Adsense

Ahad, 4 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Lana Nordin Bukan ‘Taste’ Saya – Zain Saidin

Posted: 04 Jul 2010 03:39 AM PDT

Zain ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Duyong Aridinata di Ampang baru-baru ini.

TIDAK dinafikan dirinya menggilai wanita yang berwajah eksotik dan berkulit sawo matang.

Tidak dinafikan juga, ciri-ciri tersebut dimiliki oleh aktres seksi Lana Nordin yang dikaitkan dengan aktor Zain Saidin.

Namun begitu, tidak bermakna Zain, adik kepada penyanyi Sasha Saidin itu menggilai wanita itu, malah dia juga menafikan Lana merupakan kekasihnya.

"Saya dan Lana hanya berkawan. Lagipun, dia bukan cita rasa saya," jawab Zain bila diaju soalan tentang Lana.

Dia mengaku masih solo dan belum menemui wanita pilihan.

Dalam diam, pelakon drama bersiri Duyong Aridinata itu mengakui ciri-ciri wanita seperti watak Neytiri dalam filem Avatar lakonan Zoe Saldana menjadi pilihannya. Dia juga menyukai rupa paras aktres itu.

Beralih kepada karier seni anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia merasakan agak terlambat untuk dikenali dalam industri ini.

Apabila rezekinya dalam bidang lakonan semakin diterima, Zain nekad untuk tidak menolak lagi.

Jika dulu, dia sering menolak tawaran lakonan kerana mahu menumpukan kepada bidang muzik dan pelajaran.

"Dulu, saya, Sasha dan Lana sudah merakamkan lima buah lagu bersama-sama di bawah syarikat rakaman kakak ipar saya, Hana. Jadi, saya terpaksa menolak tawaran berlakon ketika itu.

"Tetapi selepas Hana bercerai dengan abang saya, kami sudah tidak menghubungi antara satu sama lain dan masing-masing membuat hal sendiri. Kami terpaksa hentikan pembikinan album itu.

"Selepas itu saya bekerja di Fitness First sebagai jurulatih. Apabila terserempak Pengarah Urusan Zeel Production Sdn. Bhd., Md. Fadzil Teh di Fitness First, dia menawarkan lakonan tetapi buat kali keduanya saya terpaksa menolak kerana sedang belajar," jelasnya.

Beberapa kali dipujuk, akhirnya Zain menerima tawaran berlakon. Mungkin sudah rezekinya dalam bidang itu.

"Sekarang saya semakin selesa berlakon dan tidak akan menolak jika ada rezeki. Walaupun keutamaan saya adalah lakonan, namun saya masih setia dengan muzik.

"Saya telah membuat sebuah single berjudul Free Me. Saya menyanyi rap bersama-sama rakan dari Nigeria dan Afrika Selatan serta nyanyian korus oleh Rozana Ibrahim.

"Sekarang, kami sedang membuat video muzik untuk lagu itu. Kami akan memuat naikkan video itu dan laman web YouTube untuk melihat respons daripada peminat. Kiranya, kami akan cuba secara underground dulu," kata pelajar jurusan Reka Grafik dari Kolej Sunway itu.

Zain gemarkan watak yang luar biasa kerana dirinya juga seorang yang tidak suka duduk diam dan suka membuat orang gembira.

"Misalnya, saya suka watak Rodi dalam drama bersiri Kiah Pekasam yang kelakar. Saya bukanlah seorang yang serius. Apabila bekerja memang kita perlu serius tetapi secara semulajadinya saya seorang yang ceria dan suka menegur orang.

"Watak kedua yang saya suka adalah menjadi orang bunian dalam drama Sayang Cendana. Saya menyukai kostumnya yang pelik. Saya juga tak kisah jika suatu hari nanti diberikan watak makhluk asing atau muka hodoh," tuturnya yang sedang sibuk dengan penggambaran telefilem istimewa Raya Kiah Pekasam dan drama Kiah Pekasam episod kedua serta sebuah lagi telefilem.

Disebabkan sibuk dengan karier seninya, Zain mengambil keputusan untuk menangguhkan pelajarannya untuk semester ini. Selain lakonan dan muzik, Zain turut terlibat dengan bidang peragaan dan komersil.

Di waktu lapang, jejaka kacukan Melayu dan Inggeris itu aktif bermain bola keranjang, futsal dan berenang. Dia juga pakar memasak pasta, nasi goreng dan sayur-sayuran.

Alyah Belum Mahu Bercinta

Posted: 04 Jul 2010 03:38 AM PDT

ALYAH

WALAUPUN dihimpit dengan pelbagai kemelut negatif, Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang sebenarnya bertuah kerana ramai lelaki cuba menawan hatinya.

Namun, hatinya tidak tergerak untuk menerima kehadiran cinta bukan kerana dia takut atau serik.

"Saya sebenarnya cuba mengenali orang lain tetapi mungkin kerana saya sekarang ialah Alyah, timbul pelbagai masalah. Saya nak orang kenal saya bukan sebagai artis.

"Saya ingin orang lain kenal saya seadanya. Kadang-kala, orang nak kenal kita kerana kita merupakan artis," katanya kepada MStar Online.

Alyah berkata, keikhlasan yang tidak dirasai wujud pada lelaki terbabit menyebabkan dia belum bersedia untuk bercinta.

Akuinya, terdapat lelaki yang cuba mendekatinya.

"Tipulah kalau saya kata tidak ada. Tetapi saya belum bersedia. Itu yang susah... jika dia nak kenal saya sebagai selebriti. Ia adalah okey. Saya nak tutup macam mana? Tapi dia kena berkawan dengan saya secara ikhlas.

"Janganlah bawa saya dan tunjukkan saya kepada kawan-kawan. Saya tidak suka itu. Saya hargai kawan saya memuja saya sebagai Alyah. Dalam hati, saya kata Alhamdulillah. Bagaimanapun, saya tak suka begitu kerana amat sukar berbuat demikian," ujarnya.

Sementara itu, Alyah menyasarkan untuk mengeluarkan album mengenai personalitinya selepas hari raya ini.

"Lagu-lagu dalam album itu adalah mengenai diri saya. Setiap lagu dalam album mempunyai ceritanya yang tersendiri. Contohnya, lagu pertama menceritakan tentang perhubungan saya, lagu kedua tentang gosip, trek berikutnya tentang famili saya dan sebagainya," katanya.

Album yang belum diberikan judul itu mula dihasilkan sejak Mac lalu. Ia mempunyai enam lagu dan masih terdapat tiga lagu yang belum direkodkan lagi. Rakaman untuk tiga lagu tersebut akan dibuat pada waktu puasa nanti ketika Alyah lebih lapang pada masa itu.

Antara komposer yang terlibat dalam album itu ialah Azlan Abu Hassan, Omar K, dan Zulfekar manakala penulis lirik termasuk Habsah Hassan, Sulu Sarawak dan Selen.

"Tentang album itu, saya cari komposer dan penulis lirik sendiri. Saya nak orang lain tahu betapa saya bersungguh-sungguh buat benda ini. Ini macam impian saya termakbul," ujarnya yang menanggung segala kos pembikinan album tersebut.

Erra Selesai Cara Baik Kes Produk Kecantikan

Posted: 04 Jul 2010 03:37 AM PDT

Erra bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya yang telah pun berusia 15 bulan.

MASALAH saman-menyaman yang berlaku antara pelakon Erra Fazira dengan bekas rakan kongsi syarikat produk kecantikan dan penjagaan kulit Ferra Kosmo Look diselesaikan dengan baik.

Menurut Erra, dia telah membayar sejumlah wang kepada pihak terbabit untuk tidak memanjangkan kemelut tersebut.

"Ia telah selesai. Akhirnya, saya kena membayar sejumlah wang. Itu semua cerita lama. Saya tidak ingin kecoh-kecoh mengenainya lagi sehingga menyebabkan perkara menjadi lebih rumit.

"Oleh itu, saya bayar sejumlah wang dan menyelesaikannya dengan baik. Saya gembira untuk menyatakan saya tidak lagi bersama syarikat itu," katanya kepada MStar Online.

Erra berkata, isu saman tidak timbul selepas pembayaran tersebut yang berjumlah puluhan ribu ringgit tetapi dibahagikan kepada tiga pihak.

"Saman tidak akan ada lagi sebab saya bayar. Orang lain salah membuat sesuatu tetapi nama saya yang terjejas. Ini yang saya tak nak tetapi ia berlaku juga. Jadi saya bayar," katanya.

Sebelum ini, Erra dan bekas rakan kongsinya pernah menjalankan usaha sama menghasilkan produk kecantikan dan penjagaan kulit di bawah jenama tersebut.

Ketika itu, menurutnya, walaupun telah lebih setahun menarik diri daripada usaha sama tersebut, namanya masih lagi digunakan oleh syarikat tersebut.

Difahamkan Erra telah mengemukakan surat permohonan untuk menarik diri daripada kolaborasi tersebut namun hingga ke tarikh tertentu belum mendapat hitam putih mengenai status permohonannya itu.

Dan produk itu juga masih dijual dan nama jenama tersebut tidak ditukar dan masih lagi menggunakan Ferra Kosmo Look. Erra dilaporkan kecewa apabila pelanggan produk tersebut sering merujuk kepadanya.

Justeru, dia bercadang untuk melantik seorang peguam untuk meneliti isu tersebut.

Sementara itu, mengenai perkembangan semasanya, Erra memberitahu, dia masih mempunyai rakaman 13 episod siri televisyen dengan Astro untuk tahun ini.

"Kalau ada skrip yang bagus. Saya akan mengambil peluang tersebut," katanya yang lebih memfokus kepada familinya.

Erra akan menyiapkan albumnya di bawah naungan Suria Records Sdn Bhd (SRC).

Guru Agama Beri Buku Panduan Solat Kepada Ariel

Posted: 04 Jul 2010 03:36 AM PDT

Band Indonesia, Peterpan terdiri daripada (dari kiri) Reza, Ariel, Uki dan Lukman.

KETIKA melawat Ariel di penjara Mabes Polis Republik Indonesia (Polri) Jumaat lalu, vokalis Nidji, Giring mengajak guru agamanya Ustaz Lukman.

Guru agama itu memberikan buku panduan solat kepada Ariel. Selain itu, guru agama itu sempat berbual dengan Ariel dan menyarankan lelaki itu selalu bersabar.

"(Buku yang diberikan) berkaitan tentang kesabaran. Seluruh yang diberikan Allah ada maksudnya. Supaya dia ada semangat," kata Lukman di luar Mabes Polri, Jalan Trunojoyo, Jakarta Selatan kepada detikhot.com.

Ariel kelihatan senang ketika didatangi oleh Ustaz Lukman. Lebih-lebih lagi Giring membawa rendang yang dimasak oleh ibu saudaranya.

"Dia senang menerima kedatangan saya. Mungkin kerana saudara muslimnya datang," jelas Ustaz Lukman.

Taylor Lautner Masih Potong Rumput Sendiri

Posted: 04 Jul 2010 03:36 AM PDT

Aktor Taylor Lautner hadir ke tayangan filem, Twilight Saga: Eclipse di The Crosby Street Hotel pada 28 Jun 2010 di New York City.

PELAKON siri Twilight, Taylor Lautner yang menjadi pujaan gadis-gadis seantero dunia rupa-rupanya gemar menjalani hidup sederhana dan jauh daripada dunia glamor.

Biarpun dikenali ramai, aktor 18 tahun itu lebih selesa tinggal di rumah ibu bapanya berbanding berpindah ke apartmen atau rumah yang lebih mewah seperti bintang-bintang filem muda yang lain.

Pelakon watak Jacob Black itu rajin membantu ibu bapanya melakukan kerja rumah.

"Saya membantu memotong rumput, membuang sampah dan mencuci," kata Taylor kepada ndtv semalam.

Kedua-dua orang tuanya tidak memberikan apa-apa keistimewaan meskipun kini dia menjadi bintang terkenal.

"Bila pulang ke rumah, saya masih mempunyai pekerjaan tambahan yang harus dilakukan," ujar Taylor.

Taylor sangat mencintai kehidupan di rumah dan ingin mempertahankan kehidupan normal seperti itu sebaik mungkin.

"Ini sangat penting kepada saya kerana saya hidup dalam dua dunia yang berbeza. Saya memiliki kehidupan ini dan melakukan apa-apa yang saya suka. Tapi saya juga ada kehidupan biasa seperti sebelumnya dan tidak ada apapun yangberubah," kata Taylor.

Taylor pernah berlakon dalam The Adventures of Sharkboy and Lavagirl dan Cheaper by the Dozen 2.

Lindsay Lohan Diserang Pelayan Wanita

Posted: 04 Jul 2010 03:35 AM PDT

AKTRES Hollywood, Lindsay Lohan (gambar) yang genap 24 tahun pada Jumaat lalu mendakwa dia diserang seorang pelayan wanita ketika menjamu selera di sebuah restoran.

Media melaporkan Lohan mendakwa dia diserang tanpa sebab yang munasabah.

"Seorang pelayan wanita serang saya dengan menumbuk saya sesuka hati," Lohan menulis pada laman blog mikronya, Twitter.

Bagaimanapun, Lohan tidak mempunyai apa-apa rancangan meraikan hari jadinya secara "liar" kerana dia masih memakai gelang tangan yang memantau pengambilan alkohol.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana memakai gelang tangan itu dan tidak mempunyai wang," seorang rakan Lohan berkata.

Lohan dijangka hadir di mahkamah pada Selasa ini bagi membolehkan mahkamah menentukan sejauh mana dia mematuhi larangan yang dikenakan terhadapnya.

Kareena Susun Buku, Alat Tulis Untuk Didermakan

Posted: 04 Jul 2010 03:33 AM PDT

Kareena Kapoor.

AKTRES Bollywood, Kareena Kapoor yang sibuk dengan penggambaran sanggup meluangkan masa untuk menyusun buku, alat tulis untuk didermakan kepada pertubuhan bukan kerajaan.

Sumber memberitahu, Kareena membuat kerja amal tersebut untuk menggalakkan pendidikan.

Aktres jelita itu sedang menjalani penggambaran filem Agent Vinod arahan Saif Ali Khan di Morocco.

"Kareena berasa terpanggil untuk membantu sebarang usaha untuk mendidik kanak-kanak. Walaupun berada di Morocco, dia selalu membuat panggilan telefon ke India untuk mengkordinasikan buku-buku yang dihantar ke rumah anak yatim piatu dan institut pembelajaran," kata sumber itu.

Baru-baru ini, Kareena menyertai kempen sedunia Education-1Goal sebagai duta dari India. Kempen itu menyokong usaha menyediakan pendidikan kepada 72 juta kanak-kanak yang tidak berpeluang mendapat pendidikan.

Kembara Amal Tahunan Malakoff Kumpul RM137,500

Posted: 04 Jul 2010 03:27 AM PDT

Malakoff menyampaikan sumbangan bernilai lebih RM137,000 kepada sembilan rumah kebajikan selesai Kembara Amal Tahunan Malakoff baru-baru ini.

MALAKOFF Corporation Berhad (Malakoff) berjaya mengumpulkan RM137,500 menerusi Kembara Amal Tahunan 2010 yang disertai 111 penunggang basikal melibatkan kembara sejauh 530 kilometer meliputi Kota Baru-Kuala Terengganu-Tanah Merah-Kota Baru baru-baru ini.

Dianjurkan buat kali kelima tahun ini, kembara bertema 'Beramal melalui Sukan' itu dianjurkan dengan sokongan kewangan daripada rakan kongsi perniagaannya termasuk penaja terbesar, Rangkai Positif Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan DRB-Hicom yang juga kontraktor operasi dan penyelenggaraan Stesen Jana Kuasa Tanjung Bin milik Malakoff.

Syarikat lain termasuk Allianz General Insurance, CIMB Group, Sterling Insurance Brokers, Alstom Power, Bank Rakyat, Gas Malaysia, Global E-Technic, GP Mech Engineering dan Ranhill Powerton.

Kesemua dana yang berjaya dikumpulkan itu akan disumbangkan kepada Persatuan Autism Kebangsaan (Nasom), Pusat Rawatan Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Madrasah Tahfiz Darul Islah, Baitul Taubah, Pusat Jagaan Harian Warga Emas Kemumin, Majlis Pemulihan Negeri Kelantan, Persatuan Sindrom Down Terengganu, Pusat Rawatan Dialisis Islah dan Pusat Tahfiz Ribath Pulau Manis.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Malakoff, Yusop Rashid berkata, sejak dimulakan lima tahun lalu sumbangan daripada rakan-rakan kongsi perniagaan turut meningkat daripada RM47,900 pada 2006 kepada RM73,880 tahun lalu dengan koleksi tertinggi sebanyak RM137,500 tahun ini.

Lebih 100 peserta berkumpul sebelum memulakan perjalanan tiga hari menunggang basikal untuk kebajikan.

Sehingga kini, katanya, sejumlah RM366,780 telah disumbangkan kepada 36 buah pusat rawatan, rumah perlindungan, sekolah dan rumah anak-anak yakim seluruh negara termasuk Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu.Menurut Yusop, Kembara Amal Tahunan Malakoff mengeratkan lagi hubungan kakitangan dan rakan kongsi dari pelbagai latar belakang menerusi acara sukan mencabar selama tiga hari dan meluangkan masa bersama golongan kurang bernasib baik.

"Aktiviti ini merupakan sebahagian Perkongsian Komuniti Malakoff yang percaya bahawa pertalian persahabatan mampu wujud di sepanjang perjalanan kembara amal ini.

"Justeru, kami mengambil tiga pendekatan untuk melaksanakan aktiviti amal iaitu menerusi aktiviti sukan komuniti, pendidikan dan memulihara alam sekitar," katanya.

MCB merupakan pengeluar kuasa dan air bebas terbesar negara dengan kapasiti penghasilan sebanyak 5,020 MW daripada enam stesen janakuasa dengan fokus utama terhadap penjanaan kuasa, penyahmasinan air dan perkhidmatan operasi serta penyelenggaraan.

Bercakap selepas sesi taklimat untuk penunggang, Pengarah Urusan Algotech (M) Sdn Bhd, Ir. Jack Tan berkata, kepuasan menyertai aktiviti tersebut bukan sekadar kemeriahan menunggang beramai-ramai malah kemampuan membantu mengumpul derma untuk rumah kebajikan memerlukan.

"Kami sangat gembira dapat menyertai aktiviti ini. Di samping menempuhi laluan mencabar dengan sekumpulan rakan-rakan, kami juga dapat menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan melalui kawasan luar bandar itu nanti," tambah penunggang berusia 54 tahun itu.

Guna Internet tawar pakej

Posted: 04 Jul 2010 03:27 AM PDT


RAKYAT negara ini hanya perlu mengakses Internet bagi mendapatkan ejen yang akan menguruskan pernikahan mereka di selatan Thailand.


KUALA LUMPUR - Kewujudan ejen-ejen tempatan yang menguruskan perkahwinan pasangan Islam secara rahsia dipercayai punca semakin ramai rakyat tempatan termasuk selebriti dan orang kenamaan bernikah di selatan Thailand.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, terdapat pelbagai laman web memaparkan pakej yang ditawarkan oleh ejen tersebut berpusat di Perak dan Lembah Klang tanpa memerlukan pasangan terbabit menguruskannya sendiri di selatan Thailand.

Dengan kadar bayaran di antara RM1,000 hingga RM3,000, rakyat negara ini yang mahu bernikah di Songkhla, Narathiwat, Yala dan Patani diuruskan sepenuhnya oleh ejen tersebut di negara ini.

Pakej tersebut meliputi perkhidmatan pengangkutan, khidmat membeli-belah selepas bernikah, memastikan memperoleh sijil nikah daripada majlis agama dan Konsulat Malaysia di Thailand dalam sehari dan pelbagai lagi. Antara laman web berkenaan ialah http://wan*****.blogspot.com.

Menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Aini Atan, sebanyak 999 daripada 1,321 permohonan yang diterimanya dari Januari hingga Mei tahun ini melibatkan rakyat Malaysia yang berkahwin sesama negara.

Mak Pah dakwa operasi RTK sah

Posted: 04 Jul 2010 03:26 AM PDT


BEBERAPA penghuni Rumah Titian Kasih Titiwangsa leka bermain di luar Rumah Titian Kasih di Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pengendali Rumah Titian Kasih (RTK) di Titiwangsa di sini, Sharifah Adlan menafikan rumah kebajikan tersebut tidak memperoleh kelulusan daripada Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Syarifah atau Mak Pah sebaliknya mendakwa, rumah kebajikan itu telah lama mendapat kelulusan kedua-dua jabatan tersebut malah mendapat pengecualian cukai daripada pihak berkuasa.

"Masalah yang timbul ialah kami belum dapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran masalah mendapatkan pelan lantai.

"Lagipun jika RTK beroperasi secara tidak sah, mengapa tiada tindakan dikenakan sepanjang 12 tahun RTK beroperasi," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Dua wanita dilantik hakim syarie

Posted: 04 Jul 2010 03:25 AM PDT




KUANTAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan buat julung-julung kalinya pelantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Pelantikan ini bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa," katanya pada majlis Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini semalam.

Drama cinta Fasha-Jejai

Posted: 04 Jul 2010 03:25 AM PDT


MAC lalu, Fasha pernah memakai cincin yang hampir sama dengan cincin yang didakwanya dihadiahkan Jejai kepadanya Mei lalu.


BERNAMA Fasha Sandha barangkali sudah memekakkan telinga dan mengebalkan pemiliknya untuk dinista dengan kata tohmahan. Katalah apa sahaja, dia sudah lali. Semakin banyak kontroversi yang melanda, semakin petah lidahnya berkata-kata.

Barangkali juga, sementara menunggu sesuatu yang lebih besar untuk ditempuh, sesuatu yang mungkin ditunggu-tunggu untuk membuktikan itulah takdir hidupnya, Fasha, 26, buat pertama kalinya mengaku secara terang-terangan bahawa hati dan cintanya sudah dimiliki lelaki bergelar Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 40, bukan pemain polo negara, Qabil Ambak, bukan juga lelaki-lelaki yang pernah didekati dan cuba mendekatinya selama ini.

Sebetulnya, pengakuan itu sesuatu yang sudah lama dituntut daripada Fasha, terutama sejak Rizal menceraikan pelakon Nora Danish, dua tahun lalu.

Selama ini, dia tidak berhajat untuk kisah peribadinya yang satu itu didedahkan. Biarpun kemesraan mereka terbukti di mata ramai, jawapan 'sedang mendekati hati budi' sudah terbiasa sangat meluncur di bibir Fasha.

Cuma, baru-baru ini, percintaan antara Fasha bersama duda yang mesra dipanggil Jejai itu memuncak apabila wujud Tiz Zaqyah yang menjadi nama ketiga di antara mereka. Perang siber diletuskan oleh Fasha menuduh Tiz sebagai penggugat cintanya kerana membuat panggilan dan mengajak Jejai keluar ketika embun menitik pada pukul 3 pagi.

Lantas apabila pengakuan bahagia Fasha dibuat pada satu majlis pelancaran drama bersiri, Duyung Aridinata yang turut menampilkan dirinya sebagai pelakon utama, Rabu lalu, perlakuannya mudah membidik pertanyaan.

Mencuri tumpuan dengan satu 'sidang media kecil' yang akhirnya menjadi tajuk muka depan di hampir semua surat khabar harian, 'drama sebabak' Fasha memang berbaloi kerana namanya kembali terpasak ke satu Malaysia. Khalayak tahu, lebih setahun lalu, Fasha berdepan zaman gelap dan lenyap daripada paparan media sebagai hukuman.

Terfikir juga adakah pengakuan itu sengaja dilancarkan sebagai langkah berjaga-jaga atau jaminan 'kesejahteraan' hubungannya dengan Rizal supaya jangan ada sebarang percubaan untuk mendekati Rizal di hati sesiapa sahaja.

"Tidak ada sesuatu yang terjamin dalam dunia ini biarpun sudah berkahwin. Saya gembira kerana hidup saya kembali stabil dan saya kembali sibuk dengan jadual penggambaran.

"Jadi saya fikir, inilah masa yang sesuai untuk saya berkongsi kegembiraan saya dengan semua," itu jawab Fasha yang terdahulu enggan memberi sebarang komen berhubung kemunculan Tiz yang dikatakan punca pengakuan dilafazkan.

Akuinya juga: "Saya mengaku bahawa Jejai adalah kekasih saya bukan berniat untuk memberi amaran, oh! dia kini milik saya, jadi jangan kacau! Bukan begitu, tapi sekarang masa yang paling tepat."

Membuka susur cintanya, Fasha mengenali Rizal sejak tujuh tahun lalu sebelum anak Tan Sri Ramli Ngah Talib itu masih belum mengahwini Nora. Hubungan mereka turun-naik, dalam masa yang sama dilamar ramai lelaki yang ingin menyuntingnya sebagai suri.

"Selepas dia datang menemui saya di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada 18 Mei lalu setelah dua bulan kami tidak bertemu. Usahanya jelas menampakkan kesungguhan memiliki hati saya. Selama ini tidak pernah ada lelaki lain yang melakukan sesuatu yang begitu istimewa seumpama itu terhadap saya.

"Ketika itu, secara rasminya saya menerimanya sebagai kekasih," ujar Fasha yang turut diberikan sebentuk cincin berlian tanda kasih oleh Rizal pada pertemuan di pulau berkenaan.


RIZAL, lelaki yang kini bertakhta di hati Fasha.


Memerhatikan cincin yang dinyatakan, rasanya kelibat Fasha bercincin yang sama pernah disaksikan ketika sidang media Spa Qistina, Mac lalu. Apa pun, cincin di jari manis sudah tersarung, Fasha dan Rizal bagaimanapun belum serius untuk berkahwin.

Atas dasar itu juga, penerimaan keluarga kedua-dua belah pihak bukan sesuatu harus diambil peduli. Itu tegas Fasha. Katanya, keluarga bersetuju atau tidak, mereka tetap keluar bersama dan lebih daripada segala-galanya, mereka kini sedang berbahagia.

Katanya lagi: "Saya pernah mengakui hendak berkahwin tetapi tidak jadi juga. Kali ini, saya tidak mahu berbahagi harapan."

Indahnya asmara Fasha. Sambil tersenyum puas mengetepikan keraguan, tambahnya: "Saya pasti ada yang tidak suka dengan pengakuan ini. Jika sebelum ini ada yang menuduh saya sebagai perampas, saya okey sahaja. Saya mengakui atau tidak, orang akan tetap mengata, jadi lebih baik saya mengaku sahaja."

Di hujung pengumuman tergemparnya, Fasha ditanya sama ada Rizal itu cinta sejatinya. Dia mengiakan tetapi berat hati untuk meluahkan, takut dituduh keterlaluan membuka cerita.

"Apa yang boleh saya katakan, dialah cinta kedua saya selepas cinta pertama saya bersama Shahril ketika zaman kolej dahulu terputus sekian lama.

"Sekarang dialah (Jejai) orang paling istimewa dalam hidup saya. Saya harap pengakuan ikhlas saya ini boleh diterima semua pihak, " akhiri Fasha yang menafikan memutik cinta bersama Jejai kerana tertarik dengan kekayaan keluarga lelaki itu.

Elyana sibuk persiapan kahwin

Posted: 04 Jul 2010 03:24 AM PDT


ELYANA meluahkan rasa pening kepala mahu membuat persediaan perkahwinannya. Dia malah mengaku kesemua aspek kreatif dalam resepsinya adalah sentuhan buah fikir teman-teman baiknya.


"DULU saya dengar orang cakap, proses persiapan kahwin memeningkan kepala. Saya tertanya-tanya apakah yang memeningkan itu?

"Fikir saya, beri sahaja tugasan kepada perancang perkahwinan, insya-Allah semuanya akan selesai. Rupa-rupanya memang memeningkan kepala.

"Saya tidak tahu apa yang patut dimulakan dahulu. Sekarang, barang hantaran pun belum dibeli," ujar penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23.

Dia masih merahsiakan tarikh perkahwinannya. Biar semuanya lancar dahulu, ujarnya. Namun, dalam tawa dan bunyi di hujung suaranya dalam talian telefon, dia sedang berbahagia bercampur debaran menunggu tarikh penting tersebut.

Dalam masa yang sama, dia sibuk merencana kembali album terbarunya bersama label FMC. Kembali menjadi artis syarikat rakaman tersebut, Elyana yang mesra dipanggil Nana itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama label tersebut.

"Sekarang saya kembali sibuk dengan pertunjukan pentas. Baru sahaja mahu masuk studio untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, mentor saya.

"Untuk album terbaru saya nanti, konsep masih sama cuma akan ada lebih kematangan dari aspek muzik dan lirik. Tetapi masih catchy seperti lagu-lagu yang dulu," katanya.

Penyanyi yang aktif berlakon ini turut menyatakan dirinya tidak terlalu memilih watak yang diberikan kepadanya. Namun, dia ada cara untuk memilih produk atau watak yang bakal dilakonkan.

"Saya ikut gerak hati. Kalau gerak hati kata okey, saya terima dan sebaliknya. Saya terima watak yang boleh saya bawa. Walaupun diberikan jumlah wang yang besar untuk watak yang saya rasa tidak boleh bawa, saya tidak akan terima," jujurnya yang pernah muncul dalam filem Gong, Dukun dan drama Dunia Baru serta Renjis.

Ariel minta gitar

Posted: 04 Jul 2010 03:24 AM PDT


ARIEL


PENAHANAN Ariel di ibu pejabat polis Indonesia untuk siasatan kes video porno ternyata tidak menghentikan aliran seni yang berada dalam darah vokalis Peterpan ini.

Bahkan Ariel yang dikatakan mempunyai 32 rakaman video seks ini meminta gitar untuk menjadi temannya sepanjang berada dalam tahanan. Ariel seperti mempunyai idea segar untuk dibuahkan menjadi lagu.

"Dia sangat mahukan gitar dan katanya dia ingin membuat lagu sepanjang penahanannya.

"Dia meminta gitar daripada saya sewaktu saya menjenguknya tetapi saya harus minta izin polis dahulu," ujar OC Kaligis yang bertindak sebagai jurucakap dan peguam Ariel.

Menurut OC, walaupun berada di dalam penjara, keinginan Ariel untuk bermuzik tidak pernah padam.

Ariel begitu berharap permintaannya dapat dipenuhi kerana dia tidak mahu berhenti berkarya.

Ariel turut memberi jaminan yang dia akan menyiapkan beberapa buah lagu jika diberikan gitar.

Nikah Megan dan Brian

Posted: 04 Jul 2010 03:23 AM PDT


MEGAN FOX akhirnya menjadi isteri Brian Austin Green.


PELAKON berbadan menggiurkan dan berwajah seksi, Megan Fox nekad menamatkan zaman bujangnya dan menjadi Mrs. Green setelah menikahi pujaan hatinya di tepi pantai Hawaii sewaktu matahari terbenam.

Megan memutuskan untuk menikahi Brian Austin Green setelah dua kali mengikat tali pertunangan. Sumber terdekat mengesahkan pernikahan mereka diadakan di sebuah pusat peranginan mewah, Hotel Four Seasons yang pernah dilawati oleh pasangan tersebut.

Megan dan Brian mengikat cinta pada tahun 2004. Brian dikatakan melamar permaisuri hatinya pada 1 Jun lalu.

Resepsi perkahwinan mereka dirahsiakan namun pasangan tersebut meminta pasukan keselamatan dan pihak polis tempatan supaya menjaga keamanan pesta meriah mereka.

Saif Ali Hugh Jackman India

Posted: 04 Jul 2010 03:22 AM PDT


SAIF ALI KHAN


MASUK ke dunia Bollywood, awal-awal lagi Putera Pataudi dari Benggal ini dilihat sebagai aktor yang bakal menyinar. Lapan tahun dalam industri, Saif Ali Khan kini tersenarai sebagai bintang kelas A di Bollywood.

Terbaru, Saif menarik perhatian seorang pembikin filem dari Britain, John Harris yang benar-benar serius untuk menyunting Saif sebagai hero untuk filemnya.

Ini diakui pengarah filem The Descent 2 yang juga penyunting puluhan filem Hollywood termasuk The Pond, Eden Lake, Stardust, Snatch, Kick-Ass dan filem yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, X-Men: First Class itu. Sebelum ini, John sendiri pernah membuat kerja suntingan sebuah filem Bollywood, Being Cyrus, arahan Homi Adajania lakonan Saif Ali Khan.

Ditanya dalam satu temu ramah mengenai calon hero Bollywood yang ingin diambilnya bekerja, John cepat-cepat menyebut nama Saif.

"Kami tidak pernah bertemu, saya cuma melihat lakonannya daripada filem yang saya sunting. Sejak itu, saya memasang cita-cita mahu bekerjasama dengannya suatu hari nanti.

"Dia memiliki pesona yang unik. Dia boleh kelihatan muda dan dalam masa yang sama menjadi lelaki yang sangat matang. Saya ingin memanggilnya ke uji bakat filem seram terbaru saya, malangnya filem berkenaan tidak ada karakter lelaki yang dominan.

"Saya melihat Saif sebagai Wolverine iaitu Hugh Jackman versi India. Jika ada peluang, saya memang berhajat untuk bekerja dengannya dalam projek yang akan datang," akui John Harris kepada wartawan di India.

230 maut lori minyak meletup di Congo

Posted: 04 Jul 2010 03:19 AM PDT


SEORANG wanita membawa keluar anaknya dari kawasan kejadian letupan sebuah lori tangki minyak di wilayah Sud Kivu kelmarin.


KINSHASA - Sekurang-kurangnya 230 orang dikhuatiri maut dan 190 lagi cedera apabila sebuah lori tangki membawa muatan penuh minyak meletup dan membakar sebuah perkampungan terpencil di wilayah Sud Kivu, timur Congo lewat kelmarin.

Menteri Komunikasi, Mende Omalanga berkata, nahas berlaku apabila lori dari Tanzania yang dipandu laju itu terbabas ketika cuba memotong sebuah bas di Sange dekat sempadan Congo-Burundi kira-kira pukul 6 petang Jumaat (11 malam waktu Malaysia kelmarin).

Kebanyakan mangsa ketika itu sedang menonton perlawanan Piala Dunia 2010 antara Belanda dengan Brazil dan mereka dipercayai terbunuh apabila disambar api semasa mencuri limpahan minyak yang tumpah dari lori berkenaan.

"Ramai mangsa ialah kanak-kanak yang tidak sempat melarikan diri ketika lori itu meletup dan semasa pihak polis tiba, puluhan mayat bergelimpangan di kawasan kemalangan," kata pegawai Palang Merah wilayah tersebut, Leonard Zigade.

Sekumpulan anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kebetulan berada dekat kampung itu turut membantu membawa mangsa terselamat ke beberapa buah hospital dengan tiga buah helikopter.

Miyabi mahu berlakon dengan Ariel

Posted: 04 Jul 2010 03:18 AM PDT


Maria Ozawa


JAKARTA - Bintang filem pornografi terkenal dari Jepun, Maria Ozawa menawarkan diri untuk berlakon bersama dengan penyanyi popular Indonesia, Ariel Peterpan kerana tertarik apabila melihat susuk tubuh dan ketampanan wajahnya, lapor akhbar Kompas semalam.

Dia yang terkenal dengan panggilan Miyabi dan pernah mencetuskan kontroversi menerusi beberapa buah filem berbaur lucah berkata, Ariel memang diminatinya bukan kerana skandal klip video seks dengan aktres Luna Maya dan Cut Tari.

"Saya tertarik kerana dia memiliki fizikal tubuh impian wanita dan bukan sebab isu penyebaran video panas itu," kata Maria, 23, yang mendakwa kes Ariel, 29, mendapat perhatian di Jepun dan ramai bersimpati dengan nasib lelaki itu.

Model kacukan Jepun-Kanada-Perancis itu berkata, jika berpeluang dia mahu berlakon dengan Ariel dalam filem genre seram, komedi atau romantis kerana dia sudah meninggalkan bidang pornografi tiga tahun lalu.

Buaya merayau di bandar lewat malam

Posted: 04 Jul 2010 03:18 AM PDT


SEEKOR buaya yang berjaya ditangkap anggota polis Jerman kelmarin dipercayai dari sebuah sarkas tempatan.


BERLIN - Penduduk sebuah bandar kecil di Jerman gempar apabila melihat seekor buaya merayau-rayau di jalan raya pada lewat malam kelmarin sebelum segera menghubungi balai polis tempatan, kata pihak berkuasa di Gross-Rohrheim semalam.

Buaya sepanjang semeter itu berjaya ditangkap oleh dua anggota polis selepas menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi daripada seorang pejalan kaki ketika reptilia itu sedang berehat di hadapan sebuah kedai motosikal di pusat bandar tersebut.

"Pada mulanya kami ketawa kerana menyangka pemanggil itu mungkin mabuk tetapi kemudian mendapati ia memang buaya yang dipercayai terlepas dari sebuah sarkas berdekatan," kata jurucakap polis, Ferdinand Derigs.

Gelora gadis sunti

Posted: 04 Jul 2010 03:17 AM PDT




NADIA, 11 (bukan nama sebenar), ketagihan seks selepas diperkosa oleh seorang lelaki berusia 30-an yang menawarkan untuk menghantarnya pulang dari sekolah akhir tahun lepas.

Selepas insiden tersebut, Nadia mengakui perlakuannya mula berubah. Dia semakin aktif mencari kenalan siber khususnya lelaki dan gemar menghabiskan masa dengan rakan-rakan sama ada di sekolah mahupun di kawasan kejiranan tempat dia tinggal.

Gelora nafsunya tidak dapat dikawal apabila ada di kalangan rakan siber yang baru dikenalinya mengajaknya berjumpa dan melakukan hubungan seks.

Kenikmatan yang diperoleh daripada pengalaman lalu menjadikan Nadia tidak berfikir panjang.

"Saya mahu rasa apa yang saya pernah rasa dahulu. Ia adalah keseronokan yang sukar digambarkan," ujarnya yang ditemui Jurnal di sebuah rumah perlindungan di ibu kota minggu ini.

Menyambung kisah hidup kanak-kanak ini, selepas berjumpa dengan lelaki belasan tahun yang baru dikenalinya di alam siber, boleh dikatakan setiap minggu mereka bertemu.

Dua bulan selepas berkenalan, mereka mula menjalin hubungan seks. Lokasinya boleh jadi di mana saja, sama ada di rumah lelaki terbabit mahupun di dalam kereta.

Nadia terus hanyut apabila ketagihannya memuncak selepas mencapai akil baligh pada usia 11 tahun.

Bahkan, dia akui pernah melayan sembilan lelaki dalam satu masa.


PELAJAR perempuan yang bermasalah seperti kerap ponteng berisiko tinggi untuk terjebak dalam kancah seks.


Tersisih

"Saya hamil hasil daripada hubungan seks rambang itu. Sebelum ini, saya hanya menganggapnya sebagai aktiviti yang menyeronokkan.

"Saya tidak sangka dan tidak tahu perbuatan itu boleh menyebabkan saya mengandung," katanya yang memiliki tubuh seakan pelajar sekolah menengah.

Ditanya punca jalan hidupnya tercorak begitu, mudah sahaja jawapan kanak-kanak ini.

"Saya sering berasa tersisih apabila berada dalam keluarga. Saya hanya dua beradik dan adik lelaki baru berusia empat tahun.

"Sebelum ada adik, saya tinggal dengan nenek kerana emak dan ayah sibuk bekerja. Selepas nenek meninggal, saya tinggal dengan mereka ketika berumur sembilan tahun.

"Emak dan ayah selalu melebih-lebihkan adik saya. Saya tertekan apabila selalu diminta mengalah dan diherdik walaupun melakukan kesalahan kecil.

"Sebab itu saya lebih suka keluar dengan rakan-rakan selepas waktu sekolah. Mak dan ayah tak tahu sebab mereka bekerja hingga lewat petang," katanya yang kini hamil empat bulan.

Kisah Nadia adalah sesuatu yang mengejutkan bagi insan semudanya.

Gejala seks bawah umur khususnya budak sekolah rendah dilihat semakin membimbangkan dengan wujudnya kes-kes ekstrem seperti ini.

Aib

Jika sebelum ini kita sering membaca kes-kes perlakuan seks di kalangan kanak-kanak disebabkan menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual, namun kini keadaan semakin berubah.

Golongan yang masih mentah ini sudah terdedah untuk terlibat secara sukarela dalam kancah seks bawah umur.

Pada 26 Jun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan, sehingga April tahun ini, ia telah menerima sebanyak 111 laporan kehamilan di kalangan remaja berbanding 131 kes sepanjang tahun lepas.

Angka itu turut menunjukkan peningkatan kerana pada tahun 2008, hanya 107 kes remaja hamil bawah umur dilaporkan.

Dua hari kemudian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengeluarkan statistik perangkaan kes-kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol melibatkan kanak-kanak. Bagi tahun ini, dari Januari hingga Jun, sebanyak 2,193 kes telah dilaporkan.

Statistik tersebut dilihat meningkat dua kali ganda daripada 2,236 kes pada tahun 2005 dan 5,744 kes pada tahun 2008.

"Jika ada yang terkejut melihat statistik ini, percayalah, ia hanya sebahagian kecil daripada angka sebenar.

"Banyak kes yang tidak dilaporkan kerana keluarga selalu menganggap ia sesuatu yang memalukan apatah lagi jika perlakuan itu mengakibatkan kehamilan di luar ikatan perkahwinan," ujar Ketua Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong.

Tambah beliau, ramai remaja yang terlibat dalam kancah ini enggan ke depan apatah lagi memikirkan rasa takut dan aib yang perlu ditanggung sekiranya perbuatan mereka diketahui keluarga dan masyarakat.


MICHAEL CHONG


"Mereka hilang arah dan sebahagiannya memilih untuk lari dari rumah atau menghadapi konflik secara sendirian.

"Apabila berada dalam keadaan terdesak, mereka bijak berlakon supaya semuanya kelihatan seperti biasa. Malah, ada di kalangan mereka, khususnya yang terjebak dalam seks bawah umur mampu menyembunyikan kehamilan itu daripada keluarga dan masyarakat," ujarnya yang mengendalikan tiga kes jenayah seksual tahun ini.

Kehamilan di kalangan remaja boleh terjadi atas beberapa sebab.

"Dalam beberapa kes yang saya kendalikan, ramai gadis mengakui mereka melakukannya secara sukarela kerana yakin dengan cinta selain janji manis teman lelaki yang akan bertanggungjawab.

"Bagi kes yang disyaki terdapat unsur paksaan atau rogol, saya akan melaporkannya kepada polis," ujarnya yang juga Penasihat dan Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ragut masa depan

Minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina di Pulau Pinang melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun melahirkan seorang bayi lelaki hasil mengadakan hubungan seks dengan remaja 14 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Biarpun pihak berkuasa enggan mengesahkan perkara tersebut, masyarakat tidak boleh menganggapnya sebagai warna-warni kehidupan sahaja sebaliknya sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak perkara seperti itu daripada terus berleluasa.

Sementara itu, wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Youssouf Mohammad Oomar memberitahu, kehamilan pada awal usia remaja berpotensi meragut masa depan mereka.

"Terpaksa berdepan dengan pandangan serong masyarakat, kehamilan luar nikah akan menjadi beban emosi dan psikologi kepada mereka.

"Keadaan lebih buruk jika mereka memikirkan tiada pilihan lain kecuali menggugurkan kandungan secara haram yang boleh mengancam nyawa atau melahirkan anak tersebut," katanya.


REMAJA yang hamil luar nikah cenderung untuk melakukan pengguguran haram bagi mengelak keluarga menerima aib.


Tambah Youssouf, selain peluang menyambung pelajaran semakin menipis, mereka juga berdepan risiko kesihatan hasil hubungan kelamin yang tidak selamat hingga mengakibatkan kehamilan.

"Secara jelas, kehamilan di kalangan kanak-kanak adalah berpunca daripada aktiviti seksual tanpa sebarang perlindungan sama ada secara sukarela atau tidak.

"Selain mengandung yang dianggap sebagai isu pokok, masalah kesihatan yang lain perlu diambil kira.

"Mereka mungkin terdedah kepada risiko jangkitan penyakit seperti HIV atau penyakit kelamin yang lain," ujarnya.

Potret misteri banduan akhir

Posted: 04 Jul 2010 03:16 AM PDT


SEBAGAI tempat untuk menghukum penjenayah, entiti' 'Penjara Pudu adakalanya datang mengganggu.


"AKU ingat kalau hangpa (kamu) kena ganggu macam ni, mau terkencing dalam seluar dan silap hari bulan boleh demam seminggu." Begitulah kata-kata seorang warden penjara yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran Ahmad Mohd. Jais saat dia melawat Penjara Pudu pada tahun 1996 selepas penjara itu dikosongkan.

Ahmad, 49, memberitahu, warden tersebut yang merupakan sahabatnya mendakwa, warden-warden penjara selalu menerima gangguan di pondok kawalan mereka bertugas.

"Di pondok kawalan inilah ramai warden yang bertugas pada waktu malam selalu menerima gangguan. Ada ketikanya kerusi dalam pondok kawalan ini terbang keluar seolah-olah dibaling atau dicampak keluar oleh seseorang, walhal pada masa itu tiada siapa di dalamnya," kata Ahmad kepada Jurnal baru-baru ini.

Potret misteri

Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila tembok penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun lalu.

Dalam tempoh lebih seabad, ramai banduan yang dihukum mati di Penjara Pudu termasuk penjenayah-penjenayah terkenal dalam lipatan sejarah negara. Dari 1960 hingga 1993 sahaja, seramai 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati.

Pada tahun 1996, Penjara Pudu ditutup manakala banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.

Seorang bekas penghuni Penjara Pudu yang hanya mahu dikenali sebagai Nasyitah menceritakan kisah seram yang pernah didengarinya di penjara itu. Ia tentang potret misteri.

"Ia berkisar tentang seorang banduan akhir iaitu panggilan untuk banduan yang akan dihukum mati.

"Dia banduan yang pandai melukis. Dia melukis potretnya sendiri di dalam selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden memberitahu, lampu di bilik sel itu akan terpadam dan ia akan sentiasa gelap. Dalam kegelapan itu, potret itu akan bercahaya seolah-olah ia hidup.

"Banyak orang mengadu melihat bayang-bayang berkeliaran. Lebih menyeramkan, bilik sel itu berdepan dengan sel saya," katanya yang mendakwa banduan akhir itu ialah seorang wanita.

Ada juga yang mendakwa bahawa potret wanita itu juga akan 'menangis' apabila hari penggantungan seseorang itu semakin hampir.


PENJARA Pudu akan dirobohkan sepenuhnya bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial.


Walaupun hanya sempat ditahan di penjara itu selama dua hari, namun Nasyitah yang ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi jalanan dapat merasai keseraman suasana di situ.

"Saya takut. Apabila warden itu ingin membawa kami melihat sel itu, empat orang rakan saya pergi tengok, saya sahaja tidak mahu tengok. Seram.

"Kawan-kawan saya beritahu memang betul kata warden tersebut. Dalam gelap, lukisan itu berkilauan dan menyeramkan. Mereka juga bercerita lampu tidak boleh dinyalakan di bilik tersebut, ia terus terpadam," ujarnya kepada Jurnal.

Bermalam

Sementara itu, pensyarah fotografi, Khairul Azril Ismail yang pernah bermalam selama enam bulan di Penjara Pudu untuk menghasilkan tesis bertajuk Pudu Jail's Graffity menceritakan pengalaman anehnya.

Kata Azril, antara bahagian penjara itu yang paling menarik ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak 'cerita'.

"Bilik itu kosong, kecil sahaja. Saya melihat imej aneh yang sukar untuk dijelaskan. Saya dapat merakamkan satu garisan putih yang panjang dan melengkung. Bagi saya mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Kalau hendak dikatakan ia asap, saya tahu sangat rupa kepulannya kerana saya seorang perokok.

"Saya bukan jenis yang gemar bercerita perkara-perkara mistik. Saya lebih suka kepada fakta dan akademik. Saya kemudian menghantar gambar itu untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art & Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.

"Mereka meminta saya untuk memeriksa peralatan tetapi tidak timbul masalah sama ada daripada kamera atau dalam proses mencuci gambar," jelasnya kepada Jurnal tidak lama dahulu.

Azril berkata, kalau sudah bermalam di tempat begitu bukanlah suatu yang asing jika mendengar pelbagai bunyi dan gangguan.

"Keadaan lazimnya gelap. Saya pula mahu merakam gambar tanpa bantuan cahaya tiruan seperti flash kamera, sebaliknya menggunakan cahaya semula jadi. Jadi saya kena menanti lama untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Makan masa satu hingga dua jam setengah.

Jiran

"Dalam masa menunggu itu, saya rasa kepala saya diketuk sebanyak tiga kali. Seperti ada tangan yang mengetuk kepala saya.

"Kalau nampak bayang-bayang itu memang sudah biasa sangat. Sampai dah jadi normal bagi saya. Begitu juga dengan suara orang jerit melolong.

"Tapi saya tidak dapat tangkap apa yang disebut kerana bunyinya bergema," ujar pensyarah di Jabatan Fotografi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Selain itu, Azril juga mendengar bunyi lain seperti paluan beduk dua kali dan kakinya bagai dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat.

Walaupun mempunyai kenangan seram di penjara itu, Azril menyatakan rasa duka-citanya kerana tembok dan kompleks Penjara Pudu itu dirobohkan.

"Ia satu seni bina ikon yang sungguh menarik dengan bentuk X. Saya mendapati ia mempunyai ciri persamaan dengan seni bina lama dari Perancis. Tapi masih banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan kesahihannya," katanya.


SISI eksentrik penjara berusia 115 tahun ini akan terus dikenang.


Seorang pekerja penjara juga mendedahkan kepada media baru-baru ini bahawa mereka disakat oleh bayangan lembaga hitam yang merenung tajam, bayangan kanak-kanak berlari dalam kawasan penjara selain kelibat perempuan cantik yang berjalan sendirian di tengah-tengah lorong penjara.

Jurnal juga cuba mendapatkan pandangan 'jiran-jiran' di sekitar Penjara Pudu tentang sejauh mana keseraman penjara lama itu.

Seorang penghuni rumah pangsa berdekatan yang telah mendiami kawasan itu selama 18 tahun menyatakan dia tidak banyak mendengar cerita seram penjara itu.

"Ada juga orang bercerita. Tapi saya biasa sahaja. Dari rumah saya boleh juga melihat penjara itu tetapi tidak ada banyak peristiwa aneh.

"Pernah jugalah macam terdengar suara orang minta tolong. Entahlah," katanya yang dikenali sebagai Faris yang kelihatan seperti gelisah untuk bercerita.

Seorang pekerja keselamatan di sebuah stesen pengangkutan awam berdekatan memberitahu selama 15 tahun dia berkhidmat di situ, tidak ada cerita aneh yang didengarnya.

"Berdasarkan pengalaman saya, stesen ini tidak ada. Tetapi kalau stesen lain banyak cerita," ujarnya.

Julia Ziegler kaki parti?

Posted: 04 Jul 2010 03:15 AM PDT


JULIA ZIEGLER


SI Kemar Burung Kakak Tua memang jadi sumber Diva untuk dapatkan gosip. Baru-baru ini dia menyerahkan gambar seorang pelakon yang sedang hebat berparti di sebuah kelab.

Perhati punya perhati rupa-rupanya dia ialah pelakon yang kini sedang hebat dalam drama Noktah Erna, Julia Ziegler.

Bukan main mesra dan berseronok nampaknya aktres kacukan itu berparti bersama rakan-rakannya. Diva fikir, itu mesti kes melepaskan tekanan kerja. Maklumlah, setiap orang berbeza cara untuk melepaskan stres.


GAMBAR- GAMBAR terbaru Julia ketika berseronok bersama teman- temannya di sebuah kelab.