Kosmo Online - Hiburan |
Perkahwinan direstui bekas kekasih Posted: Perkahwinan direstui bekas kekasih"APA yang ingin saya tegaskan, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya itu semuanya tidak benar sama sekali. "Saya bukannya punca terhadap masalah keretakan rumah tangga mereka seperti yang didakwa!" Jika sekali dengar ucapan bernada tegas itu seperti dilontarkan daripada individu yang dituduh mengganggu rumah tangga orang lain, yang pada kebiasaannya dikatakan ada hubungan dengan salah seorang daripada pasangan suami isteri yang mengalami keretakan rumah tangga tersebut. Namun, dalam kes pelakon jelita, Ayu Raudah yang melontarkan kenyataan itu kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran program-program Astro Warna di Cathay Cineplex, The Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia ternyata agak unik. Dia sebelum ini didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak - suami kepada aktres Rita Rudaini. Sedangkan pada masa yang sama, Ayu ketika itu serius menjalinkan percintaan dengan adik kembar Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak. Sebenarnya, Ayu bukan dituduh sebagai perampas suami Rita, tetapi gosip sebelum ini bertiup kencang mendakwa Ayu menjadi penyebar fitnah tentang rumah tangga Aidil dan Rita. Malah, sebuah akhbar sebelum ini pernah melaporkan kenyataan yang agak 'menggegarkan' daripada Rita yang berbunyi: "Saya tidak pernah mengenalinya secara rapat. Saya hanya bertemunya hanya sekali, ketika Ayu (Raudah) menjadi pelakon tambahan dalam drama Rafflesia.
"Itupun bekas kekasihnya, Pekin yang memperkenalkannya. Saya tidak tahu apa yang menyebabkannya cemburu, sakit hati dan sanggup menyebarkan fitnah. Kalau pasal saya ada hubungan dengan bakal suaminya, Mohd Zaquan Adha, itu cerita lama." Tidak mahu memanjangkan sengketa mulut antaranya dengan bakal kakak iparnya itu, Ayu enggan memberi sebarang komen mengenai Rita kerana bimbang akan disalah erti oleh pihak yang lain. "Kalau boleh saya memang tidak mahu dan akan elak untuk memberi sebarang komen mengenainya. Saya tidak mahu apa yang dinyatakan nanti akan disalahertikan oleh pihak lain," ujarnya. Pada majlis yang sama Ayu juga memberitahu, dia sah menjadi tunangan Zaquan pada 17 Oktober yang lalu. Bagaimanapun, kisah yang kurang menarik didengar adalah tindakan Ayu yang dikatakan telah cuba merahsiakan majlis pertunangannya daripada pengetahuan ramai. Namun, pelakon berkenaan mempunyai jawapannya sendiri mengenai perkara tersebut. "Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kepada semua peminat tentang majlis pertunangan saya yang dilangsungkan pada bulan lalu. Terus terang ingin saya nyatakan memang tiada niat langsung untuk merahsiakannya. "Semuanya terjadi hanyalah secara kebetulan. Ketika itu keluarga Zaquan hanya datang untuk merisik dan setelah perbincangan dibuat, kedua-dua belah pihak bersetuju agar kami berdua terus bertunang pada hari tersebut," ujar pelakon yang sudah membintangi puluhan drama tempatan itu. Dengan kenyataan yang dibuat, dia sangat berharap agar segala persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum ini telah terjawab dengan jawapan yang diberikannya itu. Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan majlis perkahwinannya setakat ini, Ayu memberitahu bahawa kesemuanya berjalan dengan lancar. Ujarnya, dia berasa lega kerana segala persiapan banyak diuruskan oleh kakaknya sendiri. Mengenai tarikh pernikahannya pula, ujar Ayu, pada asalnya dia dan Zaquan telah merancang untuk melangsungkannya pada tanggal 1 Januari 2011. Namun atas sebab-sebab tertentu, akhirnya mereka telah mencapai kata sepakat untuk memilih tarikh pernikahan pada 21 Januari tahun depan dan dipersetujui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
"Majlis pernikahan akan diadakan di kampung halaman saya di Alor Setar dan majlis persandingan pula akan berlangsung pada malam hari pernikahan. Majlis di pihak Zaquan pula akan berlangsung seminggu selepas itu di Seremban. "Malah, baru-baru ini juga saya mendapat berita yang cukup menggembirakan apabila ada beberapa pihak yang sudi untuk menaja persiapan perkahwinan saya nanti," ujarnya. Menyentuh mengenai persediaan untuk menjadi seorang isteri pula, ketika ini Ayu sedang cuba untuk belajar memasak terutamanya lauk-pauk yang menjadi kegemaran Zaquan. Menurutnya lagi, Zaquan adalah jenis yang lebih suka makan di rumah berbanding di luar. Malah, dia turut mendedahkan bahawa tempoyak ikan patin dan ayam adalah lauk kegemaran bakal suaminya itu. Berhenti berlakon Jika sebelum ini dramatis popular, Rozita Che Wan iaitu kakak kepada Ayu telah membuat keputusan untuk menamatkan karier seninya pada tahun hadapan, tentu ramai yang ingin tahu adakah Ayu akan mengambil keputusan yang sama. Meskipun sudah bergelar isteri, Ayu menjelaskan bahawa tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bersara daripada dunia lakonan dan mengikut jejak langkah kakaknya itu.
"Itu semua terpulang kepada keizinan suami saya nanti. Kalau boleh, saya memang nak terus menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana itu merupakan minat dan punca pendapatan saya. "Namun kalau suami sudah tidak benarkan saya berlakon lagi, saya akan akur dengan permintaannya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menderhaka kepada suami saya nanti," ujarnya. Bagaimanapun, menurut Ayu lagi, setakat ini bakal suaminya itu tidak pernah menghalang pembabitannya sebagai anak seni. Ujarnya, dia berasa gembira kerana Zaquan memang sentiasa menghormati kerjayanya sebagai seorang pelakon. Maka, sebab itu tidak pernah terniat di hatinya untuk berhenti berlakon dan percaya kariernya dalam lakonan masih lagi panjang. "Cuma selepas berkahwin nanti, saya cuba untuk kurangkan akiviti lakonan bagi memberi lebih perhatian kepada menguruskan rumah tangga. Mungkin saya akan selektif dalam memilih tawaran lakonan yang diberikan terutama yang tidak memerlukan saya berada begitu terlalu lama di lokasi. "Tindakan ini dilakukan kerana saya menyedari tanggungjawab sebagai seorang isteri. Biarpun suami tidak kisah, namun kami perlu luangkan masa lebih banyak bersama," ungkapnya. Baginya, status sebagai isteri tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Menurutnya lagi, hanya jika keadaan benar-benar memaksa untuk dia berhenti, barulah dia akan berbuat demikian. | ||||||
Posted: Yuna, Ana masuk gelanggangOleh RONI HIDAYAT RIDWAN DOMINASI wajah-wajah segar dan muda yang bakal berentap di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 25 pada 9 Januari tahun depan nanti. ANUGERAH Juara Lagu (AJL) yang memasuki edisi ke-25 (AJL25) menyaksikan 14 buah lagu telah terpilih untuk bersaing pada pusingan akhir yang akan diadakan pada 9 Januari 2011 akan datang. Pada saingan separuh akhir Muzik Muzik yang diadakan selama tiga minggu berturut-turut sejak 8 November lalu, sebanyak 30 buah lagu telah bersaing bagi merebut 14 tempat untuk ke saingan akhir. Penerbit Muzik Muzik ke-25, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, persaingan pada kali ini dilihat cukup sengit dan setiap lagu yang bertanding juga adalah lagu yang memang popular di kalangan pendengar. "Boleh dikatakan semua lagu-lagu yang bertanding pada kali ini memang hebat dan boleh dianggap terbaik. Namun untuk saingan di pentas akhir AJL25, hanya 14 buah lagu sahaja terpilih. "Boleh dikatakan 14 buah lagu itu juga mempunyai kekuatan yang tersendiri dan pastinya satu cabaran yang hebat untuk memilih lagu yang layak bergelar juara," katanya pada satu sidang akhbar baru-baru ini. Sementara itu, peluang juga dilihat lebih terbuka kepada dua penyanyi iaitu Faizal Tahir dan Noh Hujan apabila kedua-duanya akan mempersembahkan dua buah lagi. Faizal Tahir akan menyampaikan lagu Hanyut dan Selamat Malam hasil ciptaan Audi Mok serta Faizal sendiri, manakala Noh Hujan pula akan mempersembahkan lagu Mencari Konklusi hasil ciptaannya serta lagu Pelita bersama kumpulan A.P.I yang dihasilkan oleh Loque. Lebih menarik lagi, saingan akhir AJL 25 juga turut menyaksikan beberapa penyanyi baru yang akan beraksi buat kali pertama seperti Anna Raffali, Adira dan Shahir. Juri-juri yang mengadili lagu-lagu di pentas separuh akhir Muzik Muzik adalah Azmeer, Edrie Hashim, Che Kem, Zainuri Misfar dan Azhar Borhan yang bertindak selaku ketua juri. Dalam pada itu, salah seorang penyanyi yang layak ke saingan akhir AJL25, Hafiz menerusi lagu Noktah Cinta menjelaskan, lagu berkenaan menjadi pilihan juri kerana mempunyai kekuatan terutama daripada segi melodi. Ujarnya, semasa membuat persembahan di pentas akhir nanti, dia bertekad untuk membuat persembahan yang terbaik biarpun menyedari bakal bersaing dengan lagu-lagu yang hebat. "Pada saingan kali ini, saya berasa cukup yakin memandangkan pernah beraksi di pentas yang sama tahun lalu. Jadi, saya akan menggunakan segala pengalaman yang lalu untuk tampil dengan lebih baik lagi," ujarnya. Bagi Yuna pula, dia meluahkan rasa syukurnya apabila sekali lagi dapat beraksi di pentas akhir AJL 25 setelah menduduki tempat yang kedua pada tahun lalu menerusi lagu Dan Sebenarnya. Menurut Yuna, menyedari saingan kali ini dilihat lebih kompetitif, maka peluang untuk setiap lagu yang bertanding untuk muncul sebagai juara adalah sama rata. "Apa yang lebih menggembirakan saya adalah apabila nama Ana Raffali turut diumumkan layak ke peringkat akhir. Sekurang-kurangnya ada empat penyanyi wanita yang akan memberi saingan sengit kepada 10 penyanyi lelaki nanti," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |