Adsense

Selasa, 14 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tercapai impian

Posted: 13 Dec 2010 02:45 PM PST

Hip

Menghadapi pelbagai dugaan, Ernie lega tiga lagunya sudah disiarkan di radio

BEBERAPA kali Nur Ernie Shahirah Zakri, 18, diduga dengan pelbagai halangan dalam perjalanan mencipta nama sebagai penyanyi. Namun, gadis genit yang dilahirkan daripada program Bintang RTM 2009 ini tidak pernah kenal erti putus asa.

Sebaik selesai pertandingan Bintang RTM, anak jati Kuala Lumpur ini perlu menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas itu, dia dikehendaki mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Selesai latihan selama tiga bulan, Ernie menerima pula tawaran melanjutkan pengajian Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Biarpun sudah bergelar pelajar, juara Bintang RTM ini nekad untuk meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi. Dugaan bagaimanapun sekali lagi menimpa apabila proses menyiapkan dua lagi lagu untuk dimuatkan dalam albumnya tergendala gara-gara kebakaran studio milik Alfa Booty Kesuma pada Syawal kedua yang lalu.

Mujur dua lagu berkenaan masih belum sempat dirakamkan menyebabkan syarikat rakaman yang menaungi Ernie iaitu Fantasia Music City (FMC) mencari lagu ganti, untuk dimuatkan dalam album sulung bakat baru ini.

"Memang banyak halangan dalam perjalanan awal untuk mencipta nama sebagai penyanyi. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat saya. Sekali sudah memulakan langkah dalam bidang ini, saya tak menoleh ke belakang. Saya perlu melipatgandakan lagi usaha.

"Saya beruntung berada di bawah FMC, yang sentiasa berusaha keras demi kerjaya saya. Kalau bergerak sendirian, mungkin tidak berada pada tahap ini," kata Ernie yang tidak berhasrat menangguhkan pengajian semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada nyanyian.
Kata gadis yang berkebolehan bermain biola ini, dua bidang yang diceburi dan dipelajarinya masih perkara yang sama. Justeru, dia berasakan tidak perlu menangguhkan pengajian hanya disebabkan nyanyian.

"Setakat ini belum terfikir lagi apa yang bakal mendatang kepada kerjaya nyanyian. Lagi pun, apa yang saya belajar ketika ini dan kerjaya yang saya ceburi ialah dua perkara yang sama. Karier nyanyian saya tidak mengganggu tumpuan pada pelajaran.

"Syarikat rakaman juga tidak terlalu mengikat pergerakan saya. Mereka memberi kebebasan kerana memahami status saya sebagai pelajar. Senanglah sedikit untuk saya membahagikan masa. Jadi saya tidaklah terfikir menangguhkan pengajian semata-mata nak menyanyi," katanya.

Mengimbau rentetan pembabitannya dalam bidang nyanyian, bakat gadis yang mula menyanyi seawal usia lima tahun ini dicungkil daripada pertandingan Bintang RTM.

Ketika itu, hanya Bintang RTM saja yang membuka penyertaan kepada peserta dari umur 17 tahun ke atas. Pertandingan nyanyian lain rata-rata hanya menerima peserta berusia 18 tahun, menyebabkan Ernie memilih untuk mencuba nasib dalam pertandingan anjuran RTM.

Katanya, dia tidak meletakkan harapan tinggi supaya diterima menyertai pertandingan yang pernah melahirkan nama hebat seperti Allahyarham Datuk Sudirman, Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza.

Ketika masih bersaing dalam pertandingan berkenaan, bakat Ernie diintai FMC, yang terus menghulurkan lamaran. Saat itu, Ernie berada pada peringkat separuh akhir.

Bersama FMC, Ernie sudah memiliki lagu Mahu Ingin Bercinta, Bicara Cinta dan Rindu Bukan Teman. Ketiga-tiga lagu itu kini sudah disiarkan radio terutama di stesen radio milik RTM. Bagaimanapun, Ernie kini berusaha untuk turut mempromosikan lagu-lagunya di stesen radio swasta dan sebahagiannya sudah mula menyiarkan lagu terbabit.

"Setakat ini saya bersyukur dengan perjalanan karier ini walaupun pada awalnya ada yang bertanya, siapa Ernie? Pada awal-awal dulu, ramai juga yang mempertikaikan kemunculan saya dalam bidang ini. Tapi kini alhamdulillah, kehadiran saya perlahan-lahan diterima oleh masyarakat," kata Ernie.

Profil: Nur Ernie
Nama: Nur Ernie Shahirah Zakri
Umur: 18 tahun
Asal: Bangsar, Kuala Lumpur
Adik Beradik: Bongsu daripada dua beradik
Pendidikan: Sedang mengikuti pengajian Diploma Seni Muzik, UiTM.

