Berita Harian: Hip |
Mampukah Star Trek Into Darkness memenuhi jangkaan? Posted: 04 May 2013 03:38 PM PDT ADVERTORIAL Kejayaan filem 'Star Trek' empat tahun lalu memberi jaminan kepada para Trekkies yang kisah penggembaraan Kapten James T. Kirk dan teman-teman lepasan Akademi Starfleet-nya dapat diteruskan di layar perak. Tetapi pada masa yang sama, kejayaan tersebut bermakna pengarah J.J. Abrams perlu menghasilkan satu kesinambungan yang menjangkau jangkaan pengkritik, penonton serta peminat tegar Star Trek. Abrams sedar dia perlu meneroka dengan lebih mendalam setiap aspek filem itu dari pengupasan watak dan jalan cerita. Kapal Enterprise perlu diperbesarkan, dimana penonton dapat melihat panjang dan keluasan kapal dari anjungannya ke Turbo Plaza, Med Bay sehinggalah Bilik Transporter. Dunia baru perlu dibina. Malah untuk membawa kisah 'Star Trek' ke sempadan baru, Abrams membuat keputusan merakamkan filem tersebut menggunakan gabungan IMAX dan 'anamorphic 35mm' sebelum hasilnya ditayangkan dalam 3D. "Penggunaan IMAX memberi gambaran betapa besarnya skala cerita itu bukan saja di angkasa tetapi di Bumi dan di atas kapal Enterprise. Ditambah pula beberapa set kami lebih menegak dari mendatar. Kami menggunakannya untuk merakam planet Nibiru di awal filem, planet asal Klingon, Kronos dan di penghujung filem untuk babak kejar-mengejar sekitar bandar San Francisco. Akhirnya kami tetapkan jika ia penggambaran luar, kami akan menggunakan IMAX, dan 'anamorphic 35' untuk penggambaran dalam," jelas Abrams. Meskipun 'Star Trek Into Darkness' sebuah filem imaginasi dan fantasi, Abrams sebanyak mungkin cuba mengurangkan penggunaan skrin hijau dan CG kerana inginkan hasil yang lebih intim dan realistik. "Tidak mungkin kita dapat menghasilkan sebuah filem dengan judul 'Star Trek' dan tidak mempunyai elemen skrin hijau. Tetapi salah satu perkara yang telah kami teruskan dari filem pertama adalah untuk mencari lokasi atau membina set bila perlu untuk menghasilkan sebuah dunia yang rasanya tidak sintetik tetapi benar-benar wujud. "Namun begitu, apa yang lebih penting adalah untuk menceritakan satu kisah yang menarik dan penuh emosi. Cabaran terbesar Kirk, Spock, Uhura, Bones, Scotty, Sulu dan Chekov bukan saja kuasa jahat yang telah memusnahkan Starfleet tetapi persoalan jika mereka dapat bergantung pada satu sama lain dan sejauh manakah kepercayaan di antara mereka. Dan bagi Kirk, apa yang bermula sebagai satu misi dendam menjadi pencarian untuk maksud sebenar di sebalik gelaran kapten," ujar Abrams. Tarikh Tayangan Di pawagam 16 May 2013 (3D) |
Posted: 04 May 2013 03:38 PM PDT Juliana Evans doakan kebahagiaan Zizan dengan kekasih barunya Pengakuan Zizan Razak, baru-baru ini, ketika sambutan ulang tahunnya ke-29 mengenai kamar hatinya yang kini dicuit seorang wanita sedikit sebanyak membuka sisi lain, terutama terhadap wanita yang terlebih dulu dikaitkan dengannya iaitu pelakon cantik, Juliana Evans atau lebih mesra disapa dengan nama Jue.
Secara tak langsung, nama Jue seolah-olah tiada dalam gambaran plot cerita berkenaan. Malah, pada saat Jue melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi di Western Michigan University di Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat, pernah tersebar cerita kononnya Jue sudah beralih alah kepada lelaki mat salih bernama Nate Miller. Hanya kawan rapat B*POP berhubung dengan Jue menerusi medium WhatsApp, baru-baru ini, bertanyakan khabarnya, selain meminta beliau memberi komen mengenai sisi peribadi Zizan. Di sebalik kesibukannya menjalani rutin sebagai pelajar, Jue juga sempat membalas emel kepada setiap soalan yang diajukan. "Sebenarnya Jue gembira untuk Zizan jika dia sudah bertemu seseorang yang sudah menambat hatinya. Jue gembira jika dia gembira kerana dia kawan Jue yang sangat rapat. Dia umpama abang Jue. Jadi Jue sokong tak kira apa jua selagi apa yang dilakukannya itu mampu menggembirakannya," katanya.
"Itulah, Jue sudah banyak kali tegaskan kami hanya kawan tetapi ramai yang tak percaya. Malah, saat ini pun saat masih terkejut kerana ada peminat yang ingat kami bercinta biarpun terpisah dek jarak. Hakikatnya, kami sudah lama pandang ke depan memikirkan apa yang lebih utama dalam hidup kami. "Macam Jue sekarang sibuk dengan pengajian dan Zizan tahulah dia memang antara bintang yang sangat menjadi perhatian dan laku sekarang. Memang Jue tahu, peminat memang suka tengok kami bersama. Ikutkan memang Jue tak nak hampakan mereka tetapi apa boleh buat, tiada cinta antara kami," kata Jue sambil berseloroh Zizan antara teman kategori istimewa dalam hidupnya. Pengorbanan berbaloi Mengenai akademiknya, menurut gadis berdarah campuran itu, pengajiannya di sana berjalan lancar. Jika tiada aral, Jue akan menamatkan pengajian pada April 2014. "Alhamdulillah, pengorbanan Jue untuk tinggalkan seketika dunia seni dan memberi perhatian kepada bidang akademik amat berbaloi. Untuk belajar Jue kena beri perhatian 100 peratus dan memahami betul-betul sistem pengajian di Amerika. "Dulu, semasa di Malaysia, kesibukan Jue dengan dunia seni tak dinafikan membataskan perhatian terhadap pengajian. Jadi, peluang ini Jue kena manfaatkan sebaik mungkin demi mendapat keputusan cemerlang," kata pelakon filem Mael Lambong ini. Jue aktif berpersatuan di Michigan Jelas Jue lagi, tahun lalu, dia berkesempatan berjinak-jinak dengan dunia modeling di sana. Malah ada undangan yang memerlukannya beraksi depan kamera di sekitar San Francisco dengan jurugambar tempatan. Tahun ini pula, Jue memberitahu dia mula membabitkan diri dengan berteater di universiti. "Baru-baru ini Jue ada persembahan pentas teater secara langsung di kampus. Jue pegang watak sebagai wartawan. Ikutkan Jue ada menerima panggilan semula daripada agensi di sini untuk berlakon dan memperaga. Tapi Jue tak nak terburu-buru kerana bimbang hilang fokus terhadap pengajian. "Walaupun tinggal jauh, Jue masih mendapat tawaran berlakon dengan produksi Malaysia. Dua bulan lalu, Jue ada terbabit dengan penggambaran super telemovie dengan syarikat Mermaid Studios milik Liyana Jasmay di New York City. Telefilem itu diarahkan Ghaz Abu Bakar. Jue diterbangkan dari Michigan oleh pihak produksi Liyana untuk ke New York. "Selain itu, Jue juga aktif berpersatuan dengan badan pelajar Malaysia di sini. Jue juga sudah mengarahkan beberapa video untuk malam membabitkan persembahan pelajar Malaysia dan Midwest Games 2013. Jue juga ada mengacarakan majlis untuk projek kampus," kata Jue yang berbangga menjadi rakyat Malaysia dan tak lokek bercerita mengenai keindahan negara kita kepada pelajar lain di sana. Diusik mengenai dirinya sama ada sudah bertemu kekasih di sana. Pintas Jue sambil berseloroh: "Belum... masih menunggu rockstar idaman hadir dalam hidup". |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |