Adsense

Jumaat, 14 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Jangan tuduh sebarangan'

Posted: 13 Jun 2013 05:32 PM PDT

Adira dakwa masuk hospital kerana demam panas

Hanya kerana memuat naik beberapa keping gambar dirinya memakai pakaian pesakit, beberapa hari lalu, timbul cerita kononnya Adira dimasukkan ke hospital akibat kulitnya yang terlalu cerah.

Rakan duet Hafiz menerusi lagu Ombak Rindu ketika dihubungi semalam bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan. Bahkan, dia meminta supaya orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi yang bukan-bukan.
Saya hanya demam panas, tiada kaitan dengan apa-apa. Semua orang boleh ditimpa demam, jadi janganlah membuat tuduhan yang tidak berasas." Adira

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 22, berkata dia dimasukkan ke hospital pada minggu lalu kerana demam panas dan tiada kaitan langsung dengan kulitnya.

"Saya dimasukkan ke hospital pada Khamis minggu lalu setelah beberapa hari demam. Pada mulanya saya cuba untuk bertahan, tetapi lama kelamaan keadaan menjadi semakin teruk. Saya mula rasa hendak pitam dan badan juga semakin lemah.


"Selepas empat hari demam dan masih tiada tanda-tanda panas berkurangan, barulah saya gagahkan diri ke hospital. Suhu badan saya ketika itu agak tinggi, sekitar 43 darjah Celcius.
"Saya dimasukkan ke hospital selama tiga hari dan dibenarkan keluar Ahad lalu," katanya yang berulang kali meminta orang ramai berhenti daripada menyebarkan cerita tidak berasas.

Diri kurang rehat

Sejak bergelar penyanyi, kata Adira, dia jarang mendapat rehat secukupnya. Mungkin disebabkan tubuhnya kurang rehat, dia mudah diserang penyakit.

Namun tegas gadis berbakat ini, ia langsung tiada kena-mengena dengan kulit putih gebunya itu.

Sebelum ini Adira pernah menafikan mengambil suntikan atau memakan ubatan tertentu bagi mendapatkan kulit yang cerah. Sebaliknya penyanyi ini menjelaskan, dia memang dilahirkan dengan kulit sedemikian.

Pada masa sama, Adira mengaku turut mengamalkan penggunaan sejenis pelembap.

"Saya hanya demam panas, tiada kaitan dengan apa-apa. Semua orang boleh ditimpa demam, jadi janganlah membuat tuduhan yang tidak berasas.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sudah semakin baik. Malah, saya sudah kembali menyanyi seperti biasa.

"Saya memang sengaja tidak minta cuti rehat daripada doktor. Lagipun, ada tawaran nyanyian yang sudah diterima sejak awal, jadi takkanlah saya hendak batalkan hanya disebabkan demam?

"Cuma, ada beberapa tawaran yang terpaksa saya batalkan ketika menjalani rawatan di hospital. Mujur penganjur faham keadaan saya ketika itu. Kalau saya teruskan juga persembahan, bimbang pula suara saya akan dikecam," katanya yang kini ligat mengumpul material untuk dimuatkan dalam album terbaru.