Adsense

Ahad, 4 Julai 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Argentina tewas 0 - 4 di tangan Jerman di Suku Akhir Piala Dunia 2010

Posted: 03 Jul 2010 01:29 PM PDT



CAPE TOWN - Selepas Brazil, semalam giliran Argentina pula tersingkir pada kempen Piala Dunia 2010.

Skuad kendalian Diego Maradona itu ditunjukkan jalan keluar oleh Jerman apabila tewas 0-4 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Green Point.

Jerman bermula garang apabila Thomas Mueller berjaya menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan percuma yang diambil Bastian Schweinsteiger seawal minit ketiga.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan Jerman, Argentina kembali memperkemaskan jentera serangan, namun mereka masih gagal memecah kebuntuan bagi mencari gol penyamaan sehingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, asakan bertali arus Jerman ternyata membuahkan hasil apabila mereka menambah tiga lagi gol masing-masing menerusi Miroslav Klose pada minit 68 dan 89 serta Arne Friedrich (74).

Kelemahan benteng pertahanan Argentina jelas kelihatan apabila banyak melakukan kesilapan mudah, sekali gus memberi ruang buat barisan pemain muda Jerman merobek gawang mereka.

Kejayaan Jerman menumbangkan gergasi Amerika Selatan itu membawa mereka ke saingan separuh akhir awal pagi Khamis ini.

– Agensi

Ainuddin, Norazrah johan tilawah al-Quran

Posted: 03 Jul 2010 01:20 PM PDT


KOTA KINABALU 3 Julai – Qari Wilayah Persekutuan, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan qariah Johor, Norazrah Ayub masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-53 di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini malam ini.

Seramai 29 peserta mengambil bahagian dalam tilawah tersebut yang bermula Selasa lalu.

Wan Ainuddin yang memperoleh markah 82.01 peratus menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, cenderamata, pakej haji dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah.

Norazrah yang menerima 79.34 markah turut menerima hadiah sama yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar.

Sementara itu, peserta Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali muncul naib johan qari selepas memperoleh 79.66 markah, diikuti Othman Azumi Ahmad dari Kedah di tempat ketiga dengan 79.33 markah.

Bagi kategori qariah pula, Nor Ruzana Natiah Jaafar dari Selangor mendapat tempat kedua dengan 79.33 markah sementara Normalina Alias dari Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan 77.66 peratus markah.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dan RM5,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

- MINGGUAN MALAYSIA

Suraya, Rafidah wanita pertama dilantik Hakim Syarie

Posted: 03 Jul 2010 01:15 PM PDT


KUANTAN 3 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan buat julung kalinya pelantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"(Pelantikan ini) bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa," katanya pada majlis Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibaca Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md. Zin.

Najib berkata, keputusan luar jangka itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan bagi menggalakkan transformasi dalam JKSM.

Perdana Menteri berkata, selain itu, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim.

– BERNAMA

Awas ancaman serius talasemia

Posted: 03 Jul 2010 01:15 PM PDT

Apa sebenarnya talasemia? Sering kali kita mendengar perkataan itu disebut, namun adakah kita faham apa sebenarnya penyakit itu?

Perunding Hematologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Goh Kim Yen berkata, talasemia adalah penyakit keturunan yang berlaku pada sel darah merah.

"Ia merupakan keadaan yang diwariskan oleh ibu bapa kepada anak. Ini berlaku akibat kecacatan gen yang menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal," katanya.

Menurutnya, mereka yang mempunyai penyakit talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah.

Hemoglobin katanya, adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh.

Akibat kekurangan sel darah merah yang normal, pesakit akan kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah dan menyebabkan berlaku anemia.

"Kekurangan sel darah merah yang membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun," katanya.

Penghidap talasemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka dengan bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang tiada oksigen gagal berfungsi dengan baik lalu tubuh menjadi lemah, gagal berkembang dan mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada sekitar 4 atau 5g/dl.

Jenis talasemia

Talasemia terbahagi kepada minor dan major. Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-

tanda talasemia atau dipanggil pembawa.

Manakala talasemia major pula merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia (pesakit).

Terdapat dua kategori talasemia berdasarkan molekul globin pada sel darah merah iaitu alpha dan beta (mengikut rantaian).

