Adsense

Khamis, 30 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Hala tuju baru Ning Baizura

Posted: 29 Dec 2010 06:34 AM PST

KE mana agaknya Ning Baizura Hamzah menghilang? Lama sudah peminat tidak menyaksikan Ning beraksi di pentas seperti mana yang kerap dilakukannya beberapa tahun lalu dalam pelbagai majlis anugerah dan konsert yang gah.

Itu antara pertanyaan kerap diajukan peminat terhadap penyanyi pop soprano Malaysia itu sejak beberapa tahun lalu melalui laman sosial Facebook (fb), twitter, Myspace, YouTube dan e-mel.

Tidak selamanya mahu menyepi, kerinduan buat Ning akan terubat apabila dia kembali menerusi sebuah showcase berupa konsert mini di Celebrities Club di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Bermakna ia bagi memeriahkan acara sambutan tahun baru 2011 khususnya bagi warga kota.


Untuk persembahan terbaru itu, Ning akan menyampaikan koleksi lagu popularnya termasuk dendangan dari album terbarunya, Dewa.

Persembahan Ning akan berlangsung selama satu setengah jam, diiringi 'live band' profesional bermula jam 10 malam.

Sejak kali terakhir menghasilkan album Erti Pertemuan pada 2004, Ning seolah-olah menyepi diri. Apakah benar Ning sudah mengalah kepada artis baru?

"Saya belum mengalah dan belum terlintas nak bersara. Selama berdiam diri daripada sebarang publisiti besar, saya masih menyanyi dalam persembahan tertutup dan undangan korporat di merata tempat.

"Malah, bagi warga kota KL, mereka tahu saya juga ada menjayakan teater muzikal Shout! di Matic, beberapa bulan lalu. Cuma untuk acara di kaca TV, saya agak kurang muncul sebab sibuk dengan pembikinan lagu di studio.


"Saya juga terbabit dengan kerja selam skuba di pantai timur tajaan syarikat korporat. Kami bertungkus-lumus membersihkan pantai yang tercemar dengan sisa bahan buangan. Semuanya bertujuan memelihara hidupan marin yang kian terancam," kata Ning.


Bercakap mengenai album Dewa, Ning berkata ia akan dipasarkan ke seluruh Malaysia bulan depan.

"Dalam bahasa Sanskrit, dewa bermaksud cahaya. Ia akan menterjemahkan hala tuju baru saya sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan penghibur.

"Album baru ini saya terbitkan sendiri bersama Audi Mok. Dewa lahir menerusi gabungan syarikat kami, Happenings dan Satu Entertainment.


"Dewa menampilkan lapan lagu berkonsep balada, pop, elektro dan tarian termasuk dua single utama, Mama Papa dan Raksasa yang sudah mula dimainkan di radio tempatan," katanya.

Bercakap mengenai teras album baru yang lebih dekat dengan masyarakat urban, Ning berkata, Dewa tidak mempunyai konsep tertentu sekalipun menampilkan lagu rancak elektro dan tarian.


"Masih ada lagu balada kerana itu juga kekuatan diri saya. Saya mahu peminat merasai frasa perubahan hidup saya. Saya tak pernah berasa seronok seperti sekarang.


"Buat masa ini, saya bersyukur dengan kehidupan sekarang. Mendapat sokongan suami, dua anak tiri perempuan berusia sembilan dan 10 tahun yang saya akan jenguk tiga kali setahun di England membuatkan saya rasa bahagia dan berharap dapat menimang cahaya mata sendiri satu hari kelak.

"Paling penting, penghasilan album terbaru ini adalah selepas enam tahun sejak Erti Pertemuan pada 2004.

"Ia bersifat peribadi untuk dikongsi dengan peminat saya. Pendengar akan dapat melihat karakter Ning lebih segar dan ceria, seolah-olah bintang baru yang tersenyum puas selepas menjuarai sesebuah program realiti TV.


"Pemilihan Audi Mok selaku produser bersama dan komposer sepenuhnya dibuat atas dasar persahabatan, kepercayaan dan kualiti kerjanya yang sudah lama terbukti.

"Malah, saya turut menulis lagu berjudul Propagandamu bagi dimuatkan dalam Dewa," jelas Ning.


Sempena kelahiran album solo itu, Ning yang berkemampuan menyanyi dalam tujuh bahasa sedang merancang konsert jelajah seluruh Malaysia.


"Konsert berkenaan akan diakhiri di Istana Budaya sempena Festival Muzik KL 2011 pada tahun depan. Saya harap peminat setia dan baru dapat menerima kehadiran album Dewa dengan hati terbuka.

"Untuk persembahan pada 31 Disember ini, saya akan menyanyikan beberapa lagu baru yang dipetik dari Dewa. Saya memang rindukan semua peminat dan bagi yang berada di sekitar Lembah Klang, jangan lupa datang ke Solaris malam tahun baru nanti," katanya.


Tiket konsert mini Ning di Mont Solaris boleh didapati pada harga RM100 seorang termasuk minuman pertama.

>Profil
NAMA PENUH: Ning Baizura Sheikh Hamzah
PANGGILAN: Ning
TARIKH LAHIR: 28 Jun 1975
UMUR: 35 Tahun
ASAL: Kajang, Selangor
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Omar Sharif Christopher Layton Delton
ALBUM: Dekat Padamu (1993), Ning (1994), Teguh (1995), Ke Sayup Bintang (1997), Always (1997), Pujaan Ku (1999), Natural Woman (2001- AMS Records,Japan), Selagi Ada (2003), Erti Pertemuan (2004), * 2006 - 3113 (Greatest Hits - 2006) dan East To West (2008)
FILEM: Gemilang, Maria Mariana 2, Bara, Mimpi Moon, Malaikat Di Jendela, Azura 2003 (Telemovie), Lady Boss, Diva, Muallaf dan Magika
TEATER: The Storyteller dan Shout! The Mod Musical

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Finas beri penjelasan

Posted: 29 Dec 2010 06:20 AM PST

LUAHAN hati produser Pengedaran J.A.S Sdn Bhd, Raja Azmi Raja Sulaiman mengenai nasib filem terbarunya, ... Dalam Botol yang disiarkan melalui ruangan Karpet Merah pada Sabtu lalu mendapat reaksi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Melalui kenyataan akhbar yang dihantar Isnin lalu, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abdul Aziz menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku untuk mengelakkan timbul kekeliruan apabila Finas dikatakan berkira sangat hingga menangguhkan tarikh tayangan filem berkenaan.


Katanya, Finas berbuat demikian apabila Pengedaran J.A.S yang menerbitkan filem ... Dalam Botol masih tidak menjelaskan baki kos khidmat sewaan kemudahan Studio Digital Mix Stage dan pusat pasca produksi Finaspost berjumlah RM96,173.

"Walaupun begitu, Finas memahami kesulitan produser berkenaan hingga mencadangkan supaya sebahagian baki hutang itu dibayar oleh syarikat dan bakinya dijelaskan menerusi kutipan filem. "Ekoran itu, Jawatankuasa Skim Wajib Tayang (SWT) menerima surat dari Metrowealth Pictures Sdn Bhd bertarikh 6 Disember lalu menyatakan persetujuan untuk menjelaskan baki sewaan berkenaan selaku pengedar filem ... Dalam Botol. Metrowealth juga bersetuju melunaskan 30 peratus dari jumlah keseluruhan iaitu sebanyak RM28,911.90 dalam masa terdekat. "Finas ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk membantu pihak industri tanpa sebarang prejudis atau diskriminasi. "Di atas sifat itu, kerja-kerja produksi filem ... Dalam Botol dilaksanakan tanpa mengambil wang deposit. Malah, kadar sewaan kemudahan dikenakan pada kadar yang amat munasabah. "Berdasarkan kontrak sewaan kemudahan, produk akhir tidak boleh dikeluarkan sehingga semua pembayaran berkaitan dijelaskan. "Finas hanya membenarkan sampel digunakan sebagai penilaian untuk kegunaan Pengedaran J.A.S. Sebarang tindakan yang bertentangan adalah dianggap melanggar kontrak sewaan," katanya.


Jelas Fazli, bagi membantu filem ... Dalam Botol, Jawatankuasa Syarat Wajib tayang juga menimbang dan bersetuju untuk menetapkan tarikh slot tayangannya pada 24 Mac.


"Pengedaran J.A.S berpeluang untuk menjelaskan baki bayaran sewaan dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh Wajib Tayang berkenaan. Oleh itu, dalam perkara ini Finas sentiasa memberi keutamaan dalam hal-hal berkaitan kepentingan industri perfileman negara. "Diharap dengan penjelasan ini memberi kefahaman yang lebih jelas serta dapat mengelakkan kekeliruan di kalangan pembaca dan kalangan karyawan seni berhubung isu berkenaan," katanya.

Ruangan Karpet Merah Sabtu lalu melaporkan rasa terkilan Raja Azmi dengan nasib menimpa .... Dalam Botol apabila Jawatankuasa Syarat Wajib menangguhkan tarikh tayangannya disebabkan dia masih berhutang.


Pada awalnya, tarikh tayangan filem itu ditetapkan pada 10 Februari, tetapi kini tayangannya ditangguhkan ke satu tarikh lain, sehinggalah Raja Azmi melangsaikan baki hutangnya terlebih dulu.

Akui Raja Azmi, dia sedar selama ini Finas bukan tidak membantunya, tetapi dalam masalah ini, dia tergamam dengan surat yang diterimanya dari Finas memintanya menjelaskan dulu segala-galanya, seolah-olah tiada langsung pertimbangan, belas kasihan dan kompromi untuk membantu produser kecil (berjiwa besar) sepertinya.


"Dengan adanya kemudahan Mixstage Studio di Finas, saya ingat ia akan dapat meringankan beban produser persendirian seperti saya. Memang kita tidak payah lagi ke luar negara sebab semuanya boleh dibuat di Finas seperti sewa kamera, suntingan, adunan akhir dan kine transfer.


"Saya bukannya mahu minta percuma. Tidak. Ini kerana saya mahu bayar selepas mendapat kutipan daripada tayangan ... Dalam Botol nanti. Kalau terlalu berkira dengan produser, lebih baik saya hantar saja filem saya itu untuk diproses di luar negara. Di sinilah peranan Finas untuk membantu produser tempatan yang mahu menggerakkan industri perfileman Malaysia," beliau dipetik sebagai berkata.


Kata Raja Azmi, dia akhirnya terpaksa meminta bantuan rakannya, David Teo dari Metrowealth untuk membantu memberikan wang pendahuluan membayar beberapa peratus daripada jumlah RM96,000 itu kerana MIG yang akan memasarkan filem itu.


Dengan tarikh baru ... Dalam Botol pada 24 Mac, bermakna filem kontroversi mengenai konflik dialami lelaki yang menukar jantina, jatuh cinta dengan wanita ini, berhadapan risiko apabila satu filem ditayangkan selang seminggu bermula Mac tahun depan bagi mengatasi masalah lambakan filem yang menanti tayangan.


Untuk Januari, dua filem ditayangkan selang dua minggu sebagaimana biasa bermula Khurafat pada 13 Januari diikuti Haq (27 Januari) manakala Februari pula, Sini Ada Hantu pada 10 Februari dan Kembar Siang (24 Februari).


Filem yang sudah ditetapkan tarikh tayangannya sepanjang Mac ialah Hikayat Merong Mahawangsa pada 10 Mac, Ratu The Movie (17 Mac), ... Dalam Botol (24 Mac) dan Cun (31 Mac).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.