Adsense

Sabtu, 8 Jun 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Wincci pilih tarian

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Gambar AZMAN ASMAYATIM

MEMILIKI rupa paras yang menjadi idaman ramai wanita, siapa sangka wanita ini sebenarnya mempunyai kelebihan dari pelbagai sudut. Bukan sahaja boleh menyanyi, malah ketekunan wanita ini dibuktikan melalui usahanya dalam bidang pengajian apabila dia kini sibuk menghabiskan program pengajian peringkat ijazah kedoktoran (Ph.D) di salah sebuah universiti swasta.

Memegang gelaran Miss World Malaysia 2008, wanita yang secara luarannya ini nampak lembut sebenarnya seorang yang suka menerima cabaran aktiviti lasak. Baru-baru ini, Soo Wincci bersama rakan-rakan artis lain berpeluang menunjukkan kehebatan mereka di dalam satu cabaranlasak yang dianjurkan oleh sebuah majalah hiburan tempatan.

Bercerita mengenai aktiviti yang dilakukan, Wincci berkata, ini merupakan kali pertama dia melakukan aktiviti lasak di dalam hutan memandangkan dia bukan seorang yang suka aktiviti luar. Sungguhpun ada aktiviti yang dilihat dirinya agak sukar, Wincci tidak menolak untuk melakukannya kerana ia merupakan antara pengalaman terbaik untuk dirinya.

"Ini merupakan kali pertama saya melakukan aktiviti sedemikian, kalau diikutkan memang saya bukan seorang yang suka melakukan aktiviti luar.

"Bagaimanapun, sebab utama saya memilih untuk berada di sini adalah kerana pengalaman. Saya pasti akan mengukir senyuman setiap kali mengingatinya," katanya.

Terus bercerita mengenai aktiviti yang disediakan, menurut Wincci antara aktiviti yang paling sukar untuk dirinya adalah ketika dia diminta untuk menyelam di dalam air berlumpur.

"Untuk satu ketika, saya bagaikan terpegun melihat air lumpur yang sebelum ini saya langsung tidak terfikir perlu menyelam di dalamnya.

"Walaupun teragak-agak pada mulanya, namun saya tetap meneruskannya kerana pasti pengalaman ini tidak mungkin dapat dilupakan saya seumur hidup," katanya jujur.

Sebagai seorang yang sentiasa mengelakkan kulitnya terdedah kepada cuaca panas, Wincci mengakui, itu antara sebab mengapa dia lebih menggemari senaman di dalam gimnasium sahaja.

"Sebagai seorang selebriti, saya perlu pastikan tubuh sentiasa sihat .Tiada kompromi untuk saya mengelak melakukan senaman setiap hari.

"Bagaimanapun, bercakap soal aktiviti luar, saya sebenarnya lebih suka untuk berada di gim sahaja memandangkan kulit saya agak sensitif dengan cuaca panas," katanya.

Sungguhpun kesemua aktiviti yang dilakukan dirinya itu agak kasar dan bahaya, Wincci bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kalau nak ikutkan, aktiviti mengharungi sungai dengan arus yang deras serta terpaksa menempuh laluan batu-batu kecil yang tajam agak merbahaya untuk saya.

"Pada mulanya, saya tidak tahu aktiviti yang ditawarkan cabaran ini agak berat, sebab itu saya terpaksa pulang lebih awal selepas menyelesaikan kesemua aktiviti kerana tiada pakaian ganti," katanya yang agak kecewa tidak dapat melihat rakan-rakan lain menerima hadiah kemenangan di atas pentas.

Melihat kembali gambar-gambar yang dirakam sepanjang dia melakukan aktiviti lasak ini, menurut Wincci dia tahu ada gambar-gambar tersebut kelihatan jauh berbeza dengan gambar-gambar yang dikeluarkan media sebelum ini.

"Bukanlah sepanjang masa kita perlu nampak cantik sahaja, mungkin gelaran artis dan ratu cantik ini menyebabkan orang sentiasa mengharapkan saya perlu sentiasa nampak cantik.

"Bagi saya kecantikan itu sebenarnya bukan dari luaran sahaja tetapi dalaman juga perlu dijaga," katanya tersenyum manis.

Rahsia cantik

Tidak lokek berkongsi petua kecantikan dirinya, menurut Wincci di kala umurnya kini, dia tahu bukan sekadar memiliki kulit yang cantik sahaja mampu melekakan pandangan orang terhadap dirinya tetapi pengetahuan yang setanding dengan umurnya.

"Dengan bantuan teknologi kini, saya pasti banyak cara untuk sentiasa kelihatan cantik.

"Tetapi apa yang perlu seorang wanita itu tahu, bukan sekadar memiliki kulit yang mulus serta badan yang langsing sahaja yang perlu diutamakan mereka tetapi pengalaman yang baik untuk sentiasa mematangkan diri, selain mendapat penghormatan orang lain," katanya.

Selain senaman berterusan serta penjagaan makanan, menurut Wincci ada aktiviti lain yang turut membantunya mendapatkan tubuh yang kekal langsing.

"Kurus tidak semestinya sihat. Bagi saya seorang wanita perlu memahami kehendak tubuhnya sendiri sebelum memilih untuk mengamalkan sebarang diet.

"Selain senaman serta menjaga pemakanan, antara aktiviti yang saya anggap sebagai alat bantuan mengurangkan tekanan adalah tarian. Sebagai penyanyi, saya tahu tarian merupakan penyeri kepada setiap persembahan. Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri kelas tarian," katanya.

Bercerita mengenai perjalanan kariernya kini, menurut Wincci dia kini semakin sibuk kerana terpaksa berulang alik dua minggu sekali ke Taiwan.

"Saya sudah menyiapkan sebuah album berbahasa Mandarin di sana, yang berjudul Happiness.

"Peluang yang ditawarkan pasaran di sana lebih luas memandangkan ia melibatkan tiga negara iaitu Taiwan, China dan Hong Kong," katanya.

Gembira untuk memberitahu dia kini menerima julukan penyanyi lagu tema drama, menurut Wincci ini merupakan kali kedua lagunya dipilih untuk menjadi lagu tema sebuah drama popular di Taiwan.

"Memang peminat di sana tidak mengenali saya, namun apabila lagu ini menjadi lagu tema drama bersiri, barulah mereka ingin mengenali saya.

"Dan kini, sekali lagi lagu saya dipilih untuk menjadi lagu tema sebuah drama berjudul A Hint Of You yang kini sedang ditayangkan di sebuah stesen televisyen di sana," katanya.