# Talasemia alpha berlaku apabila satu atau lebih daripada empat gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin alpha hemoglobin tidak bersesuaian atau tidak wujud. Jika hanya dua gen terlibat, individu tersebut hanya pembawa. Anemia peringkat sederhana dan teruk terjadi apabila lebih daripada dua gen terjejas. Paling membimbangkan apabila empat gen terjejas menyebabkan ibu hamil yang mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi lahir menyebabkan kematian.

# Talasemia beta berlaku apabila salah satu atau kedua-dua gen yang diperlukan untuk membentuk rantaian globin beta hemoglobin tidak serasi.

Jika kedua-dua gen terjejas, anemia boleh terjadi secara sederhana hinggalah ke peringkat teruk. Talasemia peringkat teruk ini juga dikenali sebagai anemia Cooley.

Tanda dan gejala talasemia

Menurut Dr Goh, biasanya anak-anak pembawa talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan dan status pembawa cuma dikesan apabila pemeriksaan darah dijalankan. Untuk mereka yang mengidapi talasemia major, penyakit itu biasa dikesan apabila seseorang bayi mencapai lingkungan usia enam bulan sehingga setahun. Simptom yang biasa menarik perhatian ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor adalah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.

Bagaimanapun, mereka mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan. Tubuh mereka akan pucat, lemah dan mudah menghidap sebarang penyakit.

Anemia yang serius boleh menyebabkan masalah jantung dan sukar bernafas.

Perut mereka juga akan membuncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa. Pembentukan tulang muka, pipi dan rahang juga tidak normal.

Selain itu, pertumbuhan mereka juga terbantut termasuk organ seks tidak akan berkembang. Bagi pesakit talasemia perempuan, payu dara mereka tidak membesar, pertumbuhan bulu badan terjejas dan mereka juga tidak mengalami haid.

Lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun.

Rawatan penyakit talasemia

"Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan," kata Dr. Goh.

Bagaimanapun transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.

Jika ia berlaku di bahagian pituitari (otak), pesakit akan mengalami masalah tumbesaran termasuk organ seks yang tidak berkembang.

"Jika zat besi berkumpul di bahagian jantung, pesakit mengalami sesak nafas dan lemah jantung, manakala jika ia berkumpul di bahagian pankreas pesakit akan mendapat diabetes," katanya.

Selain itu kata beliau, zat besi yang terkumpul di bahagian kulit pula akan menyebabkan ia berubah warna gelap.

Jelas Dr. Goh lagi, rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine menggunakan alat khas. Bagaimanapun proses itu menyakitkan kerana ia mengambil masa yang lama sekitar lapan jam.

"Bayangkan jika kanak-kanak terpaksa melalui proses ini, alat tersebut akan dipasang kepada mereka setiap malam selama beberapa hari," katanya.

Selain itu terdapat rawatan pengkelatan besi (nyah besi) terkini iaitu melalui tablet yang dipanggil Exjade.

Rawatan tersebut lebih mudah digunakan kerana ia berbentuk tablet dan hanya perlu direndam dalam air sebelum diminum. Bagaimanapun, harganya agak mahal dan sehingga kini belum digunakan sepenuhnya di kebanyakan hospital.

Talasemia juga boleh dipulihkan melalui pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan ahli keluarga.

Paling berkesan kata beliau, pemindahan stem sel yang terdapat pada tali pusat melalui teknologi terkini. Ia juga boleh dilakukan di kalangan ahli keluarga. Proses pemindahan stem sel itu perlu dilakukan kepada pesakit talasemia ketika masih bayi atau berumur lima tahun ke bawah sebelum sebarang masalah kesihatan terganggu.

- UTUSAN

Sensasi Mesut Ozil (Jerman)

Posted: 03 Jul 2010 12:57 PM PDT


Apabila Jerman kehilangan Michael Ballack akibat kecederaan buku lali sempena Piala Dunia di Afrika Selatan, ramai tidak menaruh harapan kepada pasukan kendalian Joachim Loew yang rata-rata terdiri daripada barisan pemain muda.

Perlawanan pembukaan menentang Australia menjadi batu pengukur kepada skuad muda Jerman Loew itu.

Menariknya di sebalik pelbagai nada sinis buat barisan muda Jerman, mereka memulakan perlawanan dengan penuh bergaya apabila mengalahkan Australia menerusi jaringan besar 4-0.

Bagaimanapun, dalam perlawanan tersebut pemain tengah berusia 21 tahun, Mesut Ozil paling mencuri tumpuan di sebalik 11 orang pemain Jerman yang beraksi di atas padang.

Ozil yang pertama kali menyertai Piala Dunia merupakan anak muda keturunan Turki yang memainkan peranan penting menjadi arkitek melaksanakan strategi dirangka Loew untuk menjulang pasukan Jerman melakar kemenangan.

Dengan memiliki larian pantas, kelincahan membuka peluang kepada pemain lain, kemahiran individu dan mengawal perlawanan, pemain yang dilahirkan di Gelsenkirchen, Jerman itu merupakan antara permata baru di Piala Dunia yang mula menjadi buruan kelab gergasi Eropah.

Mesut yang bermaksud gembira dalam bahasa Turki mempunyai ketinggian 1.82 meter, telah membawa keceriaan kepada negara dan rakyat Jerman apabila menjadi salah seorang ayam tambatan di Piala Dunia kali ini.

Teknik dan sentuhan Ozil yang sukar diduga pihak lawan dikatakan jarang sekali dilihat dalam permainan bola sepak moden hari ini.

Dia menggelecek pihak lawan seakan-akan sedang bermain bola sepak di taman pada hujung minggu dan mampu memberi keseronokan kepada penonton yang menyaksikan kelibatnya di tengah padang.


Pemain remaja termahal

Bakat Ozil digilap kelab tempat kelahirannya iaitu Westfalia 04 Gelsenkirchen ketika berusia lapan tahun sebelum disambar gergasi Bundesliga, Schalke 04.

Selepas 30 penampilan untuk pasukan Die Knappen, Ozil dijual dengan penuh kontroversi kepada Werder Bremen membabitkan harga kira-kira RM17 juta ekoran pertikaian lanjutan kontrak yang tidak dapat dipersetujui bersama pihak pengurusan.

Pemain yang digelar Diego Baru 'Der Neue Diego' oleh peminat-peminat Werder Bremen mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul pemain remaja termahal di Bundesliga.

Ketika berada di Werder Bremen dia menunjukkan kemajuan dengan begitu pantas, bahkan menjaringkan enam gol hanya dalam 13 perlawanan.

"Apabila Ozil beraksi dengan potensi sebenar, dia kelihatan amat hebat. Dia mampu menjelmakan sesuatu di luar jangkaan yang beberapa individu saja dapat melakukannya.

"Dia merupakan seorang pemain yang sesuai dengan idea dan strategi diketengahkan saya. Ozil juga seorang pemain bertaraf dunia, mampu merampas bola serta membuat jaringan dari sudut sukar," ujar Loew.

Tambah Loew lagi, Ozil ialah arkitek di tengah padang dan mampu menghasilkan hantaran yang membuatkan pertahanan menjadi kelam-kabut.

Katanya lagi, menjadi pemain bertaraf dunia memerlukan pembangunan dan konsistensi yang jitu, Ozil mempunyai kriteria tersebut.

Dalam pada itu, penyerang Jerman, Miroslav Klose berkata, jurulatih Loew telah mencungkil bintang sebenar walaupun Ozil hanya mewakili skuad senior dalam beberapa perlawanan sahaja.

"Kita sentiasa mencari bakat yang sesuai untuk memakai jersi nombor 10 dan kini sudah menjumpai bakat tersebut.

"Ozil telah melakukannya dengan keupayaan sendiri. Dia merupakan bonus kepada pasukan ini," katanya lagi.

Sementara itu, pemain pertahanan Werder Bremen, Ronaldo Aparecido Rodrigues atau lebih dikenali Naldo menyifatkan Ozil sebagai Lionel Messi Jerman.

"Ozil boleh membuat keputusan dan mengawal perlawanan mengikut kehendaknya. Pemikiran pantas dan bola seakan-akan melekat di kakinya," kata Rodrigues.

Rebutan Turki-Jerman

Bagaimanapun, perjalanan pemain berbakat itu yang membuat keputusan mewakili Jerman telah mencetuskan kontroversi dalam media Jerman dan Turki.

Ozil yang menolak undangan bekas jurulatih Turki, Fatih Terim untuk mewakili negara berkenaan pada awal musim 2008/09 telah menimbulkan kemarahan di Ankara, Turki.

Bahkan, Ozil terpaksa menutup buku tetamu di laman web peribadinya untuk mengelak kebanjiran kritikan dan kemarahan peminat Turki apabila dia memilih negara kelahirannya berbanding negara ibu bapanya.

Ozil yang beragama Islam berkata teknik dan perasaan mencintai bola sepak mewakili darah Turki dalam dirinya.

"Disiplin, sikap dan memberi yang terbaik pula mewakili Jerman dalam diri saya," katanya yang meminati legenda Perancis, Zinedine Zidane.

Pada tahun lalu, Ozil telah membantu menjulang Jerman apabila menjaringkan satu gol dan memberi lorongan untuk dua gol lain perlawanan akhir Kejohanan Bawah 21 UEFA, menewaskan England yang dibimbing, Stuart Pearce, 4-0. Ozil juga mewakili skuad B17, B19 dan B21 Jerman.

Piala Dunia 2010 sekali lagi menyaksikan kehebatan Ozil apabila meranapkan impian England untuk memasuki pusingan suku akhir.

Walaupun, bersedih menerima berita buruk mengenai kematian nenek tersayang di Hospital Bandar Bolu, Turki, beberapa hari sebelum perlawanan menentang England, ia tidak menjadi penghalang bagi anak muda itu melakar aksi cemerlang.

Dengan gerakan-gerakan menarik dan larian pantas pertahanan skuad bimbingan Fabio Capello tidak dapat menandingi keupayaan Ozil.

England terpaksa akur dengan kepantasan skuad muda Jerman apabila tewas 4-1 sekali gus menyaksikan mereka sekali lagi berputih mata meneruskan perjuangan dalam Piala Dunia kali ini.

Ketangkasan Ozil telah menarik perhatian kelab ternama dunia untuk menyarungkan jersi mereka seperti Barcelona, Arsenal, Manchester United, Manchester City, Chelsea, Aston Villa dan banyak lagi.

- KOSMO!

‘Sistem SPR bukan punca tidak daftar’ - SPR

Posted: 03 Jul 2010 12:44 PM PDT

Sistem pendaftaran pengundi yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini bukan punca kira-kira 4.3 juta rakyat yang layak mengundi, termasuk 1.9 juta Melayu belum mendaftar sebagai pemilih.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata sistem pendaftaran yang mewajibkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih mengikut alamat bermastautin tidak boleh dipersalahkan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, SPR tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan proses pendemokrasian sistem pendaftaran pengundi semata-mata hendak memuaskan hati semua pihak supaya pengundi dibenarkan mendaftar mengikut alamat semasa mereka.

"Ada pihak mahu SPR lebih demokrasi dalam sistem pendaftaran pengundi, tidak perlu ikut alamat bermastautin atau dalam kad pengenalan, tetapi sebenarnya ia akan memberi implikasi kepada Perlembagaan. Jika mahu laksanakan langkah itu, Perlembagaan perlu dipinda dan ia bukan proses mudah.

"Malah ia akan memberi implikasi negatif kepada masa depan negara," katanya kepada Berita Harian, semalam ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai 4.3 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu, manakala bukan Melayu seramai 1.7 juta dengan pecahan 1.3 juta atau 30.6 peratus kaum Cina, diikuti India seramai 400,997 orang atau 9.3 peratus.

Laporan berkenaan menyebut antara punca orang Melayu masih menjadi kumpulan terbesar belum mendaftar ialah kerana kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai warga negara, tidak peka situasi politik tanah air dan gemar mendaftar pada saat akhir.
Wan Ahmad berkata, pendaftaran pengundi tanpa perlu mengikut alamat bermastautin hanya akan menghuru-harakan taburan pengundi di sesebuah kawasan undi, malah masalah lain juga akan timbul seperti mendorong berlakunya penyelewengan, kewujudan pengundi hantu dan taburan pengundi tidak seimbang di antara kawasan undi.

"Alamat pada kad pengenalan adalah dokumen rasmi yang mengesahkan seseorang pengundi layak mengundi di kawasan ditetapkan pada alamat itu. Alasan sistem sedia ada menyukarkan rakyat mendaftar tidak wajar kerana pelbagai saluran dan kemudahan disediakan SPR bagi membolehkan mereka berbuat demikian.

"Kita banyak menyediakan kaunter pendaftaran SPR di tempat awam, pejabat pos dan pejabat parti politik. Kita turut melantik ramai penolong pendaftar parti dari setiap parti politik selain mendapat bantuan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sepatutnya tidak timbul masalah mendaftar, lagipun jika mahu menukar alamat di kad pengenalan, prosesnya hanya satu hari di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Saya tidak fikir sistem selama ini menyukarkan rakyat kerana kita sudah mengkaji sedalam-dalamnya setiap kaedah dan peraturan yang hendak dilaksanakan," katanya.

- BERITA HARIAN

‘Pendidikan seks harus dilaksana ikut peraturan’ - Nik Aziz

Posted: 03 Jul 2010 12:40 PM PDT

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan seks sebagai satu perkara yang cukup bernilai serta berharga dan pendidikan mengenainya harus dilaksanakan mengikut peraturan, prosiding serta kronologinya yang tertentu.

Sehubungan itu, katanya, untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah bukannya sesuatu perkara mudah kerana ia sudah tentu akan membabitkan pelbagai pihak, termasuk dari segi undang-undang, tidak hanya menjuruskan kepada seks itu semata-mata.

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan seks sebagai satu perkara yang cukup bernilai serta berharga dan pendidikan mengenainya harus dilaksanakan mengikut peraturan, prosiding serta kronologinya yang tertentu.

Sehubungan itu, katanya, untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah bukannya sesuatu perkara mudah kerana ia sudah tentu akan membabitkan pelbagai pihak, termasuk dari segi undang-undang, tidak hanya menjuruskan kepada seks itu semata-mata.

"Bagi saya, pendidikan seks tidak boleh diperkenalkan di sekolah kerana ia adalah satu `barang' yang amat indah serta berharga dan harus dihormati, bukan boleh pandai-pandai buat.

"Islam sudah sebut perkara ini (pendidikan seks) dalam kitab Fiqah, bermula dari usia kanak-kanak lelaki 10 tahun, harus dipisahkan tempat tidur sehingga berkahwin; melakukan jimak dan mendapat anak, semuanya ada diajar mengenai tatasusila serta pengurusannya, sekali gus menunjukkan seks ini barang yang dihormati.

"Di situ sudah letaknya pelajaran seks dalam Islam dan kita jangan meletakkannya (pendidikan seks) atas motor kerana itu bukan kerja Islam. Semua ini Islam hendak menunjukkan bahawa seks itu sesuatu barang amat dihargai dan melakukannya harus mengikut peraturan, prosiding dan kronologinya," katanya.

Beliau memberitahu pemberita apabila ditanya mengenai usaha hendak melaksanakan pendidikan seks di sekolah, selepas selesai kuliah mingguannya di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Kelmarin, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pronografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang berleluasa.

- BERITA HARIAN

Niat, amalan betul jadi ukuran ikhlas

Posted: 03 Jul 2010 12:37 PM PDT

Oleh Hashim Ahmad

Bagaimana perasaan jika amalan dilaksanakan dengan harapan mendapat keredaan Allah dan sebagai tabungan di akhirat ternyata 'kosong' atau sia-sia, tidak tertulis sebagai amalan baik menghasilkan pahala.

Walaupun lisan mengatakan 'aku ikhlas', ia tidak semudah ucapan kerana keikhlasan melakukan ibadat perlu meliputi semua aspek bukan hanya niat tetapi juga cara amalan itu dilaksanakan.

Menyedari hakikat itu, maka berusahalah untuk mengetahui kaedah beramal supaya amalan tidak sia-sia. Tidak ada detik yang berakhir dengan sia-sia atau penyesalan jika amalan dilakukan mengikut cara sebenarnya.

Amalan tidak lepas daripada dua perkara iaitu ikhlas yang menjadi roh amalan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amal itu tergantung dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu mendapatkan balasan sesuai dengan yang diniatkannya." (Muttafaqun'alaihi)

Kedua, amalan dilakukan sesuai dengan yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Ali Imran, ayat 31)

Jika niat dan cara yang betul tidak diikuti, amalan dilakukan tidak akan diterima. Inilah yang dikatakan amalan sia-sia dan paling malang, pelaku meyakini pahala diterima sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabb-nya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Rabb-nya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)
Solat dilakukan mengikut rukun seperti ditunjukkan Rasulullah SAW tetapi diperkemaskan kerana ada orang yang melihat seperti melambatkan pergerakan supaya tidak nampak gopoh boleh menimbulkan pertanyaan sejauh mana solat itu ikhlas dilaksanakan kerana Allah.

Pada keadaan lain, ibadat dilakukan dengan ikhlas malangnya tidak mengikut kaedah ditetapkan juga menjadikan amalan dilakukan tidak mendatangkan pahala diharapkan. Oleh itu, niat ikhlas dan mengikut peraturan sebenar penting memastikan ibadat tidak sia-sia.

Ada beberapa cara untuk mewujudkan keikhlasan dalam beramal antaranya:

* Berdoa supaya setiap amalan ikhlas kerana Allah kerana manusia tidak lepas daripada perasaan riak, menunjuk-nunjuk dan suka dipuji. Khalifah Umar al-Khattab adalah sahabat Rasulullah SAW yang sudah dijanjikan syurga kepadanya pun masih berdoa supaya dirinya ikhlas dalam beramal.

Doa Umar: "Ya Allah jadikanlah amalku soleh semuanya dan jadikanlah ia ikhlas kerana-Mu dan janganlah Engkau jadikan untuk seseorang daripada amal itu sedikitpun."

* Kita juga digalakkan menyembunyikan amal seperti menyembunyikan keburukan. Bisyr Ibnul Harits berkata: "Jangan kau beramal supaya dikenang. Sembunyikanlah kebaikanmu seperti kamu menyembunyikan keburukkanmu."

* Memerhatikan amalan mereka yang lebih baik. Bacalah biografi sahabat, tabi'in serta orang terdahulu sebagai teladan dalam beramal supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

* Memandang remeh apa yang diamalkan. Terkadang manusia terjebak godaan syaitan iaitu melakukan sedikit amal dan merasa kagum dengan amalan yang sedikit itu. Akibatnya adalah buruk kerana boleh terjadi satu amal kebaikan dapat memasukkan manusia ke neraka.

Sa'd bin Jubair pernah berkata: "Ada seseorang yang masuk syurga kerana kemaksiatan dilakukannya dan ada masuk neraka kerana kebaikan dilakukannya. Seseorang yang melakukan maksiat, setelah itu ia takut dan cemas terhadap seksa Allah kerana dosanya, kemudian menghadap Allah dan Allah mengampuninya kerana rasa takutnya kepada-Nya. Seseorang berbuat kebaikan lalu ia sentiasa mengaguminya kemudian ia menghadap Allah dengan sikapnya itu maka Allah pun mencampakkannya ke dalam neraka."

* Khuatir jika amalnya tidak diterima. Cara ini ada kaitan dengan cara sebelumnya iaitu lebih baik menganggap remeh amal yang diperbuat supaya dapat menjaga hati ini daripada rasa kagum terhadap amal itu.

* Tidak terpengaruh dengan ucapan orang. Orang yang mendapat taufik adalah mereka yang tidak terpengaruh dengan pujian. Ibnul Jauzy berkata: "Bersikap acuh terhadap orang lain serta menghapuskan pengaruh daripada hati mereka dengan tetap beramal soleh disertai niat ikhlas dengan berusaha untuk menutupinya adalah sebab utama yang mengangkat kedudukan orang yang mulia."

* Sentiasa ingat bahawa syurga dan neraka bukan milik manusia. Manusia tidak dapat memberikan manfaat mahupun menimpakan bencana kepada manusia. Begitu pula manusia bukanlah pemilik syurga mahupun neraka.

Manusia tidak boleh memasukkan manusia lain ke syurga dan mengeluarkan manusia lain keluar dari neraka. Lantas untuk apalagi beramal demi manusia kerana hanya kepada Allah tujuan semua amalan itu.

Ingatlah bahawa kita akan berada dalam kubur sendirian. Jiwa akan menjadi lebih baik apabila ingat kepada tempat kita kembali. Ketika itulah kita yakin bahawa tidak ada yang dapat menyelamatkan kecuali dengan mengikhlaskan seluruh amalan hanya kepada Allah Yang Maha Pencipta.

- BERITA HARIAN

World Cup FIFA 2010 Result (Quater Finals) - 03 July 2010

Posted: 03 Jul 2010 10:04 AM PDT

QUATER FINALS 3
Argentina 0 - 4 Germany (3' T.Muller, 68' 89' M.Klose, 74' A.Friedrich)
* Germany qualified to the Semi Finals

QUATER FINALS 4
Paraguay 0 - 1 Spain (83' D.Villa)
* Spain qualified to the Semi Finals (Germany vs Spain)