiman, 43. Pasangan itu selamat diijabkabulkan di kediaman baru pelakon jelita itu di Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang, Jumaat lalu.

Tidak mahu dugaan terus melanda diri, pasangan itu hanya sempat mengikat tali pertunangan tidak sampai sejam sebelum mereka diijabkabulkan. Sebagai simbolik kepada majlis pertunangan itu, ibu Azam menyarungkan gelang tangan emas ke tangan Rabecca.

Menurut Rabecca yang berseri mengenakan persalinan rona putih sentuhan pereka terkenal, Calvin Thoo, mereka sengaja tidak mahu bertunang lama kerana takut mengundang dugaan lebih besar jika melambatkan tarikh pernikahan.

"Jika kami bertunang terlebih dulu, mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan pula untuk mencari tarikh yang sesuai bagi mengadakan majlis pernikahan, kenduri dan persandingan.


"Oleh itu bagi menyegerakan perkara yang baik ini, keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan acara pertunangan pada hari pernikahan saya dan Azam.


"Selain itu juga, memudahkan keluarga dan sanak saudara kami berkumpul. Saya dan Azam mempunyai keluarga yang besar, jadi dengan mengadakan dua acara dalam satu majlis, menyenangkan kedua-dua pihak," katanya.

Pada majlis pernikahan itu, Rabecca menerima mas kahwin sebanyak RM333.33 dan 13 dulang hantaran yang antaranya termasuklah pewangi, beg tangan, kasut, manisan dan buah-buahan.

Rabecca pula membalas 15 dulang hantaran yang berupa kemeja, pewangi, kasut, manisan dan buah-buahan.

Bagaimanapun pelakon jelita yang berasal dari Johor Bharu (JB) itu merahsiakan wang hantarannya. Mengenai angka 3 dalam pemberian mas kahwinnya itu, jelas Rabecca, ia adalah angka kesukaan Azam.

Menyentuh mengenai perancangannya selepas bergelar isteri, jelas Rabecca dia akan meneruskan kerjaya seninya namun pada setiap tawaran yang datang dia perlu meneliti skrip dan watak terlebih dulu.

"Selepas bergelar isteri, saya perlu berhati-hati memilih watak. Meskipun Azam tidak menghalang saya meneruskan kerjaya lakonan tetapi saya kenalah bijak menyeimbangkan tanggungjawab saya sebagai anak seni, isteri dan ibu," katanya.

Rabecca mempunyai seorang anak angkat, Nur Adam Daniel manakala Azam pula duda
anak dua.

Kata Rabecca, dia tidak boleh melupakan terus bidang seni kerana ia sudah sebati dengan dirinya kerana dia mula bergelar pelakon sejak remaja lagi.

"Azam seorang yang sangat memahami dan saya terpikat dengannya pada pandangan pertama kerana sifat kebapaan yang ada pada dirinya.

"Saya suka melihat caranya melayan dua anaknya penuh dengan kasih sayang dan suka memanjakan mereka.

"Keserasian paling ketara dalam diri kami ialah kami sukakan kanak-kanak. Saya sendiri sanggup mengambil anak angkat dan tidak kisah untuk menambah ahli keluarga baru dalam masa terdekat ini.

"Namun begitu, jika Azam seorang yang lembut melayan anak-anak, saya pula seorang yang tegas. Ketegasan itu bukan apa, saya mahu mereka membesar menjadi anak yang baik, menghormati orang lain dan berdisiplin.

"Selepas ini kami lima beranak akan menetap di rumah ini (Sering Ukay). Alhamdulillah, dua anak tiri saya dapat menerima saya dengan baik dan mereka juga dapat menerima Adam seperti adik mereka sendiri.

"Sejak awal lagi saya tahu Azam mempunyai dua anak. Apabila saya mengambil keputusan untuk berkongsi hidup dengannya, maka saya perlu rela berkongsi segala perkara dengannya.

"Saya memang tiada masalah menerima dua anaknya dalam hidup saya kerana saya memang sukakan kanak-kanak. "Oleh kerana mereka sudah besar, saya juga melayan seperti kawan saya. Doakan kebahagiaan kami sekeluarga dan semoga Allah panjangkan jodoh kami sehingga ke akhir hayat," katanya.

Walaupun pertunangan dan pernikahan diadakan hari sama, menariknya, majlis persandingan berlangsung dua hari di Hotel Flamingo, Ampang pada Sabtu dan Menara Kuala Lumpur (Ahad).

Kata Rebecca, dia dan suami sangat mengutamakan keluarga di mana mereka juga mempunyai keluarga yang besar. Jadi, mereka mahu meraikan semua yang hadir dalam suasana serba selesa.

"Selain meraikan hari berbahagia kami, majlis kenduri dan persandingan ini juga sebagai hari perhimpunan keluarga. Bukan senang dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini.

"Semua kaum keluarga dan sanak saudara Azam dari Kuching, Sarawak datang ke Kuala Lumpur. Sanak saudara saya dari JB juga turun beramai-ramai bagi menyaksikan pernikahan dan persandingan kami. Jadi biarlah majlis yang diadakan ini meninggalkan memori yang indah untuk mereka semua.

"Majlis resepsi di Hotel Flamingo mengumpulkan semua sanak saudara dari kedua-dua belah keluarga manakala di Menara Kuala Lumpur pula khusus untuk mereka yang rapat dan banyak membantu saya selama ini," katanya.

Tema persandingan di Hotel Flamingo berkonsepkan tradisional Melayu di mana pasangan pengantin menggayakan busana rekaan Jovian Mandagie. Manakala majlis di Menara Kuala Lumpur pula lebih santai dan relaks bertemakan Inggeris.

Azam yang lebih banyak mendengar isteri tercinta berbicara berkata, dia tidak bercadang untuk menyekat minat Rabecca dalam bidang seni kerana ketika dia mengenali isterinya itu, dia sudah berlakon.

"Saya yakin pada usia 25 tahun, Rabecca sudah cukup matang untuk memilih apa yang terbaik untuk dirinya dan keluarga yang baru dibinanya ini.

"Pun begitu, saya lebih suka menyokongnya dari belakang dan mungkin akan muncul bersamanya pada ketika tertentu saja," katanya.

Pasangan raja sehari itu akan berbulan madu di Kota London dan Paris, selama dua minggu, pada 14 Februari ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wajah, gaya seiras

Posted: 16 Jan 2011 06:58 AM PST

SELEPAS meraih pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara, kartun popular Kampung Boy karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat ke pentas teater pula dan vokalis Wings, Awie dipilih sebagai watak utama kerana dikatakan ada persamaan dengan kartunis ternama itu.

Apakah persamaan antara Awie dan Lat yang melayakkan pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu dipilih? Malah, adakah pemilihan Awie kerana dia 'bintang kesayangan' Mamat Khalid yang juga adik Lat?

Ternyata ia bukanlah seperti disangka kerana Awie ada alasannya. Ditemui pada sidang media Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) di Istana Budaya, Khamis lalu, Awie berkata sebab kukuh mengapa dia dipilih untuk melakonkan watak Lat itu kerana iras wajah dan gayanya ada persamaan dengan kartunis berkenaan ketika muda.

Katanya, dia tak pernah menduga bahawa Lat pada usia beliau 30-an, seorang lelaki yang menggayakan imej rocker dengan rambut panjang kerana minat pada muzik 'blues'. Kata Awie, gambar Lat ketika muda itu membantunya membuat keputusan untuk terima tawaran diberi.


"Saya menerima tawaran ini daripada Tall Order Productions Sdn Bhd selaku penerbit pada Oktober 2010. Ini kerana, teater ini dirancang pementasannya di IB pada Disember lalu. Namun, saya menolaknya kerana sibuk dengan persediaan untuk Konsert Double Trouble Wings-Search.


"Bagaimanapun, pihak produksi masih inginkan saya dan mereka sanggup menunggu semuanya selesai. Syukur, saya ada kelapangan pada Mac hingga awal April depan. Namun, saya tetap berdebar untuk sesi latihan kerana Lat adalah watak besar dan ikon kartunis negara.

"Banyak persediaan harus saya buat terutama untuk memahami karakter sebenar watak utama. Ia meliputi aspek cara beliau bercakap, berjalan dan sebagainya untuk memastikan penonton terhibur. Bagi saya, satu cabaran berat kerana melakonkan watak individu masih hidup.

"Ia tak boleh diambil ringan dan sebagai pelakon saya perlu banyak membuat penyelidikan. Justeru, memandangkan Lat menetap di Ipoh dan saya di Kuala Lumpur, calon tepat yang boleh membantu saya adalah Mamat. Ini kerana antara Lat dan Mamat saling tak tumpah," katanya.

Menurut Awie, sebelum kata putus diambilnya untuk menyertai teater muzikal LKBSM itu dia ada berbincang dan meminta pandangan Mamat. Beliau (Mamat), tidak membantah sebaliknya memberi sokongan. Justeru, ia satu penghormatan besar untuk dirinya.

Dipentaskan di Panggung Sari, IB bermula 16 Mac hingga 3 April depan, LKBSM dijangka berlangsung lebih dua jam. Malah ia membariskan pelakon lain seperti Atilia sebagai Faizah, isteri Lat, Jalil Hamid (Bapa Lat), Datuk Rahim Razali (Pak Samad), Douglas Lim (Franky, kawan baik Lat) dan Sandra Sodhi sebagai Mrs Hiew.

Apapun, Awie berkata, bagi memastikannya mampu merealisasikan watak Lat dengan baik, dia akan mengkaji komik dihasilkan kartunis itu termasuk belajar melukis. Menurut Awie, turut dimuatkan nanti babak dia melukis seperti Lat dan untuk itu ambil kursus latihan.

Selain Tall Order, penerbit bersama teater LKBSM ini ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu turut diakui menelan belanja yang tinggi kerana penggunaan teknik kesan khas.

Penerbit merangkap pengarah bersama teater LKBSM, Hans Isaac berkata, pementasan teater itu juga bersempena ulang tahun kelahiran Lat ke- 60 pada 5 Mac ini. Sehubungan itu, selain Hans, pastinya Harith Iskander juga adalah pengarah yang memikul tanggungjawab sama.

"Ia cabaran besar buat saya dan harus dibuktikan. Sebagai antara individu yang terbabit dalam industri kreatif tanah air, saya harus sentiasa bersedia. Oleh itu, bagi menyiapkan skrip ini dan mengenali Lat lebih dekat, saya dan Harith 'berkampung' di Ipoh.

"Beberapa hari di Ipoh, kami berulang-alik setiap hari dari hotel ke rumah Lat untuk mengumpulkan pelbagai maklumat penting mengenai beliau. Selepas itu, Harith membuat skrip dan ia dirujuk kepada penggiat seni lain seperti Mamat dan Adlin Aman Ramlie," katanya.

Selepas dinilai, dikaji dan diteliti, Hans berkata, skrip ditulis itu terpaksa dirombak semula sebanyak 15 kali, semata-mata untuk memantapkan lagi pementasan teater ini nanti. Malah, sebanyak 10 lagu akan diperdengarkan sepanjang pementasan itu berlangsung.

Penggunaan teknikal baru akan dimasukkan dalam teater ini untuk menghasilkan kesan bunyi khas yang mantap serta visual yang dilihat seperti sebuah teater animasi. Ia memang sukar tetapi harus diketengahkan untuk melihat hasilnya.

Lat yang hadir sama di majlis itu, berkata, beliau menyerahkan 100 peratus kepercayaan kepada pasukan produksi terbabit untuk merealisasikan teater LKBSM untuk tatapan penonton. Katanya, beliau hanya berkemahiran melukis kartun dan bukan pada industri kreatif.

"Saya takkan mengganggu (pihak produksi) atau mengkritik hasil kerja mereka. Bagi saya, mereka lebih pakar dan tahu selok-belok pementasan teater.
Bagaimanapun, saya sentiasa bersedia membantu memberi pendapat sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan.

"Malah, sebagai pelukis kartun saya juga sedar betapa geramnya apabila lukisan dibuat dipertikai dan menjadi persoalan orang. Idea kreatif setiap individu berbeza dan saya harus akur. Kini, apa yang saya harapkan pementasan ini meraih kejayaan.

"Ditambah lagi, ini ada penghormatan besar bagi kartunis seperti saya. Jika sebelum ini IB banyak mementaskan teater untuk mengiktiraf jasa pemimpin negara dan seniman tanah air, sekarang ruang dibuka untuk bidang seni kartun pula. Ia sangat membanggakan," katanya.

Menyentuh mengenai Awie yang dipilih untuk karakter beliau, Lat berkata dia calon paling tepat dan difikirkan layak.

Jadi, beliau bersetuju dan menghormatinya. Katanya, Awie juga seorang pelakon berbakat dan beliau yakin dengan kemampuannya.

Untuk menyaksikan pementasan LKBSM, tiket dijual pada harga dari RM30 hingga RM230 dan boleh didapati di laman web Ticket2u.biz.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.