Solekan: Deq Sha
Pakaian: Hazril Hisyam (0122505660).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Nota kembara Ian Wright

Posted: 13 Dec 2010 02:18 PM PST

Hip

pix_gal0
Pengacara popular berada di ibu kota promosi program terbaru

BENTANGKAN peta dunia di depan lelaki ini, jika tidak semua, mungkin separuh negara yang tercatat di atas peta itu pernah dikunjunginya. Tidak semua orang diberi peluang seperti itu, namun tugas yang disandangnya membuatkan peluang untuk dia mengembara atau menjelajah ke negara lain luas terbentang.

Sebagai pengacara program bercorak pengembaraan di kaca televisyen seperti Globe Trekker dan Lonely Planet, Ian Wright kini sudah boleh tersenyum puas kerana banyak lokasi menarik di dunia termasuk gunung, sudah pun berjaya ditaklukinya. Pengalaman itulah yang dikongsi anak kelahiran Suffolk, England ini untuk tatapan penggemarnya di kaca TV. Jika selama ini, keramahan, kenakalan dan sifat mudah mesranya itu hanya di tonton di layar kaca, kini figura terkenal ini berada di depan mata. Apa yang boleh disimpulkan, tiada beza perwatakan sebenar Wright, baik di kaca TV ataupun ketika kami bertentang mata. Unsur humor dan sifat suka mengusiknya itu tetap ditonjolkannya sepanjang temu bual ini berlangsung.

Selepas dua dekad berada dalam industri penyiaran, Wright bukan saja menghimpunkan pengalaman menarik ketika berkunjung ke negara orang tetapi dia juga berjaya mengumpul peminatnya sendiri. Justeru, tidakkah dia pernah terfikir untuk menghasilkan sebuah buku yang boleh dijadikan hadiah untuk semua peminatnya?

"Perkara itu memang sudah lama saya impikan. Setiap kali saya mengembara, saya akan pastikan saya membawa sebuah buku nota yang membolehkan saya mencatat semua perkara yang berlaku sepanjang pengembaraan saya. Apa saja maklumat yang saya peroleh, yang mampu dikongsikan, akan saya tulis di dalamnya.

"Mungkin pada tahun hadapan, saya akan mula menulis. Namun, entah bila ia boleh siap, saya sendiri kurang pasti. Apapun saya berjanji kepada semua yang buku itu akan dihasilkan secepat mungkin," kata Wright yang sehingga kini sudah menyimpan berkotak-kotak buku nota yang digunakannya sepanjang pengembaraannya.
Lazimnya, apabila sudah berada di negara orang, tentunya aktiviti membeli-belah termasuk dalam senarai yang harus dilakukan. Wright tidak terkecuali dalam hal itu.

"Oh! Saya memang seorang yang suka membeli-belah. Selalunya tempat yang saya kunjungi ialah kawasan pasar malam kerana barang yang dijual memang murah. Saya bukanlah seorang yang cerewet ataupun terlalu mementingkan jenama. Kadang-kadang barangan tiruan juga saya beli, asalkan ia kelihatan cantik.

"Saya juga sudah membelikan beberapa barangan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya sempena Krismas nanti," kata personaliti berusia 45 tahun ini disertai dengan ketawa panjang.

Belum mahu bersara

BERDEPAN dengan pelbagai cabaran, terpaksa berjauhan dengan keluarga ialah antara situasi yang terpaksa dihadapi oleh Wright sepanjang bergelar pengacara program pengembaraan. Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini, tertanya-tanya juga, tidakkah terdetik dalam hati lelaki ini untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia berkenaan.

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Wright berkata, dia akan terus menjadi pengacara kerana itulah jiwanya dan ia sudah sebati dengan dirinya.

"Saya akan terus berada dalam bidang ini selagi ada permintaan daripada mereka yang mahu menonton rancangan saya. Secara jujur, pengacaraan memang sebati dalam jiwa saya dan saya sendiri sukar meramalkan bilakah saya akan bersara. Inilah jalan saya pilih sejak dulu jadi saya harus meneruskannya.

"Dalam hal ini, saya amat bertuah dan bangga kerana memiliki keluarga yang cukup memahami biarpun keadaan memerlukan saya berjauhan daripada mereka," kata Wright yang tidak pernah bosan dengan kerjayanya.

Wright hadir ke ibu negara bagi mempromosikan program terbarunya yang bertajuk Invite Mr Wright yang akan disiarkan saluran TLC (Astro 707, jam 9 malam) mulai hari ini. Dalam program itu, Wright diundang sebagai tetamu oleh seorang selebriti yang cukup popular di sesebuah negara dikunjunginya. Antara negara yang dilawati termasuklah India, Singapura, Sri Lanka, Sepanyol dan Malaysia.

Info Program Invite Mr Wright
India (14 Disember)
Singapura (21 Disember)
Sri Lanka (28 Disember)
Sepanyol (4 Januari)
Jepan (11 Januari)
Malaysia (18 Januari).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.