Adsense

Rabu, 30 Jun 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Sesi Penilaian Kompetensi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PAC) 2010

Posted: 30 Jun 2010 07:58 AM PDT

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedang mengendalikan urusan pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 selepas menerima 59,718 permohonan bagi mengisi jawatan itu.

SPA berkata, ia mengguna pakai kaedah pengambilan secara profiling (myRecruitment) iaitu calon yang memohon akan melalui tapisan kelayakan akademik, peperiksaan, penilaian kompetensi dan temu duga.

Bagi tahun ini, 42,711 calon sudah dipanggil menduduki peperiksaan dan seramai 3,938 calon yang berjaya dipanggil menghadiri sesi penilaian di Pusat Penilaian Kompetensi (PAC).

Sesi PAC akan dijalankan di enam zon iaitu di Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia (INTAN) Jalan Elmu, Kuala Lumpur (Zon Tengah) pada 1 hingga 3 Julai 2010 dan 10 hingga 11 Julai; INTAN Sungai Petani, Kedah (Zon Utara) pada 2 hingga 4 Julai dan 9 hingga 10 Julai.

INTAN Kluang, Johor (Zon Selatan) pada 1 hingga 3 Julai dan 10 hingga 11 Julai 2010; INTAN Kemaman, Terengganu (Zon Timur) pada 2 hingga 4 Julai dan 9 hingga 11 Julai; INTAN Kota Kinabalu, Sabah (Zon Sabah) pada 3 Julai dan di Kolej Kesihatan Bersekutu Kuching (Zon Sarawak) pada 3 hingga 4 Julai ini.

Calon juga boleh membuat semakan dan mendapatkan keterangan lanjut dengan melayari Portal SPA di www.spa.gov.my

Hisham: Kadar jenayah jalanan susut 36.89 peratus

Posted: 30 Jun 2010 07:57 AM PDT

Kadar jenayah jalanan berkurangan 36.89 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, jenayah keseluruhan juga didapati turun 13.9 peratus bagi tempoh antara Januari dan Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2009.

Menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini Hishammuddin berkata, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah pihak kementerian mengambil langkah melaksanakan penempatan semula 7,402 anggota polis yang dahulunya membuat tugas-tugas pentadbiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menyerap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Relawan Rakyat (RELA) bagi ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi kadar jenayah.

Beliau berkata, bagi meningkatkan rasa hormat masyarakat terhadap perkhidmatan polis pula, kerajaan menetapkan bahawa lima peratus kadar jenayah keseluruhan dikurangkan bersama-sama pengurangan 20 peratus jenayah jalanan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, untuk itu 496 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di negeri Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang beserta 90 buah balai polis bergerak membabitkan 30 bas dan 60 van.

Menurut Hishammuddin, dua inisiatif juga diwujudkan iaitu pegawai atasan polis digalakkan meronda bersama-sama anggota bit dan patrol di bawah inisiatif 'High Profile Policing' dan 'Stop and Talk' agar anggota bit dan patrol dapat berinteraksi dengan masyarakat.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Manan, Hishammuddin berkata, KDN akan memaparkan indeks jenayah di dalam laman webnya setelah semua maklumat daripada peringkat daerah sehingga kementerian diselaraskan.

Menurut beliau, penyelarasan itu penting bagi menentukan ketepatan maklumat serta tiada perkara yang perlu dibimbangkan bagi dipamerkan untuk tatapan umum.

- Bernama

16.5 juta saman bernilai RM2.7 bilion gagal dikutip

Posted: 30 Jun 2010 07:56 AM PDT

Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.

"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor mahu tahu jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini.

Abdul Rahim berkata bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ yang dikenal pasti masih berkapasiti rendah bagi membolehkan kapasiti pungutan ditingkatkan.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan online bagi pembatalan sekatan dan penyenaraian hitam di antara JPJ dan agensi lain khususnya PDRM dan mewujudkan pusat sehenti supaya pembayaran saman boleh dilakukan di mana-mana selain pembayaran secara online dan kad kredit," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan supaya saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan.

"Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati," katanya.

- Bernama

TPM arah pengambilan segera guru bahasa ibunda

Posted: 30 Jun 2010 07:51 AM PDT

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengambilan segera bagi guru bahasa Mandarin dan Tamil supaya mereka dapat ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bagi meningkatkan pengambilan bagi guru kedua-dua bahasa itu, dalam usaha untuk melaksanakan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah-sekolah kebangsaan.

"Tak ada silapnya dalam sistem pendidikan kita kerana semuanya ada didalamnya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bagaimana cara kita hendak menyediakan para guru bagi mengajar Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

"Sudah tentu ada sebabnya dalam keputusan awal kenapa kita mencadangkannya supaya tidak kira India atau Cina, pelajar itu perlu tahu bahasa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita mengajar bahasa ibunda mereka.

"Kita tidak perlu berdebat mengenai adanya sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan, itu legasi dan boleh menimbulkan kekeliruan dan kita kena terima," katanya.

- Bernama

Menjadi Isteri Solehah

Posted: 30 Jun 2010 07:47 AM PDT

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga." Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah

Huraian

Pengajaran Hadis:

i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Aktor Winter Sonata Bunuh Diri

Posted: 30 Jun 2010 07:39 AM PDT


SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan Park Yong-Ha, 33, ditemui tidak bernyawa dan dilaporkan membunuh diri pagi tadi.

Tubuhnya ditemui di kediamannya di Nonhyung-dong, Seoul oleh ibunya sendiri.

Laporan Yonhap News hari ini melaporkan sebelum membunuh diri, pelakon Winter Sonata itu sempat mengirimkan SMS kepada ayahnya yang sedang bertarung dengan sakit kanser perut.

SMS yang dihantar itu berbunyi: "I'm Sorry. I'm Sorry". Namun begitu dia tidak meninggalkan sebarang surat perpisahan.

Menurut pihak polis Metropolitan Seoul, Park membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan kabel charger telefon bimbit.

Bagaimanapun, motif tindakannya membunuh diri itu masih tidak diketahui lagi. Pihak polis masih lagi melakukan penyelidikan lebih lanjut tentang tragedi tersebut.

Park memulakan kerjaya seninya bermula pada tahun 1994. Namun, namanya mula melonjak di Korea dan Jepun setelah membintangi drama bersiri Winter Sonata pada 2002.

Selepas itu, Park turut membintangi tiga buah filem. Yang terakhir adalah The Scam yang telah ditayangkan pada 2009.

Tidak hanya setakat itu, Park juga popular sebagai penyanyi. Selain melancarkan beberapa album di Koria dan Jepun. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Japan Gold Disc Awards bagi kategori Artis Asian Terbaik, Lagu Sepanjang Tahun serta Anugerah Istimewa Japan-Korea Friendship Year 2005.

Disebabkan kematian mengejut itu, banyak pihak telah menyuarakan rasa khuatir mereka terhadap kes bunuh diri di Korea Selatan.

Negara tersebut telah mencatatkan kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebekalakangan ini.

Pada 2 Oktober 2008, artis terkenal Choi Jin-Sil juga ditemui telah menggantungkan diri di bilik mandi rumahnya. Sebelum itu, pada 8 September 2008, suaminya, Ahn Jae-hwan yang merupakan pelawak terkenal ditemui mati di dalam keretanya.

Tubuh Choi Jin-Sil telah ditemui oleh adik lelakinya, Choi Jin-yeong. Dia yang turut melibatkan diri sebagai aktor dan penyanyi kemudian telah mengambil keputusan untuk membunuh diri pula pada 29 Mac lalu.

Kematian Choi Jin-yeong itu dipercayai berpunca akibat daripada rasa tekanan dan depresi setelah kematian kakak tersayangnya.

- MSTAR

Bos FIFA minta maaf

Posted: 30 Jun 2010 07:38 AM PDT

JOHANNESBURG - Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter (gambar) telah meminta maaf kepada England dan Mexico yang menjadi mangsa kesilapan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan keduadua negara itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010.

Blatter juga menjelaskan bahawa FIFA bersedia membuka semula proses perdebatan mengenai isu penggunaan tekno- logi video dalam kempen Piala Dunia akan datang.

"Biasanya kita akan akan mengecam sekiranya ada bukti jelas mengenai kesila- pan yang dilakukan pengadil," kata Blatter kelmarin.

Beliau juga menjelaskan, kredibiliti FIFA akan terjejas sekiranya tidak mempertim- bangkan semula cadangan penggunaan teknologi tersebut pada mesyuarat panel badan induk itu di Wales bulan depan.

"Selepas menyaksikan semula beberapa insiden yang berlaku membabitkan perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico, kami akan membuka semula isu mengenai penggunaan teknologi ini. Itu sudah pasti," katanya lagi.

Blatter menambah, beliau telah meminta maaf kepada pegawai pasukan England dan Mexico selepas perlawanan tersebut.

"Pegawai pasukan England hanya berkata terima kasih manakala pegawai pasu- kan Mexico pula hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Saya faham mereka tidak gembira dengan situasi itu. Ia bukanlah satu pengadi- lan yang bertaraf lima bintang."

Terdahulu, perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak kembali hangat diperkatakan.

Semuanya gara-gara kesilapan pengadil ketika perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico pada aksi pusingan kedua.

Carlos Tevez dilihat berada dalam kedu- dukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama Argentina sewaktu menewaskan Mexico 3-1 kelmarin.

Gol penyamaan Frank Lampard ketika England tewas 1-4 kepada Jerman, Ahad lalu pula tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol.

- AP

Sebab siaran Piala Dunia lewat

Posted: 30 Jun 2010 07:35 AM PDT

LONDON - Ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 dari Afrika Selatan dan Kejohanan Tenis Wimbledon di sini menguasai televisyen di rumah, pejabat dan kedai makan, timbul persoalan kenapakah terdapat televisyen yang siaran secara langsung lebih awal daripada televisyen lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jawapannya terletak pada televisyen yang sedang ditonton dan cara siaran itu diterima.

Penyebab paling lazim ialah kelewatan dalam aspek menukar kod data digital.

Di rumah, peralatan digital mengandungi perisian yang mentafsir kod data isyarat siaran.

Maksudnya, semakin banyak perincian dalam siaran, maka lebih banyak masa diperlukan untuk proses mentafsir kod.

Justeru, penonton yang menonton menerusi isyarat analog atau menggunakan aerial yang dipasang terus ke televisyen biasanya akan memperoleh siaran langsung lebih awal.

Oleh itu, mereka yang menonton siaran lansung pada televisyen analog lama, siarannya adalah beberapa saat lebih pantas.

Berbanding televisyen berdefinisi tinggi, masa lebih banyak diperlukan untuk mentafsir kod siaran yang berkualiti tinggi. Sementara itu, mereka yang menonton siaran sukan secara dalam talian terpaksa berdepan dengan sedikit kelewatan kerana isyarat perlu melalui alamat protokol Internet atau lebih dikenali dengan panggilan IP.

- Agensi

JPA perkenal program mentor

Posted: 30 Jun 2010 07:35 AM PDT

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan program mentor menti bagi pegawai lantikan baru dan pegawai yang dinaikkan pangkat bagi membangun dan meningkatkan kompetensi kerja dan peribadi pegawainya dalam jangka panjang, berkuat kuasa bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Bahagian Operasi), Datuk Dr Ismail Alias, berkata pelaksanaannya adalah susulan kejayaan program perintis mentor–menti membabitkan sebahagian pegawai kerajaan yang dijalankan dua tahun lalu.

Pelaksanaannya dibuat mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 2010 yang dikeluarkan 18 Jun lalu iaitu Panduan Pelaksanaan Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

"Program perintis itu berjaya membentuk pegawai dan kakitangan yang lebih berkeyakinan, mudah menyesuaikan diri, pengurusan kerja yang teratur dan memudahkan sistem penyampaian sektor awam.

