Adsense

Isnin, 24 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kemusnahan Dunia!

Posted: 23 Jun 2013 05:36 PM PDT

Filem-filem 'apocalypse' yang telah tampil sebagai genre-nya sendiri, mula diketengahkan seawal 1916 melalui karya 'The End of the World', sebuah filem dari Denmark. Sejak itu, saban tahun ada saja filem mengenai kemusnahan dunia yang disajikan buat tatapan penonton di layar perak. Tetapi popularitinya hanya dilihat pada permulaan tahun 2000 ketika masyarakat di serata dunia sedang berdepan dengan ketidakpastian dan pergolakan.

Menurut pengarah 'World War Z' Marc Forster, fenomena ini tidak menghairankan bila melihat kepada keadaan masyarakat yang hidup dikelilingi perubahan dan keraguan. Jelasnya, filem-filem 'apocalypse' adalah metafora bagi mewakili suatu ketidaksedaran dan ia mencerminkan apa yang sebenarnya sedang berlaku di dunia.

"Ia mengenai kemusnahan global yang disebarkan oleh satu virus merbahaya yang tidak diketahui asal usulnya. Apa yang hebat tentang buku Max Brooks adalah ia berlatarbelakangkan satu jangka masa yang realistik.

"Itu yang membuatkan saya tertarik kerana saya ingin mencipta sebuah filem yang terasa benar, di mana situasi ini benar-benar boleh berlaku ke atas diri kita. Tiada yang terkecuali, semuanya terdedah kepada kebarangkalian itu. Walaupun itu adalah plot kepada filem ini tetapi ia juga boleh diaplikasikan kepada kehidupan sebenar."

Sementara penerbit Dede Gardner pula menawarkan satu pemerhatian yang amat menarik tentang populariti genre filem kemusnahan dunia.

"Penonton begitu terpikat dengan idea kemusnahan dunia disebabkan semua yang sedang berlaku di sekitar kita. Di zaman ini, manusia terlalu terikat kepada dunia mereka sendiri sehinggakan mereka terlupa untuk berinteraksi dengan orang lain," ujarnya.

"Namun, semuanya berputik daripada cinta terhadap genre 'apocalypse'. 'World War Z' sebuah filem yang bukan saja menyeronokkan dan mengasyikkan tetapi juga terasa benar... tak lupa, epik, menakutkan dan akhirnya, memuaskan."
Filem 'World War Z' ditayangkan di pawagam sejak 20 Jun.

Dugaan cinta Pierre

Posted: 23 Jun 2013 05:36 PM PDT

Pelakon Gol Dan Gincu pilih model sebagai isteri

Pada awalnya, pelakon yang turut bergelar pengarah, Pierre Andre, 28, mengaku dirinya agak gundah untuk menerima Nur Hidayah Hashim, 26, apabila mengenangkan kerjaya gadis berkenaan sebagai model.

Apatah lagi ketika itu dirinya sudah mula mendekatkan diri dengan kumpulan agama.
Dua tahun kami kenal, kemudian berpisah dan tidak pernah berhubung hampir setahun sehinggalah bertemu semula pada hari raya tahun lalu. Sejak itu, kami kembali rapat." Pierre Andre, Pelakon/Pengarah

Namun, dia menguatkan hati supaya tidak memandang luaran pasangannya, sebaliknya cuba juga menyelami hati wanita berasal dari Pasir Gudang, Johor ini. Ternyata, sisi dalaman Nur Hidayah cukup kuat menambat hatinya dan dia menganggap, gadis terbabit amat menjaga agama.

Lalu, selepas dua tahun berkenalan dan saling mengenali hati budi, Pierre dan Nur Hidayah akhirnya bergelar suami-isteri, semalam.

"Dua tahun kami kenal, kemudian berpisah dan tidak pernah berhubung hampir setahun sehinggalah bertemu semula pada Hari Raya tahun lalu. Sejak itu, kami kembali rapat.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu dia seorang model dan perasaan bercampur-baur timbul ketika itu, mengenangkan kerjayanya. Tetapi, selepas saya menyelami hatinya, rupa-rupanya dia seorang yang sederhana dan amat menjaga solat," kata Pierre.
Tempoh enam bulan diambil anak sulung kepada pelakon, Khatijah Tan, untuk menyunting Nur Hidayah dan keputusan itu pula bukan dibuat dalam terburu-buru, sebaliknya Pierre berasakan ia tindakan tepat untuk menjaga perhubungan.

Malah, Pierre berasakan bercinta selepas kahwin lebih merapatkan hubungan mereka suami-isteri.

Tak pandang luaran

Ujar Pierre, keputusan untuk disatukan sebelum Ramadan diambil kerana mereka mahu berpuasa dan menyambut Syawal bersama insan teristimewa.

"Semakin saya kenali dan mendekatkan diri dengannya, saya rasa dia seorang yang sangat istimewa dan membuatkan hati saya semakin dekat dengan Allah. Walaupun ada yang mempertikaikan diri saya yang sudah berhijrah dan memilih wanita tidak bertudung serta seorang model sebagai isteri, tetapi saya tidak memandangnya dari segi luaran.

"Setiap hari saya berdoa agar diberikan petunjuk. Saya tidak menyangka dapat dua hidayah sekali gus, iaitu berhijrah dan memiliki Nur Hidayah. Dia sentiasa mengingatkan saya mengenai solat dan agama, itu yang membuatkan hati saya tertambat padanya," katanya.

Hampir menitiskan air mata selepas sah bergelar suami kepada wanita terbabit pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang, Pierre bersyukur dan berasakan separuh daripada imannya sudah ditunaikan.

Pierre atau nama sebenarnya, Mohd Pierre Andre Nazrul Andre, dinikahkan imam masjid terbabit, Ustaz Zuhdi Razali, kira-kira jam 2.10 petang dengan mas kahwin RM300. Dia turut menyerahkan wang hantaran RM20,000 berserta tujuh dulang termasuk, sirih junjung, telekung, set wangian diri, telefon pintar dan tablet android, tas tangan bersama dompet, jam tangan dan seutas gelang tangan.

Nur Hidayah pula membalasnya dengan sembilan dulang hantaran termasuk sepasang kasut, coklat, sirih junjung, permainan video, seutas jam tangan, set wangian diri, kamera digital, sebentuk cincin dan set buku.

Pasangan serasi

Bersyukur dan gembira kerana dirinya kini sah bergelar isteri Pierre, Nur Hidayah berkata, penyatuan mereka adalah atas dasar keserasian, cita rasa serta sukakan aktiviti yang sama.

"Saya suka keperibadian dia yang bersederhana dan amat menitik beratkan agama. Saya dan Pierre juga mempunyai banyak persamaan, membuatkan kami selesa bersama," katanya.

Merahsiakan lokasi bulan madu, pasangan yang bertunang pada 9 Februari lalu ini bagaimanapun memilih pusat peranginan tempatan sebagai prapercutian sebelum ke luar negara selepas Pierre selesai menjalani penggambaran filem terbaru arahannya, Sniper, selama sebulan yang akan bermula 28 Jun ini di sekitar ibu negara.

Khatijah ingat Pierre seloroh nak kahwin

Majlis resepsi sebelah keluarga perempuan akan berlangsung pada 10 November ini di Taman Sri Alam, Pasir Gudang, Johor, manakala majlis bertandang di pihak lelaki yang diadakan secara tertutup dijangkakan pada Disember depan.

Sukar untuk mempercayai anak sulungnya sudah bergelar suami, Khatijah pada mulanya menyangka niat anaknya untuk bernikah sekadar berseloroh.

"Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dia berkahwin. Sebelum ini, dia ada cakap hendak berkahwin, tetapi perkara itu tidak berlaku. Pierre memaklumkan hasratnya kepada saya tahun lalu, dan saya tanya padanya, betul ke nak kahwin sebab takut dia cuma cakap saja?

"Dia kenal Yaya (Nur Hidayah) tahun lalu, sebelum dia ikut tabligh. Sejak itu dia banyak mendalami ilmu agama dan mungkin kerana dia mendengar cakap ustaz mengenai kenikmatan berkahwin, sebab itulah dia mengambil keputusan untuk melamar Yaya.

"Keluarga kami sangat terbuka dan menerima Yaya seadanya. Bagi saya, kerjayanya sebagai model bukan alasan untuk tidak menerima dirinya ke dalam keluarga kami. Saya sering ingatkan Yaya, mereka dalam dua dunia berbeza dan Yaya kena terima Pierre seadanya. Kerjaya Pierre membuatkan dia sering didampingi dan dia kena banyak bersabar," katanya.

Doa anak jadi suami yang baik

Menganggap sikap anaknya yang sederhana dan konservatif, ia memerlukan Nur Hidayah banyak bersabar. Malah, sikap wanita itu sendiri yang mudah menerima pendapat serta pandangan orang, membuatkan dia berasa senang.

Risau dan takut anaknya terjebak dalam perkara yang tidak bermoral seperti khalwat, Khatijah sentiasa berdoa agar Pierre cepat mendapat jodoh. Kini apabila tanggungjawabnya sebagai ibu sudah 'selesai', Khatijah mendoakan anaknya menjadi suami dan juga bapa yang bertanggungjawab pula.

"Yaya seorang yang sederhana dan mendengar kata. Pierre ada cakap pada dia, lepas kahwin dia tidak boleh buat kerja model di luar Kuala Lumpur dan mendedahkan aurat, Nampaknya Yaya faham.

"Saya sangat takut anak-anak saya melakukan perkara yang tidak elok atau mengaibkan. Bila dia berkahwin, saya rasa bersyukur dan amat gembira," kata Khatijah.

Katanya juga, sehingga kini mereka belum menentukan tarikh bagi majlis resepsi di pihak lelaki kerana ramai anggota keluarga mereka berada di luar negara. "Jadi, kena tahu juga bila tarikh yang sesuai untuk semua balik ke sini," katanya.