Berita Harian: Hip |
World War Z Sarat Adegan Mendebarkan! Posted: 29 Jun 2013 07:36 PM PDT Filem 'World War Z' akhirnya menjengah ke pawagam setelah sekian lama dipromosikan dengan hebat. Filem yang diterajui oleh Brad Pitt ini sememangnya ditunggu oleh penulis memandangkan sudah terlalu lama tidak melihat kelibat suami kepada Angelina Jolie ini di layar perak. Sudah terbit rasa rindu. Kali terakhir Pitt dilihat beraksi adalah dalam filem 'The Curious Case of Benjamin Button' pada tahun 2008. Berbalik kepada 'World War Z', filem ini tidak jauh bezanya dengan filem-filem yang mengisahkan tentang penularan wabak atau virus yang tidak dikenali di kalangan manusia. Cuma, jalan ceritanya sedikit berbeza. Mesej yang cuba di sampaikan juga sangat jelas iaitu kelalaian manusia boleh mengundang bahaya yang tidak terduga. Bercerita mengenai pengalaman menyaksikan 'World War Z', terus-terang penulis katakan filem ini mengundang debaran berpanjangan. Penulis skrip tidak menunggu lama untuk menghadiahkan debaran kepada penonton. Rasanya hanya 10 minit pertama penulis boleh duduk diam tanpa jeritan. Selepas itu, penulis asyik terkejut disergah makhluk yang tidak disenangi. Otak juga ligat berfikir kerana satu demi satu persoalan bermain di fikiran. Walaupun dapat menjangka hero akan selamat, namun penulis masih berdebar-debar memikirkan keselamatan Gerry dan keluarganya, termasuklah manusia sejagat. Sesekali pecah juga ketawa kerana terdapat beberapa perkara melucukan. Tapi, penulis tidak mahu kongsikan apa kelucuan yang ada pada filem arahan Marc Forster ini. Anda kena lihat sendiri. Jika anda suka dengan filem-filem aksi mendebarkan, penulis sangat menyarankan anda menonton filem ini di pawagam. |
Posted: 29 Jun 2013 07:36 PM PDT Warner Music realisasikan impian Maya Karin miliki album baru Bebas daripada soalan berbaur peribadi yang sudah ditebak jawapannya, Maya Karin teruja apabila perbualan lebih terarah kepada perancangan kerjayanya. Saya akur karier nyanyian belum mampu untuk membawa saya berbangga seperti pencapaian diraih dalam lakonan. Tetapi itu tidak pernah membuat saya ingin berundur. Tanpa berselindung mengakui, peningkatan usia mampu membataskan langkah seseorang anak seni untuk terus meneroka kemampuan namun perkara itu tidak pernah terjadi kepadanya. Enam bulan pertama 2013 kata Maya, 33, rezekinya bertambah apabila dia terbabit dengan penggambaran dua filem selain pembikinan album ketiga yang hampir lengkap. "Kesibukan itu bagai tiada henti, selain penggambaran filem dan rakaman album, saya juga diundang menjadi pengacara majlis bertaraf global serta terbabit dalam kerja kebajikan berkaitan alam sekitar. Ketika usia meningkat dan semakin ramai bakat baru meraih ruang selesa, saya masih tidak dilupakan. Itu sudah membuat saya terlalu bersyukur," kata Maya yang menerjah industri seni pada 2000 sebagai pengacara program Wavelength. Wanita berketurunan Melayu-Jerman itu berkata, kesibukan berterusan memaksanya mencari dahan kukuh untuk berpaut terutama dalam pengurusan kerjayanya selepas tempat naungannya dulu menutup operasi. Maya bagaimanapun bernasib baik apabila Audi Mok masih mengambil berat mengenai perjalanan kariernya, lalu memperkenalkannya kepada pengurusan Warner Music. "Bermula daripada perbincangan mengenai urusan pengedaran album, Warner akhirnya menawarkan ruang untuk saya bernaung secara profesional. Atas kepercayaan kepada Audi yang saya anggap seperti abang sendiri, saya bersetuju kerana mereka memiliki pasukan pengurusan yang tersusun. "Saya bukan hanya pelakon yang perlu berada di lokasi. tanggungjawab itu turut menuntut fokus tinggi dalam menghayati watak, selain terpaksa berurusan pelbagai pihak. "Saya tidak mahu kerana tamak, kerjaya dan hubungan dengan media dan pelanggan jadi kacau bilau. Untuk terus maju, saya percaya artis memerlukan pengurusan yang bagus," katanya yang sudah tiga bulan menyertai Warner Music. Meskipun berpengalaman hampir 13 tahun, Maya melihat pengurusan artis sebagai satu perkara penting yang membantu memanjangkan langkahnya. "Banyak aspek perlu dititikberatkan seseorang artis, terutama berkaitan hal kreativiti. Mengapa perlu memperjudi diri memikirkan hal kecil sedangkan banyak perkara lain perlu diberi fokus? "Artis sebagai produk memerlukan pengurus yang baik. Mereka tidak hanya berperanan menjawab panggilan dan berunding hal berkaitan tawaran, sebaliknya turut memikirkan wawasan dan visi memajukan kerjaya seseorang artis. "Sama seperti membuka sebuah syarikat, pengurus harus mempunyai perancangan, struktur kewangan dan memahami artis sebagai produk yang berdepan saingan. "Saya tidak mampu menangani tanggungjawab itu seorang diri. Saya juga berasakan artis tanpa pengurusan yang baik hanya merugikan diri sendiri," katanya. Hampir sedekad tidak merakamkan album, Maya yang kali terakhir muncul bersama album Bukan Qalamaya pada 2003 berkata, tawaran merakamkan album antara penyumbang mengapa dia memilih Warner untuk berpaut. Keinginan untuk meneruskan karier nyanyian sudah lama bertunas dalam dirinya, cuma entah kenapa perancangan itu seperti tertunda. "Mungkin ketika itu Tuhan belum mengizinkan. Bukan tidak berusaha kerana saya sudah merakamkan beberapa lagu, termasuk single Sinar Ini tetapi penerbitan album ketiga tidak juga menjadi kenyataan. "Saya akur karier nyanyian belum mampu untuk membawa saya berbangga seperti pencapaian diraih dalam lakonan. Tetapi itu tidak pernah membuat saya ingin berundur. "Kepercayaan diberi umpama bintang yang jatuh dari langit kerana sementara menunggu filem ditayangkan, saya berikan dulu fokus kepada nyanyian," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |