Utusan Online - Hiburan |
Posted: Gelombang tsunami Maher ZainOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
APABILA dia duduk dan menyelak kembali lembaran hidupnya, Maher Zain tidak pernah menyangka dia mampu mengecapi nikmat kemewahan seperti hari ini. Jauh sekali untuk meraih populariti mahupun kemasyhuran, apa yang dimahukan Maher hanyalah untuk masyarakat mendapat mesej yang berguna daripada karyanya. Baginya, jika pendengar dan masyarakat dapat menikmati alunan lagu-lagunya serta menghayati karyanya dengan penuh jiwa, itu sudah menjadi satu kejayaan yang membanggakan dirinya. "Saya sendiri tidak pernah menyangka yang satu hari nanti muzik saya diterima dengan baik seperti sekarang. "Muzik yang saya cipta semuanya lahir dari hati yang tulus serta sarat dengan perasaan cinta yang ingin saya tujukan kepada semua manusia di dunia ini tanpa sebarang rasa prejudis. "Kerana itu, saya bangga dan gembira kalau pendengar sendiri mempunyai perasaan yang sama. Ia jelas menunjukkan dakwah saya menerusi muzik berjaya membuahkan hasil seperti mana yang saya mahukan," ujar jejaka berusia 28 tahun ini bersungguh. Kunjungan Maher ke negara ini sememangnya mendapat perhatian yang cukup meluas dan memang tidak keterlaluan dikatakan, dia telah mencetus fenomena baru sehingga mampu menjadi kegilaan ramai. Bayangkan tiket-tiket untuk menyaksikan persembahannya, Save The Soul pada di Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, malam ini dan esok sudah habis dijual. Semua itu berlaku hanya dalam tempoh seminggu sebaik sahaja tempahan dibuka pertengahan September lalu. Kerana itu, ramai yang hampa dan kecewa apabila tidak berpeluang untuk menikmati alunan muzik Maher yang sememangnya cukup menyentuh jiwa itu. Kadang-kala tertanya juga mengapa Maher boleh menjadi kegilaan rakyat tempatan. Kemunculannya juga bagaikan menyemarak kembali pasaran muzik nasyid yang pernah gah satu ketika dulu. Biarpun nuansa R&B menjadi tunjang muzik Maher, harus diakui muzik yang dibawakannya telah mengubah persepsi masyarakat bahawa irama nasyid boleh dipelbagaikan asalkan ia masih lagi berada di landasan seperti yang telah disyariatkan. Dunia seni Maher Sebelum mengorak langkah sebagai seorang penyanyi, Maher terlebih dahulu memulakan karier seninya sebagai penerbit album serta aktif dengan kerja belakang tabir di sebuah studio muzik terkemuka di New York, Amerika Syarikat. Ketika itu, dia telah berkerjasama dengan nama-nama besar industri hiburan seperti Kat Deluna dan Lady Gaga dalam penerbitan album mereka. Namun, pertemuannya dengan RedOne telah merobah segala-galanya dan bermula detik itu, Maher semakin yakin dengan langkah seninya. Tanpa segan-silu, dia menghulurkan pita rakaman nyanyiannya kepada RedOne yang ternyata terpikat dan terus menawarkan peluang kepada Maher untuk bergelar seorang penyanyi. Biarpun memiliki kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Aeronautikal, namun, jiwanya yang sudah diabadikan untuk muzik mengatasi segala-galanya. Berbicara mengenai album perdananya, Thank You Allah yang mula dipasarkan tahun lalu, Maher tidak henti-henti mengucapkan syukur dengan kejayaan yang dikecapi hanya daripada sebuah album sahaja. Sebaik sahaja ia dilancarkan, Thank You Allah terus menduduki tangga pertama dalam carta album World Music seperti mana yang dicatatkan oleh Amazon.com. "Saya memang mencintai muzik dan kerana itu, sebahagian daripada hidup saya dihabiskan dengan muzik dari pelbagai genre. Tetapi, semuanya gagal memikat hati saya sehinggalah saya menemui muzik yang benar-benar menakluk jiwa saya. "Album pertama saya ini memberi gambaran jelas tentang identiti saya sendiri sebagai seorang Muslim. Biarpun muziknya moden, dalam masa yang sama, saya tidak harus melupakan akar umbi keturunan saya," ceritanya lagi. Mencipta populariti dalam masa yang singkat, tidakkah Maher gusar seandainya dia bakal menjadi seorang penyanyi yang bermusim? "Kejayaan yang dimiliki sekarang tidak boleh dijadikan satu jaminan untuk terus berjaya di masa hadapan. "Saya tidak mahu menghasilkan muzik yang sama dan mahu terus bekerja keras agar saya dapat mampu bertahan lama dalam industri seni. "Kalau boleh, saya juga mahu melihat karya dan muzik saya diterima dengan baik di seluruh dunia tanpa mengira latar belakang dan kedudukan. "Setakat ini, saya menerima maklum balas yang cukup positif daripada orang ramai dan apa yang membanggakan apabila ada yang masuk Islam selepas mendengar dan menghayati album saya," ucapnya yang begitu mengagumi kumpulan nasyid Raihan sambil menyatakan keinginannya untuk berkolaborasi dengan mereka. | ||
Filem lelaki yang menjengkelkan Posted: Filem lelaki yang menjengkelkanOleh SYAZWAN ZAKARIAH
SAYA bukan peminat setia Will Ferrell, tetapi tidaklah menyampah terus. Ada beberapa filemnya yang mampu membuatkan saya ketawa, antaranya Superstar (1999) dan Blades of Glory (2007). Saya juga teruja untuk menyaksikan filem animasi Megamind (2010) yang mana dia menyumbangkan suara untuk karakter utama. Terkenal dengan gaya komedi slapstik (atau dalam bahasa kasarnya lawak bodoh), The Other Guys sekali lagi menyatukan Ferrell dengan pengarah Adam McKay. Kerjasama mereka bermula sejak Saturday Night Live (1995-2007); malah di bawah pengarahan McKay, Ferrell berpeluang menghidupkan fantasi kanak-kanaknya seperti menjadi wartawan (Anchorman: The Legend of Ron Burgundy, 2004) dan pemandu kereta lumba (Talladega Nights: The Ballad of Ricky Bobby, 2006). Fantasi terbaru mereka ialah main-main polis. Di dalam The Other Guys, Ferrell digandingkan dengan Mark Wahlberg, satu contoh ideal seorang detektif - serius dan sasa. Ferrell ialah Allen Gamble, polis yang hanya mahu membuat kertas-kertas kerja di pejabat tanpa menyelesaikan kes di lapangan; manakala Wahlberg sebagai Terry Hoitz yang semangatnya berkobar-kobar tetapi kurang cerdik. Di tempat mereka bekerja, P.K Highsmith dan Christopher Danson (kemunculan istimewa Samuel L. Jackson dan Dwayne 'The Rock' Johnson) ialah pasangan detektif yang amat disegani. Mereka cekap, berani dan sering menyelesaikan kes berprofil tinggi sehinggalah satu hari terkorban dalam kemalangan. Kematian Highsmith dan Danson mendorong detektif lain untuk mengikut jejak langkah mereka, termasuk Hoitz. Namun kerana Hoitz dipandang rendah rakan sekerja, dia tiada pilihan selain 'memaksa' Gamble ikut serta dalam setiap kes yang ingin diselesaikannya. Sifat kontras Hoitz dan Gamble mencetuskan keserasian, walaupun mereka saling membenci di antara satu sama lain. The Other Guys tidak ubah ibarat parodi kepada filem aksi klasik lakonan Mel Gibson dan Danny Glover, Lethal Weapon (1987); kecuali Ferrell dan Wahlberg lebih menjengkelkan. Saya bukan peminat setia Ferrell. Justeru, beberapa jenaka fizikalnya yang over-the-top serta dialog yang agak kotor di dalam filem ini, tidak berjaya membuatkan saya ketawa. Kalau ada pun, saya hanya tersenyum sinis dalam kehairanan. Tetapi sila maklum, itu bukan salah Ferrell mahupun pengarah. Ini soal citarasa. Wahlberg melengkapi kedangkalan Ferrell, cuma lawaknya lebih subtle dengan reaksi wajah yang tegak, bersesuaian dengan karakter Hoitz itu sendiri. Bayangkan Staff Sgt. Dignam daripada filem The Departed (2006), tetapi bodoh-bodoh alang. Itulah yang penonton dapat daripada Wahlberg di dalam The Other Guys. Kehadiran Steve Coogan sebagai penyangak David Ershon menambah variasi filem ini dengan aroma komedi Britain-nya, begitu juga dengan kelibat Michael Keaton yang mengubati rindu peminat untuk melihat dia beraksi semula di layar perak. Jangan terlepas dengan cameo beberapa bintang terkenal lain seperti Brooke Shields, Rosie Perez dan pemain besbol Derek Jeter. Sementara itu, kemunculan Eva Mendes pula tidak lebih sekadar memenuhi ruang khayalan Ferrell dan McKay, di mana wanita sehangat itu boleh jatuh cinta kepada lelaki sehodoh Gamble. 'Filem lelaki' seperti ini memerlukan seorang aktres seksi sebagai eye-candy. Walaupun plot filem ini cuba berlaku bijak dengan memasukkan elemen-elemen bisnes dan kewangan, namun ia tidak meyakinkan. Siasatan Gamble dan Hoitz terhadap misteri penyelewengan yang dilakukan Ershon, kelihatan bercelaru dan mengelirukan. Apa yang jelas hanyalah babak demi babak komedi yang terlebih-lebih. Barangkali sebagai penyedap hati, adegan-adegan aksi, kejar-mengejar dan letupan yang dikoreograf untuk filem ini agak membanggakan. Sekurang-kurangnya, The Other Guys tidak mungkir janji dengan labelnya sebagai sebuah lagi filem aksi komedi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |