MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- Aziz M.Osman & Puteri Lily Selamat Bernikah
- Israel Ada Senarai Nama Yang Mahu Dibunuh Atas Mavi Marmara
- Syed Hamid dilantik Pengerusi SPAD
- Kakitangan awam terjebak ah long
- Minuman kecergasan
- Facebook hampiri angka 500 juta pengguna
- Judi membawa bala
- Bangsa cerdik tapi dibenci dunia
- Perjuangan Aceh oleh Hasan Tiro
- Allahyarham Azizan terima anugerah Tun
- Istiadat mengarak panji-panji sempena Hari Keputeraan meriah
- Wardina hasilkan dua buah buku
- Hanya 93.2% rakyat Malaysia tahu membaca
Aziz M.Osman & Puteri Lily Selamat Bernikah Posted: 06 Jun 2010 08:55 AM PDT KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21. Aziz dinikahkan sendiri oleh bapa kepada pengantin perempuan yang juga aktivis teater, Lokman Ghani, 52, di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Abdullah Hashim serta ahli keluarga dan kenalan. Majlis akad nikah diadakan di Masjid Negara, di sini kira-kira pada pukul 10.10 pagi tadi. Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 beserta sembilan dulang hantaran termasuklah sejadah, Al-Quran, baju kemeja, tali pinggang, set minyak wangi jenama Bvlgari, coklat, sireh junjung dan sebentuk cincin. Sementara pihak lelaki membalas tujuh dulang hantaran termasuk Al-Quran, sejadah, telekung, set alat solek, set minyak wangi Bvlgari dan sebentuk cincin. Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna kelabu rekaan butik De Casa Impiana. Majlis resepsi Aziz dan Lily akan berlangsung pada malam ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay bermula pukul 8 malam ini. Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee. Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan. Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5. - MSTAR |
Israel Ada Senarai Nama Yang Mahu Dibunuh Atas Mavi Marmara Posted: 06 Jun 2010 08:50 AM PDT "Tentera Israel mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal." Itu pendedahan Ketua Misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin berikutan penemuan beberapa bukti daripada tiga anggota komando Israel yang berjaya ditahan semasa insiden serangan tentera rejim Yahudi ke atas Mavi Marmara Isnin lalu. Katanya, penggunaan peluru getah itu adalah alasan semata-mata kerana terdapat bukti komando rejim memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara. "Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja. "Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal. Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang-orang yang mereka mahu bunuh. "Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak. "Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu," ceritanya kepada pemberita bagi berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebaik tiba di tanah air awal pagi ini. Kesemua 12 sukarelawan itu bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin. Dalam pada itu Noorazman memberitahu, tiga rakan aktivis iaitu Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias, telah ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha. Tambahnya, ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru. "Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan. "Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia." Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya. Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat- maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas. Noorazaman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). "Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini," ujarnya lagi. - MSTAR |
Syed Hamid dilantik Pengerusi SPAD Posted: 06 Jun 2010 08:45 AM PDT Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suruhanjaya itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berkata, pelantikan Syed Hamid dan Mohd Nur Ismal itu berkuatkuasa pada Khamis lalu, iaitu tarikh suruhanjaya itu ditubuhkan. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri juga akan melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya lain bagi menganggotai suruhanjaya itu. "Bagaimanapun pengumuman mengenai pelantikan-pelantikan itu akan dibuat pada waktu yang akan ditentukan kemudian," tambah kenyataan itu. Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen lalu. SPAD akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air iaitu salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditetapkan kerajaan. Suruhanjaya itu yang terletak di bawah pemantauan Perdana Menteri akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia, pentadbiran satu badan induk, bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaannya dan pengangkutan awam di Sarawak dan Sabah di peringkat berikutnya. Kenyataan itu menyebut objektif utama penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya. Bagi menjayakan objektif itu, SPAD akan mengambil alih fungsi-fungsi beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan. "Paling utama, suruhanjaya ini dipertanggungjawabkan bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional Tentang Pengangkutan Awam ke arah meningkatkan mutu pengangkutan awam bagi keselesaan dan kesenangan semua pengguna pengangkutan darat. "Ini termasuklah sistem transit bas, integrasi pelbagai bentuk perkhidmatan pengangkutan awam, peningkatan kecekapan dan ketepatan serta penguatkuasaan peraturan dan undang-undang secara lebih berkesan," menurut kenyataan itu. -Bernama |
Kakitangan awam terjebak ah long Posted: 06 Jun 2010 08:40 AM PDT Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan kira-kira dua hingga tiga peratus daripada penjawat awam yang berkhidmat di sini 'terjebak' dengan ah long sehingga gaji bulanan mereka sering tidak mencukupi. Menurut beliau, mereka yang terlibat adalah terdiri daripada kakitangan sokongan yang didapati sanggup meminjam daripada ah long antaranya semata-mata untuk membeli kereta. Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan terdapat golongan muda di sini terlibat dengan perjudian haram di luar kawasan Putrajaya hingga menyebabkan akhirnya mereka terjebak dengan ah long. ''Dalam kes terbaru yang diterima oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen, ada seorang kakitangan awam meminjam dengan ah long sebanyak RM7,800 untuk membeli kereta. ''Selama beberapa tahun, dia hanya membayar bunga sedangkan pinjaman pokoknya tidak berganjak daripada jumlah asal," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat di perumahan Fasa 4 dan 3, Presint 9 di sini hari ini. Tengku Adnan bagaimanapun berkata, masalah kakitangan awam meminjam dengan ah long masih terkawal dan ia hanya membabitkan segelintir daripada golongan terbabit. Justeru, beliau meminta agar kerajaan tidak membenarkan kakitangan awam membuat potongan gaji bagi membayar pinjaman daripada syarikat-syarikat peminjam wang. ''Saya nasihatkan agar kakitangan awam jangan terlalu banyak berhutang, kalau tidak ada duit jangan beli (sesuatu barangan) dulu, sabar dan kumpul duit dahulu," katanya. Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana masih membenarkan kakitangan awam yang mempunyai rumah atau bekerja di luar lingkungan 20 kilometer daripada Putrajaya untuk terus tinggal di kuarters kerajaan di sini. ''Arahan tentang jarak di luar 20 kilometer itu tidak dilaksanakan, jadi mereka yang dipindahkan tempat kerja seperti ke Kuala Lumpur atau Bangi masih boleh tinggal di sini," katanya. Selain itu katanya, masalah ruang letak kereta di kawasan perumahan dan pejabat telah cuba diselesaikan termasuk memastikan dalam semua pembangunan baru, setiap unit rumah disediakan satu tapak meletak kenderaan. Terdahulu pada majlis tersebut, Tengku Adnan menyampaikan sumbangan 23 unit kerusi roda untuk diedarkan kepada penduduk yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang uzur. Program itu juga mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan yang membuka ruang pameran seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pusat Khidmat Ahli Parlimen turut menaja setiap penduduk dan ahli keluarga mereka bagi membuka akaun Tabung Haji. - MINGGUAN MALAYSIA |
Posted: 06 Jun 2010 08:36 AM PDT Apakah rahsia seorang atlet sentiasa cergas dan tidak mudah letih? Selain bersenam dan latihan yang konsisten, atlet perlukan makanan serta minuman yang mencukupi sesuai dengan sukan yang diceburi. Namun, adakah dengan mengambil air yang mencukupi, iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas atau satu liter sehari sudah mencukupi? Bagi seorang atlet, mereka bukan sahaja minum air untuk menghilangkan dahaga tetapi untuk menambah tenaga dan mengurangkan lesu. Kegagalan mengganti cecair yang hilang menjejaskan fungsi fisiologi tertentu seperti keupayaan bersenam, kesukaran daya tumpuan dan tahap kewaspadaan serta kepekaan merosot. Menurut Ketua Kluster Gaya Hidup Sihat, Institut Perubatan dan Pergigian Lanjutan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Rabindarjeet Singh, jangan tunggu dahaga untuk minum kerana ia menandakan badan kehilangan cecair. Apabila kita berasa dahaga, badan sebenarnya mengalami masalah kekurangan air. "Justeru itu, seorang individu termasuk ahli sukan perlu minum cukup air setiap hari untuk melancarkan pergerakan dan memudahkan senaman. Kebetulan, sukan utama di Asia biasanya diadakan dalam suasana panas dan lembap dengan suhu kira-kira 29-31° Celsius dan paras kelembapan di sekitar 70 hingga 90 peratus. Ia boleh menghilangkan cecair badan sebanyak satu liter sejam," jelasnya semasa seminar Penghidratan Sukan dan Pemakanan 100PLUS Kedua di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Cecair Dalam hal ini, ramai atlet kurang memahami bahawa pengambilan cecair yang tidak mencukupi ketika bersenam atau bersukan akan menyebabkan kekurangan air secara sukarela. Sekiranya hal ini berlaku, atlet akan mudah mencapai tahap keletihan walaupun tidak berasa dahaga dan prestasi mereka merosot secara perlahan-lahan tanpa disedari. Dalam pada itu, Penasihat Sains Pertahanan, Pertubuhan Sains Pertahanan Makmal Kebangsaan Singapura, Dr Jason Lee Kai Wei, memberitahu, penghidratan merupakan proses pemulihan badan khususnya untuk atlet yang terlibat dengan sukan yang mengeluarkan peluh. "Ini bermakna cecair badan yang hilang melalui peluh perlu diganti segera, sama ada ketika menjalankan aktiviti sukan atau selepasnya. ``Kebanyakan kita tidak sedar akan kesan penyahhidratan yang boleh menjejaskan fungsi badan dan keupayaan prestasi kita. Itu sebabnya pengambilan minuman sukan perlu digalakkan semasa latihan berkali-kali bagi membantu penyesuaian latihan," jelasnya yang turut menjadi panel seminar tersebut. Perlukah minuman sukan? # Minuman sukan direka untuk menggantikan cecair dan meningkatkan kandungan gula dalam badan dengan segera. Baca label sebelum membeli. # Boleh juga menyediakan sendiri minuman bertenaga. Jus buah yang dicairkan dengan air kosong boleh membekalkan elektrolit seperti natrium, potasium dan magnesium yang hilang melalui peluh. # Ambil makanan yang banyak mengandungi cecair seperti buah-buahan kerana bukan saja menambah kandungan air dalam badan, tetapi membekalkan vitamin dan garam galian. # Minuman yang mengandungi sumber karbohidrat (glukosa, fruktosa dan sukrosa) antara gula yang mudah diserap. # Jangan beli minuman sukan berkarbonat atau bergas kerana akan menyebabkan perut berasa tidak selesa. - MINGGUAN MALAYSIA |
Facebook hampiri angka 500 juta pengguna Posted: 06 Jun 2010 08:22 AM PDT Oleh Johardy Ibrahim FACEBOOK kini dianggarkan sudah memiliki 500 juta orang pemegang akaun. facebook belum membuat pengumuman rasmi tetapi berdasarkan rekod, angka 300 juta diraihnya pada September 2009, 350 juta pada Disember 2009 dan 400 juta pada Februari lalu. Bermakna setiap tiga bulan ia meraih 100 juta pemegang akaun baru. Maka boleh dianggar sejak Februari hingga April, ia sudah melebihi 500 juta. Seandainya facebook adalah sebuah negara, ia senang-senang menduduki tempat ketiga negara terbesar di dunia di belakang India dan China! Bezanya facebook sebagai sebuah negara, tidak memerlukan sistem politik atau pertahanan ketenteraan. Satu-satunya isu berlarutan yang menjadi keluh-kesah 'penghuni' facebook ialah perihal privasi atau kebersendirian. Pasti ramai yang memiliki akaun facebook sudah melalui proses pengenalan dan pemahaman mengenai fungsi-fungsi yang ada padanya. Ini terutama berkaitan perkara yang boleh diposkan dalam pernyataan atau komen ke atas pernyataan rakan-rakan. Pasti ada yang belajar di peringkat ini bahawa tidak semua menganggap apa yang anda fikirkan (What's On Your Mind) sesuai untuk semua orang, meskipun mereka bergelar 'rakan-rakan'. Sesekali anda akan terjumpa ayat yang diposkan dalam paparan facebook ini tertera perkataan 'aku marah sangat', 'lapar!', 'geramnya!'. Ringkas tapi sarat dengan ekspresi yang menyeru kita untuk memberi pandangan simpati. Daripada sudut psikologi, penulis sedemikian memang berdepan dengan masalah mental. Persoalannya, apakah kita iaitu 'rakan-rakan' facebook berkelayakan untuk menjadi perunding psikologi? Apa jadi kalau dalam cubaan menenangkan itu, ia bertukar menjadi kalut dan penulis mental itu berkesudahan mencabut nyawanya sendiri? Bunyinya agak ekstrem tetapi macam-macam kes sudah dilaporkan berkaitan facebook. Ini sama dengan mereka yang menyatakan dalam ruangan Status Hubungan peribadinya dengan pernyataan 'Ia adalah rumit' (It's Complicated). Apa yang rumitnya? Kalau dah kahwin, mengaku sajalah. Kalau tidak mahu, tidak perlu nyatakan apa-apa. Bila dinyatakan 'rumit', siapa yang merumitkan hubungan? Berhentilah bermain facebook dan sila baik pulih kerumitan hubungan anda! Sejak 'terserempak' dengan gerombolan rakan sekelas 1989, akaun saya tumbuh mendadak. Hasrat untuk mengurangkan bilangan rakan ke paras bawah 300 gagal sama sekali. Masalahnya, terdapat fungsi tidak menarik dalam facebook ini iaitu ciri 'Orang Yang Anda Mungkin Tahu' (People You May Know) iaitu menawarkan kawan kepada kawan anda supaya menjadi kawan pula. Ada sesetengah kawan yang dicadangkan itu tidak semestinya anda kenal atau suka pun masa sekolah dulu. Bila dimasukkan sebagai kawan, dia akan kata 'hello, apa khabar?". Dan kemudian kembali menyepi sama seperti 21 tahun sebelum ini. Luahan facebook juga semakin kerap menjadi medan luahan politik. Ini mungkin ekoran ledakan kesedaran di kalangan ahli politik mengenai perlunya ada akaun facebook. Secara umumnya diperhatikan, ahli politik yang sudah bertapak lama, tidak banyak mengutus kenyataan. Sesekali mereka memberi komen mengenai isu yang diminati. Yang kerap berbuat demikian ialah pemimpin di peringkat akar umbi. Kadang-kadang boleh tahan tetapi bila sudah emosi, pernyataan yang diturunkan amat menyedihkan. Malah menjengkelkan. facebook juga menjadi medan menyaksikan kesedaran politik mendadak di kalangan rakan-rakan sama ada media atau sektor lain. Ini jelas dalam minggu ini berikutan kes flotila pembebasan Gaza. Ramai yang mengutus pernyataan sokongan terhadap aktivis dan mengecam Zionis. . Entah macam mana facebook boleh disifatkan sebagai platform terbaik untuk menayangkan apa sahaja gambar peribadi daripada wajah diri sendiri sebelum atau selepas dibedak, hinggalah kepada wajah anak-anak. Ada juga yang menjadikan gambar anak sebagai gambar dinding. Mereka lupa ia boleh mengelirukan rakan-rakan sebenarnya. facebook juga menjadi pentas untuk orang menunjuk-nunjuk destinasi yang dilawatinya. Sebenarnya tidak salah. Gambar itu dituju kepada 'rakan-rakan' sahaja, jadi ia bukan menunjuk-nunjuk sengaja. Mungkin ada yang akan kagum dengan destinasi luar negara itu, walaupun setakat Hadyai di selatan Thailand. Tetapi ia sedikit tidak adil kepada rakan-rakan yang hanya mampu bercuti ke pantai Bagan Lalang yang mula segan hendak menyiarkannya dalam facebook. Tulisan Dan Fletcher dalam majalah TIME menyatakan facebook memiliki lebih banyak kelebihan berbanding ciptaan dalam Internet hari ini seperti Microsoft, Google atau YouTube. facebook memiliki 'pelaburan emosi para penggunanya'. facebook menyebabkan kita tersenyum, terkesima, kecewa bila tiada sesiapa memberi reaksi kepada apa yang diposkan, ketawa terhadap rakan sekolah dulu yang kini sudah botak dan gemuk. facebook kata Fletcher, juga kaya dengan peluang-peluang sentuhan peribadi seperti meraikan langkah pertama anak buah dan menyatakan kesedihan terhadap kematian rakan karib. Namun syarikat facebook, mencipta wang kerana anda, pada satu tahap, menyiarkan detik-detik peribadi itu dalam talian. ''Perasaan yang anda alami di facebook adalah menyentuh perasaan, data yang anda sediakan menyentuh keuntungan syarikat," katanya. Terserah kepada diri anda sendiri bagaimana hendak menjadikan facebook ini sebagai wadah yang memberi kelebihan kepada diri atau sebaliknya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mengutus pernyataan berbaur negatif terutama yang bernada menghentam atau mengkritik orang atau apa benda secara keterlaluan. Bila sudah mencecah tahap keterlaluan, anda mungkin mendapati diri anda dihadapkan ke mahkamah dan seterusnya menjadi bahan perbincangan pula dalam facebook. - UTUSAN |
Posted: 06 Jun 2010 08:13 AM PDT Oleh Harussani Zakaria ISLAM menyuruh kita bersukan kerana ia nyata memberi faedah kesihatan kepada tubuh badan. Menjelang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, maka saya lihat di negara kita juga, promosi rancak dijalankan, oleh televisyen dan syarikat-syarikat yang sibuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan hasil dari demam bola sepak ini. Namun apa yang sangat mendukacitakan saya akhir-akhir ini, apabila pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberikan keizinan dan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia ini. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang memberi taat setia dan cintakan negara dan salah seorang yang diberi amanah untuk menjaga agama Islam yang mulia, saya dengan rasa bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara ingin memberikan pandangan dari sudut agama dan nasihat sebagai seorang warganegara yang sayangkan pemimpin yang ada mengenai hasrat kerajaan untuk mengeluarkan lesen judi sempena berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram. Pada hemat saya, hasrat tersebut tidak wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ia juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah saya berpendapat dengan pemberian lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada negara, masyarakat dan individu. Dengan itu, saya menyarankan agar pihak kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut bersandarkan kepada beberapa pertimbangan berikut; 1. Menjejas nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Sedangkan amalan judi merupakan salah satu tegahan Allah SWT yang sangat jelas. Firman-Nya; Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib merupakan amalan yang kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90) Ulama sepakat berdasarkan ayat di atas judi itu adalah haram, malah sesiapa yang menghalalkannya selepas itu, maka gelincirlah imannya. Dengan pemberian lesen tersebut secara tidak langsung telah melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membenarkan amalan judi. Hal ini amat bercanggah dengan roh dan inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam dari sudut perundangan, budaya dan sosio masyarakat. 2. Menghormati sensitiviti umat Islam yang berpendapat judi sebagai aktiviti haram dari sudut syarak dan majoriti rakyat Malaysia yang memandang judi sebagai aktiviti jijik dan yang tidak bermoral. Manusia yang berfikir secara waras dan bijaksana akan menolak amalan judi biar sekali pun mereka bukan terdiri daripada orang yang kuat berpegang kepada agama atau sebaliknya. Malah mereka yang tidak beragama sekalipun tetap berpendapat judi akan merosakkan individu dan masyarakat. Berjudi merupakan pembaziran tanpa sebab, membuang masa dan melalaikan, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, melatih sifat malas berusaha dan membiasakan tabiat suka berhutang, menimbulkan kepincangan ekonomi individu secara tiba-tiba dan akhirnya memporak-perandakan keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Sepatutnya pihak kerajaan perlulah lebih prihatin dalam memberi pertimbangan mengenai perkara-perkara sebegini demi menjaga keharmonian dan kemaslahatan rakyat jelata. Umum berpendapat kerajaan dengan isu itu telah menguburkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap dirinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai dan diberi mandat untuk mempertahankan agama dan maruah umat Islam. 3. Tidak dapat dinafikan hasrat kerajaan mengawal aktiviti judi tidak berlesen adalah satu langkah yang amat positif namun penyelesaiannya bukanlah dengan cara memberi lesen. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Pemberian judi berlesen tidak akan sama sekali membawa kepada pengawalan aktiviti judi tidak berlesen. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi berlesen. Begitu juga justifikasi pihak kerajaan bahawa pemberian lesen judi akan meningkatkan kutipan hasil yang akan dapat dimanfaat untuk faedah rakyat dan kepentingan negara adalah terlalu lemah. kepincangan Kenapa kita hanya melihat kepada faedah jangka pendek dan melupakan segala bentuk masalah yang lebih besar dan segala macam kepincangan yang akan dihasilkan daripada pemberian judi berlesen ini. Firman Allah: Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya, (al-Baqarah: 219) Secara umumnya, untuk menimbang tara kemaslahatan dan kemudaratan, Imam al-Syatibi mengemukakan beberapa asas utama yang boleh dijadikan rujukan dan panduan seperti; Maksudnya: "Menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mengambil kemanfaatan" Maksudnya: "Tindak tanduk pemerintah hendaklah bersandarkan maslahat". Persoalannya, apakah dengan memberikan lesen judi itu akan memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum untuk rakyat (maslahat)? Pada hal, pemerintah juga hendaklah bertanggungjawab mengawal, membasmi, mencegah dan menghindari kemungkaran, kefasadan yang berlaku. Saya berpendapat, cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau kemaslahatan kepada kepentingan umum rakyat kecuali hanyalah kepada individu-individu tertentu yang bergelar taukeh judi semata-mata. Malah cadangan tersebut turut membelakangkan kepentingan umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan supaya rakyat tekun bekerja, giat bertani dan berniaga, membina kecerdasan intelektual dan matang, mempunyai daya saing yang tinggi di samping keluhuran peribadi dan pegangan yang utuh kepada nilai dan agama. Akhirnya saya ingin mengingatkan kita semua dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Araf: 96: Bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan. Nyata dalam ayat ini, bahawa hanya keimanan dan ketaatan pemerintah dan rakyat sebuah negara kepada Allah SWT saja akan membuka limpahan rezeki atau taraf ekonomi sebuah negara. Namun ketika mana maksiat berleluasa, maka Allah SWT menjanjikan azab dan kesusahan yang menimpa negara tersebut. Demi Allah! Saya risau dan takut dengan kepelbagaian masalah dan maksiat di negara kita ini yang masih tidak mampu untuk kita tangani, akan datang pula bala dari Allah tanpa kita sangka dan duga. Justeru itu, saya menasihatkan dan merayu agar pihak kerajaan membatalkan kelulusan untuk mengeluarkan lesen judi tersebut sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan rakyat jelata dan memartabatkan negara, bangsa dan agama. Saya yakin negara tidak akan rugi, dengan membatalkan lesen judi tersebut, saya betul yakin, kerana itu adalah janji Allah SWT. - MINGGUAN MALAYSIA |
Bangsa cerdik tapi dibenci dunia Posted: 06 Jun 2010 04:31 AM PDT Oleh Zin Mahmud Untung Sabut Timbul Pada tahun 2004 ketika menyaksikan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kemenangan George W. Bush, penulis ditanya oleh seorang Yahudi yang duduk sebelah dalam satu jamuan makan malam. Dia bertanya mengapakah orang Malaysia yang berada jauh dari Palestin dan tidak pernah bermusuh dengan Yahudi tetapi amat benci pada Israel. Penulis jawab bahawa rakyat Palestin telah dirampas tanah mereka dan dinafikan hak mereka sebagai negara berdaulat dan merdeka. Dia berhujah kembali bahawa apa kena mengena rakyat Palestin dengan Malaysia yang duduk jauh dan tidak menjejaskan kehidupan dan keamanan rakyat negara ini. Penulis berhujah kembali bahawa walaupun Palestin itu jauh dari segi geografi tetapi dekat di hati rakyat Malaysia. Jauh dan dekat sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain bukannya kerana kedudukan geografi tetapi kerana ikatan emosi yang lain. Ikatan antara rakyat Palestin dengan Malaysia bukan hanya soal agama. Palestin sudah dianggap bangsa saudara kepada Malaysia, tidak kira anutan agama. Selain daripada agama, lebih penting lagi ialah Palestin telah menjadi bangsa tertindas dan teraniaya. Rakyat Malaysia dalam semangat kemanusiaan tentunya menyebelahi Palestin. Orang Amerika itu kemudian mengheret penulis untuk berdebat mengenai isu Palestin yang dikaitkan dengan perkauman anti-Yahudi. Sebagai orang Melayu tentunya penulis menyebelahi Palestin. Tetapi sebagai peminat intelektual Barat, penulis menyatakan kekaguman terhadap orang Yahudi yang dapat menghasilkan banyak karya pemikiran hebat hingga mencorak tamadun dunia sejak dari dahulu lagi. Tentunya berbeza dunia hari ini tanpa pemikiran-pemikiran Karl Marx, Sigmund Freud, Albert Einstein dan banyak lagi tokoh pelbagai bidang akademik, kesusasteraan sains dan malah perfileman. Antara tokoh Yahudi yang penulis kagumi ialah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Tetapi pemikiran politiknya yang menolak Zionisme, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perjuangan pembebasan Palestin adalah fahaman kemanusiaan, dan tidak berkaitan mengenai bangsa dan agama semata-mata. sejarah dunia Bangsa Yahudi walaupun bilangannya kecil tetapi berpengaruh besar dalam sejarah dunia. Mereka memberi sumbangan intelektual bukan saja kepada tamadun Barat tetapi juga Islam. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi muncul sebagai bangsa yang merampas dan menindas bangsa Palestin di atas fahaman Zionisme. Bagi orang Melayu sejak dari dahulu, Baitulmakdis yang tidak ramai menjejakinya adalah hampir dalam jiwa bangsa. Seperti Mekah dan Madinah, Baitulmakdis juga dianggap bukan saja kota suci tetapi sebahagian daripada jiwa bangsa. Di rumah-rumah orang Melayu, antara gambar masjid yang sering digantung di dinding ialah Kubah Al-Sakhrah di Masjid Al-Aqsa. Dalam hal ini, penulis teringat kepada seorang warga Palestin yang berhijrah ke sini dan berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau menghadiahkan dua gambar Masjid Al-Aqsa yang besar dan cantik untuk digantung di dinding rumah penulis dan bapa penulis. Generasi demi generasi orang Melayu akan diajar mengenai isu Palestin hinggakan mereka seolah-olah saudara sebangsa. Tidak hairanlah mengapa ada seorang bapa saudara penulis yang bernama Yasir. Mungkin datuk penulis menamakannya sempena Yasser Arafat. Tetapi adiknya, Jamaluddin Elias yang merasa menjadi mangsa tahanan Israel apabila berlaku serangan ke atas kapal Mavi Marmara minggu lalu. Maka akhirnya kekejaman negara Zionis itu sampai juga kepada sanak saudara sendiri. Beliau yang dijangka pulang pagi ini adalah rakan sepermainan penulis semasa kecil di kampung tetapi tidak selalu dapat bertemu dan berbicara dengannya. Ternyata beliau berpengalaman luas dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan khususnya semasa tsunami Aceh dan gempa bumi yang berlaku ekoran daripadanya. Dua minggu lalu, agak terkejut apabila menerima sms daripadanya bahawa beliau dipilih menyertai konvoi bantuan ke Gaza bagi mewakili Yayasan Amal Malaysia di mana beliau ialah Timbalan Pengerusinya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memanjatkan doa agar beliau selamat sambil memikirkan mengenai isterinya dan sepuluh orang anak-anaknya. Hati hanya lega apabila kemudiannya diberitahu bahawa mereka telah sampai ke Jordan. Di Jordan, penulis dapat menghubunginya melalui telefon dan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal Mavi Marmara ketika diserbu komando Israel. Betapa tiba-tiba angin kencang yang menolak ke tepi gas komando Israel yang dilemparkan ke atas dek kapal. Jamaluddin juga menceritakan bagaimana wang RM50,000 untuk digunakan di Gaza yang diletakkan di tempat barang hilang apabila Mavi Marmara ditawan oleh komando Israel itu. Pastinya apabila dia balik nanti, akan diceritakan kisahnya kepada rakyat Malaysia. Bukan dia saja tetapi juga semua rakyat Malaysia yang mengalami peristiwa mencemaskan di Laut Mediterranean itu. Maka dapat dibayangkan juga banyak mereka yang terlibat dengan misi flotila itu kembali ke negara masing-masing dan menceritakan pengalaman mereka mengenai keganasan Israel. Bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi bukan Islam. Kalau dilihat taktik rejim Tel Aviv, mereka cenderong menjadikan Palestin sebagai isu agama. Perjuangan pembebasan Palestin digambarkan sebagai keganasan yang dikaitkan dengan agama. Tetapi misi flotila bantuan untuk Gaza ini menyaksikan penglibatan rakyat dari banyak negara bukan Islam. Palestin telah menjadi bangsa semua manusia. Dalam hal ini, Yahudi sebagai bangsa cerdik sepatutnya sedar bahawa Zionisme dan Israel tiada tempat dalam kamus kemanusiaan. - MINGGUAN MALAYSIA |
Perjuangan Aceh oleh Hasan Tiro Posted: 06 Jun 2010 03:21 AM PDT Hasan Tiro, pengasas Gerak Aceh Merdeka (GAM) meninggal dunia pada usia 84 tahun, ketika dirawat di hospital di Banda Aceh hanya sehari selepas dia memperolehi kembali kewarganegaraan Indonesia. Teungku Hasan Muhammad di Tiro lahir di Pidie, Aceh, 25 September 1925, di Tanjong Bungong, Lameulo, sekitar 20 kilometer dari Sigli. Dalam tubuhnya mengalir darah keturunan bangsawan para pejuang Aceh. Beliau adalah keturunan ketiga Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro. Beliau merupakan anak kedua pasangan Tengku Pocut Fatimah, cucu perempuan Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro, Pahlawan Nasional Indonesia. Beliau adalah orang yang mengisytiharkan kemerdekaan Aceh pada 4 Disember 1976 dan kemudian keluar-masuk hutan bersama pasukannya pada 1976 untuk memisahkan diri dari Indonesia. Perjuangannya itu hanya berlangsung selama tiga tahun. Kemudian beliau terpaksa melarikan diri ke berbagai negara, sebelum akhirnya menetap di Stockholm, ibu kota Sweden. Dari luar negara beliau meneruskan perjuangan secara politik, dan sempat mengirim surat tentang GAM kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan pada 25 Januari 1999. Setelah jatuhnya pemerintahan Soeharto, isu "Aceh merdeka" kembali menjadi sorotan dunia. Organisasinya (Gerakan Aceh Merdeka) pun muncul kembali ke pentas antarabangsa. Namun tidak diketahui dengan khusus punca kepada perjuangan yang digalang oleh beliau. Ada yang menyatakan ia berpunca daripada kegagalannya untuk mendapatkan kontrak pemasangan paip minyak untuk Mobil Oil di Aceh dan ada juga mengatakan setelah kematian adiknya kerana kecuaian doktor berketurunan Jawa. Satu teori bahawa beliau menganggap kerajaan pusat Indonesia meminggirkan pembangunan Aceh adalah yang paling logik dan boleh diterima pakai. Hasan Tiro dengan gagasannya sejak Januari 1965 untuk membentuk negara Aceh, menilai Presiden Soeharto meminggirkan Aceh daripada pembangunan industri. Hasan Tiro bersama para ulama Aceh menilai kekayaan alam Aceh diambil melalui pembangunan industri yang dikuasai orang asing melalui restu pemerintah pusat. Tetapi rakyat Aceh tetap miskin, berpendidikan rendah dan keadaan ekonomi sangat menyedihkan. Akhirnya GAM ditubuhkan di kaki Gunung Halimun, Pidie. Walaupun Hasan Tiro yang tidak hadir dalam penubuhan GAM beliau dilantik sebagai wali negara. GAM terdiri atas 15 menteri, empat pegawai bertaraf menteri dan enam gabenor. Namun sebagai seorang yang sangat tinggi rasa kemanusiaannya apabila menyaksikan bencana yang menimpa Aceh dalam bencana gempa dan tsunami pada 2004, akhirnya beliau bersetuju untuk menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Indonesia iaitu setahun selepas bencana itu dan selepas 30 tahun hidup dalam buangan. Meminggirkan Penganalisis konflik berkenaan berpendapat selain faktor sedih melihat nasib buruk menimpa rakyat yang diperjuangnya, Hasan Tiro juga menaruh keyakinan kepada Jusuf Kalla yang ketika itu merupakan Naib Presiden Indonesia. Jika sebelum ini kerajaan Indonesia meminggirkan peranan yang dimainkan oleh Hasan Tiro dalam GAM, sebaliknya hanya mengadakan rundingan dengan para panglima GAM, tetapi Jusuf Kalla mengambil pendekatan yang berbeza dengan mendekati Hasan Tiro. Jusuf Kalla juga dilihat ikhlas kerana sebelum ini berjaya menyelesaikan konflik di Ambon dan Poso yang mirip dengan konflik di Aceh. Selepas perdamaian pada 2005, Aceh sebenarnya telah ketinggalan jauh daripada segi pembangunan serta sedang mengalami krisis ekonomi dan sosial. Hubungan Aceh dengan wilayah lain di Indonesia serta kerajaan pusat sebenarnya masih lagi memerlukan masa untuk berada pada landasan yang normal. Ini adalah kerana asas perjuangan yang diterap Hasan Tiro adalah kebencian kepada kerajaan pusat dan kebencian kepada kaum lain selain Aceh khususnya kaum Jawa. Untuk memulihkan kembali imej Aceh sebagai wilayah yang aman juga mengambil masa yang lama dan ini dapat dilihat walaupun terdapat pelbagai perjanjian persefahaman ditandatangani di dalam bidang ekonomi, tetapi tidak banyak yang berhasil. Bank-bank juga masih berpandangan adalah berisiko tinggi untuk memberi pinjaman kepada syarikat yang mahu melabur di Aceh. Seperkara yang dibuktikan oleh Aceh baru-baru ini bahawa mereka tidak mudah termakan provokasi dan muslihat orang asing. Ketika terdapat usaha sekumpulan militan yang mahu bertapak di Aceh mereka tidak mendapat sokongan penduduk setempat khususnya bekas anggota GAM dan akhirnya ramai yang ditembak serta ditangkap pihak berkuasa. Walaupun ada yang menganggap perjuangan GAM dan Hasan Tiro tidak berkesudahan, namun bagi penduduk Aceh Hasan Tiro tetap dianggap sebagai pejuang sejati. Di akhir hayatnya, Hasan Tiro memilih kembali ke pangkuan tanah airnya. Tokoh perdamaian Helsinki itu menghembuskan nafas terakhir sehari setelah menjadi warganegara Indonesia. Pemergian Hasan Tiro diharap menjadi titik permulaan episod baru di dalam sejarah Aceh yang lebih damai, kerana hanya dengan perdamaian sahaja masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai. - MINGGUAN MALAYSIA |
Allahyarham Azizan terima anugerah Tun Posted: 05 Jun 2010 09:39 PM PDT KUALA LUMPUR 5 Jun - Bekas Presiden Perbadanan Putrajaya dan juga Petronas, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin menerima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Persekutuan 2010, Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) yang membawa gelaran Tun sempena keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini. Allahyarham seorang tokoh yang dihormati di sektor kerajaan dan swasta meninggal dunia pada 14 Julai 2004 pada usia 68 tahun merupakan antara 1,626 penerima anugerah darjah dan pingat kebesaran. Empat orang menerima darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran Tan Sri iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dan Pengerusi The Nippon Foundation, Yohei Sasakawa. Sementara 33 menerima darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang juga membawa gelaran Tan Sri terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan. Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Datuk Seri Abdul Shukor Abdullah, Pengarah Institut Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Hj Husin. Penasihat Majlis Penasihat Ekonomi Malaysia Datuk Seri Panglima Andrew Sheng Len Tao, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Hasmah Abdullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah. Penimbangtara dan Peguambela, Zul Rafique Associates Datuk Cecil Wilbert Mohanaraj Abraham, Timbalan Presiden Majlis Olimpik, Datuk Dr. M. Jegathesan, Pengerusi syarikat hartanah Perfect Eagle Development Sdn. Bhd., Datuk Koo Yuen Kim. Pengerusi Group of ABEX Companies, Datuk Kuang Eng Kong @ Kuan Yong Kuan, Pemegang Amanah Yayasan Lau Gek Poh, Datuk Seri Panglima Lau Yu Chak @ Lau Cho Kun, Presiden Kehormat Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Ketua eksekutif Kuala Lumpur Kepong Bhd., Datuk Seri Lee Oi Hian, Pengarah Urusan Andamy Properties, Plantations, Resources Sdn. Bhd. Datuk Seri Panglima Andrew Liew Sui Fatt. Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sumurwang, Datuk Lim Kim Hong, Pengerusi Kumpulan Shin Yang Sdn Bhd Datuk Ling Chiong Hoi, Penasihat Korporat Tradewinds (M) Berhad., Datuk Dr. Mohd Noor Ismail, Pengarah Perubatan Institut Jantung Negara, Datuk Seri Robaayah Zambahari. Pengarah Urusan The Store Corporation Berhad, Datuk Seri Tang Yeam Soon, Presiden Samling Strategic Corporation Sdn. Bhd., Datuk Yaw Teck Seng @ Hiew Teck Seng, Pengarah Urusan Pensonic Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Tan Khoon Hai. Ketua Polis Republik Indonesia, Jeneral Polisi Drs. Bambang Hendarso Danuri, bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral (B) Datuk Seri Mohd. Yunus Mohd Tasi dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud. Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn. Bekas Timbalan Menteri Pertanian, Prof. Datuk T. Marimuthu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli Ghazali dan veteran MCA, Datuk Tan Cheng Swee. Seramai 42 menerima darjah Panglima Jasa Negara (P.J.N.) membawa gelaran Datuk. Mereka terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abd. Jabar Che Nai, Timbalan Ketua Audit Negara Datuk Azizah Arshad, Ketua Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur Dr. Ghazali T.V. Ahmad Kutty, Hakim Rayuan Syarie Hussin Ahamad, Pakar Perunding Perubatan Jabatan Perubatan dan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. S. Jeyaindran. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Latifah Datuk Abu Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Mohd. Radzi Abdul Rahman, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Sistem & Kawalan) Kementerian Kewangan Datuk Puteh Rukiah Abd Majid. Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hasan, Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Najib Abdullah, Pemegang Amanah Yayasan Penyakit Alzheimer"s Toh Puan Dr. Aishah Ong, Peguam Bela & Peguam Cara Rakan Kongsi Tetuan Shahidan Fazli Nawawi & Partners Che Md Nawawi Ismail. Penaung Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Sibu, Brig. Jen. (B) Goh Ah Bah, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The News Straits Times, Hardew Kaur, Pengarah Filem dan Penulis Skrip Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Jamil Sulong, Ketua Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad, Datuk Mohamed Azman Yahya. Pengerusi Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam, Datuk R. Nadraja, Presiden Persatuan Kolej-Kolej dan Universiti-Universiti Swasta Malaysia Dr Parmjit Singh, Pengerusi Eksekutif INNO Serangkai Sdn Bhd Datuk Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, Pengarah Eksekutif TNL Engineering Sdn Bhd Teo Geck Heng. Ketua Polis Kepala Badan Narkotik Nasional Komisaris Jenderal Polisi Drs. Gories Mere, Setiausaha Agung Islamic Financial Services Board (IFSB) Prof Rifaat Ahmed Abdel Karim dari Sudan, bekas Pakar Perunding Bedah Kehormat Kementerian Kesihatan Prof Russell Walker Strong dari Australia. Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen Datuk Allatif Mohd Noor. Anggota Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang, Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Parit Raja Ab Aziz Kaprawi, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh, Ketua Umno Bahagian Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Anggota Parlimen Kapit Alexander Nanta Linggi yang juga Naib Pengerusi BNBBC Sarawak, anggota MCA Chua Kim Chuan, Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) D. Gnanasambantham, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Henrynus Amin, Anggota Jawatankuasa Gerakan Lee Ah Fat, Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Lily Yong Lee Lee, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim @ Ibrahim Fikri. Pengerusi MCA Bahagian Mersing Ng See Tiong, anggota MIC S Rajakupal, Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sheah Zwat Tsang @ Vincent Shia, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Swin Jema"ah @ Aidan Wing, Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik Datuk Teo Chee Kang. - Bernama |
Istiadat mengarak panji-panji sempena Hari Keputeraan meriah Posted: 05 Jun 2010 09:36 PM PDT KUALA LUMPUR 5 Jun - Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan satu tradisi ketenteraan zaman silam berlangsung dengan meriah di Dataran Merdeka, di sini hari ini. Istiadat bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu merupakan sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda selaku pemerintah tertinggi benteng pertahanan negara. Sebanyak lima panji yang dianugerahkan Seri Paduka kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarak dalam istiadat berkenaan. Setiap panji berkenaan berwarna kuning dan mempunya Jata Malaysia di tengah-tengahnya dengan dikelilingi oleh dua karangan padi. Lambang di penjuru kiri sebelah atas panji menunjukkan Perkhidmatan manakala Rakaman Penghormatan Tempur disulam di kiri dan kanan Lambang Diraja. Istiadat yang berlangsung pagi ini bermula dengan keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi disambut dengan lagu kebangsaan, Negaraku dan 21 das tembakan meriam. Turut menyambut ketibaan pasangan diraja itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin. Seri Paduka kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Di ruang angkasa pula, lima helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), TLDM dan TUDM terbang rendah untuk upacara lintas hormat. Ia diikuti pemeriksaan perbarisan 23 pegawai dan 505 anggota lain-lain pangkat (LLP) oleh Tuanku Mizan. Baginda diiringi oleh Azizan dan Ketua Perbarisan yang juga Pegawai Memerintah Batalion ke-23 RAMD, Leftenan Kolonel Habibullah Ismail. Sejurus pemeriksaan disempurnakan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM diketuai Leftenan Mohd. Shaharuddin Shaari masuk membuka medan dengan alunan lagu Medan Seri dan Tentera Benteng Pertahanan Negara. Tidak berapa lama selepas itu pengiring panji-panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dan mengaraknya di hadapan pengawal diikuti perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. Seterusnya, anggota perbarisan mara menghadap dan melaungkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali menandakan penghujung istiadat mengarak panji-panji itu. Istiadat diteruskan dengan bacaan doa sebelum anggota perbarisan mempersembahkan Hormat Diraja kepada Tuanku Mizan dan kelima-lima helikopter ATM sekali lagi melakukan Terbang Lintas Hormat. Turut hadir ke istiadat itu ialah menteri-menteri Kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa suruhanjaya tinggi serta kedutaan di negara ini dan rakyat jelata. - MINGGUAN MALAYSIA |
Wardina hasilkan dua buah buku Posted: 05 Jun 2010 08:45 AM PDT Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini melancarkan dua buah buku untuk golongan ibu dan anak-anak hasil karya pelakon dan pengacara televisyen terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 31. Buku berkenaan adalah 'Mama, Saya Lapar' dan 'Siapa Alien' dihasilkannya sebagai usaha untuk memberi pengetahuan dalam ilmu keibubapaan dan memupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak. Wardina berkata, buku tersebut ditulis untuk mengembangkan lagi penghasilan buku tempatan genre bidang keibubapaan dan kanak-kanak dalam bahasa Melayu memandangkan ia agak terhad di pasaran. "Agak sukar untuk saya mendapatkan buku berbahasa Melayu yang ringkas dan berkualiti tinggi untuk anak-anak saya. "Kebanyakan buku di pasaran berbahasa Inggeris dan ini merupakan sebab utama kenapa saya menulis buku-buku ini," katanya. Wardina berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku tersebut di PNM di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar dan selebriti TV, Datin Nor Juma Habib Mohamed yang juga merupakan sahabat karib Wardina. 'Mama, Saya Lapar' adalah buku yang ditulis khas untuk golongan ibu manakala buku 'Siapa Alien' pula adalah buku bersiri cerita berilustrasi untuk kanak-kanak. Sementara itu, Raslin berkata, buku tersebut memberi impak yang amat bermakna kepada usaha kerajaan dalam mengembangkan lagi industri buku tempatan dan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Beliau berkata, buku genre kanak-kanak seperti ini jarang dihasilkan dan kebanyakannya dialih bahasa daripada buku-buku asing. "PNM berharap agar lebih banyak buku berkualiti seperti ini dihasilkan untuk membimbing anak-anak dalam bahasa Melayu. "PNM juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana penulis, penerbit dan masyarakat untuk mencapai matlamat melihat rakyat Malaysia mengamalkan budaya membaca," katanya. Menurutnya, buku-buku itu sangat berkualiti terutamanya dalam bidang keibubapaan kerana ia sarat dengan teladan dan pengajaran. "Ia akan memberikan pendedahan kepada masyarakat dengan lebih mendalam serta menyemai rasa kecintaan terhadap ilmu pengetahuan," jelasnya. Tambah Raslin, Wardina kini tergolong antara 5,000 penulis buku di negara ini. Buku 'Mama, Saya Lapar' dan 'Siapa Alien' berharga RM19.90 dan RM19 boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara. - UTUSAN |
Hanya 93.2% rakyat Malaysia tahu membaca Posted: 05 Jun 2010 08:45 AM PDT Kira-kira 93.2 peratus rakyat di negara ini tahu membaca jika dibandingkan dengan negara maju lain di dunia seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman iaitu sebanyak 99 peratus. Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2007/2008. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kepada tabiat membaca rakyat negara ini pada masa sekarang, agak sukar untuk Malaysia menyaingi negara-negara tersebut. Katanya, Malaysia terpaksa mengambil tempoh yang lama sebelum dapat bersaing terutamanya dari segi tahap pembacaan dan kejayaan yang dicapai oleh negara seperti Jepun. Ini kerana, jelasnya, berdasarkan kajian yang dibuat, rakyat negara ini secara purata, hanya membaca dua buah buku dalam setahun. "Kalau hendak diikutkan, secara puratanya, golongan dewasa akan membaca sekitar 250 sehingga 300 perkataan seminit iaitu kira-kira 15,000 sehingga 18,000 sejam, 360,000 sehingga 432,000 sehari atau 144,540,000 perkataan dalam tempoh setahun! "Pembacaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa banyak perkataan yang boleh kita pelajari untuk meningkatkan tahap pembacaan kita agar setanding dengan negara maju lain di dunia," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pesta Buku Antarabangsa, Read Malaysia 2010 di Seri Kembangan dekat sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Country Heights Holdings Bhd., Mark Rozario dan selebriti terkenal tanah air, Aznil Nawawi yang juga Duta Program Read Malaysia 2010. Sebanyak 500 buah gerai pameran dengan 200 buah syarikat buku tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian pada pesta buku kali ini. Antara syarikat buku tersebut adalah MPH Publishing, Sasbadi, Hamlyn, Pelican, Marshal Cavendish, Granmedia, Al-Hidayah, e-media dan sebagainya. Ia bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 13 Jun ini dengan pengunjung yang datang sepanjang pesta tersebut berlangsung pula dianggarkan mencapai 400,000 orang. Akhbar Kosmo!, Nanyang Siang Pau dan China Press merupakan media rasmi, manakala radio Era FM, Sinar FM, Mix FM dan My FM pula bertindak sebagai radio rasmi pesta buku antarabangsa kali ini. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |