Adsense

Ahad, 23 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Epy, Zalif beri idea Lu, Gua... Bro!

Posted: 22 Jun 2013 07:33 PM PDT

Mengeluarkan konsep dan idea asal cerita untuk filem terbaru, Lu, Gua.. Bro! membuka peluang kepada dua pelawak pelapis Zalif Sidek dan Epy Raja Lawak untuk membintangi filem ke-93 terbitan MIG Pictures Sdn Bhd. Semuanya bermula dengan cabaran dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo kepada Epy untuk tampil dengan konsep komedi sebelum mengadakan perbincangan dengan Zalif untuk memerah idea segar bagi dibentangkan kepada panel skrip MIG.

Bukannya senang untuk mendapatkan idea yang mampu memenangi hati pihak penerbit, namun dengan perbincangan dan nasihat yang daripada pengarah Ismail Bob Hasim yang turut bertindak sebagai pengarah filem ini, akhirnya ia berjaya direalisasikan untuk difilemkan dengan penggambaran dijalankan di sekitar Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Sekadar imaginasi

Kata Epy, cabaran daripada David itu tidak dipersia-siakan kerana memang dia sudah mempunyai beberapa idea dan konsep cerita namun tidak dikembangkan.

"Idea yang saya ada hanyalah sekadar imaginasi saja, apabila David cabar dan suruh saya bekerjasama dengan Zalif untuk menghasilkan jalan ceritanya dan kami mula mencari konsep sesuai, maka timbullah idea untuk membawa konsep komedi pentas ke filem.

"Beberapa kali juga kami naik turun pejabat MIG untuk berbincang mengenai konsep dan idea ini supaya ia dapat disesuaikan antara konsep komedi pentas dengan filem. Paling penting adalah komedi yang cuba untuk tampilkan dalam filem ini adalah komedi segar selain penyampaiannya mudah difahami oleh penonton.

"Rasanya belum ada konsep komedi sebegini digunakan dalam filem dan saya harap mampu untuk membawa kelainan kepada filem komedi di Malaysia supaya filem komedi ini tidak dilihat berada di takuk yang sama," kata bekas peserta Raja Lawak musim kelima ini.
Senang bekerjasama

Sementara itu, Zalif yang beberapa kali digandingkan dengan Epy mengakui senang untuk mereka bekerjasama. Kali pertama Zalif dan Eppy digandingkan ialah menerusi filem Ajiboy, kemudian dalam filem Jangan Pandang Belakang Boleh yang sedang menunggu tarikh tayangan.

"Filem ini dibuat untuk kami berdua, jadi lebih senang untuk kami membina karakter dalam filem ini ditambah lagi pembabitan Ismail Bob Hasim sebagai pengarah, kami memang senang bekerjasama dengannya. Dia faham kehendak kami, kami juga tahu cara dia bekerja di set, menjadikan senang untuk kami berbincang.

"Saya dan Epy juga sudah beberapa kali digandingkan bersama dalam filem, jadi keserasian antara kami berdua bekerjasama dalam filem bukanlah isu besar. Lagipun kami bukan saja rapat dalam set tapi juga di luar set. Untuk menyiapkan konsep dan idea ini, kami banyak menghabiskan masa bersama mendapatkan jalan cerita terbaik, tapi kebanyakan idea datang daripada Epy sendiri," katanya.

Selain Epy dan Zalif, filem ini turut dibintangi pendatang baru dari Brunei, Nina Iskandar yang sebelum ini dibawa masuk David Teo ke produksi MIG untuk filem Perempuan Muka Surat Tujuh.

"Ini adalah kali pertama saya terbabit untuk filem komedi, tapi membawa watak sebagai Hawa tidak memerlukan saya untuk tampil dengan watak komedi, sebaliknya pembawaan watak neutral. Tapi berlakon dalam filem komedi ini, saya perlu bagi sedikit perasaan komedi itu kepada penonton," kata Nina.

Konsert teaterikal M Nasir

Posted: 22 Jun 2013 07:27 PM PDT

Aksi sifu muzik di Istana Budaya pada 28-30 Jun

Persembahan Datuk M Nasir dalam tiga konsert solonya sebelum ini tidak pernah menghampakan peminat. Walaupun dilihat kurang berinteraksi bersama penonton, barisan lagu yang didendangkan bagaikan mewakili dirinya untuk berkata-kata.

Semangat dibawa penonton turut sama-sama menyanyi dan ada juga menari mengikut rentak seakan merasuk di jiwa M Nasir untuk memberi persembahan terbaik menjadikan setiap konsert solo dijayakannya pasti meninggalkan memori tersendiri.

Bermula dengan konsert solonya pertamanya, Konsert Canggung di Stadium Negara (1994) diikuti Konsert Akar di PWTC (1995) dan kali terakhir, Konsert Alam Musik di Istana Budaya (2009) masing-masing mempertaruhkan gaya persembahan dan mood berbeza kepada penonton.

Penantian empat tahun

Selepas empat tahun sabar menanti, M Nasir sekali bakal membuka cerita baru kepada konsert solonya, Konsert M Nasir Sang Pencinta yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) pada 28 sehingga 30 Jun ini.

"Setiap konsert solo yang pernah saya jayakan, ada pembaharuan yang akan dibawa, ada cerita yang cuba untuk disampaikan dalam bentuk visual kepada penonton.

Untuk konsert kali ini cerita yang akan disampaikan lebih mendalam berbentuk teaterikal. Ini merangkumi rekaan persembahan pada malam itu dari segi muzik iringan, pencahayaan dan pemilihan lagu yang jarang didengar tapi sedap didengar. Setakat ini masih belum ada kata putus lagu yang akan dipersembahkan tetapi ia merangkumi lagu biasa dipersembahkan dan lagu yang jarang diputarkan tapi sedap dipersembahkan di pentas konsert.
"Lagu ini akan disusun semula untuk mendapatkan nafas baru tapi digubah mengikut kesesuaian konsert.

Selebihnya penonton harus melihatnya pada malam konsert itu nanti," katanya pada sesi latihan di Studio Red On Black, Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Persembah 25 lagu

Tiga malam konsert M Nasir itu kelak dijangka menyampaikan 25 lagu, dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk unplugged bagi koleksi lagu ciptaannya kepada penyanyi lain.

Konsert M Nasir Sang Pencinta dibawakan Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red on Black dan Belbis serta sokongan Istana Budaya, turut menampilkan Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik dan Mohd Rafi Shafie pula sebagai Penyusun Alat Muzik 'String'.

Sementara itu, Aznan Alias berkata, setakat ini latihan lancar dan setiap pemuzik yang terbabit sudah bersedia untuk malam konsert itu nanti.

"Setakat ini sudah 90 peratus lagu yang akan dipersembahkan sudah diputuskan cuma akan dimuktamadkan nanti dengan M Nasir," katanya yang bekerjasama dengan M Nasir sejak Konsert Canggung di Stadium Negara pada 1994.

Tiket konsert dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455. Untuk tempahan, layari www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03-41478600.