Adsense

Isnin, 3 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Izzue nikahi pengurus

Posted: 02 Jun 2013 03:50 PM PDT

Usia muda tidak menghalang pasangan Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, atau lebih dikenali sebagai Izzue Islam dan Nurinafilah Waharudin (Awin) berkahwin hasil perkenalan yang bermula sejak 2008.

Menunggu tempoh sehingga enam tahun untuk diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri, akhirnya pada jam 9.45 pagi semalam, mereka disatukan dalam majlis pernikahan serba sederhana di Dewan Shah Alam (N'Dah), Pusat Bandar Shah Alam.

Pengurus yang juga pembantu peribadi Izzue, Awin, sah bergelar isteri kepada pelakon dan anggota kumpulan Forteen itu dengan hanya sekali lafaz.

Kedua-dua pasangan berpakaian sedondon rona putih rekaan Satris Anggun itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, bersaksikan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon.

Pihak lelaki memberikan mas kahwin berjumlah 11 dinar dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan, manakala wang hantaran pula bernilai RM11,111.11.

Majlis itu dihadiri kira-kira 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan mempelai.

Susah senang bersama
Ditemui selepas majlis pernikahan, Izzue dan Awin kelihatan lega apabila mereka selamat dinikahkan.

Izzue bersyukur, setelah mengikat tali pertunangan selama setahun, mereka kini bukan hanya bergelar rakan sekerja, sebaliknya pasangan suami isteri.

Meskipun masih muda, Izzue, yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya semalam, mengaku tidak mempunyai masalah mengatur kehidupan sebagai artis dan suami pada masa yang sama.

"Saya dan Awin sudah kenal lama dan kami memahami antara satu sama lain. Saya sebenarnya beruntung kerana mempunyai isteri yang tidak cerewet dan sangat memahami kerjaya saya.

"Dia yang jaga saya sejak saya menceburi dunia seni, iaitu ketika saya bergelar pelakon tambahan lagi, dan dia juga sedar saya akan dikelilingi ramai gadis. Namun, dia percayakan saya dan saya berbangga dengan sikapnya. Saya memang bersyukur mendapat isteri seperti Awin.

"Malah, dia mengenali saya bukan sejak saya bergelar artis, sebaliknya ketika saya bekerja sebagai pembancuh air lagi. Saya nampak kejujurannya terhadap saya, sebab kami mengharungi keadaan susah dan senang bersama-sama, ujar pelakon 29 Februari ini.

Diusik pertanyaan apakah dia tidak bimbang kerjayanya akan merudum apabila memutuskan untuk berkahwin pada ketika dirinya sedang mencipta nama, Izzue menegaskan, dia meyakini rezeki daripada Tuhan.

"Bercakap mengenai populariti saya sebagai artis, saya yakin dengan rezeki Tuhan dan masjid yang saya bina ini akan memberi keberkatan kepada saya. Apabila kita melakukan perkara baik, Tuhan pasti akan memberkatinya," kata Izzue.

Belum tahu destinasi bulan madu

Mengenai percutian bulan madu, Izzue dan Awin, yang juga eksekutif di sebuah syarikat swasta, belum mempunyai perancangan ke arah itu. Mereka turut menyerahkan kepada Tuhan mengenai bilangan anak yang akan dikurniakan.

Sementara itu, majlis persandingan yang diadakan di tempat sama beberapa jam kemudian berlangsung dengan meriah apabila ia dihadiri kira-kira 1,400 tetamu.

Kumpulan Forteen dan Nowseeheart turut hadir mengadakan persembahan bagi meraikan pengantin.