"Pencapaian itu mendorong JPA merangka program mentor-menti yang lebih terperinci dan sistematik membabitkan pegawai dan kakitangan mengikut kriteria ditetapkan, termasuk menyediakan garis panduan dan sistem penilaian bagi membantu meningkatkan mutu program dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, program itu yang akan dipantau Bahagian Pengurusan Psikologi JPA membabitkan tempoh masa enam hingga 12 bulan dengan jumlah masa terkumpul bagi setiap menti berurusan dengan mentor adalah enam jam.
"Program ini boleh membantu pegawai awam untuk lebih bertanggungjawab dan membantu kakitangan baru untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi," katanya.

Program itu adalah pendekatan JPA untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan dengan menerapkan elemen psikologi dan kaunseling secara profesional oleh mentor kepada menti bertujuan meningkatkan pembangunan dan kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial pegawai lantikan baru dan yang dinaikkan pangkat.

Pekeliling itu menyebut, pementoran adalah perhubungan yang dibina antara mentor dan menti dengan mentor berkongsi ilmu, nilai dan pengalaman, memberitahu keputusan dan bertindak berdasarkan idea yang dihasilkan, sementara menti dapat mempelajari ilmu, nilai dan pengalaman dan memindahkannya dalam realiti pekerjaan dan kehidupan.

- BERITA HARIAN

Pendidikan Teknik, vokasional dipertingkatkan

Posted: 30 Jun 2010 07:28 AM PDT

Kementerian Pelajaran akan meningkatkan pengambilan pelajar pendidikan teknik dan vokasional kepada 20 peratus menjelang 2015 berbanding 10 peratus buat masa ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengambilan dilaksanakan secara berperingkat dan bagi memenuhi keperluan itu, kementerian menambah tiga lagi sekolah menengah vokasional dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Katanya, program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) diperkasakan menerusi empat strategi utama iaitu membangunkan tenaga pengajar secara efektif, memperkasakan kurikulum, meningkatkan pengajaran selaras keperluan industri dan memperkemaskan penyampaiannya.

"Pendidikan TEVT diperkasakan dengan mengambil guru tambahan berkemahiran secara terbuka dan jumlahnya ditambah sehingga 10,000 dalam tempoh berkenaan.

"Usaha ini selaras petunjuk prestasi utama kementerian yang bercadang meningkatkan 100 peratus kemasukan pelajar teknik dan vokasional.

"Kursus baru turut diperkenalkan iaitu ekuin, kemahiran pesawat (aviation) dan marin," katanya pada mesyuarat perancangan transformasi pendidikan bahagian pendidikan teknik vokasional di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penambahan itu kata beliau, pastinya meningkatkan kemahiran teknikal dalam kalangan tenaga kerja tempatan yang menjurus ke arah negara berpendapatan tinggi.
Mohd Puad berkata, pelaksanaan bermula dengan melantik Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai agensi membangun dan menyeragamkan kurikulum TEVT mulai 2011.

Pengstrukturan semula kurikulum sedia ada katanya, bertujuan memastikan kurikulum baru memenuhi piawaian minimum.

"Penambahan jumlah pelajar mengikut program berasaskan kemahiran dan teknikal itu meningkatkan purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan negara pada kedudukan 28 peratus berbanding 23 peratus sekarang.

"Proses mengarusperdanakan pendidikan TEVT dilaksanakan mengambil kira usaha mengubah persepsi masyarakat supaya mereka menjadikan program pendidikan berkenaan sebagai pilihan utama," katanya.

- BERITA HARIAN

Perbankan Islam dibenar laksana denda lewat

Posted: 30 Jun 2010 07:25 AM PDT

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam boleh mengenakan ta'widh atau bayaran ganti rugi terhadap peminjam yang lewat membayar balik pembiayaan yang diberikan.

Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, ta'widh atau ganti rugi itu boleh dikenakan bagi kelewatan pembayaran balik pembiayaan yang dibuat berasaskan kontrak jual beli, pembiayaan sewa beli serta qard atau hutang.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuaratnya yang ke-95 pada 28 Januari lalu.

"Ta'widh itu bagaimanapun hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh melunaskan hutang yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Bank Negara berkata, jumlah bayaran ta'widh yang diterima itu boleh diambilkira oleh bank sebagai pendapatan bagi menggantikan kerugian sebenar yang ditanggung.

Mengikut kenyataan bank pusat itu lagi, sejajar dengan keperluan menjaga kepentingan umum serta memastikan keadilan terhadap pembiaya dan pelanggan, majlis itu turut memutuskan bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam kini dikehendaki memberikan ibra' atau rebat kepada pelanggan yang melunaskan hutangnya lebih awal.
Bagi mengelak ketidakpastian berhubung hak pelanggan untuk menerima ibra' daripada institusi perbankan, pemberiannya perlu dimasukkan sebagai salah satu klausa dalam dokumentasi undang-undang pembiayaan berkenaan, katanya.

"Penentuan formula ibra' ini akan diselaraskan Bank Negara," tegas kenyataan itu.

Sementara itu, bagi mengelak berlaku kes pelanggan tidak melunaskan hutang bagi kontrak yang dibuat secara Islam, Bank Negara berkata, majlis itu turut membenarkan pengenaan caj pembayaran lewat oleh bank merangkumi konsep gharamah (denda atau penalti) serta ta'widh.

Katanya, gharamah bagaimanapun tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan bank terbabit dan perlu disalurkan kepada badan kebajikan.

"Bagi melindungi kepentingan pelanggan, pengenaan caj pembayaran lewat itu harus mengambil kira keupayaan kewangan pelanggan. Kadar maksimum bagi gharamah dan ta'widh yang boleh dikenakan pula akan ditentukan Bank Negara," katanya.

Bank Negara berkata, tarikh melaksanakan resolusi berkaitan ibra' dan mekanisme caj pembayaran lewat itu bakal ditentukan dalam garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

- BERITA HARIAN

Kamus Al-Quran bantu pertingkat pemahaman tafsiran

Posted: 30 Jun 2010 07:22 AM PDT


JUDUL: Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata dalam al-Quran
PENERBIT: PTS Islamika Sdn Bhd
PENGULAS: Hasliza Hassan

HARGA: RM95 (Semenanjung Malaysia), RM98 (Sabah dan Sarawak) MEMBACA al-Quran, mengetahui makna seterusnya memahami mesej disampaikan ayat yang dibaca pasti memberi kepuasan kerana dapat mendalami wahyu Allah dan menterjemahkan dalam bentuk amalan.

Tidak dinafikan ada al-Quran terjemahan boleh membantu memahami isi kandungan al-Quran, tetapi ada kalanya, terjemahan perkataan lebih kepada makna literal sedangkan ada perkataan digunakan sebagai kiasan.

Oleh itu, mengetahui kosa kata dalam al-Quran boleh menjadi bonus memandangkan mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah buku rujukan lengkap untuk umat Islam dan manusia mencapai kejayaan hidup di dunia seterusnya akhirat.

Buku Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata dalam al-Quran menyenaraikan makna perkataan yang bersesuaian dengan penggunaannya dalam pelbagai bentuk selain menyenaraikan bilangan perkataan diulang dalam al-Quran.
Buku ini turut menjelaskan makna lafaz al-Quran dengan kaedah penafsiran ditetapkan sarjana tafsir bersandarkan sebab atau tujuan turunnya ayat supaya perkataan dapat difahami dengan lebih tepat termasuk makna yang tersirat.

Tambahan, dalam perkembangan masyarakat hari ini semakin cenderung mencari bukti serta sokongan daripada al-Quran, ada kalanya tafsiran yang dilakukan tidak atau kurang tepat disebabkan tidak mendalami sepenuhnya tafsiran ayat dan perkataan digunakan.

Hakikatnya, al-Quran sebagai manual panduan cara hidup umat keseluruhannya perlu diteliti dan didalami dengan berkesan supaya apa yang diajarkan dapat dilaksanakan mengikut peraturan sebenarnya.

Al-Quran mengandungi ilmu yang luas dan buku Kamus Al-Quran Rujukan Lengkap Kosa Kata dalam al-Quran boleh dikatakan kunci yang akan membuka pintu ke arah membantu umat memperoleh hasil terbaik.