Berita Harian: Hip |
Posted: 30 May 2013 03:27 PM PDT Kenangan menjejakkan kaki beberapa kali ke Tanah Suci Makkah masih segar dalam sanubari primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira. Ketenangan berada di kota suci itu terlalu sukar diungkap dengan kata-kata sehingga hatinya sentiasa digamit rindu untuk kembali ke sana. Lantaran kerinduan itu, timbul cerita kononnya pelakon, penyanyi dan pengacara berkenaan khabarnya akan ke sana semula tahun ini. Namun, kali ini untuk menunaikan haji pula.
Memang benar saya sudah mendaftar, tetapi ia dilakukan tiga tahun lalu. Saya kini masih menunggu nama dipanggil, bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang surat daripada Tabung Haji. Saya faham, mungkin belum rezeki lagi untuk dijemput ke sana dan saya akan terus sabar menanti. Sewaktu mendaftarkan nama dulu, saya buat keputusan untuk pergi berseorangan. Jadi, apabila Arab Saudi mengenakan syarat baru, perkara itu memang sedikit menyukarkan. Apabila saatnya tiba nanti, barulah saya akan fikirkan soal mahram, kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Sembilu itu. Sedih nak tinggalkan Aleesya Menurut bintang berusia 39 tahun ini, dia membuat keputusan menunaikan haji pada usia muda kerana berasakan sudah tiba masanya, selain adanya kemampuan untuk berbuat demikian.
Insya-Allah, jika diizinkan, saya bercadang membawanya ke Tanah Suci sekali lagi untuk menunaikan umrah, memandangkan ketika kali pertama ke sana dia masih kecil. Lagi pun, Aleesya sudah semakin besar dan lebih matang. Jadi urusan ibadat lebih mudah. Memang tidak dinafikan, jika berpeluang menunaikan haji, bermakna saya perlu meninggalkan Aleesya dalam tempoh waktu yang lama. Sebagai ibu, tentu timbul rasa sedih. Namun, apabila memikirkan tujuan saya ke sana untuk beribadat, sedikit sebanyak kesedihan itu terubat. Perasaan itu berbeza jika dibandingkan dengan meninggalkan Aleesya kerana tugas, kata Erra. Belum pasti soal penampilan Ditanya adakah dia akan memperlahankan aktiviti seninya selepas bergelar Hajah, Erra berkata, sejak akhir-akhir ini, dia memang sudah berbuat demikian. Begitupun, untuk meninggalkan terus kerjaya seni, perkara itu belum terlintas dalam fikiran anak tunggal kepada Azizah Zaik ini. Saya tidak bercadang meninggalkan terus kerjaya seni selepas mengerjakan haji. Apa pun yang saya lakukan adalah di atas keizinan-Nya. Bakat dan rezeki tidak akan menjadi milik saya jika bukan atas ketentuan Allah. Cuma, saya akan cuba memperlahankan aktiviti seni. Malah, sejak akhir-akhir ini pun saya tidak lagi seaktif dulu. Mengenai soal penampilan pula, saya tidak berani berkata apa-apa. Kita tidak tahu dugaan yang Allah hendak berikan. Apa yang penting, hasrat saya tunaikan haji adalah untuk mendekatkan lagi diri kepada-Nya, kata Erra. |
Kembali dalami agama selepas nikah Posted: 30 May 2013 03:25 PM PDT Hampir setahun lalu, ramai yang terkejut dengan perubahan penampilan anak bujang pelakon Khatijah Tan, Pierre Andre, apabila jejaka itu memilih untuk berhijrah. Ketika usianya yang mencecah 28 tahun, Pierre bertindak untuk lebih mendekati agama kerana baginya, masa sudah tiba untuk dia melakukan perubahan.
Begitupun, sejak akhir-akhir ini penampilan Pierre kembali seperti sebelumnya, tanpa janggut dan jambang. Pierre juga kerap kelihatan bersama gadis cantik, Siti Nurhidayah Hashim, 25. Pengarah dan pelakon yang ditemui pada malam pratonton filem Bro, Nampak Motor Gua? baru-baru ini juga tidak berselindung, malah sedia memperkenalkan wanita itu sebagai tunangnya, yang akan dinikahi bulan depan. "Saya baru saja mencukur janggut dan jambang sebagai persediaan untuk bernikah, Jun ini. Dulu saya terlalu ghairah untuk melakukan perubahan. Apabila kita bercerita mengenai agama, ia tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Soal agama adalah untuk jangka masa panjang.
Penampilan bukan ukurannya, tetapi kita harus tanya diri sendiri, ia dilakukan untuk siapa?" katanya yang masih mengikuti kelas agama. Sudah tiga bulan bertunang Kehadiran bersama tunangnya yang seksi pada majlis itu membuka mata ramai tetamu, terutama wakil media. Bagaimanapun, seakan sudah bersedia, Pierre tiada masalah menjawab setiap pertanyaan. "Janganlah kita menilai seseorang itu dari segi penampilan, tetapi pandanglah dari segi akhlak. Sudah dua tahun saya mengenali tunang saya dan hubungan kami semakin rapat sejak setahun lalu. Kami juga memilih untuk bertunang pada 9 Februari lalu. "Buat masa ini dia masih di bawah tanggungjawab keluarganya. Dari segi hukum, memanglah salah bagi saya yang tidak mempunyai apa-apa hubungan membawanya ke sini, tetapi, saya manusia biasa yang ada kalanya terlepas pandang. "Insya-Allah, sebaik saya menjadi suami yang sah, maka bermulalah tanggungjawab saya untuk mendidik dan mendorongnya ke jalan kebaikan," katanya yang mengakui terlalu berdebar menanti hari bahagia. Siapkan empat filem MIG Kata Pierre, disebabkan terlalu sibuk sejak kebelakangan ini, dia sudah meninggalkan jemaah tabligh itu hampir tiga bulan lalu. "Bukannya saya meninggalkan terus jemaah itu, tetapi terpaksa memberikan komitmen dengan tawaran pengarahan filem. Insya-Allah, selepas kami bernikah, saya akan kembali mengikuti kelas agama bersama isteri seperti biasa," katanya. Dalam diam, Pierre sudah menyempurnakan empat filem bersama MIG Pictures Sdn Bhd. Keempat-empatnya ialah hasil tulisan dan arahannya sendiri. Karyanya juga terdiri daripada genre berbeza seperti Islamik, komedi, seram, cinta dan aksi. Filem pertama yang bakal menyusul bulan depan, iaitu seminggu selepas bergelar suami ialah 1 Lawan 1, diikuti Highlands Tower, Ustaz... Mu Tunggu Aku Datang (yang menyaksikan kemunculan Ustaz Azhar Idrus) dan Perempuan Muka Surat Tujuh. Bermula Julai depan pula, Pierre akan memulakan penggambaran filem aksi berjudul Sniper. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |